"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Friday, August 19, 2011

Isu Pejabat DAP dibakar: Kenyataan Guan Eng menyemarakkan lagi api perkauman!

Begitu mudah Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Lim Guan Eng membuat tuduhan bahawa UMNO jadi punca pejabat DAP Negeri dibakar. Beginikah sikap seorang Ketua Menteri yang sebenarnya menjadi payung kepada keamanan dan kedamaian hidup rakyat pelbagai etnik di negeri ini. Apa jua keadaan Ketua Menteri perlu dalam keadaan 'cool' sehingga hasil siasatan pihak polis dilakukan. Jangan membuat tuduhan memBABI buta tanpa memikirkan risikonya. Tuduhan Ketua Menteri itu lebih merbahaya daripada kebakaran yang berlaku. Tuduhan Ketua Menteri lebih menyemarakkan lagi api perkauman di negeri ini. Ketua Menteri mempunyai agenda politik peribadi yang cukup kotor. Macam mana beliau boleh jadi seorang Ketua Menteri dengan membuat tuduhan atau andaian yang boleh mencetus kemarahan antara rakyat di negeri ini? Apakah Ketua Menteri Pulau Pinang, Setiausaha Agung DAP mahu menanam kebencian rakyat Pulau Pinang kepada UMNO yang juga rakyatnya? Selaku Ketua Menteri, jika pun benar dakwaan itu, ia sepatutnya menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya. Guan Eng sepatutnya mengutamakan keamanan rakyat di bawah pemerintahannya bukan sebaliknya menyemarakkan lagi semangat kebencian di kalangan rakyatnya. Malang rakyat Pulau Pinang yang mempunyai Ketua Menteri seperti ini.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman melalui Utusan Online telah menegaskan, tuduhan tersebut amat keterlaluan malah dibuat tanpa menyatakan sebarang bukti.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan menghantar notis tujuh hari meminta Guan Eng menyatakan bukti berhubung kenyataan tersebut atau tampil meminta maaf secara terbuka jika gagal berbuat demikian.
‘‘Bagi saya, kenyataan ini sangat biadab dan tidak bertanggungjawab. Sebagai Ketua Menteri, beliau (Guan Eng) sepatutnya malu kerana membuat tuduhan cukup berat tanpa menyatakan sebarang bukti,” katanya. Datuk Zainal Abidin Osman perlu membawa kes ini ke mahkamah sekiranya dakwaan Guan Eng itu tidak benar. Guan Eng perlu sedar dalam situasi politik sekarang ini, pelbagai andai boleh dibuat. Tapi membuat tuduhan secara terbuka seperti yang dilakukan oleh Guan Eng amat merbahaya dan sepatutnya perlu dielakkan supaya tidak menimbulkan isu yang lebih besar. Kemungkinan ada pihak ketiga yang berniat jahat mahu menimbulkan kekacauan di negeri ini ibarat kata pepatah Melayu ada pihak mahu menangguk di air yang keruh. Walau bagaimanapun, Datuk Zainal Abidin perlu tegas dan berani membela UMNO yang sentiasa difitnah oleh pemimpin pembangkang secara keterlaluan sepertimana tuduhan Ketua Menteri Pulau Pinang yang biadap ini. Sebahagian besar rakyat yang beragama Islam di negeri sudah bosan dengan kepimpinan Pakatan Pembangkang yang sering menimbulkan isu dan masalah di negeri ini sejak 3 tahun yang lalu. Kita mahu pemerintah yang mementingkan keamanan dan kemajuan rakyat bukan pemerintah yang memikirkan keuntungan politik pada setiap masa, siang dan malam.

Wednesday, August 17, 2011

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali memohon maaf kepada UMNO Selangor!

Seperti yang kita tahu, fitnah seperti lauk makan harian mereka. Walaupun tahu hukum fitnah lebih berat daripada seorang pembunuh. Tapi sesetengah pemimpin PAS tidak hirau sangat pasal hukum-hakam agama sebab mereka lebih arif daripada kita. Kita tak payah tegur golongan berserban dan berjubah ini (maaf bukan semua), mereka tahu tapi kenapa mereka lakukan juga? Apakah ada nas dan hadis-hadis yang sahih membolehkan golongan ini melakukan fitnah terutama pula dalam bulan Ramadan al-mubarak ini. Begitu juga halnya dengan Datuk Ambiga, Pengerusi Penganjur Perhimpunan Bersih 2.0 merupakan seorang peguam terkenal berani melanggar undang-undang negara, biarpun tidak dapat permit polis dia tetap melakukan juga perhimpunan haram itu. Inilah yang jadi tanda tanya sudah tentu ada alasan tertentu bagi kedua-dua golongan ini tidak kisah dengan undang-undang negara dan hukum agama? Apakah matlamat menghalalkan cara?
Pada sidang akhbar di Kuala Terengganu semalam, Mustafa Ali, Setiausaha Agung Pas telah mendakwa UMNO berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh JAIS ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.

