"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Monday, May 31, 2010

BANTAHAN DAN SOLAT HAJAT MENENTANG KEZALIMAN ISRAEL DI GAZA!

Esok 1 Jun 2010 Selasa dijemput semua warga kota dan desa, Islam dan bukan Islam, mari lah sama-sama berhimpun untuk menyuarakan bantahan kita terhadap kekejaman tentera Israel yang menyerang kapal bantuan ke Gaza di hadapan kedutaan Amerika jam 9.00 pagi esok.
Pada malam esok juga bersamaan 1 Jun 2010 akan diadakan solat hajat di Masjek Jamek Kampung Baru Kuala Lumpur. Seru lah saudara mara dan sahabat-sabahat untuk bersama-sama mendoakan keselamatan ke atas konvoi bantuan kemanusian tersebut.

-PERKASA

LAGI AHLI PAS MENYERTAI UMNO!

Seramai 18 orang anggota Pas di Alor Binjal di sini bertindak keluar parti itu dan memohon menyertai Umno setelah sedar bahawa Pas gagal membawa sebarang perubahan kepada rakyat walaupun kini berkuasa menerajui kerajaan Kedah. Majlis penyerahan borang menyertai Umno itu diadakan pada mesyuarat Umno cawangan Alor Binjal di sini semalam. Selain borang daripada 18 anggota Pas itu, turut diserahkan ialah 12 borang ahli baru.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Pas Cawangan Akar Penyengat, Abu Bakar Hussain telah meninggalkan PAS bersama dengan 60 ahli cawangan tersebut menyertai UMNO. Mereka tidak percaya dengan amanat Tuan Guru Haji Hadi dan mereka tidak hairan lagi dengan fatwa TG Nik Aziz. Mereka melihat bagaimana UMNO banyak berjasa kepada orang Melayu dan Islam di Malaysia. Pemimpin UMNO juga orang Melayu dan beragama Islam. Sungguhpun parti UMNO bukan sebuah parti Islam tetapi perlembagaan UMNO amat jelas memperjuangkan agama, bangsa dan negara yang berdaulat.
Sejak PAS bersama Pakatan Rakyat, PAS jadi pak turut. TG Nik Aziz dan Haji Hadi Awang dan pemimpin-pemimpin PAS yang lain keterlaluan untuk menjaga hati dan perasaan Lim Kit Siang dan Karpal Singh. Hingga PAS jadi pak turut. Dasar perjuangan PAS telah tersasar. Semakin keliru dengan pelbagai fatwa. Ulamak-ulamak PAS sendiri bertelagah sesama sendiri berkaitan dengan isu kerajaan perpaduan dan kalimah Allah. Amalan kronisme dan nepotisme dalam kepimpinan dan kerajaan PAS tidak dapat disembunyikan lagi. Amalan rasuah juga berlaku tetapi dapat dihalalkan oleh Tok Guru dengan perkataan 'sedekah jariah'. Pembaziran wang rakyat di Kelantan berjuta-juta ringgit hanya bertujuan untuk upahan menjatuhkan kerajaan Pak Lah. Ayat-ayat sucu al-Quran dibenarkan oleh penceramah DAP bukan Islam dalam kempen pilihanraya. TG Nik Aziz sendiri membenarkan juga kalimah Allah digunakan oleh DAP dalam kempen politik di Sibu Sarawak hinggalah kejayaan DAP mengalahkan calon BN. TGNA juga mengatakan ceramah politik dibenarkan dalam masjid walaupun Jabatan Agama Islam Selangor telah mengadakan peraturan larangan politik ke dalam masjid.
Oleh itu rakyat semakin keliru. Apa yang pemimpin PAS mahu kepada umat Islam? Apakah cara PAS boleh menyatupadukan umat Islam, sudah tentu tidak dan perpecahan umat Islam semakin melebar lagi. Umat Islam semakin lemah, agama Islam semakin dihina sejak pemimpin PAS bersekongkol dengan DAP. Atas kesedaran dan keinsafan inilah maka dari masa ke semasa umat Islam terutama penyokong-penyokong PAS serta ahli-ahli PAS mulai berubah haluan politik mereka. Mereka sudah melihat perjuangan UMNO lebih konsisten dan tegas. UMNO tetap memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air seperti tercatat dalam perlembagaan UMNO sendiri.

