"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Thursday, September 30, 2010

Demi kekuatan UMNO di BP, Blog Suara Satu UMNO kembali menerjah!

Baru-baru ini Blog Suara Satu Dua UMNO digodam. Tetapi nasib baik dapat diselamatkan. Namun demikian sebahagian rangkaian blog ini telah hilang, Masalah ini bukan masalah besar kepada blogger. Masalah besarnya bagaimana orang-orang Melayu boleh kembali bersatu sama ada melalui pertubuhan politik seperti UMNO ataupun NGOs Melayu/Islam yang sedia ada.
Hari ini orang Melayu tampak begitu lemah dan agama Islam dihina. Perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu yang menjadi majoriti umat Islam di Malaysia merupakan faktor utama orang Melayu tidak lagi dihormati bahkan tidak ditakuti oleh bangsa lain. Kebanyakan umat Melayu mulai sedar tentang masalah ini. Tapi ada pemimpin-pemimpin Melayu yang belum sedar. Atau sengaja tidak mahu sedar kerana lebih mementingkan diri sendiri hingga sanggup kawan menjadi lawan. Mereka sanggup berlumba-lumba sesama-sesama sendiri kerana kuasa dan pangkat. Mereka sanggup menikam kawan dari belakang kerana jawatan dan darjat. Mereka sanggup melupakan jasa dan bakti kawan kerana kedudukan. Masalah parti diketepikan dan tidak menjadi keutamaan. Yang utama aku mesti naik, aku mesti jadi wakil rakyat, aku mesti jadi ketua bahagian dan sebagainya. Apakah aku ini berfikir tentang mereka? Mereka adalah ahli-ahli UMNO, pemimpin-pemimpin UMNO peringkat cawangan dan bahagian, penyokong-penyokong UMNO/BN, bekas-bekas pemimpin UMNO, veteran-veteran UMNO, pemerhati-pemerhati UMNO dan mereka juga ahli-ahli UMNO yang kecewa dengan UMNO dan sesetengah pemimpin UMNO. Mereka inilah yang perlu aku fikirkan. Mereka adalah rakyat yang boleh meninggalkan kesan yang besar jika mereka mahu. Tidak semua hidung mereka boleh aku cucukan. Tidak semua mereka boleh menjadi  pak turut kepada aku. Biarlah aku naik sebagai wira yang didendang. Jika aku turun biarlah aku diingati sebagai bekas pejuang yang disanjung. Mahukah aku dimaki dan dicaci oleh mereka nanti? Menjadi pemimpin yang memungkiri janji. Pemimpin yang lupa diri. Yang penting diri sendiri.
Aku sepatutnya fikirkan masalah mereka. Masalah mereka adalah masalah aku kerana aku pemimpin mereka. Jika mereka berpecah sesama mereka, maka UMNO akan hancur, aku akan dipertanggungjawabkan kerana aku pemimpin mereka. Tapi jika aku yang menjadi punca kepada perpecahan mereka dalam UMNO dan menimbulkan kebencian mereka kepada BN maka sudah tentu aku dipertanggungjawabkan sepenuhnya. Aku perlu ingat bahawa tidak semua pemimpin UMNO di bahagian dan cawangan sokong aku. Apatah lagi jika aku naik tanpa mendapat sokongan padu daripada pemimpin kanan aku? Sudah tentu aku akan kehilangan sokongan dan malahan menimbulkan kebencian ramai jika aku naik dengan 'membunuh'  karier politik kawan setia! Patutkah aku bersikap demikian, tepuk dada tanya minda!

Tuesday, September 28, 2010

Calon BN/UMNO di Balik Pulau akan kalah dalam PRU13 akan datang?

