Selepas cuti Hari Raya Aidilfitri banyak
 isu politik yang umum mengetahui. Isu MB Selangor sudah sampai ke 
peringkat yang begitu kritikal. Banyak pihak mengatakan bahawa isu MB 
Selangor lebih dahsyat hebatnya daripada isu peralihan pemerintahan di 
Perak.
Biarlah Pakatan Rakyat menyelesaikan 
masalah itu. UMNO jangan terlibat dengan masalah mereka. Bimbang nanti 
UMNO dituduh sebagai puncanya. Sudah ada pun secara nakal menuduh UMNO 
yang menyokong TS Khalid sebagai MB Selangor tanpa syarat menjadi 
puncanya. Tapi lebih baik kita melihat lebih dekat dengan masalah kita. 
Masalah parti kita di mana-mana sedang sibuk dengan Mesyuarat Perwakilan
 UMNO Bahagian termasuklah Wanita, Pemuda dan Puteri. 
Mengapa Mesyuarat Agung atau Mesyuarat 
Perwakilan UMNO diadakan? Sepertimana pertubuhan-pertubuhan lain, 
mesyuarat agung wajib diadakan seperti yang ditetapkan dalam 
perlembagaan pertubuhan. Mungkin sesetengah pihak beranggapan bahawa 
mesyuarat agung tempat meluahkan perasaan dan geram, menabur fitnah, 
mengutuk dan mencerca. Bagi sesetangah pihak pula akan menggunakan 
mesyuarat agung untuk memberi pandangan dan mengkritik secara yang 
berhemah demi untuk kebaikan ahli dan pertubuhan.
Umumnya kita mengetahui bahawa UMNO 
perlu membina kekuatan bagi menghadapi PRU14 yang kian hampir. Bagaimana
 kita dapat membina kekuatan sekiranya antara kita masih ada sifat 
berdendam dan hentam menghentam antara satu sama lain? Kita akan semakin
 lemah dan terus lemah jika setiap kali mesyuarat agung, kita 
membangkitkan perkara-perkara atau isu-isu yang merugikan kita. 
Berfikirlah sebelum bercakap. Jangan sampai kata pepatah Melayu, 
"terlajak perahu boleh berundur tapi terlajak cakap buruk padahnya".
Sepatutnya kita bertanya kepada diri 
kita sendiri, apa yang telah aku lakukan semenjak setahun yang lalu? 
Mesyuarat Agung datang lagi, apakah aku telah menunaikan janji-janji aku
 kepada parti dan ahli parti? Dalam mesyuarat agung yang lalu, aku 
berdiri dengan megah dan bergaya dan dalam ucapan aku itu aku berjanji 
untuk menyatukan ahli parti. Aku akan mengajak setiap ahli parti untuk 
bersama-sama bantu membantu setiap program yang dianjurkan oleh parti 
kesayangan kita. Jika ahli bersatu, parti akan kuat. InsyaAllah calon BN
 akan menang dalam PRU yang akan datang.
Oleh itu dalam mesyuarat agung kali ini 
aku berhasrat untuk mengukuhkan lagi parti aku. Lebih banyak program 
yang aku akan anjurkan selepas ini. Aku tidak kisah apa yang orang kata.
 Yang penting aku mampu melaksanakan aktiviti untuk faedah masyarakat 
dan parti dalam jangka pendek mahupun dalam jangka panjang. Jika 
pembangkang mampu dan boleh melaksanakan program? Mengapa pula aku 
tidak? Jadikan mereka sebagai pesaing yang sihat yang boleh 
memotivasikan kita untuk terus berusaha dan bekerja untuk kepentingan 
parti. 
Gunakan ruang dan peluang dalam 
mesyuarat agung ini untuk membetulkan yang salah dan bukan untuk 
menyalahkan yang betul.  Gunakanlah mesyuarat agung ini untuk 
mengukuhkan perpaduan dan bukan tempat mengwujudkan perpecahan antara 
ahli parti. Ingatlah setiap ucapan kita dalam setiap kali mesyuarat 
agung akan didengar, diingati dan dinilai. Jangan sampai ada ahli parti 
mendakwa kita "bercakap tak serupa bikin".  
Dalam mesyuarat agung atau perwakilan 
UMNO yang sedang dan akan berlangsung, harapan setiap ahli UMNO mahukan 
para perwakilan dan pemimpin UMNO dapat memberi ucapan yang bernas dan 
konstruktif. Elakkan menyentuh hal-hal yang boleh memecahkan perpaduan 
dalam parti sebaliknya mencadangkan kaedah yang boleh menguatkan parti. 
Kritikan yang membina dialu-alukan demi untuk kepentingan parti. Jauhkan
 dari kita memburuk-burukan kawan dan rakan kerana itu tidak memberi 
faedah kepada parti. Tunjukkan keikhlasan dan kejujuran kita dan 
buktikan melalui tindakan dan perbuatan. Jadikan mesyuarat sebagai 
tempat melahirkan idea-idea baru, berbincang menyelesaikan masalah 
parti,  dan sebaik-baiknya mesyuarat agung boleh merapatkan hubungan 
silaturahim antara ahli-ahli parti. Wallahu alam.
 
