"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Thursday, April 22, 2010

Agong tolak Mansor sebagai Pengerusi PUZ Pulau Pinang!


Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, menolak cadangan kerajaan Pulau Pinang untuk melantik Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, sebagai Pengerusi Pusat Urus Zakat (PUZ). Seri Paduka sebaliknya memperkenankan pelantikan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Ellias Zakaria, bagi mengisi jawatan itu yang kosong sejak 1 Januari lalu. Ellias ketika ditemui Berita Harian selepas majlis penyerahan sumbangan kepada Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang di sini, semalam, berkata perkara itu diputuskan pada sidang Ahli Majlis Maipp, baru-baru ini, yang turut dihadiri wakil Istana Negara.
Beliau berkata, baginda memberi perkenan supaya jawatan itu dipegangnya sehingga tempoh perkhidmatannya selaku Yang Dipertua Maipp berakhir pada 31 Disember 2011.

Perlantikan Ellias itu mengakhiri kontroversi berhubung pengisian kekosongan jawatan berkenaan, yang dilihat penting kerana PUZ mengendalikan lebih RM40 juta pungutan zakat di negeri ini untuk diagihkan kepada golongan asnaf.
Kontroversi itu tercetus apabila keputusan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, mencalonkan Mansor yang juga Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk wakil Pas dalam Majlis Maipp yang mahu jawatan itu diisi YDP Maipp atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Mohd Salleh Man dari Pas yang juga Timbalan YDP Maipp.
Umno Pulau Pinang turut membantah cadangan melantik Mansor kerana bimbang kerajaan negeri cuba memanipulasi hal ehwal Zakat bagi kepentingan politik, bukannya golongan asnaf. Ini adalah kali kedua cadangan kerajaan negeri tidak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Sebelum ini, cadangan kerajaan negeri untuk melantik Mohd Salleh sebagai YDP Maipp turut tidak mendapat perkenan baginda, sebaliknya Seri Paduka memperkenankan pelantikan Ellias.
Terdahulu, Ellias menyerahkan sumbangan RM100,000 kepada Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang yang diterima oleh Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Datuk Yusof Musa.

Tren Keluar PKR berterusan!!!!!!!

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kehilangan seorang lagi pemimpin apabila Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Klang, M. Palanibalakumar hari ini mengumumkan keluar parti. Turut sama mengikut jejak Palanibalakumar ialah 300 ahli PKR Cabang Klang, majoritinya di Jalan Kem yang merupakan kubu kuat parti itu semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12). Kesemua mereka mengambil keputusan itu kerana hilang keyakinan terhadap pucuk pimpinan PKR serta rasa tertipu dan dipergunakan oleh pemimpin parti itu semasa pilihan raya umum lalu.

Pada 18 April 2010 yang lalu, Pengerusi Tetap PKR Bayan Baru, Ismail Mohd Ali, yang mengetuai sekumpulan ahli PKR Bahagian Bayan Baru telah meninggalkan PKR. Beliau berkata, pemimpin PKR mempunyai agenda peribadi dan bukan untuk kepentingan rakyat.  Sehari kemudian,Bendahari PKR Hulu Selangor, Dr Halili Rahmat telah mengistiharkan dirinya telah keluar parti dan menyertai UMNO. Sebelum itu PKR telah kehilangan beberapa pemimpinnya iaitu bekas Exco Kedah juga dari PKR, Tan Wei Shu (ADUN Bakar Arang) dan dua AMK Shah Alam. Semuanya meletak jawatan dalam tempoh yang singkat kerana hilang kepercayaan kepada pimpinan tertinggi PKR khususnya Penasihat Umum PKR, DS Anwar Ibrahim. Difahamkan tren keluar parti ini akan berterusan kerana pemimpin-pemimpin pembangkang sudah mulai sedar bahawa PKR telah lari dari perjuangan asalnya. Di samping itu, keyakinan mereka kepada kepimpinan DS Najib Razak semakin bertambah. DS Najib, PM Malaysia mampu membawa pelbagai perubahan kepada rakyat Malaysia serta komitmen pemimpin itu turun ke padang menemui rakyat dan memahami masalah rakyat adalah suatu sikap unik kepada seorang PM yang amat dikagumi rakyat.