Di sana sini, orang ramai mulai bercakap mengenai wakil-wakil rakyat di kawasan Parlimen Balik Pulau sudah nampak bersungguh-sungguh mahu jadi calon Parlimen Balik Pulau. Ada tiga DUN yang berada dalam kawasan Parlimen Balik Pulau - Teluk Bahang, Pulau Betong dan Bayan Lepas. YB Yusmadi (PKR) berjaya merampas kerusi Parlimen Balik Pulau (P53) daripada Dato' Dr. Noraesah Mohamad yang mewakili BN dengan majoriti 708 undi. Manakala calon BN menguasai semua kerusi negeri, DS Dr.Hilmi Hj. Yahaya (bekas ahli Parlimen Balik Pulau) telah memenangi kerusi DUN Teluk Bahang (N40), Syed Amerruddin Dato' Syed Ahmad dapat mengekalkan kerusi DUN Bayan Lepas (N38) dan YB Muhamad Farid Saad juga dapat mengekalkan sebagai wakil rakyat kawasan DUN Pulau Betong bagi penggal kedua. Walaupun ketiga-tiga wakil rakyat daripada UMNO itu memenangi ketiga-tiga kerusi masing-masing tetapi perlu diingat, majoriti masing-masing tidaklah begitu besar hanya antara 300 - 450 undi sahaja. Oleh itu keputusan meletak calon yang terbaik amat penting bagi memastikan BN/UMNO dalam pilihanraya umum yang datang beroleh kejayaan yang cemerlang. Kesilapan BN meletak calon akan memberi kelegaan kepada pihak pembangkang. Jangan berlaku 'pisang berbuah dua kali'. Ingatlah rakyat hari ini sudah  boleh menilai calon yang disukai dan calon yang tidak disukai. Calon yang baik dan calon yang tidak baik. Calon yang jujur dan ikhlas dan calon yang penting diri sendiri. 
Oleh itu pemilihan calon untuk kawasan DUN dan Parlimen bagi kawasan Balik Pulau masih terbuka kepada semua pemimpin-pemimpin UMNO, NGO atau orang perseorangan yang layak. Yang bercita-cita besar bolehlah mengatur strategi sendiri, boleh melobi, boleh menonjolkan diri dengan apa jua cara dan kaedah asalkan tidak keterlaluan. Paling mustahak kekuatan parti diutamakan dan sentiasa dipelihara. Jangan keghairahan pemimpin-pemimpin kita untuk mengejar cita-cita (menjadi calon) hingga leka dan alpa, UMNO dibenci, BN ditolak oleh pengundi dalam PRU akan datang. 
Sebenarnya UMNO/BN akan menghadapi lebih banyak cabaran  dan sengit dalam PRU akan datang. Semua peringkat kepimpinan UMNO khususnya UMNO Bahagian Balik Pulau perlu memikirkan usaha ke arah menguatkan parti UMNO dalam jangkamasa pendek mahupun dalam jangkamasa panjang. Fikirkan juga program-program yang boleh menguatkan parti. Pilihanraya umum mungkin masih jauh lagi. Tak guna kita berjaya jadi calon tetapi parti UMNO jadi lemah kemudiannya kerana pemimpin dan ahli parti tidak sehaluan. Inilah yang menjadi kebimbangan sesetengah pemimpin UMNO di bahagian dan cawangan semakin menjelangnya PRU yang akan datang. Pemimpin-pemimpin utama parti perlu memikirkan dengan sebaik-baiknya dan memberi pertimbangan seadil-adilnya agar masalah pencalonan tidak menjadi isu besar yang boleh menjejaskan kekuatan parti UMNO dan menggugatkan BN dalam pilihanraya umum nanti. Jangan sampai pengundi menghukum BN dalam pilihanraya akan datang kerana benci kepada UMNO dan benci kepada UMNO kerana meluat kepada pemimpinnya.

Sunday, September 26, 2010

Kenapa pemimpin PAS dan PKR dalam kerajaan Guan Eng diam?

