"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Wednesday, July 24, 2013

UMNO Balik Pulau: Jangan sampai nasi jadi bubur!

Kedudukan jawatan tertinggi dalam UMNO Bahagian di BP agak terbuka untuk semua pemimpin parti yang berminat. Jika dilihat dan dikaji teliti satu persatu, setiap cawangan dan sayap-sayapnya, ada pemimpin UMNO yang mempunyai kelebihan dan berada dalam situasi yang cukup selesa. Memang peluang yang cerah untuk menang. Jika dahulunya kalah dengan hanya beberapa undi sahaja tanpa ada sebarang jawatan dalam bahagian pada masa itu, tapi dengan kedudukan dan jawatan hari ini, pasti boleh menggugat kedudukan penyandang-penyandang jawatan tertentu dalam bahagian.

Kita tidak perlu menyembunyikan fakta politik di BP yang semua pemimpin UMNO kecil dan besar, muda dan tua sudah tahu.  Penyingkiran mantan YB ADUN Bayan Lepas, Syed Ameruddin secara tidak langsung telah mengubah sedikit lanskap politik UMNO di Bahagian Balik Pulau. Hakikatnya beliau merupakan pemimpin masa depan yang boleh mengukuhkan kekuatan parti. Beliau tidak ada musuh dalam parti. Jika ada pun,  masih boleh bersembang dan dibawa berbincang. Beliau disegani kawan dan lawan. Malangnya kerjaya politiknya tersekat dalam perjalanan. Kata orang "tak ada rezeki".

Harap-harap janganlah sampai nasi dah jadi bubur. Dan jika dah jadi bubur mustahil bubur boleh jadi nasi. Kita masih menaruh harapan yang sangat tinggi kepada kawan-kawan dalam politik UMNO BP, betapa tingginya peluang yang ada, kekuatan parti perlu diutamakan. Kita memerhati dari jauh dan dekat, UMNO BP perlu diperkukuhkan semula. Yang lama dan yang baru dan yang baru tapi lama mesti duduk semeja. Buang yang keruh ambil yang jernih. Tak perlu tergesa-gesa dan jangan terburu nafsu. Tidak akan lari gunung dikejar. Pasti suatu masa dan ketika, niat dan hajat akan tercapai jua.

Sejarah lalu banyak mengajar kita dalam politik. Keghairahan atau 'kegilaan' kita dalam berpolitik tanpa mengambil pertimbangan budi dan adab,  boleh memakan diri sendiri. Kita masih percaya bahawasanya majoriti perwakilan UMNO menjunjung tinggi nilai budi dan adab, masih boleh menilai  antara pemimpin UMNO yang jujur dan sebaliknya, antara pemimpin yang amanah dan sebaliknya dan antara pemimpin yang bertanggungjawab dan sebaliknya.

Semua orang faham pemimpin adalah manusia biasa yang tidak maksum. Oleh sebab itulah setiap pemimpin UMNO kena jaga 'track record' dia dalam politik. Pemilihan pemain bolasepak umpamanya akan mengambil kira banyak aspek termasuklah umur pemain,  staminanya, skilnya, performancenya, endurancenya, fizikalnya dan mentalnya serta banyak lagi. Yang gagal mencapai kriteria tersebut akan diletakkan di bangku simpanan atau digugur terus dari skuad utama pasukan bola sepak. Sepatutnya begitulah juga hendaknya pemilihan pemimpin politik pun. 

Kita semua selaku pemimpin dan ahli UMNO yang beriman kepada al-Quran dan Hadis saw. sepatutnya turut rasa bimbang dan takut sepertimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud “Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)”. (Riwayat Ahmad, al-Nasai, dan al-Termizi).

Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah. Berat rupanya jadi pemimpin dan berat juga jadi pengikutnya. Jumpa lagi.....

1 comment:

  1. Harap pemimpin UMNO Balik Pulau sedar... kemenangan petisyen UMNO Parlimen Balik Pulau dan DUN Teluk Kumbar tu jadikan iktibar agar kita insaf bahawa musuh terutamanya para pengkhianat dan kapir harbi masih tidak puas hati dengan Melayu selagi kita menganut Islam.

    ReplyDelete

Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.