Ekoran itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali diberi tempoh tiga hari bermula hari ini untuk memohon maaf kepada UMNO berhubung kenyataannya yang menyalahkan parti itu dalam isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya.
Itulah contoh yang paling tepat dan mudah bagaimana fitnah begitu mudah terkeluar daripada mulut seorang pemimpin tertinggi Pas. Dalam kes ini, kita tunggu dan lihat, jika Mustafa Ali gagal menunjukkan bukti ertinya beliau telah melakukan fitnah. Erti kata lain Pas cuba mempolitikkan isu ini dan UMNO sekali lagi menjadi mangsa. Maklumlah ustaz Pas bercakap siapa yang tak percaya terutama dalam bulan puasa ini, bulan yang paling mulia untuk dihormati dan dihayati dengan pelbagai ibadah oleh umat Islam yang beriman. Apatah lagi setelah sekian lama, UMNO dibusukkan dengan pelbagai tohmahan oleh pemimpin-pemimpin Pas sendiri. Oleh itu, rakyat yang kurang ilmu akan percaya, rakyat yang fanatik akan mengangguk tanpa usul periksa, mereka akan percaya apa yang didakwa oleh Mustafa Ali terhadap UMNO.
Begitulah kaedah mainan politik Pas yang begitu tidak selari dengan parti yang kononnya cuba menegakkan hukum Islam. Politik kotor yang boleh menjatuhkan imej Islam di kalangan rakyat pelbagai agama di negara ini. Berkaitan dengan isu terbaru ini, kita berharap Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed tidak akan berganjak seinci pun, teruskan perjuangan membuktikan PAS telah melakukan fitnah terhadap UMNO. Selama ini, pemimpin UMNO terlalu banyak berdiam diri walaupun difitnah kerana bila diam, fitnah boleh menjadi berita yang benar di kalangan rakyat. UMNO kena bangkit mempertahankan dakwaan kotor oleh puak2 pembangkang. Biar rakyat tahu, UMNO hari ini sudah berubah, kembali bangkit setelah lama membiarkan pembangkang menyerang dengan pelbagai fitnah dan 'fatwa tok guru' hingga umat Islam berpecah dan bergaduh sesama sendiri. UMNO tidak rasis. UMNO bukan anti Islam seperti dakwaan Pas. UMNO konsisten dalam perjuangan mempertahankan hak bangsa dan agama Islam di samping menghormati hak bangsa lain sebagai rakyat Malaysia.

