"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Saturday, January 14, 2017

PRU14: Dilema parti pembangkang Pakatan Harapan

Ramai yang sedang melobi untuk menjadi calon PRU14 yang akan datang. Isu melobi untuk mencari calon bukan terhad semata-mata kepada parti kerajaan malahan parti-parti pembangkang lebih dahsyat lagi. Apakah tidaknya, ada parti-parti pembangkang sudah pun menentukan calon Perdana Menteri masing-masing.   Ada pula yang menggigil takut nak sebut calon PM kerana menjaga hati kawan yang lain. Persoalannya kenapa mereka takut menentukan calon PM?
Kegagalan mereka menentukan calon PM yang disepakati bersama akan menjejaskan hubungan baik antara parti-parti dalam Pakatan Harapan (dulu Pakatan Rakyat). Matlamat utama parti-parti dalam PH tidak sama. Mereka mempunyai matlamat yang tidak jelas dan ternyata berbeda.
Tun Mahathir selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya mahukan Presiden UMNO, DS Najib meletak jawatan sebagai PM. Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mahu membebaskan DS Anwar Ibrahim dan akan dilantik sebagai PM. Parti Amanah Negara (PAN) pula mungkinlah akan mengenengahkan Presiden PAN, Mat Sabu sebagai PM.  Manakala DAP bersikap malu-malu kucing, menunggu masa dan ketika yang sesuai.
Begitulah isu parti-parti pembangkang sehingga kini belum mampu dan berani menyatakan calon PM mereka. Ada di kalangan pemimpin utama mereka meminta isu calon PM tidak perlu dibincangkan. Yang penting bagi dia, kalahkan dulu BN selepas itu baru kita bincangkan siapa yang akan jadi PM.  Bagi sesetengah pihak menganggap pernyataan itu sebagai sangat penting kerana jawatan PM merupakan simbol kuasa parti yang memerintah.
Dengan kata lain, mereka mahu menang dahulu kemudian berkelahi. Ini jelas bahawa parti-parti pembangkang tidak sehaluan dan bukanlah pakatan yang mantap untuk mentadbir negara. Mereka tidak berani memberitahu pengundi siapa calon PM dan menteri-menteri kabinet mereka. Selain akan dapat bantahan di kalangan pemimpin parti, mereka sangat bimbang jika bantahan itu menular kepada penyokong-penyokong parti masing-masing. Jika ini berlaku sudah tentulah usaha menawan Putrajaya akan gagal.
Rakyat dapat lihat pemimpin PH sangat berhati-hati dalam membincangkan isu calon PM. Mereka sedar bahawa akan berlaku perbalahan yang serius, pertelingkahan yang amat dahsyat dan pasti boleh menghancurkan pakatan jika calon PM dibincangkan. Baru satu isu calon PM, parti-parti pakatan masih tidak boleh duduk semeja berbincang dan membuat satu keputusan yang muktamad untuk pengetahuan rakyat. Mereka takut hilang undi dan gagal ke Putrajaya. Mereka tidak takut perbalahan yang akan rakyat tanggung jika berlaku krisis kepimpinan negara. Soal PM dan menteri-menteri yang akan dilantik serta dasar kerajaan baru Pakatan Harapan belum dapat kata sepakat.  Bagi mereka ini tidak penting. Yang penting bagi mereka menang dahulu dalam PRU14 akan datang.
Jika inilah kesepakatan yang dicapai di kalangan pemimpin PH, nasib rakyat sedang diperjudikan oleh pemimpin PH. Ibarat kata pepatah Melayu, “Untung sabut timbul, untung batu tenggelam”. Para pengundi perlu berhati-hati dan jangan terburu nafsu, “Takut yang dikendung keciciran dan yang dikejar pula tak dapat”. Soal negara bukan perkara yang boleh main-main. Akibat kesilapan memilih kerajaan bahananya terkesan sehingga ke cucu cicit.
Berwaspadalah, fitnah melampau-lampau dari pihak pembangkang kerana bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan BN. Setelah demontrasi jalanan tidak mendapat sokongan, fitnah ditabur melalui media sosial tanpa batas. Hingga ada pemimpin Melayu (bukan mufti) bercakap soal agama bagaikan fatwa kerana menjaga kepentingan politik kepartian. Ada pemimpin utama PH mengakui kerja mereka menghasut rakyat setiap hari supaya rakyat benci kerajaan. BR1M dikatakan rasuah, harga petrol naik dicaci dan dimaki sebaliknya mereka diam sepi bila harga petrol jatuh! Begitulah pembangkang di Malaysia yang kita kenali mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia dengan pelbagai cara tanpa menghiraukan kesan buruk kepada ekonomi negara. Itulah juga matlamat mereka untuk mendapat sokongan rakyat. Rakyat Malaysia tidak keliru dengan mainan politik pembangkang, Insya Allah!

