"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Monday, August 26, 2013

Kenapa PAS tidak bersama di Mahkamah Rayuan berhubung isu kalimah Allah?

Pucuk pimpinan Pas diminta menyatakan pendirian berhubung keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan Gereja Roman Katolik membatalkan rayuan kerajaan Malaysia berhubung isu melibatkan pengunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan Herald.
Presiden Jalur Tiga Malaysia (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali berkata, rakyat mahu melihat pendirian Pas dalam memperjuangkan isu kritikal seperti kalimah Allah atau pemimpin parti itu hanya sekadar bersuara demi kepentingan politik masing-masing.
Menurut beliau, desakan itu bagi memastikan parti tersebut masih lagi relevan dalam perjuangan Islam serta tidak tersasar daripada landasan sebenar.
Tambahnya, sebagai sebuah parti berteraskan Islam, pucuk pimpinan Pas sepatutnya hadir menyatakan sokongan semasa perbicaraan berhubung kes penggunaan kalimah Allah di Putrajaya semalam.
"Ketiadaan seorang pun ahli Pas semalam menimbulkan persoalan. Ahli-ahli Pas perlu bertanya kembali sama ada mereka perlu mempertahankan sebuah parti yang secara terang-terangan enggan memperjuangkan penggunaan kalimah Allah.
Komen:

Pemimpin PAS tersepit antara kepentingan politik dengan kepentingan agama. Jika pemimpin PAS turut serta bersama-sama dengan NGO Melayu/Islam lain pada hari itu di Mahkamah Rayuan, PAS bimbang penyokong-penyokong PAS dari kalangan pengundi-pengundi Cina dan India akan 'cabut lari.' Oleh itu pemimpin PAS lebih bersedia menjauhkan diri apatah lagi mengulas tentang penggunaan kalimah Allah oleh gereja.

PAS seperti biasa akan lebih suka berdiam diri jika sesuatu isu itu boleh melukakan hati kawan-kawan dari DAP dan PKR. PAS lebih menjaga hati kawan-kawan DAP dan PKR daripada menjaga maruah agama Islam dicabar. 

Akhir-akhir ini PAS tersepit dan dihimpit oleh dua isu utama. Isu Syiah dalam PAS dan isu kalimah Allah. Kedua-dua isu itu melibatkan secara langsung dengan PAS sebagai parti yang dikatakan memperjuangkan Islam. Setakat ini, majoriti umat Islam memang tidak berpuashati dengan sikap sambil lewa dan acuh tak acuh pemimpin PAS berhubung dengan kedua-dua isu tersebut.  Sikap dan pendirian mereka ibaratkan "Ditelan mati emak, diluar mati bapa". 

Umat Islam yang benar-benar cintakan Islam perlu bijak menilai sejauhmana ketulusan dan kejujuran PAS memperjuangkan Islam selama ini. Lihatlah bagaimana semakin ramai golongan ulama-ulama dan ustaz/ustadzah mulai meninggalkankan PAS. Kenapa? Tepuk dada tanyalah minda anda!
 

Sunday, August 25, 2013

Apakah UMNO Balik Pulau ada pertandingan?

Ada berita yang belum pasti sahih, ada pertandingan jawatan-jawatan tertentu. Kempen sudah pun bermula. Yang sahih jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Naib Ketua Pemuda akan ada pertandingan. Ada baik dan ada yang tak baiknya ada pertandingan. Sayap-sayap UMNO seperti wanita, pemuda dan puteri rasanya elok diadakan pertandingan kerana kumpulan ini merupakan pemimpin pelapis masa hadapan parti. Pertandingan yang sihat menyuburkan amalan demokrasi dalam parti parti boleh melahirkan pemimpin yang berkebolehan, berwibawa dan berktrampilan.