Tuesday, August 16, 2011

FITNAH UMPAMA LAUK MAKANAN HARIAN MEREKA

Sekian lama UMNO difitnah dan dikutuk sebusuk-busuknya. Tanpa belas kasihan, pemimpin UMNO semuanya dituduh pengamal rasuah. Orang UMNO anti Islam. Orang UMNO jahil. Orang UMNO minum arak dan main judi. Orang UMNO kaki betina. Tidak ada langsung kebaikan UMNO. Kebaikan UMNO disembunyikan, yang dihebah dan heboh-hebohkan UMNO parti rasis. UMNO mengamalkan asobiyah. Perlembagaan UMNO didakwa mewarisi perlembagaan penjajah. Hingga ada Tok Guru PAS sanggup mengkafirkan orang UMNO. Orang UMNO jadi kafir kerana berkawan dengan orang kafir seperti MIC dan MCA. Anak orang UMNO haram dinikahkan dan sembelih orang UMNO haram dimakan. Berlaku solat 2 imam dalam sebuah masjid. Kenduri orang UMNO diboikot dan ada kubur orang UMNO diasingkan. 
Begitulah dahsyatnya 'perang' orang PAS terhadap orang UMNO suatu masa dulu. Orang PAS tidak sedikit pun rasa bersalah kepada Allah SWT kerana mengkafirkan orang UMNO. Mereka tidak segan silu memaki orang UMNO dan mengkafirkan orang UMNO kerana mereka yakin dan percaya kepada fatwa Tok Guru bahawa orang UMNO itu kafir. Institusi kekeluargaan orang Melayu berkecamuk kerana politik maki hamun. Abang dan adik tak bercakap kerana seorang ahli parti UMNO dan seorang ahli parti PAS. Bapa dan anak menantu tidak bertegur sapa kerana politik. Surau-surau dicat warna hijau kerana mahu tunjukkan bahawa surau ini milik PAS. Khutbah-khutbah Jumaat diselit dengan ceramah politik, tazkirah begitu juga seolah-olah yang ada semuanya orang PAS. Perasaan kawan2 tak dihiraukan. Asalkan matlamat mereka tercapai.
PAS ketika itu begitu bangga dengan perjuangan Islamnya. Stiker2 kereta mereka ada pelekat "MEMBANGUN BERSAMA ULAMAK", "KAMI SOKONG HUDUD", "KAMI SOKONG NEGARA ISLAM" dan pelbagai lagi stiker. Tapi stiker2 itu sudah tidak nampak lagi hari ini, kenapa? 
Setelah PAS diberi peluang memerintah bersama DAP, kesilapan demi kesilapan, kelemahan demi kelemahan, kekurangan demi kekurangan semakin hari semakin terserlah. Cakap tak serupa bikin atau bikin tak serupa bercakap. Bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru. Rakyat sudah bosan atau muak dengan karenah politik pembangkang hari ini. Buktinya, calon-calon pembangkang dalam beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini dikalahkan oleh calon BN. Kubu kuat PAS ditawan. Ramai ahli PAS menyertai UMNO. Orang PAS dulu tertipu. Orang UMNO sudah tidak kafir lagi sejak PAS bersahabat baik dengan DAP. UMNO itu kafir sudah tidak dengar lagi dalam ceramah-ceramah PAS. Mereka takut kepada sergahan DAP. Jika UMNO didakwa kafir, apakah DAP itu tidak kafir? Malahan kafir harbi ini pula yang menjadi sahabat PAS hari ini. Apakah orang-orang lama dalam UMNO yang sudah meninggal dunia itu kekal kafir oleh PAS? Dan apakah orang UMNO sahaja yang kafir kerana berkawan dengan MIC dan MCA tapi orang PAS tidak kafir walaupun berkawan dengan kafir harbi seperti DAP?
Untuk menang undi orang bukan Islam, PAS sanggup tukar haluan. Dari memperjuangkan sebuah NEGARA ISLAM ditukarkan kepada sebuah NEGARA BERKEBAJIKAN. Apa yang dilakukan oleh orang kafir dibenarkan oleh pemimpin PAS asalkan mendapat undi. Isu mengguna kalimah Allah oleh gereja mendapat respon pro dan kontra di kalangan ulamak PAS sendiri. Isu serbuan JAIS di gereja Shah Alam mendapat respon yang juga pelbagai di kalangan pemimpin utama PAS. Suara ulamak PAS telah tenggelam kerana kebangkitan kumpulan edrogan dalam PAS. Bagi menyelamatkan PAS dalam kekalutan isu-isu itu, akhirnya UMNO akan dijadikan sasaran. UMNO dituduh menjadi dalang. Itulah wajah sebenar PAS yang ada pada hari ini. Pemimpin mereka tidak takut kepada fitnah. Fitnah umpama lauk makanan harian mereka. Mungkin Tok Guru Nik Aziz dapat mengampunkan dosa fitnah mereka. Saya menyeru dalam bulan yang paling mulia ini, marilah kita kembali kepada ajaran al-Quran dan sunnah SAW. Bersatulah kita kerana agama, bangsa dan negara. Wallahu alam.


Sunday, August 14, 2011

Mat Sabu Timbalan Presiden PAS yang goblok!

