"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Tuesday, October 15, 2013

Pemuda dan Puteri UMNO Balik Pulau: Laksanakan janji dan buktikan kemampuan

Kelmarin dulu semua orang sibuk dengan masalah banjir yang teruk melanda kawasan Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan Pulau Betong. Hari ini pula sibuk dengan sambutan hari raya korban. Terlupa pula nak ucapkan tahniah kepada yang menang dalam persaingan jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Balik Pulau. 

Kesempatan ini diucapkan tahniah kepada Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Balik Pulau serta AJK yang telah dipilih oleh para perwakilan pada kali ini. Sudah tentu kemenangan itu memberi kegembiraan dan kepuasan kepada mereka yang menang. Berbaloilah kata orang kampung kerana siang malam berkempen dan hampir setiap malam tidak tidur akhirnya membuahkan hasil. Tidak rugilah walaupun banyak tenaga yang dikerah dan banyak juga duit ringgit yang dibelanjakan.

Jika dahulu, orang takut nak jadi pemimpin atau ketua. Mungkin kerana dia takut akan tanggungjawab yang amat berat. Mungkin juga dia tidak mampu menjadi seorang pemimpin yang baik, disegani lagi dihormati. Sebaliknya hari ini, ramai yang berlumba-lumba hendak jadi pemimpin. Masing-masing mengakui diri adalah yang terbaik sebagai pemimpin. Pada masa yang sama cuba menjatuhkan lawan dengan apa jua cara sekalipun asalkan matlamat tercapai. Keputusan pemilihan telah diperolehi. Semua pihak perlu menghormati keputusan. Yang menang diikhtiraf dan yang kalah perlu menerima dengan fikiran yang terbuka.

Kini masanya pemimpin yang dipilih perlu buktikan. Tunaikanlah janji-janji semasa berkempen. Jangan leka dengan jawatan yang disandang. Jawatan bukan untuk dijaja dan dijual beli. Jawatan merupakan satu amanah yang besar daripada seluruh ahli pemuda dan puteri UMNO kawasan parlimen Balik Pulau. Kata lainnya ketua pemuda dan ketua puteri yang dipilih bukan calang-calang orang. Kata orang yang terbaik di antara yang terbaik.

Satukan pemuda dan puteri. Pujuklah mereka kerana sudah pasti ada kawan yang berduka dan mungkin merajuk. Lemparkan jauh-jauh sifat-sifat dendam. Buangkan perasaan buruk sangka sesama sendiri. Dekatilah mereka supaya pemuda UMNO Balik Pulau lebih kuat. Puteri UMNO Balik Pulau lebih mantap. Bukan masanya lagi kita bersaing sesama sendiri. Kempen pemilihan sudah pun selesai. Kini masanya kita kembali bersatu. PRU14 yang akan datang lebih mencabar. Semua tenaga pemuda dan puteri perlu digembelingkan untuk pilihanraya yang pasti sangat sukar. Persoalannya bagaimana mungkin boleh kita hadapi asakkan pihak pembangkang jika kita sendiri dalam keadaan yang sangat lemah kerana tidak bersatu. 

Marilah kita bersatu. Buang yang keruh ambil yag jernih. Berilah sokongan kepada semua ketua-ketua yang dipilih. Pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian termasuklah pemimpin-pemimpin sayapnya pemuda, wanita dan puteri mesti tunjuk keikhlasan dan kejujuran. Utamakan kepentingan parti daripada kepentingan diri sendiri. Selalulah dekati ahli dan rakyat. Tidak ada musim untuk berkhidmat dan berbakti kepada rakyat. Jangan jadikan jawatan hanya sebagai batu loncatan, hilang manis sepah dibuang, dapat tanduk rotan ditinggalkan,  dan mungkin ibarat kacang lupakan kulitnya. Harapan kita semua ahli, UMNO Balik Pulau semakin kuat selepas ini. Jangan ada yang cuba bertindak seperti musuh dalam selimut atau api dalam sekam. UMNO akan lemah dan hancur jika ada di kalangan pimpinan bahagian masih kukuh menjaga kepentingan politik daripada menjaga kepentingan parti.