Kita yakin para perwakilan UMNO khususnya perwakilan Pemuda UMNO dapat membuat pilihan yang bijak.  Perhalusi satu persatu, setiap aspek diri calon yang akan dipilih. Jangan ada elemen kronisme dalam membuat pilihan. Fikir masa depan parti yang sangat memerlukan pemuda yang gigih dan kuat bekerja. Pemuda harapan bangsa dan negara. Bukan pemuda yang hanya tahu memenuhi kocek sendiri. Kita mahu pemimpin pemuda yang berani, ikhlas dan jujur kepada semua ahli UMNO dan cawangan-cwangan yang ada di kawasan Parlimen Balik Pulau. Tunggu dan lihat siapakah mereka?

Monday, August 19, 2013

Golongan intelektual dan profesional tidak berminat menyertai UMNO sebab apa?

Tun Dr. Mahathir berkata golongan intelektual, profesional dan pesara yang berkaliber kini kurang berminat menyertai UMNO kerana mereka tidak diberi peranan lebih besar dalam kepimpinan parti peringkat bahagian, negeri serta Pusat. 
 
Beliau memberitahu, satu daripada masalah UMNO adalah sebahagian pemimpinnya tidak gemar individu yang lebih bijak daripada mereka menyertai parti kerana takut hilang jawatan. Oleh sebab itu ramai golongan intelektual dan profesional lebih berminat menyertai parti PAS, PKR dan DAP. 

Pandangan Tun Mahathir memang tepat jika kita mengamati dengan apa sedang berlaku dalam UMNO selama ini. Berapa kerat guru yang menyertai dan aktif bersama UMNO? Hingga ada pihak yang berani mendakwa majoriti guru tidak menyokong BN sebaliknya guru-guru Melayu sendiri lebih berminat menyokong PAS.  

Dimanakah silapnya? UMNO tidak silap. Perlembagaan UMNO adalah jelas. Tapi manusia yang dilantik sebagai pemimpin dan pengurus perlu bijak mendekatkan UMNO dengan golongan ini. Pemimpin UMNO tidak perlu takut mendekati golongan ini. Tidak semua golongan profesional 'gila jawatan' dan ada di kalangan mereka yang cuma mahu berkhidmat untuk UMNO. 

Kita tidak boleh menyalahkan golongan ini jika mereka tidak menyokong UMNO. Maklumat dan aktiviti UMNO mereka langsung tidak ketahui. Mereka tidak dijemput kerana mereka tidak jadi ahli UMNO. Mereka pun tidak mahu jadi ahli UMNO kerana pemimpin UMNO sendiri tidak mahu mendekati mereka. Pembangkang mengambil peluang ini berjumpa dan mendekati mereka. Hati mereka terpikat dengan usaha pembangkang terutamanya pimpinan PAS yang turun mendekati mereka secara individu.

UMNO/BN cuma mengharapkan pak menteri turun berjumpa dengan golongan ini. Perjumpaan profesional antara seorang Menteri dengan pegawai-pegawainya diadakan secara besar-besaran. Surat rasmi dari jabatan kerajaan mengarahkan guru-guru wajib hadir seperti dipaksa untuk mendengar satu jam dua amanat/pesanan dari seorang Menteri Pelajaran. Tidak memberi impak yang besar dari faedah politik yang diperolehi daripada setiap para guru yang hadir sedangkan perbelanjaan jamuan makan dan minum serta tuntutan perjalanan mereka sangat besar. Di belakang sana masih berbunyi suara-suara sumbang di kalangan guru yang tidak berpuas hati dengan perjumpaan tersebut. 

Kita pernah sarankan kepada Ketua Bahagian minta agar Menteri Pelajaran diberi peluang berjumpa dengan Pegawai-pegawai Jabatan, Pejabat Pelajaran, Pengetua dan Guru Besar sekolah yang menjadi ahli UMNO pada waktu malamnya. Salahkah jika Menteri Pelajaran sebagai Timbalan Presiden UMNO nak berjumpa dengan pegawai dan kakitangan kementeriannya yang menjadi ahli UMNO di luar waktu pejabat sama ada di hotel ataupun di dewan orang ramai? Yang selalu kita lihat mana-mana Menteri yang datang akan di kelilingi pemimpin-pemimpin UMNO/BN pelbagai peringkat dan ahli-ahli korporat siang dan malam. Golongan profesional khususnya guru merasakan diri mereka disisihkan oleh kepimpinan UMNO sendiri. Itu sebabnya golongan ini rasa tidak begitu selesa dan seolah-olah tidak dipedulikan jika berada dalam UMNO dibandingkan jika mereka berada dalam majlis-majlis pembangkang.