Mohamad Sabu selaku Timbalan Presiden PAS melenting kepada SPR kerana SPR melabelkan Pas, DAP dan PKR sebagai pembangkang. Dia mahu SPR sebutkan sebagai Pakatan Rakyat kerana kempen mereka kepada rakyat jelata bahawa gabungan PAS, DAP dan PKR merupakan sebuah parti seperti Barisan Nasional. Nak ketawa pun ada dan inilah kali pertama kita dengar seorang pemimpin pembangkang mempertikaikan SPR pasal tidak sebut PR. Pemimpin pembangkang yang lain bukan tak tahu tapi kerana mereka tahulah mereka yang tahu itu diam saja. Oleh kerana Mat Sabu ini goblok atau sementung (cari sendirilah maksudnya!) dia bersuara seolah-olahnya dia pandai dan dia yang betul. SPR itu yang goblok.
Aku nak beritahu Mat Sabu. Kenapa perhimpunan Bersih 2.0 dikatakan perhimpunan haram? Yang pertamanya, kerana Bersih 2.0 bukanlah sebuah pertubuhan yang sah dari sudut undang-undang. Walaupun pengerusinya seorang peguam terkenal, Datuk Ambiga tapi kerana dia 'terlalu bijak' pasal undang-undang dia tidak daftarkan pertubuhan itu. Pasal apa, yang itu Mat Sabu kena tanya Ambiga yang merupakan ketuanya dalam perhimpunan itu. Rasa-rasanya Mat Sapu juga marah kerana pihak PDRM selalu sebut perhimpunan haram..perhimpunan haram. Yang kedua, perhimpunan itu dikatakan haram kerana tidak mendapat permit untuk mengadakan perhimpunan. Itu hak polis untuk menjaga ketenteraman awam dan negara. Bila hilang kawalan sesuatu perhimpunan besar, lihatlah apa yang baru berlaku di Britain? Bangunan dibakar, kereta dibakar, pusat membeli belah dipecah masuk dan barang-barang dicuri, pelajar Malaysia dipukul dan disamun, ada yang mati dan ramai lagi yang cedera, bank dirompak dan banyak lagi. Asalnya perkara yang kecil sudah mengancam keselamatan negara. Itulah yang mahu dilakukan oleh puak pembangkang di Malaysia. 
Balik kepada isu goblok Mat Sabu. Pakatan Rakyat juga sepertimana Bersih 2.0. Bukan pertubuhan yang sah dari segi undang-undang. PAS, PKR dan DAP merupakan parti-parti politik yang sah tapi gabungan pakatan itu yang membentuk Pakatan Rakyat itu tidak sah. Tidak sah maksudnya haramlah! Mat Sabu pakai serbu. Fikir dulu sebelum bercakap. Bila dah bercakap, jika tersilap bercakap nanti Mat Sabu akan ditertawakan orang. Orang yang mendengar ceramah Mat Sabu hari ini bukan sementung seperti Mat Sabu. Jangan ingat orang-orang ini semuanya sementung.
Aku memang tak hairan kenapa Pakatan Rakyat tidak diusahakan untuk didaftarkan sebagai pertubuhan yang sah. Bukan suatu yang gampang untuk dijadikan PR sebagai suatu pertubuhan yang sah. BN nampak mudah kerana setiap parti gabungannya sudah ada asas perjuangan dan persefahaman yang kukuh dan mantap. Pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong parti komponen dalam BN boleh menerima dacing sebagai simbol parti Barisan Nasional. Sebelum simbol dacing, simbol perahu layar. Tapi apakah pemimpin PAS dan penyokong bersedia untuk memadamkan simbol 'buah ping pong' atau 'bulan mengambang penuh' atau pun 'panadol'? Apakah simbol yang mahu digunakan menunjukkan PR (Pakatan Rakyat)? Itu sebabnya ada kebanayakan pemimpin pembangkang sendiri (yang tidak goblok seperti Mat Sabu) tidak akan marah kepada SPR jika SPR sebut pakatan pembangkang. Jika SPR nak sebut PR sebagai pakatan haram sebenarnya pun boleh dari sudut undang-undang. Nasib baiklah 'pakatan haram' tidak disebut oleh SPR. Jika tidak berguling-gulinglah Mat Sabu atas jalan raya sebagai tunjuk protes.