Sunday, October 6, 2013

Kempen Pemuda UMNO: Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu

PT rasa begitu sekali bimbang dengan cerita-cerita kedua-dua belah pihak tentang cara berkempen. Keghairahan untuk menang menyebabkan kita terlupa atau sengaja buat-buat lupa. Jika benar apa yang berlaku dan telah dilakukan oleh kedua-dua belah pihak, PT bimbang pemuda UMNO BP tidak boleh disatukan kembali selepas pemilihan nanti. Semalam PT sempat bertanya kepada 'orang kuat' kepada seorang calon, bolehkah pemuda kembali bersatu selepas pemilihan nanti? Beliau hanya berdiam, dari wajah mukanya dan sebek mulutnya sudah PT faham.

PT sangat berharap para perwakilan pemuda lebih matang dan bijak menilai dan membuat pilihan. Jangan begitu emosional tapi gunakan akal fikiran yang diberikan Allah secara yang rasional. Mudah-mudahan pemuda UMNO Balik Pulau dapat suburkan amalan demokrasi secara yang lebih beradab dan bersifat kesederhanaan.  Berilah peluang calon-calon KP kita berjumpa dengan semua perwakilan di setiap cawangan supaya semua perwakilan pemuda tahu, dan yang tidak tahu akan tahu tentang kelebihan dan kekuatan setiap calon KP kita.

Dalam suatu majlis baru-baru ini, PT sempat berjumpa dan bercakap pasal kempen pemuda dengan Ketua Bahagian Balik Pulau. Sebenarnya beliau tahu apa yang sedang berlaku namun beliau bertegas tidak akan masuk campur dalam urusan pemuda. Selaku Ketua Bahagian kata beliau lagi,  beliau mahu pemuda bersatu (tidak berpecah) dan kuat selepas pemilihan ini bagi menghadapi PRU14. Pendirian Ketua Bahagian dalam isu ini amat jelas dan mudah difahami. Erti kata lain, beliau boleh menerima siapa sahaja yang bakal dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau. Mungkin pengalaman lalu sedikit sebanyak telah membantu beliau menyatakan pendirian yang sesuai dan selari dengan usaha memantapkan perpaduan dalam UMNO terlebih dahulu.

Manakala Presiden UMNO, DS Najib dalam suatu majlis penyerahan watikah dan wakalah lembu korban sempena Aidiladha kepada surau dan masjid di kawasan Parlimen Pekan, Perdana Menteri mengingatkan kita ahli-ahli UMNO katanya, hanya menerusi perpaduan, Umno akan terus berjaya dalam perjuangannya bagi membela bangsa, agama dan negara. “Jaga perpaduan dalam pemilihan Umno…kalau kita bersatu, kita akan berjaya dalam perjuangan kita”.

Beliau berkata calon yang bertanding perlulah menjaga kepentingan parti dan tidak mengutamakan kepentingan diri atau kebendaan semata-mata dalam perjuangan mereka. Dengan mengambil iktibar daripada peristiwa korban dalam Islam, Najib berkata prinsip perjuangan Umno perlulah berlandaskan kepada dua perkara iaitu ketaatan kepada Tuhan dan sanggup melakukan pergorbanan demi perjuangan kepada bangsa dan negara.

Satu pesanan PT berkempenlah secara yang sederhana dan beradab. Kita bimbang "Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu". Semua orang khususnya parti UMNO, Melayu dan Islam yang akhirnya akan rugi.

Friday, October 4, 2013

Lagi bakal Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau?

Rizal Hassan @ Jan, Ketua Pemuda UMNO Sungai Korok turut menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau. Mempunyai pengalaman dalam kerja-kerja kebajikan dan bersikap tawadduk. Beliau tidak mudah 'terbakar' bila dikritik. Jika ditakdirkan dirinya dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau, beliau sudah ada perancangannya untuk memperkasakan pemuda UMNO Balik Pulau.

Sebenarnya beliau banyak melibatkan diri dengan NGOs dari 'grass root' lagi. Bermula sebagai Ketua Pemuda Qaryah Bagan Air Itam beberapa tahun dan kemudian menjadi YDP PIBG SK Sungai Korok. Pernah melibatkan diri dengan masyarakat nelayan Kuala Jalan Baru sebagai Naib Ketua Unit Nelayan. Akhirnya beliau juga merupakan AJK Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Pulau Pinang.


Kini beliau adalah Pengerusi Kelab Sukan Bagan Air Itam dan selaku Ketua Pemuda UMNO Sungai Korok, beliau merasakan perlu menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau. Beliau juga berhasrat mahu Pemuda UMNO lebih kuat bagi menghadapi PRU14 yang amat mencabar. 

