"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Sunday, December 8, 2013

KPI dalam UMNO bolehkah direalisasikan?

Persidangan Agung UMNO telah selesai dengan pelbagai cadangan yang baru dan menakjubkan semua pihak yang berkepentingan. Secara umumnya ramai juga para pembentang dan pembahas masih mengulangi isu-isu lama yang berkaitan dengan kepimpinan UMNO, PRU13, kebajikan rakyat terutama golongan luar bandar, pendidikan, agama, ekonomi dan sebagainya.

Dalam banyak isu yang dibangkitkan dan diutarakan, cadangan Presiden UMNO untuk mengwujudkan KPI (Key Performance Indicators) merupakan sesuatu cadangan yang amat wajar dan perlu disokong oleh semua pihak terutama para pemimpin dan ahli-ahli UMNO. Secara tidak langsung ini menunjukkan betapa tegas dan kesungguhan Presiden UMNO kita hendak melihat UMNO sentiasa berubah di semua peringkat termasuklah bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan.

Bagi ketua-ketua jabatan kerajaan sama ada di peringkat Kementerian dan Jabatan sudah tidak asing lagi dengan KPI ini. Sama ada suka atau tidak suka, tujuan PM melaksanakan KPI dalam perkhidmatan kerajaan adalah amat baik. Yang tidak suka kepada KPI adalah mereka ketua jabatan dan kakitangan kerajaan yang tidak berminat bekerja, pemalas atau 'makan gaji buta'. 

Sebenarnya cadangan Presiden UMNO untuk melaksanakan KPI bukanlah sesuatu yang menggerunkan kepada keseluruhan pemimpin UMNO.  Mereka ini sebenarnya telah menawarkan diri untuk bertanding, mereka berkempen untuk diri sendiri dan mereka berjanji kepada penyokong-penyokong mereka dan para perwakilan serta ahli-ahli UMNO untuk meraih sokongan dan undi menjadi seorang pemimpin atau ketua.

Jika begitulah kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemimpin UMNO ini untuk menjadi ketua sudah pasti KPI kepada mereka bukanlah sesuatu yang menggerunkan mereka. Ahli-ahli UMNO umumnya akan menjadi pemantau dan penilai sejauh manakah KPI ini telah berjaya dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin ini? Oleh itu ketua-ketua Bahagian, ketua-ketua Cawangan, ketua-ketua wanita, pemuda dan puteri UMNO yang berada dalam keadaan 'zon selesa' yang lama dan baru perlu bangkit untuk memastikan KPI UMNO bahagian, cawangan, wanita, pemuda dan puteri dapat dilaksanakan setiap tahun/penggal.

Untuk mencapai tujuan itu, setiap pemimpin UMNO yang berada di atas sana perlu memperhalusi maksud KPI dan apakah petunjuk-petunjuk yang boleh digunapakai yang relevan dengan visi dan misi UMNO yang merupakan parti besar kepada orang Melayu dan Islam serta parti tulang belakang kepada kerajaan Barisan Nasional. Pelaksanaan KPI dalam UMNO memberi interpretasi yang cukup jelas bahawa kepimpinan UMNO di semua peringkat sangat serius untuk melihat UMNO sentiasa di hati rakyat. Rakyat suka kepada UMNO kerana pemimpin-pemimpin UMNO sungguh kuat bekerja dan sentiasa turun padang. 

Untuk tujuan itu, pemimpin-pemimpin UMNO perlu sentiasa bersama rakyat. Bukan kerana turun padang hanya ketika ada program atau majlis, bukan turun padang hanya pada waktu kejadian banjir dan bencana alam, kenduri kendara dan kematian malahan yang paling mudah terlekat dan melekat di hati rakyat bila pemimpin-pemimpin UMNO ini sering solat berjemaah dengan rakyat di masjid dan surau di kariah masing-masing. 

Jika kita masih ingat, tidak kurang dua sesi ucapan, Presiden UMNO telah menasihatkan agar pemimpin-pemimpin UMNO sama-sama mengimarahkan masjid dan surau. Kita yang bina masjid dan surau kenapa pula kita biarkan orang lain yang datang mengimarahkan masjid dan surau malah kuasa pentadbiran masjid/surau juga kita lepaskan begitu sahaja kepada pihak yang lain? Siapakah yang patut dipersalahkan? Bolehkah kekerapan pemimpin UMNO ke masjid dan surau dijadikan salah satu petunjuk utama dalam KPI UMNO?

