"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Friday, October 26, 2012

Hudud: Inilah cerita sebenarnya, mesti baca!

Hudud: Pas tidak bersungguh

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali hari ini mendedahkan bukti bahawa kegagalan Pas Kelantan melaksanakan hukum hudud bukan disebabkan halangan kerajaan Pusat tetapi kerana kerajaan negeri sendiri tidak bersungguh-sungguh mahu menegakkan syariat Islam itu.
Menurut Ibrahim, perkara tersebut diakui sendiri Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Guaman Pas Pusat, Datuk Wan Abdul Muttalib Embong menerusi fail sulit Perakuan Lujnah Panel Penasihat Undang-Undang dan Guaman Pas Pusat Ke Atas Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993.
Menerusi perakuan itu, Wan Abdul Muttalib pada 3 Oktober 1996 dipetik sebagai berkata: "Sehingga kini tidak ada tanda-tanda yang kerajaan Kelantan bersungguh-sungguh mahu melaksanakan syariat, khususnya dalam bidang perundangan.
"Kelantan sendiri tidak pernah membuat permintaan kepada Pas Pusat untuk mendapat pandangan berkaitan dengan perkara itu dan belum lagi saya lihat kerajaan Kelantan mengemukakan rangka atau blue print ke arah pelaksanaan syariat."
Wan Abdul Muttalib yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat kemudian sekali lagi mempersoalkan perkara tersebut ketika Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pada 18 April 1998 apabila dipetik sebagai berkata: "Mengapa kerajaan Kelantan belum melaksanakan hukum hudud sedangkan kita berkuasa ke atasnya?"
Dalam pada itu Ibrahim mempersoalkan mengapa Pas sanggup menyalahkan pemimpin UMNO sedangkan Lujnah Undang-Undang dan Guaman Pas Pusat sendiri sudah memutuskan sejak 9 Oktober 1994 bahawa hukum hudud adalah undang-undang sah dan boleh dikuatkuasakan kerana tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Hari ini terbukti Pas sebenarnya yang tidak bersungguh-sungguh mahu melaksanakan hukum hudud. Namun ironinya setiap kali pilihan raya umum akan berlangsung, isu hudud inilah yang sentiasa dicanang sebagai modal politik dengan menyalahkan UMNO kerana tidak meminda Perlembagaan Persekutuan.
"Tetapi dengan terdedahnya maklumat sulit hasil mesyuarat dalaman Pas ini kita boleh menilai sebenarnya parti itu, khususnya Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri hanya bermain politik dalam isu hudud," katanya sambil mengakui fail-fail sulit tersebut diserahkan oleh seorang pemimpin Pas kepadanya.
Dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, Ibrahim turut mendedahkan fail tentang nota diskusi Undang-Undang Tubuh Kelantan bertarikh 3 Oktober 1996, peringatan mesyuarat Lujnah Politik dan Pilihan Raya Kelantan bertarikh 5 April 1993 dan peringatan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Ke-10 yang semuanya turut membincangkan tentang hudud.
Sehubungan dengan pendedahan itu, beliau turut mendesak Nik Abdul Aziz dan seluruh kepimpinan Pas memohon maaf kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana menuduh bekas Perdana Menteri itu menghalang pelaksanaan hukum hudud menerusi sepucuk surat bertarikh 15 Julai 1994.
"Kepada Pas, berhentilah menipu umat Islam. Kalau tiada niat dan tidak mampu nak laksanakan hukum hudud, mengaku sajalah. Berhenti daripada bercakap tentang hukum hudud kerana memperalatkan agama untuk memancing undi berdosa hukumnya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.