Secara jujur katanya beliau mahukan kempen Pemuda UMNO kali ini berjalan dengan baik dan lancar tanpa gangguan mana-mana pihak serta tidak menyentuh hal peribadi sesiapa pun. "Kita berusaha tapi Allah jua yang menentukan" katanya lagi.

Thursday, October 3, 2013

Ulama dalam UMNO akan terus dipinggirkan?

Pandangan supaya Majlis Ulama diwujudkan dalam UMNO wajar disokong tanpa banyak karenah. Jika UMNO masih banyak mempersoalkan kewujudan Majlis Ulama UMNO selagi itulah kita memberi peluang pembangkang terus mengatakan UMNO tidak menghormati ulama atau ulama dalam UMNO akan dipinggirkan. 

Dalam politik ulama sebaik-baiknya diletakkan di tempat yang selayak dan sewajar dengan mereka. Ulama tidak sepatutnya dikelompokan sama seperti pemimpin-pemimpin lain yang perlu berkempen untuk menduduki sesuatu jawatan dalam parti. Jika ini dikehendaki UMNO, kita pasti ulama tidak mampu 'hidup' dalam UMNO lebih lama. Inilah yang dikatakan UMNO menolak ulama.

Apa salahnya yang baik dari PAS kita ambil? Begitulah sebaliknya yang tak baik dalam PAS kita ketepikan. Jika begitu, Dewan Ulama PAS boleh dijadikan contoh yang terbaik. Cuma ulama dalam PAS tidak begitu konsisten dalam perjuangan Islam mereka sebab sentiasa dibayangi oleh ulama politik yang lebih berpengaruh seperti Murshidul Am PAS, Tok Guru Nik Ajis dan Tok Guru Hj Hadi Awang. 

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu), Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata, UMNO perlu melibat cadangan itu dengan serius kerana yakin penubuhannya bakal membawa manfaat. Katanya, jika Majlis Ulama UMNO menjadi kenyataan, badan itu bukan sahaja mesti berperanan seperti sayap tetapi perlu dipastikan bebas untuk memberi pandangan berdasarkan ilmu agama yang ada pada ahlinya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi Badan Bertindak Agama Minda Pondok Kelantan, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff agar sebuah Majlis Ulama UMNO ditubuhkan.

Sebelum ini, Penasihat Eksekutif Pertubuhan Ilmuwan Malaysia, Dr. Fathul Bari Mat Jahya menyokong penuh cadangan agar UMNO diberi lebih ruang serta peluang kepada golongan agama untuk bersama-sama parti itu demi masa depan Islam dan Melayu.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Prof. Madya Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO perlu memberi fokus untuk memperkasakan biro agama yang sudah wujud dalam parti itu agar menjadi tempat rujukan utama pucuk pimpinan tertinggi parti. Beliau yang juga Ketua Hubungan Kajian, Akademi Kajian Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) berkata, perkara itu seiring dengan peruntukan perlembagaan parti yang menegakkan syiar Islam melalui semangat yang dibawa sejak awal penubuhannya.  

Untuk memenangi hati umat Melayu yang beragama Islam, UMNO perlu berubah. Parti UMNO perlu melakukan transformasi secara yang lebih jelas, telus dan tegas. Ulama dalam UMNO perlu diperkasakan dengan meletakkan golongan ini di tempat yang sesuai dan sewajarnya. Jika Majlis Ulama UMNO dapat ditubuhkan, kita yakin lebih ramai lagi umat Islam yang berada dalam PAS akan berpindah parti. Sekali gus dapat menolak tohmahan pembangkang selama ini yang mengatakan UMNO parti sekular yang menolak Islam. Tapi apakah UMNO mahu berubah dan menubuhkan Majlis Ulama UMNO? Tunggu dan lihat!

Tuesday, October 1, 2013

Orang Melayu dalam DAP, PKR dan PAS patut sedarlah!

