"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Monday, September 3, 2012

Sokong Kit Siang jadi TPM bercanggah dengan matlamat PAS

HAKIKAT yang tidak boleh ditolak oleh catatan sejarah politik negara adalah Pas merupakan sebuah parti serpihan UMNO yang dilahirkan oleh mereka yang berpendidikan agama, terutama ahli yang menerima pendidikan di Asia Barat.
Parti itu lahir hasil daripada pertemuan pertama alim ulama pada 24 November 1951 iaitu pertemuan yang diinisiatifkan oleh Mudir Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Haji Ahmad Badawi Abdullah Fahim. Penubuhannya bertujuan membangkang dan membetulkan UMNO dari sudut keagamaan.
Haji Ahmad Badawi yang merupakan pengasas Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah adalah ayahanda kepada bekas Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah merupakan antara pelajar madrasah berkenaan dan Perdana Menteri Malaysia pertama yang mempunyai ijazah dalam bidang Pengajian Islam.
Selain itu, matlamat Pas diasaskan adalah untuk menjadi pembangkang dan menegur UMNO dari sudut keislaman, mengekalkan kuasa Melayu dan menegaskan pemimpin negara sebagai pemerintah utama negara mestilah beragama Islam. Itu adalah antara matlamat Pas kerana secara umumnya setiap orang berbangsa Melayu di negara ini adalah beragama Islam.
Tetapi apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai tokoh paling berpengaruh dan paling dipakai buah fikirannya oleh Pas pada waktu ini boleh bersetuju dengan janji Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum akan datang dan berjaya menubuhkan kerajaan, ia secara terang lagi bersuluh bahawa janji itu jelas bercanggah dengan matlamat, tujuan dan fungsi Pas ditubuhkan.
Malah pada perhatian saya, Pas pada era 'Nikazizsme' telah menjadikan Nik Aziz bersikap umpama tikus membaiki labu dan tupai membaiki buah manggis, menjadikan Pas semakin kehilangan identiti sebagai sebuah parti politik yang konon perjuangannya berteraskan Islam.
Seandainya majoriti rakyat, terutama majoriti pendukung dan penyokong Pas boleh terpedaya dengan pendekatan berpolitik gaya Nik Aziz pada era Pas dibayangi sindrom dan wabak Nikazizsme ini, maka negara ini pasti akan mengalami bencana besar.
Kalangan bukan Melayu bukan sahaja akan terus menguasai bidang ekonomi tetapi juga akan menguasai politik dan juga kuasa pemerintahan dan pentadbiran negara sebagaimana pada waktu ini sedang berlaku di Pulau Pinang.
Sehubungan itu, rakyat tidak boleh terikut-ikut dengan pendekatan berpolitik PKR dan Pas yang cuba bermain api untuk membakar peluang dan keistimewaan Melayu sebagai bangsa pertuanan negara ini sebagaimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara.
Janganlah bak seperti kata pepatah, 'sudah terhantuk baru tengadah'. Ini kerana apabila nasi sudah menjadi bubur dan menangis keluar air mata darah sekali pun, bubur tidak akan bertukar menjadi nasi kembali.
Biarlah pemimpin, pendukung dan penyokong PKR dan Pas terjun dengan labu-labunya. Kita rakyat jelata jangan ikut terjun sama. Sayangilah negara dan bangsa kita, di samping pada waktu yang sama kita menghormati dan mengekalkan persefahaman serta keharmonian dengan kaum-kaum lain sebagai rakan senegara tanpa perlu mengorbankan ketuanan, semata-mata kerana mahu menunjukkan sifat dan sikap setiakawan yang melampau.
Ingin saya tegaskan iaitu buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali.
 
RAMLI ABDUL HALIM
Kota Bharu, Kelantan.

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.