Sunday, May 30, 2010

Mesyuarat Agung UMNO Cawangan berjaya tapi tiada wakil bahagian!

Mesyuarat UMNO Cawangan BG petang ini berjalan serentak, Pemuda, Wanita dan Puteri pada jam 2.00 petang. Kehadiran boleh dikatakan memberangsangkan terutama pemuda umno hingga tak cukup kerusi. Suatu sejarahlah kepada pemuda cawangan BG dengan kehadiran sebanyak itu. Tapi sejarah juga bagi Mesyuarat Agung UMNO Pergerakan Wanita dan UMNO Cawangan tidak ada seorang pun wakil dari UMNO Bahagian. Ketua UMNO Cawangan melahirkan rasa kecewa kerana dia sendiri sentiasa memenuhi permintaan rakan-rakan untuk mewakili rakan-rakan wakil Bahagian dalam mesyuarat-mesyuarat agung. Tapi sedih juga bila Mesyuarat UMNO Cawangan sendiri langsung tidak ada wakil Bahagian. 
Difahamkan bahawa ketiadaan wakil bahagian dalam mesyuarat-mesyuarat agung pada kali ini pernah berlaku juga di cawangan-cawangan lain,  melibatkan juga mesyuarat pemuda dan puteri. Jika ini benar, UMNO Bahagian khususnya Setiausaha Bahagian perlu membuat pemantauan dan mencari punca kepada kejadian yang boleh memalukan UMNO. Apakah kerana pada tahun ini tiada pemilihan, wakil-wakil bahagian tidak berminat untuk menunjuk muka? Sesibuk mana sekalipun, pihak pengurusan parti perlu mencari sekurang-kurangnya seorang pengganti untuk wakil bahagian. Tak mungkin dalam tempoh yang sama berpuluh cawangan mengadakan mesyuarat serentak. Di manakah perginya AJK Bahagian yang begitu ramai yang sudah pun tahu bahawa ketika ini adalah musim Mesyuarat Agung UMNO? Pihak pengurusan parti jangan memandang perkara ini suatu yang remeh temeh jika tidak, UMNO dikatakan masih ditakuk lama atau pun lebih teruk daripada dulu. UMNO perlu berubah.

T.Mohan: Jangan ugut, UMNO bukan parti yang lemah!