Oleh kerana PRU14 semakin hari semakin hampir. Kepimpinan UMNO peringkat bahagian kena membuat sesuatu, mencari strategi atau pendekatan tertentu mendekati golongan ini. Calon BN/UMNO dalam PRU13 baru-baru ini menang pun dengan jumlah majoriti yang tidak besar. Jumlah majoriti yang kecil itu memberi peringatan kepada wakil rakyat kita bahawa UMNO/BN sebenarnya berada dalam keadaan sangat-sangat tidak selesa menjelang PRU14. UMNO/BN akan kehilangan undi lebih banyak dalam PRU14 akan datang jika kepimpinan UMNO/BN masih gagal mendekati golongan profesional ini yang juga mempunyai pengaruh kuat dalam masyarakat kita.

Sunday, August 18, 2013

Wednesday, August 14, 2013

Penamaan Calon AJK Bahagian di Negeri Pulau Pinang

Dari sumber Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang memberitahu tarikh penamaan calon AJK Bahagian bagi sayap-sayap UMNO di negeri Pulau Pinang pada 21 September 2013 (Sabtu). Manakala penamaan calon bagi AJK Bahagian pula pada 28 Sept. 2013 (Sabtu). Masa dan tempat bagi kedua-dua penamaan calon itu adalah seperti berikut: Jam 9.00 pagi - 5.00 ptg di Politeknik Seberang Prai, Pulau Pinang.

Inilah masanya Ketua Bahagian dan AJK Bahagian termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri dipilih dari kalangan yang terbaik. Walau bagaimanapun, kekuatan dan keutuhan parti mesti didahulukan. Lawan boleh lawan, boleh menang tapi kekuatan parti selepas pemilihan perlu diambil kira. Kita tidak mahu, yang menang jadi arang dan yang kalah jadi abu. Ini bermakna parti UMNO akan jadi arang mahupun abu jika pemimpin merebut jawatan sesama sendiri. Oleh itu usaha kompromi dengan dasar menjaga keutuhan dan kekuatan parti perlu diberi keutamaan. Biarlah pengalaman lampau menjadi guru yang mengajar kita menjadi seorang yang insaf diri dan bersyukur seadanya. 

Walaupun begitu ada masa dan situasi tertentu, persaingan yang sihat boleh mewujudkan perubahan yang positif kepada UMNO. Kata lain, UMNO bertambah kuat dan disegani bila ketua dan AJK yang terlantik melalui tapisan dan pemilihan yang begitu teliti oleh para perwakilan. Tapi berapa kerat para perwakilan yang mampu memilih AJK berdasarkan merit seseorang calon? Kebanyakan perwakilan masih lagi dipaksa dan terpaksa memilih berdasarkan puak-puak yang dicetus sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja. 

Jika masih berlaku dan wujud puak-puak dalam Bahagian, sampai bila pun UMNO tidak akan dihormati oleh rakyat. Jangan berpura-pura dan jangan berlakon begitu banyak. Tunjukkan keikhlasan dan kejujuran di kalangan pemimpin UMNO sendiri untuk bersatu dan bekerjasama sebagai satu keluarga. Yang muda jangan tergesa-gesa dan gopoh kerana tidak akan lari gunung dikejar. Yang lama pula perlu buktikan bahawa pengalamannya masih diperlukan, mampu memimpin secara yang adil dan menjadi model kepimpinan yang boleh dicontohi oleh pemimpin pelapis yang sedia ada.

