"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Saturday, October 30, 2010

Keprihatinan Dato' Sohaimi Shahadan perlu dicontohi pemimpin UMNO lain!

Terima kasih yang tidak terhingga patut kita berikan kapada Ketua Pemuda Bahagian Selayang, Dato' Sohaimi Shahadan yang begitu prihatin dengan mangsa kemalangan jalan raya semalam. Beliau dengan orang-orangnya telah bersusah payang menghulur bantuan kepada mangsa-mangsa kemalangan. Kerusi roda akan diberikan kepada mangsa-mangsa kemalangan yang memerlukan. Manakala keluarga-keluarga mangsa yang datang jauh dari Siong, Baling, Kedah akan diberi penginapan oleh Pemuda Bahagian Selayang di hotel-hotel budget sekitar hospital. 
Keprihatinan Dato' Sohaimi Shahadan selaku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang itu akan menjadi contoh kepada pemimpin-pemimpin UMNO lain agar sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya. Hanya Allah SWT sahajalah yang dapat membalas budi baik Dato' Sohaimi dan rakan-rakan pemuda UMNO dari Selayang. Marilah kita doakan agar roh mereka yang terkorban ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. Keluarga-keluarga mangsa diharap dapat menerima dugaan ini dengan penuh kesabaran dan tenang.

Kerajaan DAP-PKR-PAS di Pulau Pinang umpama yahudi!

Buletin Awani jam 7.30 pagi hari ini mendedahkan perasaan kecewa sekumpulan 14 keluarga Melayu yang akan diusir keluar dari Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong. Guan Eng penipu. Guan Eng menerajui kerajaan yang zalim umpama kerajaan yahudi menurut jurucakap kumpulan 14 keluarga itu, Sedih kita menyaksikan berita itu. Mereka merupakan keluarga nelayan yang miskin. Mereka dijanjikan rumah pangsapuri kos sederhana sebelum hari raya aidilfitri dulu. Tapi janji itu hanya janji kosong Guan Eng. Jadilah Guan Eng seorang Ketua Menteri penipu rakyat dan zalim disokong kuat oleh PAS dan PKR.
Melalui berita yang sama, Guan Eng masih nak berdolak dalih dengan alasannya yang cuba memperbodohkan rakyat. Beliau membuat kenyataan pengusiran orang-orang Melayu itu tiada kaitan dengan isu perkauman tapi kerana pembangunan. Itu saja kenyataan Ketua Menteri yang sangat mengecewakan keluarga Melayu ini. Pemimpin Melayu dalam PKR dan PAS sepatutnya bangun untuk membela nasib mereka. Tunaikanlah janji Pakatan Rakyat dalam kempen pilihanraya dulu, kononnya nak bela nasib rakyat dari kekejaman kerajaan BN. Sebenarnya BN atau PR yang kejam? Semasa BN memerintah Pulau Pinang dulu, cuba ingat. Tidak pernah orang Melayu mahupun Cina diusir sebegitu rupa. UMNO main peranan dan Gerakan, MCA dan MIC juga main peranan membela nasib bangsa masing-masing. Akhirnya rakyat yang kena pindah mendapat pampasan yang sewajarnya. Begitulah kerajaan BN buat dulu tapi dalam kempen pilihanraya dulu, pengundi-pengundi telah ditipu dengan fitnah yang ditabur oleh PAS, PKR dan DAP. Sekarang ini rakyat sudah nampak sendiri apa yang telah berlaku di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat sebenarnya parti yang tipu rakyat. Orang-orang Melayu khususnya yang sokong parti Pakatan Rakyat dalam pilihanraya dulu perlu insaf dan sedar. Andalah yang memilih kerajaan yang zalim sanggup mengusir orang-orang Melayu seperti pendatang haram. Orang Melayu bagaikan pelarian di tanah air sendiri. Pemimpin-pemimpin Melayu seperti PKR dan PAS dalam kerajaan negeri DAP hanya dapat menyaksikan kampung-kampung tradisional Melayu lain seperti di Binjai dan Balik Pulau juga akan menerima nasib yang sama. Hanya UMNO sejak dulu, kini dan selamanya terbukti membela nasib orang Melayu.

Thursday, October 28, 2010

PRESTASI KERAJAAN PULAU PINANG SEMAKIN MEROSOT DAN TERUK!!!

Kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng gagal menarik pelabur asing ke negeri ini walaupun sudah lebih dua tahun mentadbir negeri. Kerana itulah ramai anak muda terutama anak-anak Melayu Pulau Pinang ramai yang menganggur. Di tepi-tepi jalan gerai-gerai dibina bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan angkara kekurangan peluang pekerjaan. Apa yang tak kena lagi dengan kerajaan negeri DAP ini? Kerajaan BN dulu telah tinggalkan kepada kerajaan Pakatan Rakyat dengan rangkaian jalan raya dan lebuh raya yang cukup baik. Kemudahan pelabuhan dan pengangkutan udara telah dinaik taraf semasa kerajaan BN untuk menarik pelabur-pelabur asing ke Pulau Pinang. Disediakan pula kawasan-kawasan perindustrian bebas seperti Bayan Lepas dan Juru yang cukup strategik bagi pandangan seorang pelabur. Tapi kerajaan negeri hari ini diketuai oleh Guan Eng GAGAL menarik pelabur asing ke Pulau Pinang. 
Menurut Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan, pada 2008 pelaburan yang berjaya dibawa masuk adalah sebanyak RM10.2 bilion hasil usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ia kemudiannya menunjukkan penurunan pada 2009 dan 2010 selepas peralihan kuasa berlaku. "Pada 2009, jumlah pelaburan yang dicatatkan adalah RM2.2 bilion iaitu turun sehingga 79 peratus dan bagi Januari hingga pertengahan tahun ini pula hanya RM930 juta berjaya dibawa masuk.
Inilah nasib anak-anak Melayu yang paling ramai yang menganggur, tiada pekerjaan. Ada gerai yang dibina diroboh oleh pihak berkuasa tempatan kerana ada aduan oleh orang ramai kononnyalah. Tapi gerai-gerai makan Cina yang memenuhi di beberapa jalan di bandaraya Georgetown hingga menjadikan jalan sempit dan lalulintas kesesakan tidak pula dirobohkan, kononnyalah tak ada aduan. Beginilah nasib orang Melayu di Pulau Pinang. Orang Melayu yang menyokong DAP, PAS dan PKR hingga berdirinya kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang perlu sedar dan insaf. Jangan sampai anak cucu cicit kita kencing di kubur kita atas kesilapan kita sendiri. Banyaklkanlah bertukar-tukar pandangan dengan kawan-kawan kita yang lain supaya kita dapat membuat keputusan yang bijak untuk bangsa, agama dan negara kita.

Sunday, October 24, 2010

Apakah UMNO masih tidak berubah selepas PAU 2010!