Sebenarnya, pemimpin-pemimpin utama pembangkang tidak mahu bergaduh pasal itu (simbol parti PR). Mereka tidak mahu kecoh atau bergaduh sesama sendiri pasal simbol apa yang nak digunakan kerana pilihanraya hampir dekat. Tapi yang paling utama, mereka tidak ada suatu dasar perjuangan yang boleh disatukan sebagai perjuangan bersama, diterima oleh parti-parti yang bergabung termasuklah simbol parti gabungannya. Paling membimbangkan terutama PAS, bolehkah penyokong dan pengikutnya sanggup menolak simbol 'panadol' sebaliknya menerima sekerat kepala roket dan sekerat panadol sebagai contoh simbol PR. Panadol separuh akan jadi pengikutnya semua pening kepala. Roket pun tak boleh naik jika tak ada ekornya. Simbol mata lebam (simbol PKR) sudah tidak relevan lagi. Oooooo...cukup pening jika panadol tak ada. PAS akan hadapi masalah dan pening kepala dengan penyokong-penyokongnya yang fanatik kepada simbol 'panadol'. Itu sebabnya pemimpin pembangkang belum bersedia menubuhkan parti PR. Kata lain mereka lebih bersedia dengan simbol parti masing-masing dan sanggup menerima panggilan sebagai pakatan pembangkang. Kecuali Mat Sabu sahaja yang goblok.
Walau bagaimanapun kita sudah nampak PAS mulai meliberalisasikan dasar perjuangannya supaya tidak begitu ekstrim. PAS cuba menyesuaikan dasar perjuangan partinya dengan parti DAP dan PKR. Ini terbukti apabila PAS sanggup menggugurkan perjuangan sebuah NEGARA ISLAM kepada sebuah NEGARA BERKEBAJIKAN. Islam hanya ada pada nama parti. Itulah kekekuatan yang ada pada parti PAS hari ini yang perlu dipertahankan. Jika perjuangan sebuah negara Islam tidak digugurkan, parti PAS akan menghadapi masalah yang sangat besar dengan rakan DAP yang tegas dan keras kiang menentang penubuhan sebuah negara Islam. Untuk menyelamatkan pakatan yang haram ini, pimpinan parti PAS mencari suatu resolusi terbaik, ibarat kata pepatah Melayu "tarik tali rupia dalam tepung, tali tak putus, tepung pula tak berselerak". Asalkan matlamat pakatan haram ini menang pilihanraya yang akan datang. Pasal dasar perjuangan Pakatan Rakyat (masih pertubuhan haram) dan pasal simbol parti PR akan dibincangkan selepas DAP, PAS dan PKR menang besar dalam PRU yang akan datang. Bagi menang dulu baru bergaduh. Jika bergaduh dulu pasal penubuhan Pakatan Rakyat yang sah, alamatnya terutama PAS akan pening kepala kerana simbol panadolnya mungkin sudah tiada lagi. Perjuangan untuk menegakkan daulah islamiyah mungkin terpaksa digugurkan kerana tahu Karpal Singh akan lawan sampai mati.
Jadi kenapalah Mat Sabu pula yang dok bising-bising pasal SPR melabelkan 'pembangkang'. Biaq pi lah! Kira itu boleh kata SPR baik juga, macam mana jika SPR melabelkan gabungan parti PAS, DAP dan PKR membentuk Pakatan Rakyat sebagai pakatan haram? Jika Mat Sabu teringin sangat di panggil sebagai Pakatan Rakyat, dipersilakan Mat Sabu laksanakan:
1. Tunjukkan satu simbol Pakatan Rakyat yang boleh diterima oleh setiap penyokong masing-masing.
2. Dasar perjuangan PR yang boleh diterima  oleh setiap parti.
Kemudian segeralah kemukan pendaftaran pertubuhan kepada ROS untuk tujuan pendaftaran PR sebagai sebuah parti yang sah. Mudah sahaja. Pihak ROS sangat mengalu-alukan dan akan mempertimbangkan segera sebelum PRU13 tiba. Lepas itu SPR tidak akan sebut lagi Mat Sabu sebagai pemimpin pembangkang. Manakala Mat Sabu sendiri tidak lagi digelar pemimpin PAS yang goblok setelah PR sudah jadi pertubuhan yang sah dari sudut undang-undang.