Tuesday, July 7, 2015

Tiada lagi kerajaan pakatan pembangkang di Pulau Pinang

PULAU PINANG 2 Julai - Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan negeri kini bukan lagi kerajaan pakatan pembangkang sebaliknya dikenali kerajaan negeri Pulau Pinang. Lim Guan Eng Menurut Guan Eng, perkara itu dicapai menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) semalam yang dihadiri kesemua 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang.

Turut dicapai dalam mesyuarat itu, katanya, keputusan tidak bersetuju dengan usul Muktamar Pas ke-61 baru-baru ini yang memutuskan hubungan dengan DAP. Dalam pada itu, Guan Eng memaklumkan, mesyuarat Exco semalam juga memutuskan untuk menerus dan mengekalkan urus tadbir kerajaan negeri Pulau Pinang seperti biasa berdasarkan dasar bersama pembangkang yang digubal pada 2009.

Menurutnya, urus tadbir kerajaan negeri kini juga adalah berlandaskan manifesto pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). "Kita juga menerima bahawa pakatan pembangkang sudah tidak wujud lagi berikutan usul Muktamar Pas tersebut. "Dalam mesyuarat bersama 30 ADUN yang menyokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 18 Jun lalu termasuk ADUN Permatang Pasir daripada Pas, semuanya menyokong ketiga-tiga ketetapan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dengan keputusan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini merupakan kerajaan campuran dengan persetujuan 30 ADUN iaitu 19 daripada DAP; 10 daripada PKR dan seorang daripada Pas. Baki 10 lagi ADUN iaitu daripada keseluruhan 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang adalah daripada Barisan Nasional (BN). Sebelum ini, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya mengisytiharkan pakatan pembangkang tidak lagi wujud berikutan Muktamar Pas meluluskan resolusi untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Serentak itu juga, DAP memberi tekanan kepada ahli-ahli Pas yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri untuk melepaskan jawatan masing-masing termasuk sehingga memecat beberapa orang antara mereka.

Sumber: Utusan Malaysia Online 3 Julai 2015

Thursday, March 19, 2015

Ketepikan 'jemuan' dalam UMNO kata DS Najib

Ikut Kamus Dewan 'jemuan' membawa maksud sangat jahat. Dalam konteks UMNO ahli UMNO yang sangat jahat yang boleh memporakperandakan UMNO dikatakan sebagai 'jemuan-jemuan'. Najib sebagai Presiden Umno menegaskan jika UMNO dapat ketepikan jemuan-jemuan ini, perpaduan dalam UMNO dapat dikekalkan. Ini bererti jika jemuan-jemuan ini ada dalami UMNO,  ahli-ahli UMNO akan berpecah sesama sendiri. Umno akan jadi lemah dan akhirnya calon Umno akan kalah dalam PRU yang akan datang.
 Mengikut Najib lagi, jemuan-jemuan ini lebih teruk lagi daripada tukang kipas atau batu ronson (batu api penghasut) kerana mereka beradu domba sesama sendiri di kalangan ahli UMNO dan akhirnya ahli UMNO berpecah dan parti akan jadi lemah.
Oleh itu peringatan Najib selaku presiden UMNO perlu diambil perhatian yang serius oleh semua pemimpin dan juga ahli UMNO. Seboleh-bolehnya tidak ada jemuan-jemuan dalam UMNO khasnya dalam UMNO Bahagian Balik Pulau. Jika ada pemimpin UMNO yang bertindak secara 'tidak beradab' dan hipokrit serta 'baling batu sembunyi tangan' bolehlah dianggapkan sebagai jemuan dalam UMNO.

