"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Tuesday, July 7, 2015

Tiada lagi kerajaan pakatan pembangkang di Pulau Pinang

PULAU PINANG 2 Julai - Ketua Menteri, Lim Guan Eng mengumumkan kerajaan negeri kini bukan lagi kerajaan pakatan pembangkang sebaliknya dikenali kerajaan negeri Pulau Pinang. Lim Guan Eng Menurut Guan Eng, perkara itu dicapai menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) semalam yang dihadiri kesemua 30 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong kerajaan negeri Pulau Pinang.

Turut dicapai dalam mesyuarat itu, katanya, keputusan tidak bersetuju dengan usul Muktamar Pas ke-61 baru-baru ini yang memutuskan hubungan dengan DAP. Dalam pada itu, Guan Eng memaklumkan, mesyuarat Exco semalam juga memutuskan untuk menerus dan mengekalkan urus tadbir kerajaan negeri Pulau Pinang seperti biasa berdasarkan dasar bersama pembangkang yang digubal pada 2009.

Menurutnya, urus tadbir kerajaan negeri kini juga adalah berlandaskan manifesto pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). "Kita juga menerima bahawa pakatan pembangkang sudah tidak wujud lagi berikutan usul Muktamar Pas tersebut. "Dalam mesyuarat bersama 30 ADUN yang menyokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 18 Jun lalu termasuk ADUN Permatang Pasir daripada Pas, semuanya menyokong ketiga-tiga ketetapan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dengan keputusan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini merupakan kerajaan campuran dengan persetujuan 30 ADUN iaitu 19 daripada DAP; 10 daripada PKR dan seorang daripada Pas. Baki 10 lagi ADUN iaitu daripada keseluruhan 40 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang adalah daripada Barisan Nasional (BN). Sebelum ini, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya mengisytiharkan pakatan pembangkang tidak lagi wujud berikutan Muktamar Pas meluluskan resolusi untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Serentak itu juga, DAP memberi tekanan kepada ahli-ahli Pas yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri untuk melepaskan jawatan masing-masing termasuk sehingga memecat beberapa orang antara mereka.

Sumber: Utusan Malaysia Online 3 Julai 2015