Surat Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada  Pengurus Besar dan Setiausaha Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang bertarikh  9 Julai 2010 yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Faridah Hani M.Yacob mengesahkan bahawa Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang suka membohongi rakyat.
Wang dari sumber haram telah digunakan oleh kerajaan DAP-PKR-PAS untuk membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang. Kenapa pemimpin-pemimpin PKR dan PAS dalam kerajaan negeri berdiam diri? Sila beri penjelasan kepada rakyat, kenapa anda membiarkan orang-orang Islam di Pulau Pinang menerima bantuan dari sumber haram? Apakah anda lebih takut kepada Guan Eng daripada Allah swt? YB Malik tidak melatah kali ini, jika tidak YB Malik yang paling cepat mempertahankan tindakan Guan Eng. Sebenarnya aktiviti ekonomi dan perniagaan haram di Pulau Pinang sudah bermaharaja lela. Pusat-pusat karaoke, pusat siber dan pusat urut tumbuh seperti cendawan di Pulau Pinang. Judi-judi haram berleluasa hingga di kawasan-kawasan perumahan yang didiami majoriti penduduk Islam. Pusat-pusat siber haram telah menganjurkan permainan judi tanpa dapat dikesani oleh pihak berkuasa tempatan. Apakah negeri Pulau Pinang akan menjadi salah sebuah negeri di Malaysia yang akan mencontohi model ekonomi Singapura? Rakyat sedang menunggu penjelasan dari pemimpin-pemimpin PKR dan PAS Pulau Pinang.

Friday, September 24, 2010

Melayu hilang kuasa!

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan ‘suara’ jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara.
Kata beliau, ia terbukti sewaktu Perak diperintah pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum lalu apabila DAP lebih berkuasa di negeri itu walaupun Menteri Besar daripada Pas.
“Kita lihat (Datuk Seri) Mohammad Nizar Jamaluddin di Perak, walaupun dia Menteri Besar tapi dia ikut arahan DAP sehingga (pakatan pembangkang) jatuh. Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN menjatuhkan kerajaan Cina.
“Jadi mereka panggil kerajaan Cina, tak mungkin kita juga akan dapat Perdana Menteri yang semacam Nizar, namanya Melayu, agama Islam tetapi dia bukan sebenarnya bebas, dia adalah alat pada orang lain dan ini boleh berlaku,” katanya.
Beliau yang juga bekas Presiden UMNO berkata demikian dalam wawancara khas dipetik daripada laman web www.umno-online.com yang disiarkan hari ini.
Dr. Mahathir menambah, walaupun Nizar yang mewakili Pas ketika memerintah Perak seolah-olah memperjuangkan Islam, parti itu sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.
Sementara itu menurutnya, jawatan sebagai Perdana Menteri di negara ini bukan ‘dikhaskan’ buat orang Melayu atau beragama Islam sahaja sebaliknya ia tertakluk kepada sokongan rakyat ke atas seseorang pemimpin.
“Tidak ada sekatan dalam undang-undang negara, dalam kita punya Perlembagaan tiada yang menghalang orang Cina atau India jadi Perdana Menteri, apa yang perlu sokongan dari majoriti, kalau majoriti dah setuju, kita tak boleh buat apa-apa.” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengkritik hala tuju parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana dilihat tidak ikhlas memperjuangkan kemahuan rakyat selain hanya mahu merampas tampuk pemerintahan daripada BN.
Sebagai contoh, katanya, PKR wujud bukan kerana mahu menuntut keadilan buat rakyat di negara ini tetapi sebagai platform merealisasikan cita-cita seorang pemimpinnya yang berhasrat menjadi Perdana Menteri.
“Trend itu tidak lagi menjadi tumpuan, tetapi kepada apa saya dapat, apa kau dapat, lebih kepada peribadi. Itulah terbentuknya keadilan, keadilan itu nama sahaja. Tubuh PKR seolah-olah negara ini tidak ada keadilan,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia 24 Sept 2010

Tuesday, September 21, 2010

Maaf, blog Suara Satu Dua UMNO telah digodam!