Ingatlah rakyat khususnya ahli-ahli UMNO sedang memerhati malahan ada yang lebih mengetahui apa yang sedang berlaku dalam keluarga UMNO di peringkat Bahagian, sayap-sayap dan cawangan-cawangannya. Belum bermula mesyuarat cawangan sudah ada suara-suara kecewa dizahirkan oleh orang-orang tertentu. Jika diteliti memang ada benarnya! Tak perlu didedahkan di ruangan ini, ibarat kata pepatah Melayu " Ludah ke langit, timpa di batang hidung sendiri". Namun pucuk pimpinan bahagian perlu lebih adil dalam membuat sebarang perlantikan pada masa yang akan datang. Bagaimana kita boleh bercakap tentang keadilan kepada orang lain sedangkan tindakan diri sendiri sudah dilihat tidak adil. Jika dibiarkan boleh jadi isu besar yang sudah pasti merenggangkan hubungan antara pimpinan dan ahli-ahli UMNO antara kawasan DUN yang ada. 

Jika ada penasihat atau orang kanan, biarlah nasihat yang diberi dan keputusan yang dibuat mengambil kira prinsip keadilan untuk semua ahli UMNO. Ingatlah pemimpin UMNO bukan milik ahli-ahli UMNO di sesuatu kelompok. Tunjukkan dan buktikan pemimpin UMNO yang bakal berada dalam bahagian nanti adalah pemimpin kepada semua cawangan dan semua kawasan DUN yang ada. Sekian.

Tuesday, August 13, 2013

Dengar-dengar cakap dalam UMNO menjelang persidangan agung!

Yang kita dengar dari cakap-cakap orang politik di sana sini, agak merimaskan kita. Sepatutnya UMNO perlu diperkasakan lagi selepas PRU13. UMNO tidak kalah dalam PRU13 yang lalu. UMNO telah mendapat sokongan kuat daripada orang Melayu. Tapi selepas PRU13 dengar-dengar cakap, ada UMNO Bahagian tertentu terus menghadapi masalah dalaman  walaupun PRU13 telah selesai. 

Sesetengah bahagian UMNO mempunyai masalah yang tersendiri. Ada yang masih tak puas hati kerana calon UMNO kalah dalam PRU13. Ada yang masih tak berpuas hati kerana namanya 'last minute' tersisih dari senarai calon. Ada yang kata mereka kena main oleh pucuk pimpinan parti di peringkat Bahagian, Negeri mahupun Pusat. Ada yang kata pucuk pimpinan tidak jujur dan ikhlas dalam menentukan calon. Dan ada pula yang tak berpuas hati kerana janji tidak ditunaikan selepas jadi wakil rakyat sama ada sebagai ahli DUN mahupun ahli parlimen. Yang tak berpuas hati pula bukan di kalangan kutu-kutu haprak sebaliknya di kalangan orang yang hebat-hebat juga. Jika beginilah apa akan jadi kepada parti UMNO jika semua pakat-pakat tak puas hati.

Masalah-masalah itu bukan tugas rakyat selesaikan. Tugas rakyat sudah selesai selepas PRU13 yang lalu melalui peti undi. Oleh itu tugas wakil rakyat dan pimpinan bahagian selesaikan semua isu itu. Kita ahli-ahli UMNO yang masih sayangkan parti UMNO, parti keramat orang Melayu, yang mahu UMNO menjadi sebuah parti yang kuat dan utuh, dihormati oleh rakyat dan disegani oleh lawan. Jika masalah dalaman UMNO tidak mampu diselesaikan dengan segera, bagaimana UMNO akan berhadapan dengan PRU14 yang pasti lebih hebat tentangan daripada PR. Tempoh 5 tahun tidak lama. UMNO dan BN perlu mempunyai pemimpin muda dan orang lama yang berkemampuan dan berkebolehan untuk mengembalikan seluruh sokongan rakyat terutama orang-orang Melayu/Islam kepada UMNO/BN. 