Ketua Pemuda MIC, T. Mohan mendakwa beliau tidak pernah menuduh parti UMNO atau mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) terlibat dengan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS). Menurut beliau, kenyataannya sebelum ini telah diputar belit oleh sesetengah pihak sehingga beberapa pemimpin UMNO salah faham. "Saya hanya mengatakan jika UMNO terlibat, MIC akan mengkaji kedudukan parti tersebut dalam BN.
T.Mohan jangan berlagak sombong dan bongkak. Beliau perlu sedar bahawa BN/UMNO tidak gentar dengan ugutan dan ancaman untuk keluar dari BN. Selaku pemimpin tertinggi dalam MIC, beliau perlu memahami dan menghayati sejarah perjuangan kemerdekaan oleh pemimpin UMNO bersama pemimpin MCA  dan MIC dahulu. T.Mohan tidak akan mengancam untuk keluar dari BN jika dia mengkaji bagaimana pengorbanan UMNO/BN kepada MIC. Bagaimana sikap toleransi kepimpinan UMNO menyerah beberapa kerusi DUN dan Parlimen kawasan majoriti orang Melayu untuk calon MIC. Atas semangat setiakawan dalam BN, UMNO sanggup korbankan untuk MIC.
T. Mohan tidak layak menjadi Ketua Pemuda MIC jika beginilah cara beliau menyelesaikan masalah partinya. Budaya ugutan tidak sesuai dalam semangat BN.   MIC bukan sebuah parti besar dalam komponen BN. Namun begitu pemimpinnya tetap mendapat tempat dalam kabinet kerajaan pusat BN walaupun kalah teruk dalam pilihanraya umum yang lalu. Kepimpinan BN yang diterajui oleh DS Najib telah mengambil kira semua hati rakyat pelbagai kaum. Tapi janganlah melatah membuat tuduhan dan dakwaan secara membuta tuli. Sudahlah tidak mahu memohon maaf tunjuk pula sikap kesombongan dan keangkuhannya bahawa beliau langsung tidak bersalah.
Tindakan untuk mengugut keluar daripada BN jika..jika UMNO terlibat merupakan suatu ugutan. T.Mohan tunjuk bahawa dia pemimpin yang berani dan MIC adalah parti yang kuat. Seolah jika MIC keluar dari BN, UMNO/BN akan lemah. Tapi pemimpin tertinggi UMNO tidak bersikap seperti T.Mohan walaupun kadang-kadang kenyataan pemimpin MIC sangat melukakan hati pemimpin-pemimpin UMNO. Berhati-hatilah, jangan sampai pemimpin-pemimpin UMNO dan NGOs pro UMNO mendesak MIC keluar daripada BN. Dalam situasi politik hari ini, perjuangan UMNO masih relevan dan konsisten untuk kepentingan orang Melayu dan Islam serta rakyat Malaysia keseluruhannya. Majoriti orang Melayu termasuk golongan muda telah mulai memahami perjuangan UMNO. Orang Melayu sudah mulai sedar bahawa PAS dan PKR hanyalah boneka kepada DAP. Sudah semakin ramai pemimpin-pemimpin PKR keluar meninggalkan parti PKR. Dan sudah ada cawangan-cawangan PAS dibubarkan dan digantikan dengan UMNO kerana bekas pemimpin PAS kecewa dengan dasar perjuangan PAS yang semakin bercelaru. Oleh itu ugutan T. Mohan untuk keluar dari BN boleh kita anggap sebagai suatu ugutan dari seorang yang kecewa, emosional, tidak matang dan biadab.

Saturday, May 29, 2010

MESYUARAT PEMUDA UMNO BAHAGIAN HANGAT!

Difahamkan Mesyuarat Pemuda Bahagian hangat semalam! Ahli pemuda bertepuk meja, kononnya ada isu panas. Pemuda mulai berani menepuk meja mesyuarat. Itulah hebatnya pemuda UMNO hari ini. Hingga berani meluahkan perasaan tidak puas hati kepada Menteri tertentu. Kita tunggu dan lihat Persidangan Agung Pemuda UMNO itu nanti mungkin lebih hangat lagi. Mungkin bahang panasnya mesyuarat semalam boleh sampai ke meja persidangan agung UMNO yang akan datang? Atau mungkin bahang panasnya sudah pun lenyap sesejuk angin subuh pada pagi tadi juga. 
Tapi ada juga pemuda yang melatah biarpun bersemangat sekalipun adab dan sopan perlu dijaga. Jangan mencabar atau mengasak pemimpin UMNO tertentu meletak jawatan! Jangan jadi Vell Paari, anak Tok Samy Vellu  yang menuduh UMNO melakukan pembunuhan politik. Jangan kerana marah nyamuk, kita bakar kelambu. Apakah wajah Vell Paari ada dalam Pemuda Bahagian? Mahu melakukan pembunuhan politik pemimpin tertentu? Ingatlah bukan semua pemimpin di kawasan kita semuanya perfect. Ada yang baik dan ada yang lemah. Ada yang laju dan ada yang slow. Oleh itu jangan emosional dalam perbahasan dan mengasak, mencabar dan mendesak pemimpin untuk meletak jawatan. Apakah dengan perletakan jawatan pemimpin itu boleh menyelesaikan masalah pemuda UMNO? Kita bimbang jika ada yang beranggapan bahawa pemuda sudah mulai membuka gelanggang politik melobi untuk naik dan jatuh pemimpin tertentu? Kita masih yakin kepimpinan Pemuda boleh membuat perubahan supaya barisan kepimpinan pemuda lebih bersatu, agresif dan progresif dalam usaha membantu BN/UMNO menjelang PRU13 nanti.