Sudah tentulah tidak akan ada pemimpin yang mahu mengakui dirinya sebagai jemuan. Oleh itu tugas sebesar ini sudah pastilah terletak di tangan ahli UMNO yang mengundi dan memilih mereka sebagai pemimpin UMNO. Ahli UMNO perlu menolak atau singkirkan terus jemuan-jemuan ini daripada dalam UMNO. Bahayanya lebih dahsyat.

Tanpa memikirkan siapa jemuan-jemuan ini, ahli-ahli UMNO perlu sepakat dengan satu tekad dan hasrat untuk menyingkirkan jemuan-jemuan ini. Biarpun banyak 'jasanya', demi perpaduan dan kekuatan parti UMNO keputusan perlu dilakukan walaupun ianya sangat pahit.

Selaku ahli UMNO yang bijaksana, yang tidak mudah 'dijualbeli' dengan wang ringgit dan janji-janji manis, dan seumpamanya perlulah juga dengan bijaksana menilai pemimpin yang ikhlas dan jujur, dan pemimpin yang mengutamakan parti serta bukan untuk kepentingan diri sendiri. Ingatlah UMNO akan kehilangan pemimpin yang berwibawa, UMNO juga akan kehilangan pemimpin yang ikhlas dan jujur, UMNO akan musnah jika jemuan-jemuan yang dikatakan oleh Dato Seri Najib itu tidak disingkirkan. Semua ahli UMNO perlu menyatakan pendirian tegas untuk tidak membenarkan jemuan-jemuan seperti itu wujud dalam UMNO Balik Pulau. 

Thursday, December 11, 2014

Pemimpin berubah, UMNO akan berubah!