UMNO boleh kita anggap mulai berubah walaupun jika tak sepenuhnya. Bermula dengan ucapan  perasmian dan ucapan penggulungan Presiden dan Timbalan Presiden yang sangat tegas dan berani. Itulah semangat pemimpin utama UMNO dan pemimpin utama BN yang mahu setiap rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa pun tidak lagi menyentuh hak kaum Melayu dan bumiputera, agama Islam sebagai agama rasmi dan kedudukan Raja-Raja Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Yang sedih dan kecewanya kita, bila ada orang Melayu sendiri terutamanya dari puak PAS dan PKR yang sanggup menggadaikan maruah bangsa dan agama kerana politik kepentingan diri. Mereka sanggup menidakkan keistimewaan Melayu/bumiputera dalam kempen poltitik mereka kerana untuk mendapatkan undi simpati daripada kaum Cina dan India. TG Nik Aziz  pernah mengatakan bahawa dia tidak berbangga dengan bangsa Melayu. Apa ada pada bangsa, katanya. Sedangkan dalam Kitab Suci al-Quran, Allah Taala berfirman yang bermaksud “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki (dan) seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi-sisi Allah adalah orang yang paling takwa antara kamu. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mengenal.” – surah Al-Hujarat, ayat 13.
PAS umpama kilang yang menghasilkan barang makanan fitnah dan palsu untuk diedar atau diagihkan kepada rakyat untuk dimakan. Soal hukum betapa besar dosa fitnah yang ditaburkan tidak menjadi persoalan pokok, yang lebih penting bagaimana rakyat boleh ditipu dan UMNO dapat ditumbangkan. (Lagi fitnah PAS terkini, baca sini!)
Oleh itu orang-orang Melayu terutamanya yang masih di atas pagar, perlu memikirkan parti yang konsisten dalam perjuangan, terbukti kejayaan dan mampu menggapai kejayaan seterusnya membela anak bangsa, agama dan negara. Jika kita menghayati setiap ucapan perbahasan oleh perwakilan dalam Persidangan Agung UMNO 2010, jelas UMNO sudah mulai berubah. Pemimpin UMNO dilarang melakukan 'cah keting' atau mencantas kawan. Pemimpin UMNO diminta selalu turun ke padang, berjumpa rakyat dan golongan akar umbi. Bagi merealisasikan apa yang dihasratkan oleh pemimpin-pemimpin utama dalam perbahasan dan penggulungan itu, peranan pemimpin di peringkat bahagian, sayap-sayapnya dan cawangan-cawangan amat penting.
Betapa semangat sekalipun Presiden dan Timbalannya tapi jika AJK Bahagian dan Ketua-Ketua Cawangan masih ditakuk lama, maka UMNO tak berubah juga, "pi mai pi mai dok tang tu jugaklah". Sepatutnya, selepas PAU 2010 ini, setiap mesyuarat Jawatankuasa Bahagian, Mesyuarat Biro-Biro UMNO Bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri akan mendapat sambutan setiap ahli jawatankuasa yang dijemput. Jika tidak dapat hadir akan ada wakilnya. Kita mahu UMNO BP berubah untuk kejayaan. Selepas PAU 2010 ini,  diharap UMNO BP akan melakukan sesuatu untuk mengembalikan semangat bekerja untuk menghadapi PRU13 akan datang sebagai satu pasukan. Jangan begitu  ghairah mempromosikan diri sebagai calon Parlimen atau DUN hingga soal pokok ditinggalkan! Ikhlaslah bekerja untuk parti, biarlah rakyat yang menentukan siapa yang layak untuk menjadi calon pilihan mereka.

Saturday, October 23, 2010

PEMIMPIN PAS DAN PKR GAGAL MENJAGA KEPENTINGAN MELAYU DI PULAU PINANG?

Di Pulau Pinang, orang Melayu semakin tertekan dan terhimpit. Beberapa buah kampung akan dibangunkan dengan projek-projek perumahan kos sederhana dan tinggi. Inilah yang sedang dan akan berlaku di Kampung Jalan Pokok Assam, Jelutong dan Kg. Binjai, Bayan Lepas. Manakala di Balik Pulau, dua buah kampung akan terlibat dengan pengambilan tanah oleh kerajaan negeri DAP-PAS-PKR untuk membina sebuah IPTS. Begitulah nasib orang Melayu di Pulau Pinang. Malangnya apakah peranan pemimpin Melayu PAS dan pemimpin Melayu PKR dalam kerajaan Guan Eng? Kenapa mereka berdiam dan membisu seribu bahasa? Kalau begitu benarlah dakwaan kebanyakan rakyat Melayu hari ini bahawa pemimpin PAS dan PKR telah dicucuk hidung oleh pemimpin DAP. YB Malek Hussin takut dengan Guan Eng. YB Mansor Othman selaku Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang juga takut dengan pemimpin autokratik Guan Eng. Semua pemimpin Melayu dalam kerajaan negeri Pulau Pinang telah mabuk jawatan yang diberikan oleh Guan Eng. Mereka sudah lupa masalah Melayu di Balik Pulau khususnya dan Pulau Pinang amnya. Mereka lebih sibuk untuk mengadakan program-program untuk memperkukuhkan parti mereka di hati rakyat. Mereka lebih gemar berpolitik daripada turun ke padang mendengar masalah rakyat. Bagi mereka, masalah rakyat adalah masalah kerajaan persekutuan (BN).
Orang Melayu Pulau Pinang perlu sedar bahawa pemimpin PAS dan PKR hanya beretorik. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka tidak bersedia untuk menjaga kepentingan orang Melayu. Mereka lebih suka menyalahkan kerajaan BN dulu. Itulah kegemaran mereka. Mereka ketandusan modal dalam politik. Semakin lama mereka memerintah semakin terserlah kesilapan dan kelemahan mereka. Pemberian bantuan kepada warga emas bersumberkan daripada wang yang meragukan. Pembangunan hartanah untuk projek-projek perumahan dan sebagainya berlaku secara meluas tidak dikawal oleh kerajaan Guan Eng tidak sepertimana kerajaan BN memerintah Pulau Pinang dulu. Pulau Pinang kini menjadi pusat hiburan dan kegiatan maksiat yang semakin tidak terkawal. Sudah beratus-ratus GRO warga asing telah ditahan oleh pihak berkuasa di pusat-pusat hiburan dan rumah urut sekitar Pulau Pinang.
Apakah peranan pemimpin PAS dan PKR yang beragama Islam dalam kerajaan Guan Eng hari ini? Apakah BN dan UMNO yang dipersalahkan? Mereka (pemimpin Melayu PAS dan PKR) telah tidak menunaikan tanggungjawab mereka yang diamanahkan oleh pengundi-pengundi dalam pilihanraya umum yang lalu. Mereka gagal menghapuskan atau setidak-tidaknya mengurangkan pusat-pusat hiburan dan judi yang berleluasan di Pulau Pinang. Mereka gagal menjaga kebajikan dan kepentingan Melayu dalam kerajaan negeri Pulau Pinang. Sebenarnya banyak lagi isu yang mencerminkan kegagalan pemimpin Melayu PAS dan PKR dalam kerajaan Pakatan Rakyat. Akan diulas dalam blog ini dalam entri yang akan datang.

