Ikut Kamus Dewan 'jemuan' membawa maksud
sangat jahat. Dalam konteks UMNO ahli UMNO yang sangat jahat yang boleh
memporakperandakan UMNO dikatakan sebagai 'jemuan-jemuan'. Najib
sebagai Presiden Umno menegaskan jika UMNO dapat ketepikan jemuan-jemuan
ini, perpaduan dalam UMNO dapat dikekalkan. Ini bererti jika
jemuan-jemuan ini ada dalami UMNO, ahli-ahli UMNO akan berpecah sesama
sendiri. Umno akan jadi lemah dan akhirnya calon Umno akan kalah dalam
PRU yang akan datang.
Mengikut Najib lagi, jemuan-jemuan ini
lebih teruk lagi daripada tukang kipas atau batu ronson (batu api
penghasut) kerana mereka beradu domba sesama sendiri di kalangan ahli
UMNO dan akhirnya ahli UMNO berpecah dan parti akan jadi lemah.
Oleh itu peringatan Najib selaku
presiden UMNO perlu diambil perhatian yang serius oleh semua pemimpin
dan juga ahli UMNO. Seboleh-bolehnya tidak ada jemuan-jemuan dalam UMNO
khasnya dalam UMNO Bahagian Balik Pulau. Jika ada pemimpin UMNO yang
bertindak secara 'tidak beradab' dan hipokrit serta 'baling batu
sembunyi tangan' bolehlah dianggapkan sebagai jemuan dalam UMNO.
Sudah tentulah tidak akan ada pemimpin
yang mahu mengakui dirinya sebagai jemuan. Oleh itu tugas sebesar ini
sudah pastilah terletak di tangan ahli UMNO yang mengundi dan memilih
mereka sebagai pemimpin UMNO. Ahli UMNO perlu menolak atau singkirkan
terus jemuan-jemuan ini daripada dalam UMNO. Bahayanya lebih dahsyat.
Tanpa memikirkan siapa jemuan-jemuan
ini, ahli-ahli UMNO perlu sepakat dengan satu tekad dan hasrat untuk
menyingkirkan jemuan-jemuan ini. Biarpun banyak 'jasanya', demi
perpaduan dan kekuatan parti UMNO keputusan perlu dilakukan walaupun
ianya sangat pahit.
Selaku ahli UMNO yang bijaksana, yang
tidak mudah 'dijualbeli' dengan wang ringgit dan janji-janji manis, dan
seumpamanya perlulah juga dengan bijaksana menilai pemimpin yang ikhlas
dan jujur, dan pemimpin yang mengutamakan parti serta bukan untuk
kepentingan diri sendiri. Ingatlah UMNO akan kehilangan pemimpin yang
berwibawa, UMNO juga akan kehilangan pemimpin yang ikhlas dan jujur,
UMNO akan musnah jika jemuan-jemuan yang dikatakan oleh Dato Seri Najib
itu tidak disingkirkan. Semua ahli UMNO perlu menyatakan pendirian tegas
untuk tidak membenarkan jemuan-jemuan seperti itu wujud dalam UMNO
Balik Pulau.