Sekumpulan ahli Pas hari ini menyerahkan memorandum membantah kenaikan  tarif air di negeri ini yang berkuatkuasa 1 Oktober lalu kepada Menteri  Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Kumpulan yang bertindak atas nama Jawatankuasa Bertindak Membantah  Kenaikan Isu Air itu berhimpun di hadapan pejabat Menteri Besar di Wisma  Darul Aman di sini untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil  Menteri Besar, Zulkapli Osman.
Wakil kumpulan itu, Abdullah Hashim berkata, memorandum tersebut  mendesak supaya kerajaan negeri menarik balik keputusan menaikkan tarif  air kerana ia menjejaskan kehidupan rakyat di negeri ini khususnya  golongan miskin.
Katanya, Menteri Besar juga diminta supaya mendedahkan perjanjian  antara Syarikat Air Darul Aman (SADA) dengan Suruhanjaya Perkhidmatan  Air Negara (SPAN) yang dikatakan merugikan rakyat.
Mereka juga mendesak Menteri Besar meletakkan jawatan kerana gagal  memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Kedah apabila tarif air  dinaikkan antara 25 hingga 44 peratus.
Turut sama dalam bantahan itu ialah bekas Setiausaha Kerja Pas Kedah,  Md. Noor Abd. Rahman dan bekas Ketua Pemuda Pas Kedah yang juga bekas  Setiausaha Pas Kawasan Jerai, Mohd. Najib Fahami Yahya.
Sementara itu, Azizan ketika mengulas mengenai bantahan itu mengakui  tindakan tersebut dilakukan oleh ahli Pas dan tidak didalangi oleh parti  lawan.
Bagaimanapun kata beliau, tindakan tersebut tidak mendapat sokongan  daripada ahli-ahli lain kerana kumpulan tersebut dikenali sebagai  golongan yang sering menimbulkan masalah sehingga ditolak oleh  kepimpinan Pas di kawasan berkenaan.
Azizan menjelaskan, kumpulan tersebut hanya mewakili diri sendiri, bukannya keseluruhan rakyat negeri Kedah.
Sumber: Utusan Malaysia 11/10/2010
 

 
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.