Thursday, October 21, 2010

Guan Eng nak ramaikan orang Cina di Balik Pulau!

Tak payah disembunyikan niat sebenar Guan Eng. Dia mahu kawasan Balik Pulau jadi seperti mana Paya Terubong. Dia mahu kaum Melayu jadi minoriti di Balik Pulau dalam tempoh 5 atau 10 tahun lagi. DAP ada strategi yang licik bagaimana kampung-kampung Melayu boleh dilenyapkan satu persatu. Sementera pemimpin DAP boleh memerintah manakala pemimpin PAS dan PKR menikus di Pulau Pinang, eloklah orang Melayu di Balik Pulau dihalau secara perlahan-lahan.
DAP tahu orang Melayu di Balik Pulau tak boleh bersatu. Ramai juga Melayu di Balik Pulau masih menyayangi Guan Eng selaku Khalifah Umar Abdul Aziz. Ustadz-ustadz PAS dalam ceramah mereka memuji-muji Guan Eng sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat dan memahami Islam. UMNO dikatakan racis dan parti Umno tidak Islam. Inilah harga persahabatan yang ditawarkan oleh PAS yang amat menguntungkan DAP selaku parti anti-Islam. Selagi PAS menolak persahabatan dengan Umno selagi itulah DAP beroleh kejayaan. Kesetiaan PAS kepada DAP terbukti dan tidak boleh dipertikaikan lagi. PAS sanggup mengorbankan perjuangan menubuhkan negara Islam untuk menjaga hati Karpal Singh. PAS terpaksa menghalalkan penggunaan kalimah Allah demi untuk menjaga hati rakan-rakan DAP yang kebanyakannya bukan Islam. Malahan penceramah-penceramah politik bukan Islam dari DAP dibenarkan membaca al-Quran hanya untuk kepentingan politik pembangkang.
Kampung-kampung Melayu di Balik Pulau akan digantikan dengan IPTS. Jika kapasiti IPTS itu dianggarkan kira-kira 4,000 penuntut Cina atau bukan Melayuu, sudah tentu kira-kira 1,000 hingga 2,000 kakitangan akademik dan bukan akademik diperlukan untuk IPTS itu. Untuk menampung keperluan itu, rumah-rumah kos sederhana dan tinggi akan dibina di sekitar projek IPTS itu. Jalan-jalan raya perlu dibesarkan lagi dan kemudahan infrastruktur lain seperti rumah kedai, pusat-pusat kewangan/bank, stesyen bas dan teksi untuk pengangkutan awam dan sebagainya perlu diwujudkan. Lagi kampung-kampung lain yang berhampiran perlu dibuat pengambilan bagi tujuan tersebut.
Tidak ada manusia yang sanggup berguling-guling atau tidur di atas jalan kerana membantah pengambilan tanah itu. Pemimpin PAS dan PKR hanya tahu berdemontrasi semasa kerajaan BN dulu nak majukan tanah-tanah wakaf. Mereka menjadi dalang kepada kemajuan dan pembangunan umat Islam. Tapi kini mereka membisu, bila Guan Eng merampas kampung-kampung Melayu untuk membina IPTS. Inilah akibatnya bila wakil-wakil rakyat PAS dan PKR tidak diberi portfolio penting dalam kerajaan negeri. Akhirnya Melayu dan Islam semakin terhimpit di bawah pentadbiran kerajaan Guan Eng yang disokong PAS dan PKR. Orang Melayu dan orang Islam amnya perlu sedar dan bangunlah untuk bersatu di bawah parti yang boleh dipercayai dan terbukti selama ini demi menjaga maruah agama dan bangsa. Hanya Umno yang mampu melakukannya.


