Pagi tadi penulis berpeluang menghadiri suatu Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Persekutuan Zon Pulau di Bayan Baru. Dalam mesyuarat tesebut YB kawasan telah membangkitkan pasal kelewatan cadangan pembinaan sebuah masjid baru. Pihak ICU Jabatan Perdana Menteri telah menjelaskan bahawa pembinaan masjid ataupun surau mestilah tapak projek itu kepunyaan Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Sudah menjadi suatu polisi sejak dulu lagi mana-mana negeri sama ada negeri itu diperintah oleh pembangkang atau BN tapak projek untuk pembinaan masjid ataupun surau mesti milik Majlis Agama Islam negeri itu.
Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini telah mengubah dasar pemilikan tanah yang dibawa sekian lama oleh BN dahulu. Semasa BN memerintah Pulau Pinang, tanah-tanah yang dibeli melalui peruntukan kerajaan negeri untuk pembinaan masjid/surau akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang. Setelah kerajaan negeri diperintah oleh DAP-PKR-PAS, mana-mana tanah untuk pembinaan masjid atau surau yang dibeli dengan menggunakan peruntukan kerajaan negeri tidak lagi diserahkan kepada MAIPP sebaliknya satu badan lain dikenali sebagai SSI (State Secretariat Incorporated) diletak secara terus di bawah Ketua Menteri. Ini bermakna Jawatankuasa Qaryah Masjid yang bercadang pembinaan masjid baru tidak akan mendapat peruntukan dari kerajaan persekutuan kerana milik tanah (tapak masjid/surau) bukan MAIPP. Pihak Jabatan Perdana Menteri menegaskan syarat itu tidak akan diubah. Polisi itu menjadi syarat utama sejak dulu lagi. Itulah kekangan yang bakal dihadapi oleh umat Islam di Pulau Pinang yang dikatakan pemerintahan Lim Guan Eng yang mengikut pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz.
Oleh kerana kerajaan negeri yang membuat syarat yang menimbulkan kesusahan kepada umat Islam sendiri, bermakna kerajaan negerilah yang bertanggungjawab juga dalam soal pembinaan masjid/surau. Umat Islam juga perlu sedar, bila masjid/surau dibina atas tanah milik SSI (bukan milik MAIPP) bermakna kerajaan negeri berhak sepenuhnya selaku tuan tanah untuk mengambil alih tanah-tanah itu bagi tujuan-tujuan lain yang lebih baik. Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid dan ahli-ahli qaryah serta semua umat Islam perlu faham bahawa pengambilan tanah oleh kerajaan negeri untuk pembinaan masjid/surau belum lagi menyelesaikan masalah. Masalah ini boleh jadikan isu politik oleh pihak pembangkang dengan mendakwa kerajaan persekutuan telah menyekat peruntukan pembinaan masjid/surau. Wakil-wakil rakyat dalam Pakatan Rakyat yang beragama Islam perlu bangkit dan membela nasib orang Islam di Pulau Pinang yang semakin tersepit dan dihimpit oleh dasar kerajaan Pakatan Rakyat sendiri. Jika isu ini tidak dapat diselesaikan oleh wakil rakyat PKR dan PAS yang berada dalam Pakatan Rakyat, usahlah berjanji pembangunan untuk rakyat dan membela nasib rakyat sedangkan isu asas yang tidak melibatkan wang berjuta pun tidak mampu ditangani secara bijak oleh wakil-wakil rakyat Islam PAS dan PKR dalam kerajaan negeri. Dasar-dasar baik di bawah kerajaan BN dahulu perlu dikembalikan dan perjuangkan oleh wakil-wakil rakyat PAS dan PKR (beragama Islam) jika tidak mahu umat Islam di Pulau Pinang menangis dan menderita di tanah air sendiri.