"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Sunday, February 17, 2013

Jaga nama baik NGO, jumpa wakil rakyat jika ingin bantu!

Semalam PT menerima SMS dari salah seorang wakil rakyat BN dalam Parlimen Balik Pulau. Dalam sms itu terkandung suatu aduan kurang baik mengenai kepimpinan BN di kawasan wakil rakyat berkenaan. Seolah-olah individu berkenaan mahu memberitahu bahawa wakil rakyat itu tidak turun ke padang menyelesaikan masalah rakyat. Yang peliknya sms itu ditujukan pula kepada Ketua Bahagian.

Jika individu itu jujur mahu membantu penduduk di kawasan YB berkenaan, sewajarnya dia datang sendiri berjumpa YB bukannya menghantar sms itu kepada orang lain. Setelah disiasat dari kandungan SMS amat jelaslah, individu berkenaan bukan penduduk asal di kawasan Teluk Kumbar. Malahan beberapa kenyataan dalam SMS itu boleh dipertikaikan dan langsung tidak masuk akal.

Nama individu berkenaan jelas bukan orang tempatan sebaliknya bermastautin di Georgetown. Beliau merupakan salah seorang barisan kepimpinan NGO yang sedang bergerak aktif di seluruh negara. Cuma saya hendak nasihatkan kepada individu berkenaan (nama dirahsiakan) agar lebih berhati-hati pada masa akan datang.

Jagalah nama baik NGO berkenaan. PT juga ahli kepada NGO tersebut dengan No. Keahlian: 059248. Jika individu berkenaan jujur dan ikhlas sebaik-baiknya beliau datang sendiri berjumpa dengan ADUN Bayan Lepas. Susah sangatkah individu berkenaan hendak turun ke Teluk Kumbar sedangkan Pusat Khidmat ADUN Bayan Lepas berada di Teluk Kumbar? Pusat Khidmat DUN Bayan Lepas dibuka pada setiap hari kecuali Jumaat, Sabtu dan Ahad kerana wakil rakyat berkenaan akan menggunakan hari-hari itu melawat kawasan dan memenuhi pelbagai jemputan dari NGO, persatuan penduduk dan sebagainya.

Setahu PT sejak bermastautin di Teluk Kumbar lebih 25 tahun yang lalu, banyak masalah rakyat telah dapat diselesaikan oleh pemimpin-pemimpin BN dan wakil rakyat di kawasan ini. Wakil rakyat BN khususnya wakil rakyat Bayan Lepas (dahulunya Teluk Kumbar) amat prihatin dengan masalah rakyat. Dari sekecil-kecil masalah hinggalah sebesar-besar masalah, beliau tidak kira wang ringgit, beliau terus membantu tanpa banyak karenah.

Beliau merupakan pemimpin berjiwa rakyat sentiasa menghulurkan bantuan tanpa mengira latar belakang fahaman politik, bangsa dan keturunan.  Ada ketikanya beliau 'jatuh miskin' kerana terlalu kasihan dan simpati dengan masalah harian rakyat. Selain bantuan daripada agensi-agensi kerajaan sedia ada seperti Pejabat Kebajikan, bantuan pakaian sekolah, bantuan kemasukan anak ke universiti dan asrama turut beliau usahakan mahupun dengan wang poket sendiri. 

Beliau merupakan wakil rakyat yang paling senior tetapi tidak ada apa-apa keistimewaan yang beliau nikmati. Beliau bukan Pengerusi mana-mana GLC atau mana-mana agensi kerajaan pusat. Beliau hanya wakil rakyat biasa, hanya menerima elaun tak sebanyak mana pun. Elaun wakil rakyat itulah untuk belanja pengajian anaknya dan sara hidup keluarganya dan elaun itu jugalah untuk dihulurkan derma kematian, kenduri dan juga lain-lain bantuan yang diluar jangkaan. Memang elaun wakil rakyatnya tidak mencukupi tapi beliau tetap membantu rakyat. Itu sebabnya sehingga hari ini, BN menghadapi masalah mencari calon baru untuk DUN Bayan Lepas. Sedangkan majoriti rakyat masih memerlukan khidmat beliau sebagai wakil rakyat mereka. 

Sikap beliau yang sentiasa merendah diri dan 'low profile'  menyebabkan beliau sangat disenangi rakyat pelbagai kaum. Disegani oleh kawan dan lawan. Beliau adalah 'winner candidate'  menepati hasrat PM bagi menghadapi PRU13 ini. Oleh itu ada sesuatu yang tidak kena jika ada mesej memaklumkan bahawa pemimpin BN ini tidak pernah turun membantu rakyat dalam kawasan DUN Bayan Lepas. Sementara itu beliau tidak ada musuh dalam politik sama ada dalam parti mahupun di luar parti. Malahan ada penyokong pembangkang khususnya ahli PAS telah memutuskan akan memberi undi kepada wakil rakyat itu dalam PRU13 akan datang jika ia menjadi calon. Begitulah sukanya orang ramai di kawasan ini kepada wakil rakyatnya tanpa mengira fahaman politik.

Sebenarnya PT tidak mahu menggunakan ruangan ini untuk memuji wakil rakyat tertentu. PT tahu sesiapa yang dicalonkan mesti disokong untuk pastikan calon BN menang dalam PRU13 ini. Oleh itu PT tidak mahu menggunakan ruangan ini untuk melobi wakil rakyat ataupun individu yang PT berkenan sebagai calon. Dengan kata lain, penentuan calon terserah atas kebijaksanaan PM yang menentukannya.

Oleh kerana SMS itu telah dihantarkan kepada pihak yang lain adalah wajar PT menjelaskan dalam ruangan ini agar dapat membetulkan persepsi negatif terhadap pemimpin BN tempatan. Tidak dinafikan bukan semua masalah rakyat dapat diatasi tetapi mendakwa pemimpin BN tidak pernah turun membantu masalah rakyat adalah suatu tuduhan yang liar dan tidak bertanggungjawab. PT dan kebanyakan rakan-rakan dan pemerhati politik sangat bimbang tentang prestasi calon BN dalam PRU13 yang akan datang. Jika ADUN Bayan Lepas ini tidak dicalon semula sama ada sebagai calon Parlimen mahu pun DUN,  dikuatiri kedudukan calon BN lain agak tergugat. Dengan kata lain, calon BN yang bakal diletakkan di kerusi DUN mahupun Parlimen sangat memerlukan beliau kekal berada sebagai calon jika mahu kemenangan dalam PRU13 tidak lama lagi.

PT berharap individu berkenaan dapat menjaga nama baik NGO yang kita wakili. Jika ada sebarang masalah dengan wakil-wakil rakyat BN sebaik-baiknya sms terus kepada wakil rakyat yang berkenaan mungkin ada kes yang terlepas pandang. Tindakan menghantar sms kepada pihak atasan merupakan suatu tindakan yang kurang bijak lebih-lebih lagi dalam situasi masing-masing pemimpin sedang berdebar menunggu nama mereka tersenarai sebagai calon. Jika ikhlas untuk membantu rakyat, eloklah berjumpa dengan wakil rakyat berkenaan. Wallahu alam.

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.