Tuesday, October 19, 2010

Pengundi dan ahli UMNO di BP dalam dilemma!

Menjelang PRU13, pengundi-pengundi dan ahli UMNO di Balik Pulau, Pulau Pinang dalam keadaan dilema. Ramai pemimpin UMNO di Balik Pulau berhasrat menjadi calon Parlimen Balik Pulau kali ini. Walaupun tidak diisytiharkan secara terbuka tetapi di kalangan pemimpin UMNO dan orang-orang UMNO mulai bercakap sesama sendiri. Semua pemimpin UMNO yang bercita-cita menjadi calon parlimen Balik Pulau mempunyai karekter dan 'track record' yang baik. Yang lama mengatakan dia berpengalaman dan yang baru mengatakan dia kuat bekerja.  Tidak seorang pun mahu mengalah, tak seorang pun mahu mengundur diri dan tak seorang pun mahu bertolak ansur. Menghangatkan lagi suasana persaingan bila ada pihak yang sudah menamakan calon tertentu untuk diketengahkan tanpa melihat implikasinya kepada UMNO sendiri. Yang sudah pasti akan ada yang tidak dicalonkan. Mungkin akan terkeluar terus dari senarai calon dalam PRU yang akan datang. Apakah pemimpin-pemimpin UMNO ini telah memikirkan bahawa persaingan seumpama ini sesuatu yang baik untuk UMNO dalam jangka pendek dan jangka panjang? Tidak takutkah nanti, akan berlaku "menang sorak kampung tergadai".
Kadang-kadang tindak tanduk pemimpin dalam mempromosi diri dilihat agak keterlaluan. Program-program yang dilaksanakan secara 'adhoc' mempunyai maksud tertentu. Kelihatan pemimpin-pemimpin mulai membawa haluan masing-masing. Ketua-ketua Cawangan dan pemimpin-pemimpin UMNO yang ditemui  telah melahirkan perasaan kurang senang dengan situasi UMNO hari ini. Presiden UMNO DS Najib pernah berpesan agar UMNO dapat diperkukuhkan lagi di peringkat bahagian-bahagian. Tapi apa yang sedang berlaku, pemimpin tidak lagi ambil kisah tentang perkara itu. Tiada usaha untuk memantapkan pengurusan parti. Tiada usaha untuk merapatkan sayap kanan dan kiri UMNO, Pemuda dan Wanita serta Puteri bersama Bahagian dalam satu gerakerja yang bersepadu bagi menghadapi PRU yang akan datang. Yang kita lihat pemimpin dengan program masing-masing. Yang ada duit boleh buat program. Yang tak ada duit buatlah program sekadar yang ada.
Jika berlaku PRU dalam masa yang terdekat, bersediakan UMNO untuk hadapi pilihanraya? UMNO bukan lagi parti yang memerintah di Pulau Pinang.  Bersatulah pemimpin demi untuk masa depan UMNO yang lebih gemilang dan terbilang. Janganlah merebut-rebut sesama sendiri. Cari jalan penyelesaian yang terbaik melalui semangat bermusyawarah dan bertolak ansur.

Saturday, October 16, 2010

Lagi Bantahan Rakyat di Balik Pulau - Pengambilan Tanah oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang!