Thursday, May 27, 2010

Isu Vell Paari dan T.Mohan: Ahli politik tertinggi MIC yang sombong dan biadab!

Kenyataan Ketua Pemuda MIC, T. Mohan bahawa parti itu tidak akan teragak-agak mengkaji semula kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) jika UMNO terlibat dalam pembentukan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) dianggap sebagai biadab dan bongkak. Kenapakah masalah dalam parti MIC dikaitkan dengan dengan UMNO? Dalam sejarah UMNO tidak pernah campur tangan masalah dalam parti-parti komponen
dalam BN. MCA pernah hadapi krisis beberapa kali tidak pernah mengaitkan masalah dalaman parti itu dengan UMNO. Walaupun pemimpin veteran MCA ada meminta PM campurtangan selaku Pengerusi BN Pusat tetapi PM menyerahkan kebijaksanaan pimpinan parti itu menyelesaikan masalah dalaman parti itu sendiri. Mengapa pula MIC kali ini dengan bongkak dan sombong, tidak mahu mengakui kelemahan kepimpinan MIC sendiri, tiba-tiba mendakwa UMNO melakukkan pembunuhan politik.
Selaku pemimpin MIC Pusat, T.Mohan dan anak Samy Vellu, Vell Paari perlu bertanggungjawab di atas kenyataan itu. Kenyataan yang tidak mencerminkan semangat BN yang menjadi tunjang kekuatan parti selama ini. Kenyataan bodoh dari pemimpin MIC yang buta sejarah Malaysia. Pemimpin yang tidak sedarkan diri dan mahu mengugut untuk keluar dari komponen  BN. Rasanya BN tidak akan gentar dengan ugutan dan ancaman itu. Tapi sebelum itu pemimpin-pemimpin MIC yang bongkak dan sombong ini perlu fikir sedalam-dalamnya dan seluas-luasnya, implikasinya, jika MIC keluar dari BN. BN khususnya UMNO sebenarnya banyak berkorban dan bertolak ansur untuk rakan-rakan dalam komponen BN khususnya MIC. Beberapa kerusi DUN dan Parlimen majoriti orang Melayu diserah kepada calon MIC untuk bertanding mewakili BN kerana semangat setiakawan dalam BN. Lihatlah baru-baru ini, bagamana YB Kamal dari MIC bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor di kawasan majoriti orang-orang Melayu. Jangan terlalu emosional wahai kedua-dua pemimpin MIC itu, jangan 'marahkan nyamuk bakar kelambu'.
Kenyataan-kenyataan celupar dan biadab oleh pemimpin MIC ini perlu diberi perhatian yang serius oleh MIC Pusat. Mereka mendakwa kenyataan itu adalah mewakili suara atau pandangan ahli-ahli parti MIC. Walaupun benar sekalipun, tapi sebagai pemimpin MIC Pusat wajarkah pandangan itu didedahkan kepada orang ramai tanpa memikirkan kesan langsung kepada UMNO dan pemimpin UMNO terutamanya.  Selaku pemimpin tertinggi MIC, tidak wajar pandangan dangkal ahli parti diterima bulat-bulat dijadikan alasan mendakwa UMNO melakukan pembunuhan politik. Apakah T.Mohan dan Vell Paari bukan pemimpin tertinggi MIC? Jika ya, kedua-dua pemimpin MIC ini memang 'mangkuk ayun', bodoh dan sombong. Selaku pemimpin tertinggi MIC, kedua-dua mangkuk ayun ini perlu tapis setiap pandangan ahli-ahli parti MIC. Bukan terima setiap pandangan secara semborono kemudian buat kenyataan akhbar tanpa memikirkan kesan buruknya kepada semangat perpaduan dalam BN dan perasaan pemimpin dan ahli-ahli UMNO. Oleh itu kedua-dua pemimpin mangkuk ayun MIC ini perlu diambil tindakan tatatertib oleh MIC Pusat jika mahu menyelamatkan MIC dan kaum India di Malaysia ini.