Saturday, August 13, 2011

Dilarang membaca al-Quran pada waktu subuh, terima kasih kepada PAS Pulau Pinang.

Bacaan al-Quran di semua masjid dan surau pada waktu subuh minta dihentikan kerana mengganggu orang lain dalam dan luar masjid. Mengganggu siapa agaknya? Apakah bacaan suci al-Quran itu mengganggu umat Islam atau mengganggu orang bukan Islam yang semakin 'kuat' di Pulau Pinang ini? Atau kekuatan orang Islam yang semakin lemah maka hak keistimewaan agama Islam sebagai agama rasmi negara semakin dihakis sikit demi sikit di Pulau Pinang ini. Kenapa sekarang baru wujud bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh dikatakan mengganggu ketenteraman orang lain?
Kita nak tanya kepimpinan kerajaan negeri terutama PAS negeri Pulau Pinang. Jika isu pembesar suara yang bising mengganggu orang di dalam dan di luar masjid, apakah larangan tersebut terpakai juga di masjid-masjid dan surau-surau yang di sekelilinginya 100% umat Islam? Begitu malang rasanya umat Islam hari ini di Pulau Pinang kerana pemerintah DAP berjaya menjauhkan umat Islam dengan bacaan suci al-Quran. Selaku umat Islam, bacaan al-Quran sebelum subuh misalnya adalah sesuatu yang amat baik, sekurang-kurangnya mengingatkan umat Islam, kecil besar, tua dan muda bangun mendirikan solat subuh.
Tidak mungkin sekali akan ada umat Islam sendiri membantah bacaan al-Quran semasa waktu subuh melainkan dia seorang yang jahil ataupun jika bacaan al-Quran itu tidak sempurna dari segi hukum tajwidnya. Jika sebaliknya masjid dan surau memperdengarkan bacaan al-Quran oleh  Imam Besar Masjidil Haram, Syeikh Abdul Rahman As-Sudais atau pun johan qari kebangsaan contohnya, insyaAllah sebagai umat Islam yang beriman kepada al-Quran tidak akan jemu mendengarnya. Dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, Kitabullah yang terakhir itu yang berkumandang melalui corong pembesar suara masjid dan surau akan dapat menimbulkan minat umat Islam untuk membaca dan menghayati isi kandungannya.
Sikap toleransi pemimpin Islam kita yang terlalu tinggi terhadap kaum lain pada hari ini menyebabkan hak orang Islam dan keistimewaan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini kian terhakis. Jika pemimpin PAS mendakwa pemimpin DAP mulai minat terhadap Islam dengan membaca ayat suci al-Quran seperti yang dilakukan oleh Nga Kor Ming (Pemimpin DAP) tetapi kenapa pula pembacaan ayat suci al-Quran hendak dilarang? Sementara itu pemimpin PAS juga membenarkan kaum kafir membaca ayat al-Quran di atas pentas politik kononnya dengan penuh harapan agar puak-puak ini (pemimpin DAP/bukan Islam) akan memeluk Islam suatu masa nanti. Berapa ramaikah pemimpin DAP atau pun ahli-ahli DAP sudah diislamkan oleh PAS setelah sekian lama berkawan melalui kerajaan Pakatan Rakyat?
Tiba-tiba JHEAIPP pula yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh. Kenapa dulu semasa kerajaan BN tidak berlaku larangan ini? Walaupun UMNO dituduh sebagai parti yahudi mewarisi perlembagaan penjajah tapi hakikatnya UMNO tidak pernah melarang bacaan al-Quran seperti yang berlaku hari ini.   Walaupun keputusan telah dibuat dan surat pekeliling telah dikeluarkan tapi banyak persoalan yang bermain difikiran umat Islam terutamanya di Pulau Pinang hari ini. Jika ini dibiarkan berlaku (hak keistimewaan agama Islam terhakis) tidak mustahil kes memurtadkan umat Islam di Selangor akan berlaku pula di Pulau Pinang pada suatu masa nanti.
Persoalannya kenapa kita pula umat Islam boleh bertoleransi dengan kaum lain sedangkan mereka tidak? Kita umat Islam di kampung-kampung kebanyakannya umat Melayu/Islam sanggup mendengar bunyi bising wayang Cina dan persembahan hiburan hingga lewat malam pada setiap malam untuk beberapa malam. Bunyi kuat memekak telinga boleh didengar jauh beratus-ratus meter. Solat Isyak tidak khusyuk di rumah, surau ataupun masjid tetapi adakah pemimpin PAS sedar tentang perkara ini. Beranikah pula pemimpin Islam negeri Pulau Pinang terutamanya YB Malik Hussain selaku exco agama di Pulau Pinang membawa permasalahan ini ke dalam mesyuarat exconya. Setakat ini tidak ada larangan pun dari kerajaan negeri untuk memberhentikan persembahan itu sedangkan penduduk kaum Cina tidak ramai di sesuatu kampung itu. Umat Islam tidak keluar membantah atau tunjuk perasaan walaupun bunyi bising yang kuat mengganggu ibadah mereka. Itulah sepatutnya yang ditunjukkan oleh kaum lain sebagai penduduk majmuk berbilang bangsa dan agama di negara ini. Tapi masalahnya, semakin hari kita lihat pemimpin Melayu/Islam dalam kerajaan negeri terutama yang dikuasai pembangkang semakin lemah atau jadi pak turut. Kes isu gereja di Selangor boleh dijadikan contoh dan bukti yang terbaik mencerminkan kegelojohan MB Melayu di Selangor.
Tidak mustahil suatu hari nanti, kerajaan DAP di Pulau Pinang akan mengarahkan azan menggunakan pembesar suara diharamkan sepertimana yang berlaku Singapura di bawah pemerintahan PAP. Walau bagaimanapun keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri telah dibuat pada April lalu berdasarkan nas dan hadis Rasululullah SAW, selaku umat Islam terpaksalah kita akur dengan rasa dan kecewa kerana sekian lama bacaan al-Quran melalui pembesar suara dilakukan di masjid-masjid dan surau. Teringat saya semasa berada di Pak Bara, Thailand, pada awal-awal pagi Jumaat kedengaram bacaan surah Yasin melalui pembesar suara hingga kedengaran di seluruh kampung kawasan peranginan itu sedangkan kawasan itu bukan kesemuanya umat Islam. Malahan agama Islam di Thailand bukanlah agama rasmi seperti kita di Malaysia tapi boleh pula melakukan perkara yang sedemikian.  Fikirlah sendiri jangan kita umat Islam memberi terlalu banyak ruang dan begitu toleransi hingga umat Islam rasa seperti dihina di bumi bertuah ini.