Tuesday, April 20, 2010

Isu 1: Tanah untuk masjid tidak diwakafkan lagi kepada MAIPP

Selepas majlis tahlil semalam, saya terus ke rumah seorang wakil rakyat di Balik Pulau kerana ada urusan program belia yang akan diadakan dalam bulan Julai 2010. Saya berkesempatan bertanya beberapa soalan berkaitan dengan kepimpinan kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini. Dari raut wajah wakil rakyat itu, tampak sedih dan kecewa dengan apa yang sedang berlaku sejak kerajaan pakatan DAP-PAS-PKR memerintah. Selaku wakil rakyat yang agak lama, beliau mengambil peluang mengupas satu persatu isu dan tegasnya rakyat mesti tahu isu-isu ini. Orang Melayu mesti sedar apa kerajaan BN telah buat dan apa yang kerajaan Pakatan sedang buat hari ini. Pertama, beliau menerangkan bahawa pengambilan tapak masjid oleh kerajaan negeri tidak lagi diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang seperti mana kerajaan BN lakukan dahulu. Sebaliknya kerajaan Pakatan DAP-PAS-PKR akan meletakkan tanah itu di bawah 'Chief Minister Incorporated' (CMI) menggantikan Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Ini bermakna CMI dipengerusikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang sendiri dan agensi ini memberi kuasa penuh kepada LGE untuk suka hati ambil tanah atau menukar syarat tanah malah sekarang telah buat sekatan untuk pemilikan tanah tanah wakaf untuk diambil oleh MAIPP.
Beginilah nasib orang-orang Melayu pada masa akan datang. Tanah wakaf tidak akan bertambah lagi sebaliknya akan berkurangan. Kebiasaannya di mana-mana negeri termasuk Kelantan yang diperintah oleh kerajaan PAS, tanah yang diambil atau dibeli oleh kerajaan negeri untuk tujuan pembinaan masjid akan secara otamatik diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Negeri. Dengan kaedah itu, kerajaan persekutuan boleh menghulurkan bantuan pembinaan bangunan masjid keseluruhannya sama ada RM2 juta ataupun RM3 juta. Apa yang berlaku hari ini, kerajaan persekutuan tidak dapat lagi memberi peruntukan pembinaan masjid kerana tanah yang menjadi tapak masjid bukan lagi di bawah milik MAIPP sebaliknya CMI. Syarat ini bukan hari ini tetapi telah wujud sekian lama dan digunapakai kepada semua negeri-negeri di Malaysia. Beginilah kesannya akibat orang Melayu yang mahu berubah. Tapi apakah perubahan orang Melayu dapat?. Dulu pembangkang mengatakan kerajaan BN zalim, tunjukkan kezaliman kerajaan BN? Cuma yang ada hanyalah mainan politik pembangkang untuk memenangi pilihanraya. Kini kerajaan Pakatan lebih zalim, kerana sudah ada tanah yang tidak boleh diwakafkan dan dengan itu orang Islam gagal mendapat peruntukan daripada kerajaan pusat untuk membina masjid. Saya akan mendedahkan lagi kezaliman kerajaan Pakatan terhadap kepentingan orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang amnya dan Balik Pulau khasnya dalam isu yang akan datang, insyaallah!



Raja Perak dukacita perilaku wakil rakyat pembangkang!

Sultan Perak turut menzahirkan dukacita di atas perilaku wakil rakyat tertentu yang tidak menghormati kemuliaan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Dewan Parlimen dan DUN adalah institusi perundangan negara. Dewan itu dirujuk sebagai dewan yang mulia atau ‘The August House’. Ahli kepada dewan itu dirujuk sebagai Yang Berhormat atau ‘The Honourable Member of The August House’.
“Amatlah memalukan jika prosiding dewan berkenaan berlangsung dalam suasana memekik dan menjerit dengan mengeluarkan kata-kata yang kasar lagi kesat. Adalah satu penghinaan kepada dewan itu jika ahlinya membawa ‘placard’ mengandungi kata-kata yang merendah dan menghina antara satu sama lain.
“Untuk itu perilaku ahli kepada dewan itu hendaklah menghormati kemuliaan dewan berkenaan dan mencerminkan sifat seorang yang telah diberi pengiktirafan dengan panggilan Yang Berhormat,” titah baginda.
Sultan Perak turut menyentuh perbuatan tidak sihat iaitu memperkecil serta menghina institusi perundangan dan badan penguatkuasaan undang-undang.
“Undang-undang dan institusi perundangan hanya diterima dan dihormati apabila keputusan berpihak kepada sesuatu kumpulan.
“Di sebaliknya, undang-undang dan institusi perundangan dicerca dan dihina apabila keputusan tidak memihak kepada sesuatu kumpulan. Perasaan kekitaan secara ekstrem melahirkan insan yang taksub lalu bertindak berdasarkan emosi hingga hilang pemikiran rasional,” titahnya.
Baginda turut mengingatkan agar tiada mana-mana pihak menggugat tujuh wasiat yang diamanahkan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Sembilan Raja Melayu ketika memberi perkenan menurunkan tandatangan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957.
Wasiat itu termasuk jaminan kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini; kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain dan tanah simpanan Melayu, yang termaktub dalam fasal-fasal tertentu Perlembagaan Persekutuan dan memerlukan izin Majlis Raja-Raja sebelum sebarang pindaan perlembagaan dibenarkan berkuatkuasa.