Peminat blog yang dihormati sekelian;
Blog Suara Satu Dua UMNO (http://suarasatuduaumno.blogspot.com) telah digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu pemilik blog merasa kesal dan kecewa kerana penggodam (hacker) telah menyusahkan peminat-peminat blog sekelian. Walau bagaimanapun perjuangan tetap diteruskan dengan penampilan alamat blog baru seperti berikut  http://suara1umno.blogspot.com. Harap maaf.

Friday, September 17, 2010

KISAH BENAR 3: Menemui anda di Bayan Lepas, Pulau Pinang

Semua dijemput hadir terutama yang tinggal di kawasan Bayan Lepas. Cerita Benar 3 akan menampilkan penceramah-penceramah yang cukup hebat. Antaranya Y.Bhg. Dato Mohd Ghazali Ahmad yang merupakan bekas Ketua Dewab Ulama PAS Terengganu. Beliau telah meninggalkan PAS bukan kerana PAS berkawan baik dengan DAP. Ditinggalkan PAS sejak bertahun-tahun dulu lagi. Tentulah ada sebab yang menarik kenapa beliau yang mengetuai Dewan Ulama PAS sanggup meninggalkan PAS. Takut juga pemimpin-pemimpin PAS dan penyokong PAS untuk datang mendengarnya. Datanglah untuk mendengar cerita yang sebenarnya, mengapa dan bila Dato' Mohd Ghazali Ahmad meninggalkan PAS.
Di samping itu, Sdr Lokman Adam bekas pemimpin PKR dan bekas tahanan ISA kini menjadi exco pemuda UMNO Malaysia. Orang yang lantang berhujah di atas pentas politik boleh menyebabkan penyokong-penyokong Anwar Ibrahim kecut perut. Cerita Anwar Ibrahim sudah ada dalam poketnya. Mereka tahu cerita sebenarnya, bukan fitnah seperti yang dimain-mainkan oleh pembangkang kepada BN. Datanglah beramai-ramai esok (Sabtu) jam 8.00 mlm di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Umat Islam lebih terjamin di bawah kerajaan Pakatan Rakyat

