Bukan seperti kita, tidak pernah habis bertelingkah dalam apa jua isu  hatta sampai ke dalam surau masjid. Peristiwa tiba-tiba makmum bangun  menempelak khatib ketika sedang membaca khutbah solat Jumaat dua minggu  lalu di masjid Ubudiah, Ampang, Selangor, menarik perhatian saya untuk  memberikan sedikit pandangan. Khatib begitu syok sendiri dengan khutbah  ciptaannya. Yang ‘menyeronokkan’ adalah khatib tersebut turut sama  menempelak makmum tersebut dengan mengatakan dia jahil ketika  berkhutbah. Rupa-rupa makmum dan khatib dua kali lima sahaja.
Sepatutnya,  khatib tersebut tidak melayan sikap makmum tersebut dan meneruskan  khutbahnya. Ini tidak, khatib tersebut turut tumpang semangkok. Saya  tidak mengatakan tindakan makmum itu betul. Salah tetap salah. Saya  mengharapkan khatib tersebut bertindak betul, rupanya salah. 
Insiden  seperti ini bukan perkara baharu, tetapi ia berlaku di masjid-masjid  yang dikuasai oleh parti-parti tertentu. Mereka menjadikan mimbar untuk  membalas dendam, bukan untuk mendidik. Kita semakin berpecah. Kita  sepatutnya tidak mengambil pendekatan mengajar, tetapi mendidik dengan  mengetuk pintu hati mereka. Jika Pas benar-benar ikhlas, sepatutnya Pas  mengambil pendekatan mendidik Umno melalui nilai-nilai Islam yang  ‘diperjuangkan’, bukannya menghamburkan kata-kata dan sindirin-sindiran  tajam yang menyakitkan hati.
Saya amat pelik kenapa kita tidak  selantang ini apabila berhadapan dengan musuh kita yang begitu jelas  menentang kita dan mengenepikan agenda nasional. Baru-baru ini saya  berforum dalam Majlis Pengetua Sekolah Malaysia yang dihadiri oleh  hampir 1000 orang pengetua. Yang saya hairan, Majlis Pengetua Sekolah  begitu besar persatuannya, tetapi kenapa suara mereka tenggelam dengan  NGO yang lebih kecil seperti Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong.  Ketiga-tiga persatuan ini mempunyai kaitan langsung dengan pendidikan  Cina, tetapi suara mereka boleh menggegarkan negara. Manakala, Majlis  Pengetua Sekolah Malaysia dan begitu juga Majlis Guru Besar Malaysia  (Sekolah Rendah), nampak hebat, tetapi tiada taring. Bukan mereka tidak  mahu atau tidak boleh bersuara, tetapi suara mereka disenyapkan. Mereka  terpaksa ikut kata boss. 
Majlis Pengetua dan Majis Guru Besar  ini sepatutnya diberikan kebebasan untuk berhadapan dengan Dong Zong,  Jiao Zong dan Dong Jiao Zong, baharulah terserlah kepengetuaannya dan  kegurubesarannya. Saya harap istilah ini boleh digunakan. 
Inilah  beza penyatuan antara Melayu dengan bukan Melayu. Bukan Melayu bersatu  atas perkara asas atau perkara berkaitan hidup mati atau masa depan  mereka. Manakala penyatuan kita, usahkan perkara besar, perkara kecilpun  kita tidak boleh selesaikan. Malahan terus berpecah seolah-olah tidak  ada penghujung. Lebih menyedihkan lagi tindakan kita sering menimbulkan  beban dan masalah kepada rakyat jelata.
Demonstrasi haram Bersih  meninggal kesan yang amat mendalam. Sejak hari khamis saya tidak dapat  pulang ke rumah sehingga hari Ahad, saya hanya bermalam di hotel kerana  terperangkap dalam kesesakan jalan yang amat dahsyat, sehingga saya  mengambil keputusan berpatah balik bagi mengelakkan ceramah-ceramah  hujung minggu yang telah diaturkan tidak tergendala. Terpaksalah saya  memakai baju yang kotor selama dua hari disebabkan oleh tidak ada lagi  pakaian Bersih. 
Lebih hiba lagi mendengar ada yang terpaksa  menunda tarikh perkahwinan yang telah diatur sejak setahun yang lalu,  dan banyak lagi perkaraa penting terpaksa dibatalkan serta kerugian yang  ditanggung gara-gara demonstrasi ini Bersih ini. Hati begitu tersentuh  membaca berita ada seorang yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut.  Takziah saya ucapkan, moga roh allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT,  tidak kiralah sama ada penyokong Bersih atau tidak. Paling penting kita  tetap umat Islam tetap bersaudara, walaupun mungkin kita berbeza.