Sunday, April 18, 2010

Kerana politik, PAS juga sanggup lakukan apa saja!

Bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd Hafiz Nordin membidas Pas kerana turut menyokong Datuk Zaid Ibrahim sebagai calon Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor. Hafiz yang juga Pengerusi Badan Anti IFC (Badai) berkata, tindakan Pas itu amat memalukan kerana menyokong pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun mengetahui personaliti dan tindak tanduknya sebelum ini, terutama ketika di dalam UMNO. “Bagaimana Pas tergamak mengangkat seorang yang pernah mencabar pelaksanaan hudud di Kelantan ke mahkamah, terlibat dan menyokong penubuhan IFC (Suruhanjaya Antara Agama) serta berhasrat membuang kekuatan mahkamah syariah dalam perlembagaan dengan kempen terhadap Artikel 121 (1a) Perlembagaan Persekutuan. “Dia tidak pernah patah balik termasuk menarik balik tuduhan atau meminta maaf atas keterlanjurannya menghina umat Islam,” katanya.
Manakala Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi pula mengulas bahawa sebagai umat Islam, beliau hanya mempercayai perkara itu selepas mendengar dari mulut tertuduh sendiri. Dan Haji Hadi katanya ia tak baca blog, sebagai orang Islam kita perlu menerima daripada orang berkenaan bukannya blog, dia (Zaid) baru balik (menunaikan) haji, dia pergi haji, Insya-Allah perubahan selepas dia pergi haji. Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, menyifatkan apa yang berlaku terhadap Zaid sebelum ini adalah sejarah dan tidak perlu diungkit. 
Begitulah sikap pemimpin PAS yang boleh berubah kerana kesetiaan kawan dalam politik. Jika kawan apa pun boleh jadi. Hitam ia kena kata putih. Biarpun menanggung malu sepertimana kata Mohd Hafiz Nordin, bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang. Sebaliknya jika berhadapan dengan musuh, meski pun tidak pasti akan kebenarannya, selaku pemimpin politik biarpun bertaraf Tok Guru pandangan mesti cenderung ke arah 'membenarkan kepalsuan'. Yang tidak pasti cerita kena beri ulasan sebagai dah berlaku dan benar-benar berlaku. Begitulah apa yang terjadi sebelum ini, fitnah terhadap DS Najib dalam kes pembunuhan Altantunya. Kenapa tiada lagi banner dan poster yang mengaitkan Najib dengan Altantunya dalam PRK Hulu Selangor semalam? DS Najib pernah bersumpah dalam sebuah masjid di Permatang Pauh tetapi sumpah laknat DS Najib dipandang sebagai perbuatan seorang yang terdesak oleh pemimpin pembangkang. Kenapa mereka tidak berkata sedemikian kepada DS Anwar yang enggan bersumpah dalam kes liwat Saiful? Inilah sikap 'double standard' pemimpin-pemimpin Islam kita hari ini, yang tercemar imej Islam kerana pemimpin Islam itu sendiri yang memperalatkan agama untuk tujuan politik. Wallahualam.

Wednesday, April 14, 2010

Haji Abdullah Sa'amah, Tok Guru Pondok yang masyhur di Kelantan menulis!

Tok Guru Haji Lah Geting’ atau namanya Tok Guru Abdullah Sa’amah adalah antara Tok Guru Pondok yang masyhur di Kelantan dan hari ini telah dengan lantang bangkit menentang Nik Aziz menerusi penulisannya dan sessi-sessi ceramah di Kelantan.
Penentangan yang dari Tok Guru Haji Lah adalah berdasarkan ‘kesesatan demi kesesatan Nik Aziz’ yang dianggapnya sanggup ‘memperalatkan Islam dan memecah belahkan perpaduan umat Islam yang majoritinya dianuti oleh bangsa Melayu.’
Di dalam salah satu tulisannya yang muncul di dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini, Tok Guru Haji Lah menulis,
‘Penentangan saya terhadap kelompok ini bermula sejak tahun 1987 apabila seorang pemimpinnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan sifat 20 Allah SWT direka oleh Greek dan Yunani. Bagaimanapun saya mendiamkan diri kerana berpegang kepada dasar parti itu yang kononnya memperjuangkan Islam’.
Seterusnya Tok Guru Haji Lah menambah,
Namun selepas berkali-kali melihat dan mendengar kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz biar yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal-Jamaah biar pun telah ditegur, ia mula membuka mata saya. Kami ahli Persatuan Pondok seMalaysia beberapa kali telah menasihati beliau tetapi tidak diendahkan.
Untuk pengetahuan umum, Institusi pondok di Kelantan telah lama menentang ajaran-ajaran Nik Abdul Aziz tetapi tidak ada siapa berani bersuara dengan lantang seperti saya kerana telah termakan budi dan bimbang tidak menerima lagi bantuan seperti mana yang dinikmati hari ini. Baca seterusnya, klik sini.