Friday, August 12, 2011

Pandangan Dr. Mohd Asri seperti orang politik?

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyuarakan kebimbangan terhadap politik negara ini berikutan isu politik kini ‘diadun’ dengan isu agama.
“Pihak berkuasa agama bimbang apabila ada orang Islam pergi ke gereja. Risau nanti mereka terpengaruh dengan Kristian. Peliknya kenapa dulu mereka menghalang orang bukan Islam masuk ke masjid? Apakah mereka juga bimbang bukan Islam terpengaruh dengan Islam?” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Ogos tahun lalu, isu larangan terhadap bukan Islam memasuki masjid menjadi isu hangat selepas Anggota Parlimen Serdang Teo Nie Ching memasuki surau di Kajang bagi menyampaikan sumbangan.
Mengulas lanjut, Dr Asri berkata larangan pihak berkuasa agama itu menjadikan orang ramai semakin tidak faham dengan politik negara ini apabila ia ‘diadun dengan agama’.
“Kalaulah masuk ke gereja mempengaruhi seseorang kepada Kristian, patut masuk masjid akan mempengaruhi seseorang kepada Islam. Mengapa kita halang? Apakah kita tidak suka mereka terpengaruh dengan Islam?
“Akhirnya, kita pening siapa yang jujur, siapa yang sebaliknya. Siapakah yang hendak menegakkan keadilan dan siapakah yang hendak bermain dengan isu?” katanya. Menurutnya, antara jalan penyelesaian dicadangkan pengajaran dan dakwah di negara ini perlu disemak semula.
“Islam sebagai agama hujah, pengajaran dan dakwah Islam sepatutnya mampu menangani isu berkenaan tanpa memerlukan tindakan seumpama itu daripada Jais. “Bukan hendak mmpertikai Jais, namun untuk renungan kita umat Islam di Malaysia; sehingga bila kita hendak bergantung dengan undang-undang?. Ertinya, pengajaran dan dakwah kita perlu disemak semula,” kata beliau.
Komen:
Kita juga tidak faham dengan hujah Dr. Asri. Beliau tidak menyatakan dengan jelas atau secara terperinci pengajaran dan dakwah yang perlu disemak semula. Harap-harap Dr. Asri tidak berniat langsung menjaga hati kaum kristian dalam isu ini sepertimana MB Selangor, Dato' Khalid tergesa-gesa memohon maaf kepada pihak gereja.
Dalam soal masuk masjid dan masuk gereja tidak boleh disamakan. Apakah Dr. Asri menganggap sudah 'fair' jika ada orang kristian masuk masjid dan ada orang Islam masuk gereja? Secara umumnya, kita melihat seperti sudah wujud saling faham memahami dan semangat 1 Malaysia di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia. Sebenarnya yang membimbangkan pihak berkuasa dan orang ramai, yang masuk gereja bukan Tok Guru ataupun ustaz atau ahli parlimen PAS seperti YB Khalid Samad. Yang masuk gereja itu ialah orang Islam yang cuba dimurtadkan. YB Khalid Samad pernah memasuki gereja bertujuan mempengaruhi orang-orang kristian untuk mendapat undi. Pihak berkuasa agama seperti JAIS tidak akan bersusah hati dalam hal ini.
Begitu juga sebaliknya, orang bukan Islam yang memasuki masjid dalam kes Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching tidak akan membimbangkan pihak gereja kristian. Oleh kerana beliau seorang pemimpin atau wakil rakyat, dia mempunyai kekuatan dan kelebihan mempengaruhi rakyat (umat Islam) yang berada di masjid itu. Dalam kes ini, tidak mungkin  Ahli Parlimen Serdang seorang penganut agama kristian, selaku wakil rakyat atau pemimpin begitu mudah terpengaruh hanya berada dalam masjid akan memeluk agama Islam.
Dalam hal ini, kita perlu melihat lebih mendalam tanpa menimbangkan matlamat politik. Soal akidah umat Islam perlu diutamakan dari segalanya. Kedudukan agama Islam dalam perlembagaan perlu dipelihara, pantang dicabar oleh mana-mana pihak. Jangan ada pemimpin Islam lain yang melatah kerana menjaga hati kaum kristian untuk matlamat politik sempit mereka. Jangan menggadaikan maruah agama Islam yang suci kerana menjaga kedudukan darjat selaku ahli Parlimen ataupun ahli Dewan Undang Negeri.
Bukan niat untuk mengkritik Dr. Mohd Asri, seorang ilmuan dalam agama tapi mungkin pandangan beliau tak dapat disampaikan dalam isu ini hingga menimbulkan kebingungan kita membacanya.

