Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak berhak meletakkan 
sebarang syarat kepada kerajaan untuk memberi penjelasan tentang 
amanatnya pada 1981 yang mengkafirkan UMNO, kerana perkara itu 
melibatkan soal akidah.
Katanya, tindakan Abdul Hadi meletakkan syarat menunjukkan Presiden 
Pas itu lebih mengutamakan politik daripada meletakkan kepentingan 
akidah umat Islam yang terpengaruh dengan amanat beliau sehingga sanggup
 mengkafirkan keluarga sendiri.
Kenapa sekarang baru beliau mahu meletakkan syarat? Ketika amanat 
itu dibuat di Banggol Peradong pada 1981 sehingga menyebabkan kami 
pengikut Pas mengkafirkan seluruh ahli UMNO serta keluarga sendiri, 
tiada sebarang syarat dikeluarkan Abdul Hadi.
Malah ketika berceramah di mana-mana pun, beliau tidak meletakkan 
sebarang syarat tetapi kenapa dalam isu akidah sebegini perlu kepada 
syarat pula? Siapa yang bertanggungjawab mengeluarkan amanat ini? Siapa 
yang menyebabkan perpecahan ini?
Isu kafir mengkafir ini soal akidah. Apakah ada benda lebih penting 
daripada soal akidah di mata Abdul Hadi sehingga beliau sanggup 
meletakkan syarat," katanya yang merupakan penulis buku Kafirkah Aku 
ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi pertama Abdul 
Hadi yang meletakkan syarat agar diberi siaran secara langsung selama 
sejam di RTM dan TV3 berhubung isu desakan agar Presiden Pas itu menarik
 semula amanat, setelah sekian lama menyepi.
Dalam pada itu, ditanya mengenai tindakan Abdul Hadi yang memandang 
rendah pendedahannya menerusi buku Kafirkah Aku? apabila menyifatkan 
beliau cuma guru sekolah rendah, Zainon dalam nada sinis berkata: Orang
 Pas ni, tak ada orang lain lebih hebat, lebih tinggi, kecuali pemimpin 
mereka sahaja." 
Saya akui ilmu saya tidak sehebat ulama-ulama Pas khususnya Abdul 
Hadi. Saya akui saya cuma cikgu sekolah tetapi apa yang saya pertikaikan
 bukan soal ilmu tetapi pengalaman saya dan puluhan ribu ahli Pas yang 
taksub dengan amanat beliau sehingga mengkafirkan keluarga sendiri," 
katanya.
 