Friday, April 9, 2010

Luahan hati Kickdefella, bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan

Pemimpin PAS, ahli PAS serta penyokong-penyokong PAS mesti baca luahan isi hati seorang tokoh yang tidak asing lagi suatu masa dalam pentadbiran kerajaan negeri PAS Kelantan. Beliau adalah Kickdefella yang telah membongkarkan pelbagai bentuk penyelewengan kerajaan negeri dan pemimpin PAS di Kelantan hingga tidak terjawab oleh pihak-pihak yang berkaitan. Kicdefella sebenarnya adalah Syed Azidi Syed Abdul Aziz merupakan penduduk Malaysia ke-4 pada bulan Ogos 2008 ditahan di bawah Akta Hasutan. Beiau merupakan penulis blog pelbagai isu politik dengan nama pena Sheikh Kickdefella di laman web "kickdefella.wordpress.com" . Beliau telah ditahan di rumahnya di Demit , Kota Bharu, Kelantan pada 17 September 2008 jam 5.00 petang ketika seluruh umat Islam sedunia sedang berpuasa. Beliau merupakan bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan. Kini beliau banyak membongkarkan penyelewengan yang dilakukan oleh pimpinan kerajaan PAS Kelantan. Sepatutnya ada pemimpin PAS Kelantan membuat laporan polis jika pendedahan Kickdefella merupakan suatu pembohongan atau fitnah. Tetapi hingga saat ini, tiada siapa yang berani tampil membuat laporan polis terhadap Kickdefella. Bacalah petikan di bawah, petikan dari blog Kickdefella yang telah mencerita perihal sebenarnya yang berlaku dalam parti PAS di Kelantan.
Saya ingin memohon maaf secara terbuka kepada rakan-rakan blogger yang telah dicelakakan oleh beberapa blogger berhaluan kanan di dalam PAS kerana mendiamkan diri terhadap kritikan-kritikan saya. Budaya kasar dan ayat-ayat yang amat kesat mungkin menjadi budaya bagi segelintir pihak di dalam PAS kerana ia memang dihalalkan oleh Mursyidul Am PAS. Ia hanya akan membawa persepsi buruk terhadap Ajaran Islam yang menjadi perjuangan PAS.
Sejak saya ditamatkan perkhidmatan dari Perbadanan Menteri Besar Kelantan, saya telah bergerak sendirian. Saya jauhkan diri daripada rakan-rakan blogger ataupun dari rakan-rakan di dalam PAS. Saya elakkan diri dari bertemu mereka kerana saya tidak mahu mempengaruhi sesiapa dengan isu yang saya paparkan. Saya bergerak di atas fakta malangnya PAS masih dipengaruhi oleh segelintir golongan yang lebih suka retorik. Usah lemparkan kata-kata muhasabah diri atau soal membuka aib kerana itu semua akan kembali kepada Parti PAS sendiri. Selama ini PAS bergerak dan berkempen atas dasar membuka keaiban musuhnya. PAS bergerak dan berkempen atas dasar fitnah dan fakta separa masak. Hari ini bagaimanapun, PAS sudah banyak berubah. PAS semakin matang sebagai sebuah parti politik dan mula mampu menjadi sandaran masyarakat Melayu dan bukan Melayu. Untuk terus matang, PAS harus bersedia membuka pintu terhadap kritikan. PAS bukan sahaja harus bercakap soal membasmi penyelewengan, tetapi juga harus membasmi penyelewengan di dalam PAS.
Kepada cyber trooper PAS, menulislah sebagai seorang yang beriman. Menjadi cyber trooper PAS tetapi gaya bahasa mirip insan rendah akhlak hanya membawa imej buruk kepada PAS. Jika fakta yang saya kemukakan tidak mampu untuk anda lawan dengan fakta, maka, berundur ke tepi dan desak pimpinan anda untuk bersuara.