PAS dulu sangat ekstrim. Pemimpin UMNO dan penyokong UMNO dikafirkan. Orang-orang PAS tidak mahu berimamkan dengan imam UMNO. Berlakulah solat jemaah dua imam dalam satu masjid. Kenduri orang UMNO diboikot. Sembelihan orang UMNO haram dimakan. Bergaduh dengan anak menantu kerana anak menantu penyokong atau ahli UMNO. Ada penyokong PAS yang fanatik, tanpa segan malu menjerit-jerit mengatakan 'sokong UMNO kafir atau sokong BN masuk neraka' dalam kempen pilihanraya dahulu. Siapa ajar mereka ini? Siapa yang mengeluarkan fatwa? Siapa yang menimbulkan perpecahan kepada umat Melayu atau umat Islam pada hari ini? Umat Islam di Malaysia berpecah-pecah antara satu sama lain, kenapa?
Di kampung-kampung dan taman-taman perumahan orang Melayu hidup berpuak-puak dan dan akan terus berlaku jika PAS menolak pelawaan UMNO untuk bersatu. Orang-orang Islam hidup berpuak-puak. Ada puak UMNO dan puak PAS. Mati orang UMNO, kebanyakan puak UMNO yang hadir, hanya seorang dua orang PAS datang 'tunjuk muka'. Begitulah sebaliknya jika berlaku kematian di pihak PAS. Lebih dahsyat lagi, suasana rumah si mati jika puak PAS akan diwarnai dengan bendera-bendera PAS, Unit Amal menjaga jalan dan ada mayat yang diletakkan di 'Markas PAS'. Solat jenazah di masjid tidak lagi diimamkan oleh imam yang bertugas pada hari itu. Ustadz PAS akan mengimamkan solat jenazah walaupun ustadz itu bukan imam bertugas di masjid itu. Tak kisahlah soal itu tapi begitulah suasana umat Islam pada hari ini.
Sebenarnya umat Islam majoriti  mahukan UMNO dan PAS bersatu. Jika PAS sudah boleh berpeluk-peluk dengan pemimpin-pemimpin DAP yang terang-terang menentang penubuhan sebuah negara Islam mengapa tidak boleh dengan UMNO yang sudah banyak berjasa kepada orang Melayu dan pembangunan Islam di Malaysia. Apakah kesilapan UMNO jika ada sudah tidak boleh dimaafkan demi kerana Allah swt. Demi kerana survival orang Melayu atau umat Islam di Malaysia ini. Apakah terlalu besar dosa UMNO hingga ajaran Islam membolehkan PAS menolak UMNO untuk bersatu? Apakah kerana Tok Guru Nik Aziz ada mengatakan DAP lebih tahu Islam daripada orang UMNO sendiri? Atau pemimpin PAS masih memegangkan kuat kepada fatwa Haji Hadi yang mengatakan UMNO itu kafir dengan bersubahat dengan MCA dan MIC (bukan Islam)? Apakah PAS lakukan hari ini bersama-sama dengan DAP tidak kafir?
Jika pemimpin PAS hari ini sudah boleh berkawan dan berpeluk dengan pemimpin DAP. Jika PAS hari ini sudah tidak lagi mengkafirkan UMNO kerana masih berkawan dengan MCA dan MIC. Jika PAS hari ini sudah tidak sebuah parti ekstrim seperti dulu. Tapi kenapa UMNO masih ditolak? Untuk apa ditolak bukankah kerana pemimpin PAS mengutamakan kuasa politik daripada penyatuan umat Islam di Malaysia? Orang Melayu/Islam keseluruhannya akan beroleh banyak kejayaan jika UMNO dan PAS bersatu. Dalam keadaan sekarang, pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS perlu mengutamakan penyatuan umat Islam seperti yang diajar oleh tok-tok guru PAS sendiri di masjid dan surau. Apakah ustaz PAS yang selalu memberi kuliah di masjid dan surau hanya meminta umat Islam khususnya penyokong dan ahli PAS bersatu? Apakah pemimpin-pemimpin politik PAS mahukan perpecahan ini berlaku supaya memastikan mereka kekal berkuasa sebagai pemimpin politik sebuah parti Islam. Banyak persoalan yang menjadi tandatanya kepada semua umat Islam yang sayangkan kepada persaudaraan Islam. Umat Islam majoriti sedih dan kecewa melihat antara umat Islam berpuak-puak. Apakah pemimpin PAS merasakan lebih mudah bersama DAP dan PKR untuk menjaga kepentingan Islam dan umat Islam daripada UMNO? Apakah PAS sudah berjaya mentarbiah pemimpin DAP dan PKR di Selangor dan Pulau Pinang setakat ini? Apakah banyak agenda Islam PAS sudah terlaksana sejak bersama DAP dan PKR seperti yang dijanjikan dalam manifseto PAS dalam PRU yang lalu. Jika tidak dan sebaliknya lebih lagi teruk daripada pimpinan BN maka wajarlah pemimpin PAS mencari jalan terbaik untuk bersatu dengan UMNO.
Ingatlah sudah pun ada ahli-ahli PAS dan penyokong-penyokong PAS yang mulai sedar dan nampak bahawa PAS tidak mampu lagi berbuat apa-apa dan Islam akan semakin terhimpit jika bersama dengan Pakatan Rakyat. Mereka tahu bahawa pemimpin-pemimpin DAP tidak ikhlas dan jujur dalam memperjuangkan Islam. Mereka sanggup menjejaki masjid ataupun surau tapi cuma 'mengambil hati' umat Islam semata-mata. Umat Islam terhibur dengan gelaran Khalifah Umar Abdul Aziz kepada Guan Eng. Umat Islam akan terus leka lagi dengan ceramah-ceramah retorik pemimpin-pemimpin PAS dan PKR yang hanya mahu undi untuk Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya. Tapi apakah umat Islam lebih terjamin bersama dengan kerajaan Pakatan Rakyat jika ditakdirkan memerintah Malaysia selepas PRU13 ini? Tepuk dada tanya minda!