Seperti  yang selalu saya sebut, yang menjadi menjadi mangsa adalah umat Islam.  Saya tidak nampak begitu ramai bilangan bukan Islam yang turun.  Rata-ratanya adalah kulit sawo matang. Kalau adapun bukan Melayu,  sengaja dialihkan kamera ke sana supaya ada warna warninya, wal hal  sebenarnya tidak.  Inilah nasib Melayu di bumi Melayu. Sesama sendiri  bercakaran. Orang lain bertepuk tangan. Silap-silap haribulan, Melayu  hilang ditelan zaman. Hanya kerana sengketa yang tidak berkesudahan,  tanpa penyelesaian. Titik pertemuan masih jauh kelihatan. Perubahan yang  dilaksanakan tidak banyak menguntungkan. 
Misalnya, apabila  Kerajaan memberi biasiswa atau bantuan kepada orang Melayu (Bumiputera),  maka tindakan ini dimanipulasikan dengan kata-kata memberi tongkat.  Namun demikian,  apabila bukan Melayu mendapat hak yang sama, maka ia  dikatakan meritokrasi dan mereka berhak? Tidakkah kita sedar berapa  ramai pelajar bukan Melayu yang dihantar di universiti di luar negeri  melalui yayasan-yayasan berasaskan kaum yang diwujudkan dan sejumlah  wang parti-parti politik perkauman yang tidak kurang banyaknya. Ini  tidak termasuk individu-individu bukan Melayu yang terkaya membantu anak  bangsa mereka.  
Pendek kata, ada atau tidak Dasar ekonomi  Baharu (DEB), bukan Melayu langsung tidak rugi. Tindakan cuba  melonggarkah DEB itulah yang semakin merugikan anak bangsa ini. 
Saya  ingin memetik kata-kata A. Kadir Jasin, apabila orang Melayu  (bumiputera) berjaya dalam perniagaan dia dituduh kroni. Tetapi apabila  korporat Cina dan India menjadi raksasa kerana kontrak, francais dan  lesen kerajaan ia dikatakan meritokrasi? Siapa yang memegang monopoli  gula sampai hari ini atau menjadi kaya raya kerana lesen judi, lesen TV  satelit, lesen Independent Power Producers (IPP) dan kontrak berbilion  ringgit membina hospital, kereta api laju dan sekolah? Tidak ramai yang  ingat bagaimana Tun Abdul Razak Hussein terpaksa “menyelamatkan” Malayan  Banking pada tahun 1965 apabila pengasasnya, mendiang Khoo Teck Puat,  disingkirkan atas tuduhan menyalahgunakan wang bank itu kepada syarikat  persendiriannya di Singapura? 
Begitulah juga dengan pengambilan  oleh IPTA. Apabila keutamaan diberikan kepada Bumiputera, bukan Melayu  merungut. Tetapi apabila Kerajaan membenarkan penubuhan IPTS yang  majoriti pelajarnya bukan Melayu, berasaskan kaum maka tiada siapa pun  nampak bahawa keuntungannya tidak kepada Melayu, tetapi kepada bukan  Melayu.
Hari ini, terdapat 20 Institusi Pengajian Tinggi Awam  (IPTA) yang di punyai oleh kerajaan, tidak termasuk 24 politeknik.  Bilangan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pula melebihi 500  buah.  Atas desakan, kerajaan telah membuka pengambilan bukan Bumiputera  yang semakin ramai ke IPTA dan kemasukan ke IPTS yang terus dimonopoli  oleh bukan Bumiputera, bilangan yang lebih ramai mendapat pendidikan  pengajian tinggi adalah bukan Melayu. Kerajaan turut membantu IPTS yang  dipunyai oleh bukan Melayu (parti politik), tidak cukup dengan itu  bantuan melimpah ruah turut diberikan oleh syarikat swasta bukan Melayu  kerana ada pelepasan cukai. 
Kesimpulannya, saya yakin, suatu  hari ini, kita tidak akan mampu lagi bersaing, apabila apa yang sedia  ada semakin hilang. Misalnya, IPTA tidak akan mampu bersaing dengan IPTS  kerana bangsa yang kuat ekonominya pasti hanya akan membantu universiti  bangsanya sahaja. Ringkasnya, apa jua peristiwa yang berlaku, sebanyak  manapun demonstrasi Bersih, dan polisi yang digubal, orang Islam akan  terus rugi, yang untung adalah bukan Melayu. Inilah yang membezakan  antara konsep penyatuan Melayu dengan bukan Melayu.