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak merupakan pemimpin Melayu yang mempunyai hubungan rapat dengan DAP telah mengumumkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa serta-merta. Keputusan itu diambil kerana beliau hilang kepercayaan terhadap DAP yang sebenarnya bukan parti bagi orang Melayu berlindung tetapi diperalatkan secara halus dan senyap dalam memuaskan hawa nafsu kepimpinan parti dengan berselindung di sebalik istilah 'berbilang kaum.'
"Slogan berbilang kaum yang dicanang parti itu selama ini bukan bermaksud untuk orang Melayu tetapi didominasi oleh majoriti orang Cina dan segelintir kecil orang India," dakwanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 
Itu bukan cerita bohong. Sebelum ini Rahmad Isahak adalah orang Melayu DAP. Presiden KMPP yang merupakan penyokong kuat kepada kerajaan DAP. Hari ini beliau telah sedar bahawa orang Melayu hanya alat untuk mencapai cita-cita DAP untuk berkuasa. Pemimpin DAP war-warkan parti DAP merupakan parti  pelbagai kaum hanya pembohong yang nyata dan jelas. Guan Eng merupakan kaki penipu atau kaki pembohong yang tak tahu malu. Pemimpin yang sombong dan bongkak. Masih ada lagi orang Melayu menganggap dirinya bagaikan Khalifah Umar Abdul Aziz.
Ketua Dewan Ulama PAS telah minta PAS kaji semula tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR. Kenapa perlu kaji jika tidak kerana PAS semakin hilang sokongan daripada orang Melayu/Islam sendiri. Kerajaan PAS Kedah hanya mampu bertahan selama sepenggal sebelum kembali kepada BN. Apakah PAS masih menyatakan bahawa pengaruh PAS masih kuat?
Bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Hafiz Nordin turut mendesak PAS supaya keluar daripada Pakatan Rakyat. Hampir kebanyakan ahli-ahli PAS akar umbi mahukan PAS keluar daripada pakatan pembangkang. 
Oleh itu orang Melayu PAS dan PKR celiklah!  Janganlah membuta-hatikan kamu. Sebelum nasi jadi bubur, sesal dahulu pendapatan dan sesal kemudian tidak berguna lagi. Jika kau orang sudah sesat di hujung jalan, baliklah kita ke pangkal jalan. Wallahu alam.

Calon Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau

Kempen pemuda Balik Pulau semakin hangat. Amalan demokrasi dalam pemilihan pemuda bahagian setakat ini berjalan dengan baik. Calon Ketua Pemuda UMNO, Sdr Hisham @ Chaq sempat berjumpa dan bersembang dengan PT beberapa hari yang lalu.

Dalam perbualan itu, beliau sempat menyatakan beberapa pandangan dan harapan beliau tentang pemuda, UMNO Balik Pulau dan PRU14. Beliau mempunyai visi yang jelas untuk menguatkan UMNO di Balik Pulau. Bersedia untuk membina kekuatan pemuda untuk membantu UMNO Balik Pulau khasnya dan Barisan Nasional amnya dalam menghadapi cabaran PRU14 yang akan datang. Beliau berjanji akan turun padang ke setiap cawangan pemuda di Balik Pulau.

Beliau sudah pun berusaha dan katanya akan terus berusaha untuk melihat kepimpinan tertinggi UMNO bahagian dapat bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan. Jika ditakdirkan beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau, beliau berjanji akan bekerja untuk DS Hilmi sebagai Ketua Bahagian biarpun ada pihak ada yang mengatakan bahawa beliau hanya akan bekerja untuk Datuk SH. 

Pengalaman lampau sebagai Timbalan Ketua Pemuda UMNO dan penglibatan beliau dalam beberapa NGO menambahkan lagi keyakinan beliau untuk menerajui pemuda UMNO Balik Pulau pada masa akan datang.

Beliau mempunyai pandangan yang begitu kritis dan konstruktif terhadap isu-isu semasa seperti dasar merasionalisasikan subsidi, masa depan pendidikan anak Melayu serta peranan media baru di kalangan pemuda/remaja.

PT berhasrat untuk berjumpa dengan seorang lagi calon Ketua Pemuda UMNO yang juga tidak kurang hebatnya.....

Saturday, September 28, 2013

Kempen pemuda boleh mengundang perpecahan dalam UMNO!