Kampung Genting Balik Pulau akan jadi seperti Kampung Buah Pala dan Kampung Jalan Pokok Assam. Di bandar kampung-kampung tradisional India dan Melayu, satu demi satu mulai dihapuskan secara halus oleh kerajaan DAP-PAS-PKR (Pakatan Rakyat) Pulau Pinang.
Kini sebuah kampung tradisional yang berada di kawasan Balik Pulau, Kampung Genting akan dibuat pengambilan tanah oleh kerajaan Pakatan Rakyat untuk membina sebuah IPTS. Dengan itu satu lagi kampung Melayu di Balik Pulau akan lenyap. Bagi membantah pengambilan tanah itu, tuan/puan, sdr/sdri dijemput beramai-ramai di Kampung Genting, esok 17/10/2010 jam 10.30 pagi berhimpun di Masjid Kampung Genting, Balik Pulau.
Hadirlah beramai-ramai sebagai tanda bantahan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang bijak menipu rakyat untuk kepentingan politik mereka (DAP) di Pulau Pinang.

Wednesday, October 13, 2010

Salleh Man Bawa Totok-Totok PAS Untuk Sokong Wang Judi Guan Eng!!!!

Sesi penerangan untuk menjawab isu wang hasil judi kerajaan DAP di P.Pinang telah diadakan di Bangunan Datuk Ahmad Badawi pagi tadi. Ia dikepalai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir yang juga Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Saleh Man.

Ceramah juga disampaikan oleh beberapa orang Adun termasuk Adun Bagan Dalam, Thanasekharan dan Adun Bagan Jermal, Lim Hock Seng.

Hampir 70 warga emas yang merupakan ahli PAS dan PKR hadir setelah dibawa ke Majlis itu oleh petugas-petugas parti tersebut.

Saya dimaklumkan bahawa warga-warga emas ini dikumpul dari lebih 10 kawasan Seberang Perai iaitu Penaga, Kepala Batas, Bagan, Teluk Air Tawar, Sungai Dua, Tasek Gelugor, Pokok Sena, Lahar Yooi dan kawasan-kawasan lain.

Saya juga diberitahu oleh pihak majlis, pada awalnya dianggarkan lebih 600 warga emas penerima wang ehsan telah dijemput ke majlis penerangan ini. Tetapi akhirnya, hanya 70 sahaja yang hadir.., itupun setelah usaha menyediakan pengangkutan dan urusan perjalanan disediakan.

Menariknya di Majlis Penerangan ini, Salleh Man telah mengaku bahawa kerajaan pimpinan Lim Guan Eng telah menerima hasil judi dari kelab lumba kuda. Tetapi Salleh Man segera manafikan duit tersebut digunakan didalam pemberian wang ehsan RM100.

Duit itu kononnya digunakan untuk program yang lain. Terfikir juga saya, adakah program lain yang dimaksudkan oleh Salleh Man ini ialah Program berbuka puasa dan sumbangan kepada Masjid-masjid di sekitar P.Pinang yang dilakukan kerajaan DAP sebelum Aidilfitri dulu?

Nampaknya, setelah exco agama Malik Kassim dari PKR tak mampu menangani isu wang hasil judi yang diterima Lim Guan Eng untuk Program Basmi Kemiskinan di P.Pinang, kini Salleh Man dari PAS pula menjadi lembu tambatan kepada Lim Guan Eng dan DAP negeri.

Inilah bukti bahawa PAS dan PKR hanya menjadi barua talibarut mencuci najis kepada kafir harbi DAP di negeri P.Pinang ini!

Sumber: Media Permatang Pauh

Monday, October 11, 2010

ISU AIR DI KEDAH MENDAPAT BANTAHAN DARI AHLI PAS SENDIRI!

