Semalam aku cuba mengikuti suatu majlis penyampaian hadiah Futsal Pemuda UMNO dalam Daerah Barat Daya.Turut hadir pada masa itu beberapa ADUN dalam Parlimen Balik Pulau. Ramai pemuda turut hadir dalam majlis tersebut.
Pengacara Majlis memberi peluang kepada YB ADUN Pulau Betong untuk memulakan ucapannya. Seperti biasa selaku orang politik cuba memberi kesedaran kepada pemuda betapa perlu pengundi-pengundi terutama di kalangan orang muda terus menyokong kerajaan sedia ada.
Beliau memberi beberapa contoh benar bagaimana pihak berkuasa kerajaan tempatan (MPPP) telah menyerahkan tanah seluas 6 ekar untuk dibina sekolah rendah dan menengah kepada International School dalam tempoh seminggu. Apakah tiada keperluan sebuah sekolah rendah dan menengah di kawasan itu? Sudah dua kali dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri tetapi setakat hari ini tiada sebarang penjelasan diberikan oleh kerajaan negeri. Sebenarnya menurut YB Farid, kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang diterajui oleh DAP mahu menguji tahap kesabaran orang Melayu.
Masalah yang sama juga berlaku, sebatang jalan di Balik Pulau yang kiri dan kanan jalan itu adalah sawah padi yang sebenar tidak boleh ditambak untuk kegunaan lain selain untuk pertanian. Kini telah kawasan tanah itu seluas 0.3 ekar telah diluluskan sebagai perusahaan penternakan kambing boer walaupun mendapat bantahan daripada Jabatan Parit dan Saliran Daerah Balik Pulau. Diluluskan oleh Mesyuarat Exco tapi sehingga ke hari ini belum buat apa-apa lagi. Malahan tidak logik kata YB Farid, tanah seluas hanya lebih kurang 9000 kaki persegi digunakan untuk perusahaan penternakan kambing boer. Sebenarnya kerajaan negeri cuba menguji apakah yang reaksi pemimpin-pemimpin Melayu dalam Pakatan Rakyat seperti Yusmadi (PKR), Dato' Halim Hussin (PKR), Dato' Mansor (PKR), Dato' Salleh Man (PAS) dan Dato' Abdul Malik Kassim (PKR). Semuanya diam membisu!
Mengikut ADUN Bayan Lepas, YB Syed Amerruddin yang berpengalaman lebih 14 tahun sebagai wakil rakyat dan sepenggal sebagai exco dalam kerajaan negeri dalam ucapannya beliau melahirkan rasa kerisauan dengan masa depan orang Melayu di Pulau Pinang. Tegasnya lagi, baru selama 4 tahun lebih diperintah oleh Pakatan Rakyat banyak perbedaan dapat dilihat sejak BN kalah kepada Pakatan Rakyat. Macam-macam masalah kepada orang Melayu semasa DAP memerintah.
Orang Melayu yang berniaga barang permainan di Padang Kota lama ada mengadu bahawa dia dihalau oleh MPPP. Tapi persoalannya kenapa peniaga-peniaga Cina di Padang Kota Baru mulai dari Gurney Drive tidak pula dihalau malahan diberikan payung berniaga oleh MPPP. Untuk makluman di Padang Kota Baru tidak ada seorang pun peniaga-peniaga Melayu. Inilah antara tindakan kerajaan negeri yang merisaukan.
ADUN Pulau Betong memberitahu bahawa pemimpin PR suka membohongi rakyat. Dalam suatu majlis di salah sebuah sekolah Cina, Ahli Parlimen PKR dalam ucapannya memberitahu hadirin bahawa sekolah melayu di Balik Pulau tidak pernah menjemput dirinya memberi ucapan. Kemudian dia memberitahu kepada orang ramai bahawa jika ada rumah-rumah dirobohkan dalam parlimen Balik Pulau, dia bersedia untuk meletak jawatan. Ohhh! begitu hebatnya Yusmadi, ahli parlimen Balik Pulau. Kononnya pemimpin berjiwa rakyat.
Oleh kerana YB Farid diberi peluang berucap selepas itu maka YB Farid dengan tegas dan berani menidakkan segala tohmahan YB Yusmadi dalam majlis itu juga. Beliau terus menegaskan bahawa Yusmadi terang-terang membohongi rakyat kerana dia sendiri (Yusmadi) pernah memberi ucapan di SK Sungai Korok. YB Farid tahu dan semua orang kampung Jalan Baru tahu. Tapi kenapa seorang pemimpin Melayu sanggup membohongi rakyat seolah-olah orang Melayu sendiri tidak menghormati dia sebagai ahli parlimen? Bercakap pula di hadapan orang-orang Cina menunjukkan beliau berbangga dengan sekolah Cina yang sudi menjemput beliau. Kenapa Yusmadi kondem sekolah-sekolah Melayu bila berada di majlis bukan orang Islam?
Satu lagi Yusmadi patut meletak jawatan kerana YB Farid beritahu sudah ada 2 buah keluarga yang mengadu bahawa rumah mereka akan diroboh oleh pemaju. Beliau terpaksa menolong dua keluarga tersebut. Tapi apakah Yusmadi tahu bahawa dalam parlimennya sudah banyak rumah-rumah orang Melayu telah, sedang dan akan dihalau oleh pemaju?
Dalam kes yang lain, YB Syed pula memberitahu bahawa usaha menghalang pemaju merobohkan rumah-rumah orang Melayu di Kampung Matahari Naik telah dikatakan hasil usaha ahli parlimen. Sedangkan kata YB Syed, pihak Yusmadi telah lepas tangan seminggu sebelum tindakan meroboh oleh pemaju. Terpaksalah pihak YB Syed bantu mencari peguam kepada penduduk berkenaan dan dengan arahan mahkamah dapat menghalang tindakan pemaju.Alhamdulillah sehingga hari ini, penduduk di situ dapat kekal tinggal di rumah masing-masing.
Sebenarnya begitulah sikap pemimpin PR yang kita kenali. Mereka lebih banyak bercakap daripada membuat kerja. Mereka lebih suka membuat tuduhan daripada mengakui kelemahan diri sendiri. Tapi rakyat rata-rata sudah sedar hanya menunggu PRU13 untuk membuat keputusan yang terbaik untuk orang rakyat Malaysia, agama dan negara kita yang tercinta.
Pada masa yang sama ada pula orang-orang kita orang Melayu sebelah sana (PAS dan PKR) memuji kebaikan pentadbiran kerajaan negeri DAP. Sama-sama kita pula tuduh menuduh, fitnah memfitnah, caci dan mencaci sebaliknya pihak berkuasa yang menghalau peniaga-peniaga kita orang Melayu dipuji dan disanjung. Beginikah caranya orang Melayu berpolitik? Beliau menyarankan kepada pemuda-pemuda supaya lebih berani ke hadapan. Jangan bersikap pasif sebaliknya agresif dalam menyerang jika kita diserang dengan tohmahan dan fitnah. Kita menyerang dengan fakta dan kebenaran. InsyaAllah jika kita berada di pihak yang benar Allah SWT akan menolong kita.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.