"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Saturday, January 14, 2017

PRU14: Dilema parti pembangkang Pakatan Harapan

Ramai yang sedang melobi untuk menjadi calon PRU14 yang akan datang. Isu melobi untuk mencari calon bukan terhad semata-mata kepada parti kerajaan malahan parti-parti pembangkang lebih dahsyat lagi. Apakah tidaknya, ada parti-parti pembangkang sudah pun menentukan calon Perdana Menteri masing-masing.   Ada pula yang menggigil takut nak sebut calon PM kerana menjaga hati kawan yang lain. Persoalannya kenapa mereka takut menentukan calon PM?
Kegagalan mereka menentukan calon PM yang disepakati bersama akan menjejaskan hubungan baik antara parti-parti dalam Pakatan Harapan (dulu Pakatan Rakyat). Matlamat utama parti-parti dalam PH tidak sama. Mereka mempunyai matlamat yang tidak jelas dan ternyata berbeda.
Tun Mahathir selaku Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya mahukan Presiden UMNO, DS Najib meletak jawatan sebagai PM. Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mahu membebaskan DS Anwar Ibrahim dan akan dilantik sebagai PM. Parti Amanah Negara (PAN) pula mungkinlah akan mengenengahkan Presiden PAN, Mat Sabu sebagai PM.  Manakala DAP bersikap malu-malu kucing, menunggu masa dan ketika yang sesuai.
Begitulah isu parti-parti pembangkang sehingga kini belum mampu dan berani menyatakan calon PM mereka. Ada di kalangan pemimpin utama mereka meminta isu calon PM tidak perlu dibincangkan. Yang penting bagi dia, kalahkan dulu BN selepas itu baru kita bincangkan siapa yang akan jadi PM.  Bagi sesetengah pihak menganggap pernyataan itu sebagai sangat penting kerana jawatan PM merupakan simbol kuasa parti yang memerintah.
Dengan kata lain, mereka mahu menang dahulu kemudian berkelahi. Ini jelas bahawa parti-parti pembangkang tidak sehaluan dan bukanlah pakatan yang mantap untuk mentadbir negara. Mereka tidak berani memberitahu pengundi siapa calon PM dan menteri-menteri kabinet mereka. Selain akan dapat bantahan di kalangan pemimpin parti, mereka sangat bimbang jika bantahan itu menular kepada penyokong-penyokong parti masing-masing. Jika ini berlaku sudah tentulah usaha menawan Putrajaya akan gagal.
Rakyat dapat lihat pemimpin PH sangat berhati-hati dalam membincangkan isu calon PM. Mereka sedar bahawa akan berlaku perbalahan yang serius, pertelingkahan yang amat dahsyat dan pasti boleh menghancurkan pakatan jika calon PM dibincangkan. Baru satu isu calon PM, parti-parti pakatan masih tidak boleh duduk semeja berbincang dan membuat satu keputusan yang muktamad untuk pengetahuan rakyat. Mereka takut hilang undi dan gagal ke Putrajaya. Mereka tidak takut perbalahan yang akan rakyat tanggung jika berlaku krisis kepimpinan negara. Soal PM dan menteri-menteri yang akan dilantik serta dasar kerajaan baru Pakatan Harapan belum dapat kata sepakat.  Bagi mereka ini tidak penting. Yang penting bagi mereka menang dahulu dalam PRU14 akan datang.
Jika inilah kesepakatan yang dicapai di kalangan pemimpin PH, nasib rakyat sedang diperjudikan oleh pemimpin PH. Ibarat kata pepatah Melayu, “Untung sabut timbul, untung batu tenggelam”. Para pengundi perlu berhati-hati dan jangan terburu nafsu, “Takut yang dikendung keciciran dan yang dikejar pula tak dapat”. Soal negara bukan perkara yang boleh main-main. Akibat kesilapan memilih kerajaan bahananya terkesan sehingga ke cucu cicit.
Berwaspadalah, fitnah melampau-lampau dari pihak pembangkang kerana bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan BN. Setelah demontrasi jalanan tidak mendapat sokongan, fitnah ditabur melalui media sosial tanpa batas. Hingga ada pemimpin Melayu (bukan mufti) bercakap soal agama bagaikan fatwa kerana menjaga kepentingan politik kepartian. Ada pemimpin utama PH mengakui kerja mereka menghasut rakyat setiap hari supaya rakyat benci kerajaan. BR1M dikatakan rasuah, harga petrol naik dicaci dan dimaki sebaliknya mereka diam sepi bila harga petrol jatuh! Begitulah pembangkang di Malaysia yang kita kenali mahu menjatuhkan kerajaan Malaysia dengan pelbagai cara tanpa menghiraukan kesan buruk kepada ekonomi negara. Itulah juga matlamat mereka untuk mendapat sokongan rakyat. Rakyat Malaysia tidak keliru dengan mainan politik pembangkang, Insya Allah!