Sekumpulan ahli Pas hari ini menyerahkan memorandum membantah kenaikan tarif air di negeri ini yang berkuatkuasa 1 Oktober lalu kepada Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Kumpulan yang bertindak atas nama Jawatankuasa Bertindak Membantah Kenaikan Isu Air itu berhimpun di hadapan pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman di sini untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil Menteri Besar, Zulkapli Osman.
Wakil kumpulan itu, Abdullah Hashim berkata, memorandum tersebut mendesak supaya kerajaan negeri menarik balik keputusan menaikkan tarif air kerana ia menjejaskan kehidupan rakyat di negeri ini khususnya golongan miskin.
Katanya, Menteri Besar juga diminta supaya mendedahkan perjanjian antara Syarikat Air Darul Aman (SADA) dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang dikatakan merugikan rakyat.
Mereka juga mendesak Menteri Besar meletakkan jawatan kerana gagal memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Kedah apabila tarif air dinaikkan antara 25 hingga 44 peratus.
Turut sama dalam bantahan itu ialah bekas Setiausaha Kerja Pas Kedah, Md. Noor Abd. Rahman dan bekas Ketua Pemuda Pas Kedah yang juga bekas Setiausaha Pas Kawasan Jerai, Mohd. Najib Fahami Yahya.
Sementara itu, Azizan ketika mengulas mengenai bantahan itu mengakui tindakan tersebut dilakukan oleh ahli Pas dan tidak didalangi oleh parti lawan.
Bagaimanapun kata beliau, tindakan tersebut tidak mendapat sokongan daripada ahli-ahli lain kerana kumpulan tersebut dikenali sebagai golongan yang sering menimbulkan masalah sehingga ditolak oleh kepimpinan Pas di kawasan berkenaan.
Azizan menjelaskan, kumpulan tersebut hanya mewakili diri sendiri, bukannya keseluruhan rakyat negeri Kedah.

Sumber: Utusan Malaysia 11/10/2010

Thursday, October 7, 2010

Kawasan perkampungan tradisonal orang Melayu di Balik Pulau mulai terancam!

Projek membangunkan hartanah di bahagian Pulau, Pulau Pinang amat pesat sejak pemerintahan diktator Guan Eng. Pemimpin-pemimpin Melayu dalam kerajaan Pakatan Rakyat sunyi sepi membisu seribu bahasa. Takut disergah oleh pemimpin kesayangan mereka Tuan Lim Guan Eng.  Orang Melayu di Balik Pulau masih leka atau masih tidur bahawa kehidupan mereka yang aman dan damai di kampung-kampung tradisonal akan terancam tidak lama lagi.  Secara halus, kawasan Balik Pulau yang kekal secara tradisonal dengan perkampungan Melayu akan beransur-ansur berubah wajah bila pembinaan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) untuk kaum Cina di Balik Pulau di sini menjadi kenyataan. 
Teka teki terjawab  apabila kerajaan negeri dikatakan telah mewartakan tanah seluas 81 hektar di Pondok Upeh dan Kampung Genting di sini untuk tujuan pembinaan IPT itu. Pewartaan itu dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 15 Ogos lalu. Menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, YB Syed Amerruddin Dato' Syed Ahmad, beliau dimaklumkan bahawa tanah itu diwartakan khusus untuk diambil-alih bagi tujuan membina sebuah cawangan universiti yang berpangkalan di Singapura dan selebihnya dikatakan untuk tujuan awam. "Apabila siap nanti 4,000 hingga 5,000 orang pelajar dianggarkan menuntut di universiti itu. Jumlah ini belum lagi meliputi hampir 2,000 tenaga pengajar dan staf universiti dari republik itu yang akan dibawa ke sini. Beliau risau akan ada lebih banyak tanah terpaksa diambil untuk menyediakan kemudahan buat mereka, katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen sumbangan pakaian terpakai untuk mangsa banjir di Pakistan di sini, hari ini.
Menurut Syed Amerruddin, pihaknya tidak menentang hasrat kerajaan negeri mahu membina universiti di negeri ini tetapi perlu dilaksanakan di kawasan lebih sesuai seperti di Bukit Jambul atau Bayan Baru. Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri menimbang semula rancangan pembinaan universiti tersebut kerana kewujudannya nanti akan membawa lebih banyak kesan negatif kepada alam sekitar dan penduduk tempatan.
Pelan-pelan kawasan orang Melayu di Balik Pulau akan dihapuskan dengan alasan pembangunan dan kemajuan untuk rakyat di Pulau Pinang. Guan Eng lebih cerdik daripada pemimpin-pemimpin Melayu yang ada dalam kerajaan PR. Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi apa yang nak dipedulikan. Dia jarang ada di Balik Pulau. Dalam PRU akan datang sudah pasti namanya akan terkeluar dari senarai calon wakil rakyat mewakili Pakatan Rakyat. Semasa BN memerintah dulu, bukan pemimpin UMNO tak bijak membawa pembangunan di Balik Pulau tetapi mereka memastikan pembangunan yang tidak merugikan orang Melayu. Ketua Menteri PP pada masa itu, Dr. Koh Tsu Koon menghormati kehendak pemimpin UMNO Balik Pulau melalui Local Plan yang dipersetujui bersama  antara UMNO Balik Pulau dengan PBT dan kerajaan negeri pada masa itu. 
Tapi apa yang berlaku sekarang? Apakah pemimpin Melayu PKR dan PAS di Balik Pulau dapat lakukan untuk menyelamatkan kawasan orang Melayu yang cuba dipertahankan sekian lama oleh UMNO? Orang Melayu sudah tersalah pilih dalam PRU yang lalu. Yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran. Menang sorak kampung tergadai. Akhirnya kita semua menerima musibahnya angkara pemerintahan Guan Eng yang didewa-dewakan pemimpin dan penyokong Melayu PKR dan PAS sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz. Tengoklah di sana sini, di atas dan di bawah, di kuala dan hulu, bukit dan lurah semua sudah digondol dengan membina rumah-rumah yang sudah tidak mampu lagi dibeli oleh orang Melayu. Orang Melayu wajar bersatu kembali dengan parti yang terbukti mampu mempertahankan kawasan orang Melayu selama ini. Tepuk dada tanya minda masing-masing agar pisang tidak berbuah dua kali!

