Hudud: Pas tidak bersungguh
KUALA LUMPUR 25 Okt. - Ahli Parlimen Pasir Mas, 
Datuk Ibrahim Ali hari ini mendedahkan bukti bahawa kegagalan Pas 
Kelantan melaksanakan hukum hudud bukan disebabkan halangan kerajaan 
Pusat tetapi kerana kerajaan negeri sendiri tidak bersungguh-sungguh 
mahu menegakkan syariat Islam itu.
Menurut Ibrahim, perkara tersebut diakui sendiri Pengerusi Lujnah 
Undang-Undang dan Guaman Pas Pusat, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong 
menerusi fail sulit Perakuan Lujnah Panel Penasihat Undang-Undang dan 
Guaman Pas Pusat Ke Atas Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993.
Menerusi perakuan itu, Wan Abdul Muttalib pada 3 Oktober 1996 dipetik
 sebagai berkata: "Sehingga kini tidak ada tanda-tanda yang kerajaan 
Kelantan bersungguh-sungguh mahu melaksanakan syariat, khususnya dalam 
bidang perundangan.
"Kelantan sendiri tidak pernah membuat permintaan kepada Pas Pusat 
untuk mendapat pandangan berkaitan dengan perkara itu dan belum lagi 
saya lihat kerajaan Kelantan mengemukakan rangka atau blue print ke arah pelaksanaan syariat."
Wan Abdul Muttalib yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat 
kemudian sekali lagi mempersoalkan perkara tersebut ketika Mesyuarat 
Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 18 April 1998 apabila dipetik sebagai 
berkata: "Mengapa kerajaan Kelantan belum melaksanakan hukum hudud 
sedangkan kita berkuasa ke atasnya?"
Dalam pada itu Ibrahim mempersoalkan mengapa Pas sanggup menyalahkan 
pemimpin UMNO sedangkan Lujnah Undang-Undang dan Guaman Pas Pusat 
sendiri sudah memutuskan sejak 9 Oktober 1994 bahawa hukum hudud adalah 
undang-undang sah dan boleh dikuatkuasakan kerana tidak bercanggah 
dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Hari ini terbukti Pas sebenarnya yang tidak bersungguh-sungguh mahu 
melaksanakan hukum hudud. Namun ironinya setiap kali pilihan raya umum 
akan berlangsung, isu hudud inilah yang sentiasa dicanang sebagai modal 
politik dengan menyalahkan UMNO kerana tidak meminda Perlembagaan 
Persekutuan.
"Tetapi dengan terdedahnya maklumat sulit hasil mesyuarat dalaman Pas
 ini kita boleh menilai sebenarnya parti itu, khususnya Menteri Besar 
Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri hanya bermain politik 
dalam isu hudud," katanya sambil mengakui fail-fail sulit tersebut 
diserahkan oleh seorang pemimpin Pas kepadanya.
Dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, Ibrahim turut mendedahkan 
fail tentang nota diskusi Undang-Undang Tubuh Kelantan bertarikh 3 
Oktober 1996, peringatan mesyuarat Lujnah Politik dan Pilihan Raya 
Kelantan bertarikh 5 April 1993 dan peringatan Mesyuarat Jawatankuasa 
Kerja Pas Pusat Ke-10 yang semuanya turut membincangkan tentang hudud.
Sehubungan dengan pendedahan itu, beliau turut mendesak Nik Abdul 
Aziz dan seluruh kepimpinan Pas memohon maaf kepada Tun Dr. Mahathir 
Mohamad kerana menuduh bekas Perdana Menteri itu menghalang pelaksanaan 
hukum hudud menerusi sepucuk surat bertarikh 15 Julai 1994.
"Kepada Pas, berhentilah menipu umat Islam. Kalau tiada niat dan 
tidak mampu nak laksanakan hukum hudud, mengaku sajalah. Berhenti 
daripada bercakap tentang hukum hudud kerana memperalatkan agama untuk 
memancing undi berdosa hukumnya," katanya.
 
 