Rupa-rupanya dalam UMNO tak boleh dikritik?  Pemimpin UMNO tak boleh ditegur. Jumpa pemimpin kena mengampu. Kita selalu kena kata OK kepada pemimpin. Pemimpin buat yang tak betul pun kena kata OK.  Kita kena selalu 'puji dan puja' pemimpin barulah dikatakan orang kuat? Begitukah ahli-ahli UMNO terutama golongan muda UMNO dididik dalam politik? PT jadi hairan kenapa pula nama PT tiba-tiba jadi sebutan dalam kem pemuda UMNO Balik Pulau? Ada pemuda UMNO beritahu PT sendiri bahawa nama PT jadi rujukan dalam kempen pemuda? Yang peliknya, PT kini dikatakan orang kuat Datuk Shah Headan (Datuk SH), ADUN Teluk Bahang. Macam mana PT dikatakan orang kuat Datuk SH sedangkan beliau tidak pernah sekalipun berjumpa dengan PT secara peribadi atau berkumpulan? Sepertimana yang sering PT katakan "Dalam politik macam-macam boleh berlaku". Dalam posting ini PT nak buat pencerahan supaya semua pihak memahami pendirian PT dalam berpolitik.

Sebenarnya PT sudah lama dalam politik UMNO di Balik Pulau. Semasa mula mengajar di sebuah sekolah Felda Lakum Pahang, PT sudah pun dilantik sebagai Timbalan Ketua Pemuda Cawangan dalam usia yang begitu muda. Erti kata lain, sejak muda lagi PT dah buat kerja untuk UMNO. Semasa balik bertugas di Pulau Pinang, tahun 1980an Ketua UMNO Bahagian kita, DS Hilmi masa itu pada masa itu mungkin sebagai AJK UMNO Bahagian dan bekerja sebagai doktor di kliniknya sendiri di pekan Kongsi Balik Pulau. Di belakang kliniknya, suatu ketika dijadikan bilik gerakan pemuda UMNO semasa zaman Allahyarham Abd. Malek Anuar jadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau. Manakala YB Muhammad Farid, Naib Ketua Bahagian sekarang entah di mana dia ketika itu. Mantan YB Syed pula pada masa itu sudah pun aktif dan sudah dikenali baik dalam pemuda UMNO mahupun dalam pertubuhan belia.

PT sudah aktif sejak dari pemuda lagi. Cuma PT tak suka menunjuk-nunjuk kerana PT tak berminat jadi pemimpin politik. Jika PT berminat jadi pemimpin politik rasaya PT sudah lama jadi ketua cawangan UMNO dan AJK UMNO Bahagian. Bukan nak cakap besar, rasanya nak jadi pemimpin yang lebih besar daripada itu pun boleh. Tapi PT tidak berminat untuk jadi pemimpin UMNO. Bukan PT benci UMNO sebaliknya PT sangat sayangi UMNO. Oleh itu PT buat kerja untuk UMNO secara sukarela dan tidak pernah meminta habuan daripada UMNO  mahupun daripada pemimpin UMNO atau wakil rakyat UMNO.  Walau bagaimanapun PT kena ucapkan terima kasih kerana Ketua Bahagian sekarang ini dan mantan YB Timbalan KB kerana mereka berdua masih ingat dan menghargai jasa PT kepada UMNO. Mungkin kerana PT tidak pernah meminta habuan secara peribadi maka setiap kali PT minta peruntukan dari mereka untuk sekolah dan NGO begitu mudah dapat dan tak pernah ditolak oleh mereka. Itulah keistimewaan yang PT perolehi daripada kedua-dua mereka sejak mereka menjadi wakil rakyat. 

Terus terang PT katakan bahawa PT pernah menegur dan mengkritik kepimpinan mereka. Ada yang PT tulis surat sendiri kepada mereka secara peribadi dan ada pula yang PT sampaikan secara lisan. Cara penyampaian PT secara berhemah, tidak berkasar dan maki-maki mereka. Itu sikap yang ada pada PT, suka berterus terang tentang perkara-perkara atau isu-isu yang boleh menjatuhkan imej pemimpin kita dan parti UMNO.