Oleh itu UMNO Bahagian termasuklah sayap-sayapnya pemuda, wanita  dan puteri perlu selesaikan masalah dalaman. Mantapkan pentadbiran parti dengan petugas-petugas atau staf yang berkelayakan dan berwibawa, perkasakan Jawatankuasa UMNO Bahagian/Pemuda/Wanita/Puteri dengan ahli-ahli jawatankuasa bahagian yang hebat-hebat - yang berpengalaman dan berpengetahuan sedikit sebanyak dalam selok belok politik tempatan/UMNO, mempunyai trek rekod peribadi yang baik, yang berani bersuara/bercakap, sanggup berkorban masa dan tenaga untuk kepentingan parti dan sebaik-baiknya ahli yang dilantik itu mempunyai kepakaran/kebolehan/keistimewaan tertentu yang boleh disumbangkan untuk kepentingan UMNO. 

Andaikata UMNO masih tidak berubah selepas persidangan ini, masih ditakuk lama, masih bawa cerita lama, masih guna pendekatan lama, masih terbawa-bawa dengan kaedah lama, sikap sambil lewa, tidak ambil kisah, penting perut sendiri, pemimpin pula sombong dan ego, tidak tahu menghargai jasa dan pengorbanan kawan dan rakan, berpuak-puak, bersaing sesama sendiri, tidak tahu bertolak-ansur, tikam menikam dari belakang dan cantas mencantas, akhirnya UMNO akan dikuburkan dan ditalqinkan oleh kita sendiri. Memang realitinya masalah di atas sukar ditangani tapi setidak-tidaknya dapat diminimumkan gejala politik yang kurang sihat itu. Kita bimbang majoriti Melayu/Bumiputera semakin hilang kepercayaan kepada UMNO menjelang PRU14 nanti.

Friday, August 9, 2013

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN
KEPADA 
SEMUA PEMIMPIN-PEMIMPIN UMNO, AHLI-AHLI UMNO DAN SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG BERAGAMA ISLAM

Tuesday, August 6, 2013

Kerajaan CAT Pulau Pinang: Yang kalah dilantik, yang menang digugurkan!

Yang Di Pertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Salleh Man dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sewajarnya pihak yang bertanggungjawab memberi penjelasan mengenai pemilihan ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang dijalankan baru-baru ini. Ini kerana ada calon yang kalah dalam pemilihan AJK Masjid dilantik manakala  yang menang pula dinafikan hak mereka.

Difahamkan masalah sedemikian itu berlaku di beberapa buah masjid sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan ahli kariah. Beginikah yang dikatakan bersih? Kerajaan negeri yang dikatakan mengamalkan CAT; Kredibiliti, Bertanggungjawab dan Telus.

Jika begini caranya, tiada kredibiti, tiada bertanggungjawab dan tidak telus namanya. Sistem demokrasi ala kerajaan DAP hanya adil untuk kroni-kroni mereka. Telus hanya untuk kroni-kroni mereka semata-mata. Mana pemuda-pemuda PAS, DAP dan PKR yang menyokong Bersih 2.0. Ini bukan fitnah dalam bulan Ramadan, ini merupakan suatu fakta yang sedang berlaku. 

Kenapa pemuda PAS diam sebab PAS memang berhasrat mahu jadikan masjid sebagai pentas berpolitik. Untuk membolehkan mimbar masjid tempat berkhutbah politik mestilah Pengerusi dan AJK Masjidnya majoriti adalah ahli dan penyokong PAS. Beginilah sikap PAS yang gagal menyatukan umat Islam di negara ini sebaliknya peranan PAS lebih menyumbang ke arah perpecahan umat.

Kita kesal masjid sebagai rumah Allah dijadikan tempat berpolitik bagi parti tertentu. Kononnya memperjuangkan Islam sebaliknya parti itu menimbulkan kebencian di kalangan umat Islam sendiri. Wallahu alam.