Politik negara semakin hari semakin kalut. Kerajaan BN tidak diberi peluang oleh pembangkang mentadbir negara secara mudah. Ada sahaja yang tak kena. Pengurangan cukai melalui pengenalan GST pun salah, apatah lagi pengurangan subsidi menyebabkan harga petrol naik. Ada pula mengajar kerajaan BN supaya tidak diberi Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) kerana BR1M kata mereka tidak mengatasi masalah rakyat dalam jangkapanjang.
Cuba kita perhatikan sebenarnya apa yang pembangkang mahu? Isu kalimah Allah tidak ada pun pemuda PAS yang sanggup berhimpun beramai-ramai membantah kedegilan pihak gereja di Selangor mahu menggunakan kalimah Allah. Malahan tiada pemimpin PAS yang berani tampil menyatakan pendirian tegas dan keras tentang isu kalimah Allah. Kenapa puak-puak ini bisu seribu bahasa? Kerana nak jaga dan memelihara pakatan politik pembangkang! Sebaliknya puak-puak PAS yang mengakui memperjuangkan Islam ini lebih sanggup berpanas dan berjalan berbatu-batu kerana hanya mahu menjatuhkan kerajaan. Bukan ada isu besar pun, hanya kenaikan harga minyak dan pelaksanaan GST dijangka dalam tahun 2015.
Tiada pun puak-puak PKR, PAS dan DAP yang berani mengecam Ketua Menteri Pulau Pinang menghabiskan kira-kira setengah juta ringgit wang rakyat membeli kereta mewah mercedez sedangkan baru 2 bulan menggunakan kereta Toyota Camry baru. Tiada pun ada pihak yang membantah pelaksanaan sistem kopon tempat letakereta di Pulau Pinang. Tidak sampai 3 minggu, pelaksanaan sistem berkopon ditarik balik. Apakah ini yang dikatakan kerajaan negeri yang cekap, akauntabiliti dan telus? Tapi rakyat tak nampak kelemahan kerajaan DAP. Rakyat lebih percaya DAP daripada orang Melayu UMNO.
Rakyat tak nampak sikit demi sikit orang Melayu akan dipinggir di bahagian pulau, Pulau Pinang. Di manakah rumah kos rendah atau mampu milik yang dibina oleh kerajaan DAP di Pulau Pinang? Yang ada di kawasan Balik Pulau ke semuanya rumah mewah harga tidak kurang dari RM500k. Siapa yang mampu membeli? Ahmad mungkin mampu beli rumah kos rendah yang berharga sekitar RM50k hingga RM65k sahaja. Kata lain kawasan Balik Pulau yang menjadi kawasan orang Melayu bertahan sebelum ini, tidak mustahil dalam tempoh 5 hingga 10 tahun lagi kaum lain terutama Cina akan menjadi penduduk majoriti.
Orang Melayu PAS dan orang Melayu PKR bukan tak nampak semua permainan DAP ini. Cuma mereka malu nak mengakui kelemahan mereka sendiri. Mereka lebih sanggup bermusuh dengan orang Melayu UMNO asalkan mereka hati mereka puas. Puashati kerana dapat menunduk musuh tradisi mereka. Mereka sudah tak kisah lagi dengan ayat-ayat suci al-Quran yang mengajak umat Islam bersatu dan bersaudara. Tapi mereka lebih selesa dan yakin dengan amanat Haji Hadi yang mengatakan orang UMNO itu kafir.
Memang jelas dan nyata bahawa PAS dalam keadaan amat bercelaru. PAS sedar pendirian tegas DAP dalam isu kalimah Allah dan negara Islam. PAS amat sedar pendirian Anwar Ibrahim mengenai LGBT, Comango dan kalimah Allah. Tapi PAS sanggup menipu pengikut-pengikutnya kerana undi untuk dunia (kuasa). PAS tidak kisah lagi dalam isu kalimah Allah dan negara Islam. PAS lebih pentingkan politik daripada isu agama Islam. Ada tokoh agama bertanya,"Kenapa pemuda PAS sanggup turun beramai-ramai kerana membantah harga naik tapi kenapa tidak pula sanggup turun beramai-ramai kerana membantah isu kalimah Allah?". Tepuk dada tanyalah diri anda!