Pilihanraya umum tidak lama lagi. Boleh jadi tiga atau pun dua setengah tahun lagi. Tapi gerakerja parti masih ditakuk lama. Jika ada pun masih tidak berfokus kepada isu parti. Kepimpinan parti kelihatan tidak bersungguh-sungguh dalam usaha menambah ahli parti dan menambah bilangan daftar pemilih di kawasan masing-masing.
Sudah tiba masanya semua peringkat kepimpinan parti termasuk sayap parti perlu berganding bahu bekerja bersungguh-sungguh untuk memperkasakan parti. Bukan masanya pemimpin-pemimpin parti bercakap pasal projek kecil dan besar, bisnis dan siapa bakal calon PRU14. Apa maknanya ini semua jika parti kalah dalam PRU yang akan datang?
Demi survival parti, semua ahli UMNO yang bergelar pemimpin mesti bekerja dari sekarang. Tingkatkan kualiti kepimpinan di peringkat cawangan dahulu. Ada ahli-ahli UMNO sendiri yang tidak selesa dengan sikap segelintir ketua cawangan. Ahli-ahli UMNO mengeluh kerana mereka tidak diberitahu apa-apa sumbangan dan program. Manakala program dibuat secara ad-hoc tanpa mengadakan mesyuarat ahli jawatankuasa. Dengan perbincangan dua tiga orang jadilah program. Bila program dah habis, bunyilah suara-suara tidak puashati di sana dan sini, kata orang "rumah siap, pahat berbunyi".
Sepatutnya ketua-ketua cawangan mengadakan perancangan yang strategik untuk menambah keahlian UMNO dan meningkatkan bilangan daftar pemilih di kawasan masing-masing. Buatlah sesuatu program secara yang lebih terancang. Buatlah post-mortem jika program itu pernah dilaksanakan sebelum ini. Kelemahan yang lalu jangan diulang. Ambillah peluang dan kekuatan yang ada untuk memperbaiki setiap program yang akan dianjurkan oleh parti. Program yang berjaya adalah program yang mampu menarik kehadiran orang ramai di samping boleh meningkatkan keahlian UMNO dan juga bilangan daftar pemilih.
Walau bagaimanapun kebanyakan ketua cawangan mempunyai stail kepimpinan yang tersendiri. Ada yang boleh menjadi contoh dan tauladan yang baik di kalangan masyarakat setempat. Dialah orang yang pertama akan sampai di lokasi berlaku kebakaran dan banjir. Setiap kenduri-kendara dan kematian dia akan sampai. Bukan itu sahaja malahan ikut menyertai majlis bacaan Yaasin dan bertahlil. Sungguhpun pun ketua cawangan sangat sibuk, sesekali dia ke surau dan masjid. Ketua Cawangan begini biasanya akan dihormati dan disegani oleh kawan dan lawan. Ahli-ahli UMNO dan kebanyakan anggota masyarakat akan memberi sokongan setiap program yang dianjurkan. Inilah peluang untuk meningkatkan ahli UMNO dan juga daftar pemilih. Tapi berapa ramai ketua-ketua cawangan boleh melakukan seperti itu?
Sebenarnya ketua cawangan masih boleh berubah. Masyarakat sekeliling sedang memerhati dari jauh dan dekat. Zon selesa sebagai ketua cawangan sejak dahulu sudah berakhir.  Selari dengan tuntutan keadaan dan masa, ketua cawangan dan pemimpin UMNO perlu bersedia untuk belajar dipimpin sebagai pemimpin. Jangan mudah melenting bila ditegur, terimalah teguran dan kritikan secara yang baik. Setiap cadangan yang membina untuk kepentingan parti hendaklah diterima dengan hati yang terbuka. Jujurlah kepada parti dan ahli-ahli UMNO. Buktikan bahawa pemimpin UMNO tidak seperti yang pembangkang heboh-hebohkan dalam setiap ceramah mereka. Hanya UMNO satu-satunya parti yang konsisten memperjuangkan nasib orang Melayu, agama Islam dan Raja Berperlembagaan. Ingatlah dan hayatilah sajak nukilan mantan PM, Tun Mahathir Mohamad, "Perjuangan belum selesai".

Thursday, August 14, 2014

Menafaatkan Mesyuarat Perwakilan UMNO

Selepas cuti Hari Raya Aidilfitri banyak isu politik yang umum mengetahui. Isu MB Selangor sudah sampai ke peringkat yang begitu kritikal. Banyak pihak mengatakan bahawa isu MB Selangor lebih dahsyat hebatnya daripada isu peralihan pemerintahan di Perak.

Biarlah Pakatan Rakyat menyelesaikan masalah itu. UMNO jangan terlibat dengan masalah mereka. Bimbang nanti UMNO dituduh sebagai puncanya. Sudah ada pun secara nakal menuduh UMNO yang menyokong TS Khalid sebagai MB Selangor tanpa syarat menjadi puncanya. Tapi lebih baik kita melihat lebih dekat dengan masalah kita. Masalah parti kita di mana-mana sedang sibuk dengan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian termasuklah Wanita, Pemuda dan Puteri. 

Mengapa Mesyuarat Agung atau Mesyuarat Perwakilan UMNO diadakan? Sepertimana pertubuhan-pertubuhan lain, mesyuarat agung wajib diadakan seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan pertubuhan. Mungkin sesetengah pihak beranggapan bahawa mesyuarat agung tempat meluahkan perasaan dan geram, menabur fitnah, mengutuk dan mencerca. Bagi sesetangah pihak pula akan menggunakan mesyuarat agung untuk memberi pandangan dan mengkritik secara yang berhemah demi untuk kebaikan ahli dan pertubuhan.

Umumnya kita mengetahui bahawa UMNO perlu membina kekuatan bagi menghadapi PRU14 yang kian hampir. Bagaimana kita dapat membina kekuatan sekiranya antara kita masih ada sifat berdendam dan hentam menghentam antara satu sama lain? Kita akan semakin lemah dan terus lemah jika setiap kali mesyuarat agung, kita membangkitkan perkara-perkara atau isu-isu yang merugikan kita. Berfikirlah sebelum bercakap. Jangan sampai kata pepatah Melayu, "terlajak perahu boleh berundur tapi terlajak cakap buruk padahnya".

