KUALA LUMPUR 10 Nov. - Pas kini tidak lagi memperjuangkan Islam serta
 cita-cita menubuhkan negara Islam sebaliknya lebih 'seronok' mengejar 
kuasa hingga imej parti itu dilihat sudah tercalar. 
Aktivis Pas, 
Norman Toha berkata, keadaan itu adalah hakikat 
yang perlu diakui semua pihak di dalam Pas walaupun terdapat 
pemimpin-pemimpin parti tersebut menafikan perkara berkenaan.
Malah ujarnya, tidak keterlaluan jika dikatakan kebanyakan pemimpin 
dalam Pas ketika ini terlalu mementingkan undi manusia daripada 
tanggungjawab meneruskan perjuangan menegakkan agama Allah.
"Ini berlaku disebabkan kebanyakan pemimpin-pemimpin yang meneraju 
parti khususnya di peringkat atas tidak faham perjuangan Pas. Mereka 
bukan seorang ahli yang faham ke mana hala tuju Pas.
"Mereka tidak tahu Pas adalah gerakan Islam dan bukan parti politik 
semata-mata. Disebabkan anggapan mereka Pas adalah parti politik, itu 
yang menyebabkan mereka berpolitik 24 jam," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam sesi 
perbincangan bertajuk 'Mengimbau Nostalgia Kegemilangan Pas' sempena 
Wacana Mengembalikan Pas Ke Landasan Asal di sini hari ini.
Selain beliau, turut menjadi ahli panel itu ialah bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, 
Datuk Muslim Othman.
Norman yang juga bekas Setiausaha Pas Selangor berkata, atas sebab 
politik juga kepimpinan Pas ketika ini terlalu menghargai hubungan 
dengan DAP atas faktor 'tahalluf siyasi' sehingga sanggup mengetepikan 
peranan saudara seagama dalam organisasi lain.
"Adakah ini yang diajar agama kita? Adakah ini yang diajar Rasulullah
 SAW? Tidak, kita diminta bertegas dengan orang bukan Islam dan berkasih
 sayang dengan saudara seislam," katanya.
Beliau turut menyentuh bagaimana trend membawa masuk golongan yang 
tidak memahami perjuangan asas Pas yang kemudian diangkat menjadi 
pemimpin serta wakil calon dalam pilihan raya.
"Tidak hairanlah sekiranya ada kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan 
puak-puak ini bertentangan dengan dasar perjuangan parti di samping 
mesej yang mereka sampaikan tidak mengikut kehendak Islam," katanya.
Beliau turut menempelak Pas yang bertindak memecat ahli parti tanpa 
pihak tertuduh diberikan hak membela diri sepenuhnya seperti yang 
berlaku ke atas bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali 
serta beberapa ahli Pas lain.
"Bukankah ini satu tindakan yang pelik?" ujarnya.
Seorang lagi aktivis Pas,
 Mohd. Reza Kamaruddin pula berkata, 
akibat meninggalkan amalan usrah dan tarbiah jati diri serta hala tuju, 
Pas kini mula dipersoalkan ahli akar umbi.
"Sebagai contoh, mereka bertanya pendirian Pas berhubung kenyataan 
kontroversi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar
 bahawa orang Melayu boleh memilih agama mereka.
"Mereka mahukan ketegasan daripada Pas kerana ini melibatkan soal 
akidah. Begitu juga dalam konteks tahalluf siyasi. Pas seharusnya 
menjadi parti dominan di dalam pakatan pembangkang dan bukannya DAP atau
 PKR," katanya.
Petikan: Utusan Malaysia 12/11/2012