Mungkin cadangan itu menjadi bahan jenaka kepada golongan dan pihak tertentu. Terutamanya PAS mungkin menjadikan ini sebagai bahan ceramah untuk menghentam UMNO dan secara tidak langsung menghina pemimpin UMNO yang menjadikan kekerapan ke masjid/surau sebagai KPI. Kita tidak menafikan selama ini mungkin pemimpin UMNO bersolat di rumah, berjemaah sesama ahli keluarga dan dengan adanya KPI, pemimpin UMNO perlu lebih kerap berjemaah di masjid/surau dalam kariah masing-masing. 

Bagi wakil rakyat DUN ataupun ahli parlimen pula di samping sentiasa berjemaah di masjid kariah sendiri, mungkin wakil rakyat ini perlu mengadakan KPI bilangan masjid/surau yang dilawati dalam tempoh sebulan/setahun. Jika KPI dapat dilakukan, kita yakin UMNO akan berubah selari dengan perjuangan menegakkan syiar Islam, mempetahankan maruah bangsa dan memelihara perlembagaan Raja Berperlembagaan.

Sebaik-baiknya Perhubungan UMNO Negeri, Bahagian-Bahagian, Cawangan-cawangan dan sayap-sayap UMNO sudah pun mengadakan KPI masing-masing. Mungkin bagi sesetengah pihak, sesuatu petunjuk KPI itu sudah pun terlaksana dengan jayanya. Contohnya Ketua UMNO Cawangan yang menjadi imam masjid sudah tentulah petunjuk kekerapan bersolat jemaah di masjid tidak ada masalah lagi. Inilah prestasi pemimpin UMNO yang diperhatikan oleh rakyat. 

Jika hari ini orang ramai bercakap pemimpin UMNO kurang ke masjid tapi selepas ini, insyaAllah orang ramai akan bercakap pemimpin UMNO amat sayangkan kepada agamanya, bangsanya dan negaranya. Cuba kita bayangkan jika semakin ramai pemimpin-pemimpin UMNO terdiri daripada imam-imam masjid dan surau, penceramah-penceramah UMNO adalah ustaz-ustaz dan cendiakawan Islam. Sudah pasti suatu hari nanti, entah bila UMNO akan sentiasa didekati dan menjadi parti milik rakyat .

Sebenarnya banyak lagi petunjuk-petunjuk yang boleh dijadikan KPI. Antaranya kekerapan mesyuarat, bilangan program setahun, peratus peningkatan daftar pemilih dan peratus pertambahan bilangan  keahlian UMNO boleh dijadikan KPI UMNO. Walau bagaimanapun boleh atau tidak, berjaya atau tidak, sangat bergantung kepada komitmen Ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin UMNO yang ada. 

Kita sarankan KPI dijadikan agenda wajib dalam mesyuarat semua peringkat UMNO termasuklah dalam mesyuarat sayap-sayap UMNO. Kepimpinan UMNO akan disemak, diukur dan dinilai setiap dua bulan (setiap kali mesyuarat)/tahun/penggal berdasarkan prestasi mereka melalui KPI yang ditetapkan. Pemimpin UMNO yang jelas gagal mencapai KPI yang ditetapkan eloklah berundur diri dari arena politik. Tidak perlu lagi menawar diri sebagai ketua/pemimpin UMNO. Pasukan pemantau dan penilai KPI UMNO yang bebas perlu diwujudkan bagi memastikan ketelusan pelaksanaan KPI UMNO dapat direalisasikan seperti yang dihasratkan oleh YAB Presiden UMNO. Kita yakin setiap pemimpin UMNO tahu bahawa menjadi ketua/ pemimpin UMNO hari ini tidak semudah dahulu. 

Ingatlah sesungguhnya setiap ucapan dan janji pemimpin UMNO hari ini diikuti oleh ahli-ahli UMNO dan para perwakilan. Oleh itu tunaikanlah janji-janji semasa berkempen untuk menjadi Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian dan Ketua sayap-sayap UMNO. Secara tidak langsung itu juga merupakan sebahagian KPI individu pemimpin UMNO. Jangan jadikan jawatan itu dan kedudukan itu hanya semata-mata untuk platform 'menjual diri' di pasaran gelap. Mencari kedudukan yang lebih baik untuk kepentingan diri sendiri. Sedangkan rakyat dan ahli-ahli UMNO di bawah sini sudah dilupai, janji tinggal janji. Itulah sebabnya KPI diwujudkan dan sudah pasti kita yang sayangkan UMNO menyokong 200% KPI dilaksanakan dalam UMNO dengan secepat yang mungkin.

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.