Wednesday, May 26, 2010

PAS TIDAK KONSISTEN?

TINDAKAN Pas mempergunakan habishabisan isu pemberian lesen judi untuk bola sepak Piala Dunia sudah dijangka.

Pas sememangnya ingin ke hadapan kononnya bagi menunjukkan kepada umat Islam bahawa mereka amat menentang kemungkaran apatah lagi dalam soal judi dan arak.
Dari satu segi, Pas berhak melakukan penentangan tetapi dalam masa yang sama, mereka juga perlu memberi peluang kepada kerajaan untuk membuat keputusan muktamad.
Ini kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin sudah memberi jaminan bahawa kerajaan akan sentiasa mengambil kira pandangan semua pihak termasuk daripada kalangan Islam dan bukan Islam dalam isu berkenaan.
Kalaulah benar Pas ingin menentang kemungkaran judi dan arak, lakukanlah dahulu di negeri-negeri yang terletak di bawah penguasaan pakatan pembangkang. Setakat ini, sama ada di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor, kegiatan judi dan arak berterusan. Di Kelantan pula, arak dibenarkan untuk golongan bukan Islam. Malahan paling ketara di Kedah, kenapakah Pas yang memerintah kerajaan negeri tidak melaksanakan pengharaman ke atas judi dan arak?
Pas mempunyai kerusi majoriti di Kedah. Kalau kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abd.Razak hendak mengharamkan kedua-dua kegiatan itu, ia tidak jadi masalah. Rakan sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tidak boleh kata apa-apa. Tapi Pas tidak lakukannya? Di manakah istiqomah pemimpin, ahli dan penyokong Pas yang begitu beria-ia hendak menunjukkan mereka menentang kemungkaran dengan berdemonstrasi selepas solat Jumaat lalu tetapi membiarkan sahaja ia terjadi di negeri yang mereka ada kuasa sepenuhnya?
Begitu juga di Selangor yang Pas ‘bersekongkol’ bersama-sama PKR dan DAP bagi memerintah negeri itu, kenapakah Pas tidak mendesak habis-habisan perkara yang sama. Bagaimana pula di Kelantan, yang mana Pas membenarkan penjualan arak kepada bukan Islam dan memungut hasil daripada permit yang dikeluarkan.
Bukankah di dalam Islam, arak tetap haram dan boleh menjadi punca kepada segala kemungkaran. Lupakah pemimpin Pas mengenai kisah di zaman nabi mengenai seorang lelaki soleh yang akhirnya terjebak dalam perzinaan dengan seorang wanita dan membunuh seorang bayi selepas termakan hasutan syaitan untuk meminum arak?
Oleh itu, jelaslah dalam isu judi bola sepak ini, sikap tidak konsisten Pas semakin ketara. Sebelum ini, sudah banyak contoh yang menunjukkan Pas demi kepentingan politik bersama-sama DAP dan PKR sanggup ‘menggadaikan’ segala-galanya.
Pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor yang lalu, jika sebelum ini mereka ‘menghentam’ calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim yang dikatakan menentang hukum hudud tetapi secara tiba-tiba pemimpin Pas begitu terbuka memaafkan beliau. Malahan Pas melalui jentera pilihan raya turun bermati-matian membantu Zaid untuk mencapai kemenangan.
Begitu juga dalam isu kalimah Allah, sebelum ini kepimpinan Pas sudah membuat ketetapan bahawa isu tersebut tidak boleh diperalatkan demi kepentingan politik tetapi lihat sahaja apa yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil Sibu.
Demi untuk meraih undi, ada di kalangan pemimpin Pas yang sanggup berkempen untuk calon DAP dengan memperalatkan isu tersebut. Kenapakah kepimpinan tertinggi Pas atau mana-mana ahli Pas terutama sayapnya tidak menyatakan bantahan?