Monday, October 4, 2010

Golongan veteran di Balik Pulau juga ada yang mahu kembalikan duit judi!

Ramai sudah penerima bantuan program membasmi miskin tegar dan wang ihsan RM100 daripada kerajaan negeri Guan Eng memulangkan semula wang tersebut.
Seorang warga emas, Elias Siru, 68, berkata, dia tertipu kerana menyangka wang bantuan kerajaan negeri itu diberi atas dasar keikhlasan untuk membantu orang tua sepertinya. "Tapi kalau mengambil duit judi untuk disedekahkan kepada orang macam kami ini, saya rasa ia sudah keterlaluan.
"Kadang-kadang saya rasa takut jika saya mati sebelum dapat memulangkan wang ini, hari ini saya benar-benar berasa lega," jelasnya. Che Yom Abdul, 62, pula bertekad memulangkan wang tersebut kerana ragu-ragu ia bersumberkan wang perjudian seperti yang didedahkan baru-baru ini.
"Selepas tahu mengenai perkara ini, saya bertekad untuk pulangkan semula dan ketiga-tiga anak saya juga menasihatkan untuk pulangkan kerana kami sekeluarga tidak perlukan duit yang diragui dari mana ia datang.
"Kerajaan pun sudah beri duit pencen tiap-tiap bulan, itu pun sudah cukup, kami bersyukur. Cuma nak tanya (kerajaan negeri), patutkah beri kami duit ini? Kami mungkin tidak mampu tetapi kami tidak tergamak terima duit haram," katanya.
Sharifah Abdul Rahim, 70, pula memberitahu, dia sekeluarga sangat terkilan selepas mendengar pengakuan kerajaan negeri ada menerima wang dari Kelab Lumba Kuda untuk membantu orang miskin di Pulau Pinang. "Saya ragu-ragu sama ada wang (RM100) yang terima ini juga datang daripada sumber judi, jadi saya rasa lebih baik pulangkan supaya hati lebih tenang. Insya-Allah, tanpa duit ini saya dan anak-anak masih boleh hidup," tambahnya.
Pada 29 September lalu, 40 penerima bantuan kerajaan negeri terdiri warga emas dan fakir miskin di Kepala Batas memulangkan semula bantuan berkenaan diikuti 70 lagi penerima bantuan sekitar Bayan Baru, dekat sini yang membuat tindakan sama semalam.
Isu pemulangan wang judi mulai diperkatakan di sana sini. Semalam ada golongan veteran bertanya yang mereka mahu memulangkan wang judi itu kepada siapa? Di tempat lain, UMNO Bahagian boleh dianggap sebagai penyelaras kepada penerima bantuan program membasmi miskin tegar dan wang ihsan RM100 untuk memulangkan semula wang. Di Balik Pulau juga sepatutnya UMNO Bahagian boleh memainkan peranan yang sama kerana ramai golongan veteran sudah sedar dan bercadang untuk mengembalikan wang haram tersebut kepada kerajaan negeri. Kita tunggulah mungkin UMNO Bahagian Balik Pulau akan berbuat sesuatu untuk tujuan itu.