PT tahu sangat mainan orang politik. Bahana politik yang PT terima kadang-kadang lebih teruk daripada orang politik sendiri. PT tak ada musuh dalam masyarakat umum tapi dalam masyarakat politik PT dianggap musuh oleh sesetengah pihak.  Belum PT bercadang nak merebut jawatan dalam UMNO Bahagian sudah pun ada musuh politik. Inilah yang menyebabkan PT tidak berminat dalam politik. 
Dalam politik kena sedikit belajar ilmu putar dan belit. Jika kita terlalu jujur, terlalu baik dan terlalu bertolak ansur akhirnya politik kita tak akan ke mana. Kerjaya politik hanya di separuh jalan. PT tidak mahu jadi orang politik sebab jiwa PT tidak sesuai. Namun demikian selaku ahli UMNO yang sayangkan parti UMNO, PT tidak boleh berdiam diri. PT akan terus bersuara isu-isu yang boleh melemahkan UMNO. Kebanyakan pemimpin UMNO yang PT tahu, tak boleh ditegur. Inilah masalah utama yang PT hadapi. DS Hilmi sendiri pernah suatu masa dahulu tidak selesa dengan PT kerana PT masuk campur urusannya mentadbir UMNO, JKKK dan qaryah. Manakala Datuk Shah Headan(Datuk SH) sendiri juga menganggap PT sebagai musuh politik yang tidak boleh dimaafkan kerana mewujudkan blog politik yang dikatakan menyebelahi DS Hilmi. Mantan Penghulu Idris pernah tidak bercakap sekian lama dengan PT kerana PT menegur kepimpinan beliau dalam suatu mesyuarat agung UMNO cawangan sehingga beliau akhirnya mengundur diri dan tidak lagi mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cawangan. Allahyarham Pak Chat pernah menjemput PT untuk berjumpa dengan Dato' Mohd Zain Hj. Omar (semasa jadi ahli Parlimen Balik Pulau) kerana PT dikatakan cuba menjatuhkan Dato' Zin. Setelah penjelasan diberikan panjang lebar oleh PT, Allahyarham Pak Chat faham dan perjumpaan itu tidak berlaku.

Jika dilihat sejarah ringkas itu, bahana politik kepada PT begitu dahsyat. Musuh PT dalam politik bukan orang-orang sebarangan. Tapi PT tetap yakin apa yang PT lakukan itu hanya dengan niat untuk kebaikan pemimpin kita dan parti UMNO. Cuma ada pemimpin yang boleh menerima teguran dan ada yang tidak boleh. Bukan semua orang politik atau pemimpin politik boleh menerima teguran daripada orang bawah seperti PT. Seolah-olah PT tidak layak menegur pemimpin UMNO sedangkan PT adalah ahli UMNO yang sah dan layak menghadiri mesyuarat serta mempunyai hak untuk bersuara menjaga kepentingan parti. PT akan terus bersuara, yang baik PT akan kata baik dan yang tidak baik PT mesti akan katakan tidak, walaupun pahit. 
PT amat faham kenapa PT di akhir-akhir ini dilabelkan sebagai 'orang kuat Datuk SH'. Dari sembang-sembang nama PT sudah gah di Balik Pulau sebagai orang kuat Datuk SH. Terima kasih banyak kepada pemuda UMNO yang menyampaikan maklumat itu.

Sebenarnya PT tidak begitu selesa bila nama PT dilabelkan sebagai 'orang kuat' mana-mana pemimpin UMNO. Tapi PT cukup bangga jika mereka katakan PT adalah orang kuat kepada UMNO di Balik Pulau. Dahulu pernah ada orang mengatakan PT orang kuat kepada mantan YB Syed Amer. Biasanya PT akan jawab "Saya bekerja untuk semua orang yang memerlukan bantuan saya. Dan saya bukan orang kuat". 

Sebenarnya PT mahu UMNO Balik Pulau itu kuat. Untuk membina kekuatan, kita perlu bersatu daripada pimpinan bahagian hinggalah ke sayap-sayapnya. Sudah tentu akan terdapat kelemahan dan kesilapan yang berlaku di sana sini. Sekali lagi PT berterus terang bahawa keluhan dan luahan tidak puas hati kepada pimpinan UMNO datang daripada semua peringkat termasuk di kalangan AJK Bahagian sendiri. Selaku blogger yang bebas (tidak terikat dengan mana-mana individu politik/UMNO), PT berhak untuk bersuara melalui blog politik secara yang berhemah. PT tidak pernah memaki dan menghina pemimpin UMNO sendiri dengan kata-kata kasar dan tidak beradab. Cuma harapan PT agar pemimpin UMNO dan 'orang-orang kuat mereka' bersedia mendengar dengan baik suara rakyat, suara akar umbi dan suara ahli yang mahukan UMNO itu kuat.