Malahan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat secara terbuka menyatakan DAP boleh menggunakan isu kalimah Allah sedangkan Timbalannya, Datuk Dr.Haron Din pula kata tidak boleh. Ini belum lagi termasuk pendirian celaru Pas dalam soal kerjasama dengan DAP yang sebelum ini secara jelas menentang penubuhan negara Islam.
Pas bertukar fikiran 360 darjah, apabila menganggap kerjasama dengan DAP tidak salah dan parti cauvinis berkenaan semakin menerima Islam. Tetapi soalnya, Pas masih belum menguji DAP sepenuhnya. Kalau benar DAP sudah menerima Islam, cubalah Pas ketengahkan kembali idea negara Islam. Ketika itu, barulah Pas akan tahu sejauh manakah kejujuran DAP berkawan dengan mereka.
Lihatlah juga pendirian Pas dalam isu melompat parti. Apabila ada wakil rakyat daripada pembangkang keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas, Pas mengecam habis-habisan.
Pelbagai ‘fatwa’ dikeluarkan dan ia termasuklah desakan supaya wakil rakyat terlibat meletakkan jawatan. Tetapi apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan ‘impian 16 September’, Pas menyokongnya.
Ketika itu tidak timbul pula soal ‘halal haram’ atau khianat tidak khianat amanah rakyat. Bagi Pas, kalau sesuatu tindakan itu menguntungkan pembangkang, ia boleh ‘dihalalkan’ tetapi kalau menguntungkan Barisan Nasional (BN), ia ‘diharamkan’.
Apakah ini ciri-ciri sebuah parti Islam yang pemimpinnya sentiasa sahaja menggunakan ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasullullah SAW untuk berhujah?
Seperkara lagi, Pas juga hanya mendiamkan diri apabila banyak janji-janji yang dilontarkan bersama-sama pembangkang ketika pilihan raya umum lalu masih banyak tidak ditunaikan sama ada di Selangor, Kedah mahupun Pulau Pinang.
Tidak pula kedengaran Dewan Pemuda Pas pusat atau Dewan Muslimatnya bersuara lantang untuk mengingatkan Pas supaya memastikan segala janji itu dilaksanakan. Ini kerana di dalam Islam perbuatan memungkiri janji hanya dilakukan oleh orang munafik.
Justeru adalah perlu menjelang muktamar parti itu yang akan berlangsung mulai 9 Jun ini, pemimpin dan ahli-ahli Pas bermuhasabah dan memikirkan apakah selama ini tindakan mereka bersesuaian dengan perjuangan sebuah parti Islam atau tidak.
Kalau benar Pas ingin menjadi sebuah parti Islam yang menentang segala kemungkaran dan menegakkan syiar Islam, maka bersikaplah seperti itu.
Janganlah memilih-milih isu, kalau isu itu menguntungkan pakatan pembangkang maka ia akan disokong atau digembar-gemburkan tetapi kalau ia merugikan pembangkang maka ia akan disenyapkan begitu sahaja. Pas perlu faham sikap tidak konsisten mereka dalam pelbagai isu yang berlaku boleh mengelirukan bukan sahaja ahli-ahli parti tersebut tetapi juga umat Islam secara keseluruhannya.
Sebagai sebuah parti yang menjadi Islam sebagai asas perjuangan, Pas tidak boleh berdolak-dalik dalam sesuatu isu atau mengubah pendirian hanya semata-mata kerana kepentingan politik.
Dalam Islam- yang benar tetap benar, yang batil tetap batil. Pas tidak boleh menjadi ibarat sesumpah yang mampu bertukar wajah bila-bila masa demi menyelamatkan kepentingan politiknya.
Lebih penting daripada itu, Pas harus diperingatkan bahawa sikap tidak konsisten mereka lambat-laun tidak akan mendatangkan apa-apa faedah kepada mereka, sebaliknya dilihat akan menguntungkan sekutunya iaitu DAP dan PKR. Buktinya sudah ada!