Masalahnya tidak ada pimpinan PAS yang mahu menghubungi saya dan memberi penjelasan atau meminta penjelasan saya. Yang ada hanyalah panggilan untuk menawarkan saya kerja dan wang ringgit bagi menyelesaikan isu yang saya bangkitkan. Banyak juga tuduhan bahawa saya lakukan semua ini adalah untuk membalas dendam kepada Menteri Besar Kelantan kerana tidak lagi berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Kelantan. Jika pembaca rujuk kembali posting-posting terdahulu, sejak 2009 lagi saya sudah nyatakan di dalam blog ini bahawa saya tidak lagi berminat bekerja dengan Kerajaan Negeri Kelantan. Saya juga nyatakan bahawa saya menolak tawaran daripada Dato’ Haji Husam untuk berkhidmat sebagai Pegawai Khas beliau dan tawaran kedua beliau untuk berkhidmat di PMBK Sawit. Semua ini sudah saya nyatakan beberapa bulan lebih awal daripada tarikh saya ditamatkan kontrak.
Dato’ Haji Husam dan Dato’ Haji Takiyuddin Hassan sendiri tahu bahawa saya menghadiri beberapa temuduga kerja di luar Kelantan, lama sebelum kontrak saya ditamatkan. Bahkan secara terbuka saya maklumkan kepada banyak pihak bahawa saya akan tinggalkan PMBK pada akhir Disember iaitu 4 bulan sebelum kontrak saya tamat.
Sepanjang saya di dalam perkhidmatan dengan Kerajaan Negeri, saya telah luahkan ketidakpuasan hati saya terhadap pelbagai kegiatan tidak sihat di dalam Kerajaan Negeri dan cara Kerajaan Negeri dan Parti menangani sesetengah isu. Beberapa kali juga menerusi saluran yang ada saya jelaskan bahawa ‘Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Tuan Guru sudah tidak lagi berminat untuk berkhidmat untuk rakyat Kelantan’ semenjak menang besar pada PRU 12 yang lalu.
Berapa banyak juga dokumen yang membuktikan berlaku penyelewengan di dalam Kerajaan Negeri yang saya serahkan mengikut saluran yang disediakan tetapi tiada apa yang berlaku kerana Tuan Guru Nik Abdul Aziz enggan menerima kenyataan dan daif dalam pentadbiran.
Atas desakan saya, sekurang-kurangnya 2 exco telah mengadap Tuan Guru dan minta supaya Tuan Guru pertimbangkan semula keputusan-keputusannya dalam isu-isu tertentu tetapi Tuan Guru tetap berkepala batu semata-mata kerana ianya melibatkan ahli keluarganya.
Apa yang saya dedahkan selepas kontrak saya ditamatkan bukanlah dokumen yang ada pada saya sewaktu saya berkhidmat dengan Kerajaan Negeri. Dokumen-dokumen tersebut diserahkan dan terus diserahkan kepada saya oleh pelbagai pihak selepas saya tidak lagi berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Kelantan. Saya akan terus nekad untuk membetulkan keadaan. Sama ada ‘overkill’ atau tidak bukan persoalan kerana saya tiada apa-apa agenda selain mahu rakyat Kelantan tahu wajah sebenar pentadbiran Nik Aziz.
Sekembalinya saya ke Kelantan saya terkejut dengan pelbagai aktiviti tidak ‘Islamik’ di dalam PAS Kelantan. Saya terkejut dengan rasuah, nepotisme dan kronisme yang berleluasa di dalam Kerajaan Negeri Kelantan. Saya terkejut dengan cantas mencantas dan politiking yang hampir melumpuhkan Kerajaan Negeri Kelantan. Saya bertanya kepada diri saya, benarkah saya sedang bekerja dengan sebuah Kerajaan Islam?
Apakah ini Islam yang dibawa oleh Rasullullah S.A.W? Apakah para sahabat dahulu menyebarkan Islam menerusi fitnah, umpat mengumpat dan membiayainya menerusi duit derma yang dituntut dan dipersetujui sebelum kontrak atau projek diluluskan? Yang dipungut secara tunai sebaik sahaja selesai mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Perjalanan saya baru bermula. Matlamat boleh menghalalkan cara bagi PAS Kelantan di bawah pimpinan Nik Aziz. Tetapi bagi saya, yang salah tetap salah. Dosa tetap dosa. Jangan halalkannya semata-mata kerana anda merasakan anda perlu melakukannya.