Wednesday, August 10, 2011

Pelbagai pihak desak Pas gugurkan Islam pada nama parti

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pas wajar menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu apabila gagal membela akidah sekumpulan umat Islam dalam kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap sebuah Gereja Methodist di Damansara Utama, minggu lalu.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, perjuangan Pas sekarang hanya semata-mata politik dan bukannya berusaha menegakkan Islam seperti mana matlamat pada awal penubuhannya.

''Disebabkan politik mereka terpaksa akur dengan desakan dan tekanan daripada rakan-rakan partinya yang lain sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun DAP. Ini yang berlaku sekarang,'' katanya di sini, hari ini.

Bekas Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), SD Johari Md. Yassin juga mahu Pas menggugurkan perkataan Islam kerana parti berkenaan tidak layak menggunakan perkataan yang amat suci itu.

Beliau berkata, jika Pas sebagai sebuah parti Islam bertanggungjawab sudah tentu parti itu akan segera mempertahankan tindakan JAIS dalam usaha menyelamatkan segelintir akidah umat Islam daripada terpesong.

Bagaimanapun beliau berkata, harapan tinggal harapan, Pas yang dahulunya begitu hebat memperjuangkan Islam kini terpaksa akur dengan tekanan PKR dan DAP atas nama politik.

Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata, sebarang perkara yang melibatkan akidah tidak boleh dikompromi serta bukan perkara dagangan politik. Sepatutnya Pas tegas menyatakan pendirian mereka menegakkan Islam tanpa perlu berdolak dalik.

''Maka wajar perkataan Islam dalam Pas dibuang kerana mereka jelas tunduk kepada tekan pemimpin PKR dan DAP ,'' katanya lagi.

Seorang bekas lagi setiausaha Sulit Anwar, Muhamad Rahimi Osman berkata, apa yang berlaku itu adalah hasil kejayaan Anwar mempengaruhi Pas supaya parti itu lebih terbuka dan liberal.

''Jika dahulu saya sendiri masih ragu-ragu untuk menentang Pas kerana beranggapan Pas sebagai sebuah parti memperjuangkan Islam, kini semuanya sudah jelas.

''Pas tidaklah berbeza dengan PKR dan DAP. Kini kepentingan politik DAP, PKR serta meraih sokongan orang bukan Islam telah menjadi tajuk utama perjuangan Pas,'' katanya lagi sambil berharap Pas sedar dengan kepincangan yang berlaku dan kembali berjuang demi Islam.
Sumber: Utusan Malaysia 10/8/2011