Sepatutnya kita bertanya kepada diri kita sendiri, apa yang telah aku lakukan semenjak setahun yang lalu? Mesyuarat Agung datang lagi, apakah aku telah menunaikan janji-janji aku kepada parti dan ahli parti? Dalam mesyuarat agung yang lalu, aku berdiri dengan megah dan bergaya dan dalam ucapan aku itu aku berjanji untuk menyatukan ahli parti. Aku akan mengajak setiap ahli parti untuk bersama-sama bantu membantu setiap program yang dianjurkan oleh parti kesayangan kita. Jika ahli bersatu, parti akan kuat. InsyaAllah calon BN akan menang dalam PRU yang akan datang.

Oleh itu dalam mesyuarat agung kali ini aku berhasrat untuk mengukuhkan lagi parti aku. Lebih banyak program yang aku akan anjurkan selepas ini. Aku tidak kisah apa yang orang kata. Yang penting aku mampu melaksanakan aktiviti untuk faedah masyarakat dan parti dalam jangka pendek mahupun dalam jangka panjang. Jika pembangkang mampu dan boleh melaksanakan program? Mengapa pula aku tidak? Jadikan mereka sebagai pesaing yang sihat yang boleh memotivasikan kita untuk terus berusaha dan bekerja untuk kepentingan parti.

Gunakan ruang dan peluang dalam mesyuarat agung ini untuk membetulkan yang salah dan bukan untuk menyalahkan yang betul.  Gunakanlah mesyuarat agung ini untuk mengukuhkan perpaduan dan bukan tempat mengwujudkan perpecahan antara ahli parti. Ingatlah setiap ucapan kita dalam setiap kali mesyuarat agung akan didengar, diingati dan dinilai. Jangan sampai ada ahli parti mendakwa kita "bercakap tak serupa bikin". 

Dalam mesyuarat agung atau perwakilan UMNO yang sedang dan akan berlangsung, harapan setiap ahli UMNO mahukan para perwakilan dan pemimpin UMNO dapat memberi ucapan yang bernas dan konstruktif. Elakkan menyentuh hal-hal yang boleh memecahkan perpaduan dalam parti sebaliknya mencadangkan kaedah yang boleh menguatkan parti. Kritikan yang membina dialu-alukan demi untuk kepentingan parti. Jauhkan dari kita memburuk-burukan kawan dan rakan kerana itu tidak memberi faedah kepada parti. Tunjukkan keikhlasan dan kejujuran kita dan buktikan melalui tindakan dan perbuatan. Jadikan mesyuarat sebagai tempat melahirkan idea-idea baru, berbincang menyelesaikan masalah parti,  dan sebaik-baiknya mesyuarat agung boleh merapatkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli parti. Wallahu alam.

Saturday, July 26, 2014

Beza PAS dulu dan sekarang

 
JIKA diteliti betul-betul tajuk perbahasan saya di atas, sebenarnya saya hendak membuat perbandingan terhadap Pas dulu dan sekarang.

Pas dulu tidak sama dengan Pas sekarang. Saya masih ingat Pas era Alfadhil Ustaz Yusuf Rawa (era si bapa) sama ada sebelum beliau memegang jawatan Presiden atau sebelumnya memang jauh beza dengan Pas yang ada sekarang kerana di zaman itu Pas hendak menang satu kerusi pun amat sukar kecuali di Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana pada hemat saya Pas pada ketika itu berjuang untuk menegakkan agama Islam dan ummahnya.

Saya masih ingat lagi kempen Pas era tersebut. Pas pada waktu itu mendakwa mereka bertanding dalam setiap pilihan raya, walaupun mereka tahu amat rumit untuk menang. Mereka bertanding kerana untuk memberi alternatif kepada pengundi Muslim. Pas beralasan bahawa di Padang Mahsyar nanti, jika ditanya siapa calon yang mereka pilih semasa pilihan raya dulu, maka bolehlah orang beriman menjawab. "Ya Allah percayalah kami tidak mengundi si polan-si polan yang kafir itu, yang kami undi hanyalah calon Pas yang beriman bernama si polan-si polan".