Mungkin kritikan PT terhadap pimpinan bahagian kebelakangan ini memberi tafsiran bahawa PT sudah jadi orang kuat Datuk SH. Sebenarnya rata-rata orang bercakap pasal kepimpinan bahagian. Bukan di kalangan ahli-ahli biasa UMNO malahan tokoh-tokoh penting dalam barisan kepimpinan bahagian sendiri.  Mungkin mereka ini terlalu segan atau 'takut' dengan ketua bahagian mereka cuma luah suara tidak puas hati mereka di tepi-tepi longkang gerai makan.  Cerita-cerita itu PT kutip di tepi-tepi longkang dan kemudian mengesahkan dengan orang-orang tertentu yang boleh dipercayai. Melalui beberapa posting dalam blog ini PT melahirkan kebimbangan PT terhadap masalah politik dalaman UMNO bahagian. Sudah pasti sama ada secara langsung atau pun tidak langsung maka ketua bahagian akan jadi sasaran kritikan atau teguran PT. Sudah tentu akan ada pihak yang mengambil kesempatan di atas kritikan PT itu untuk tujuan kempen pemuda kali ini.

PT masih ingat suatu masa dahulu,  PT pernah mengkritikan keputusan Datuk SH mencabar DS Hilmi bagi merebut jawatan Ketua Bahagian tetapi pada masa itu pun PT tidak pernah jadi orang kuat kepada DS Hilmi. Dalam persidangan agung UMNO kali ini juga, PT mengharapkan DS Hilmi tidak dicabar oleh mana-mana pihak bagi memastikan UMNO semakin kuat bagi persiapan menghadapi PRU14 yang lebih mencabar. Ini tidak bermakna kepimpinan bahagian kita tidak hadapi masalah. Tidak bermakna juga bahawa PT jadi orang kuat kepada Datuk SH. Macama mana PT boleh jadi orang kuat dengan sekelip mata kepada Datuk SH sedangkan PT tidak pernah berjumpa dengannya. PT tidak pernah pun dihubungi Datuk SH dan tidak pernah bersembang dengan Datuk SH pasal politik UMNO.

Memang benar, PT mengakui bahawa PT tidak mengkritik Datuk SH. Kenapa perlu mengkritik jika beliau tidak menimbulkan masalah dalam kepimpinan bahagian setakat yang saya tahu. Beliau tidak mencabar DS Hilmi untuk jawatan Ketua Bahagian. Beliau mementingkan kepentingan parti daripada mengejar cita-cita peribadinya. Sebenarnya beliau mempunyai kekuatan dan kelebihan untuk menjadi Ketua Bahagian dalam persidangan agung kali ini. Nampaknya beliau tidak terburu-buru mengejar jawatan seperti yang beliau lakukan sebelum ini. Beliau lebih berhati-hati. PT menghormati keputusan beliau yang tidak menentang DS Hilmi. Memang PT sendiri tidak suka beliau mencabar DS Hilmi [Baca sini UMNO Balik Pulau: Jangan sampai nasi jadi bubur!]. Dan PT berharap keputusan Datuk SH tidak mencabar DS Hilmi adalah keputusan terbaik untuk DS Hilmi, terbaik untuk Datuk SH sendiri dan paling penting terbaik untuk UMNO Bahagian Balik Pulau.

PT tidak berminat dengan pihak yang menggunakan nama PT dalam kempen pemuda. Memang kurang baik dalam kempen pemuda mengaitkan PT atau sesiapa sahaja dikatakan sudah jadi orang kuat Datuk SH ataupun orang kuat DS Hilmi. Seolah-olah kita masih mahu mengwujudkan dua kem dalam pemuda dan dalam bahagian. Sepatutnya kita perlu berusaha mencari jalan menyatukan ahli-ahli UMNO untuk berada dalam satu saf kepimpinan. Tidak ada lagi orang kuat Datuk SH atau orang kuat DS Hilmi atau pun orang kuat YB Farid dan sebagainya. Bersatulah kita menguatkan UMNO. Jika ada kem, biarlah kem itu kem untuk UMNO Balik Pulau, bukan kem Shah Headan atau kem DS Hilmi ataupun kem YB Farid. Ingatlah PT tidak suka perpecahan berlaku dalam UMNO Bahagian Balik Pulau. PT akan terus mengkritik jika ada usaha mewujudkan perpecahan dalam UMNO Balik Pulau. Sepertimana dahulu, PT lebih selesa tidak menjadi orang kuat mana-mana pihak. Wallahu alam.