Kepimpinan Pas pada ketika itu (era si bapa) amat beriman kepada ayat al-Quran surah al-Maidah ayat 51, mafhumnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat (pemimpin/pelindung) kamu kerana sebahagian dari mereka adalah teman rapat kepada sebahagian yang lain. Dan sesiapa di antara kamu menjadikan mereka sebagai teman rapatnya, maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi pertunjuk kepada orang-orang yang zalim" dan surah al Maidah ayat 57, mafhumnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu menjadi penolong-penolong kamu. Dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman".

Di era si bapa dulu, kepimpinan Pas mengutuk keras parti Perikatan dan seterusnya Barisan Nasional yang bekerjasama dengan MCA dan MIC. Saya percaya tindak tanduk mereka adalah berlandaskan surah al Maidah ayat 51 dan 57 di atas. Pada era tersebut juga kepimpinan Pas amat peka dan tidak bersetuju terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh ahli-ahlinya.

Saya masih ingat saudara Hashim Gera yang pernah menjadi ADUN Parit pada ketika itu dipecat dari Pas kerana suka berjoget lambak, walaupun dalam hujah mempertahan diri beliau, menyatakan tiada sentuhan berlakupun: "Bila saya datang dia lari (undur) bila dia datang saya pula lari (undur)". Saya sokong penuh pemecatan dan ketegasan Pas dalam hal menjaga prinsip perjuangan mereka ketika itu.
Hal yang demikian seperti di atas itu jarang berlaku pada era si anak (YB. Dato' Dr. Mujahid Yusuf Rawa).

Umpamanya, dalam kes seorang pemimpin Pas, saya sendiri saksikan video beliau menyarung seluar dalam putih (underwear). Pada hemat saya video tersebut adalah tulen. Dia bukan sahaja tidak dipecat daripada Pas, malah dipertahan dan sokong sepenuhnya. Sebab apa tiada tindakan diambil terhadapnya? Dia malang kerana tidak bernasib baik terkena perangkap.

Pada era bapa, Pas boleh berpakat dan berbaik-baik dengan UMNO malah al Fadhil Ustaz Yusuf Rawa pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Iran ketika Pas dalam BN dulu. Saya teringat tentang peristiwa iblis enggan tunduk kepada Nabi Allah Adam, kerana gara-gara ego atau sombong diri.
Namun ribuan tahun kemudian iblis laknatullah ini sedar akan kesilapannya dan memohon kepada Nabi Allah Musa agar menyampaikan hasratnya kepada Allah S.W.T untuk bertaubat.

Melalui bantuan Nabi Allah Musa, Allah S.W.T bersedia menerima taubat Iblis dengan syarat Iblis mestilah pergi sujud ke kubur Nabi Allah Adam Alaihissalam. Mendengarkan syarat itu lantas iblis laknatullah menyinga lalu berkata: "Semasa hidupnya pun aku tidak sudi tunduk, inikan pula sesudah matinya." Maka kekalkan iblis laknatullah kufur hingga hari khiamat.

Prinsip iblis laknatullah ini janganlah diguna pakai oleh Pas era anak untuk tidak mahu berbaik-baik dengan kepimpinan Islam yang sedia ada. Kepada YB Dato' Dr. Mujahid Yusuf Rawa saya suka mengingatkan supaya berhentilah daripada menghentam Perkasa, iaitu satu-satu NGO yang berani memperjuangkan survival Islam dan Melayu di bumi bertuah ini. Bawalah kembali Pas ke era bapa saudara.

Jika ini berjaya YB lakukan, maka pada hemat saya Allah SWT akan mencurahkan rahmat kepada saudara. Orang yang menyambung silaturrahim antara orang Islam amatlah dikasihi Allah SWT, seperti dalam firmanNya dalam Surah al I-imran, ayat 103 mafhumnya: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.…

AHMAD SALLEH BIN H. AHMAD
Ipoh, Perak.