Rupa-rupanya dalam UMNO tak boleh dikritik? Pemimpin UMNO tak boleh ditegur. Jumpa pemimpin kena mengampu. Kita selalu kena kata OK kepada pemimpin. Pemimpin buat yang tak betul pun kena kata OK. Kita kena selalu 'puji dan puja' pemimpin barulah dikatakan orang kuat? Begitukah ahli-ahli UMNO terutama golongan muda UMNO dididik dalam politik? PT jadi hairan kenapa pula nama PT tiba-tiba jadi sebutan dalam kem pemuda UMNO Balik Pulau? Ada pemuda UMNO beritahu PT sendiri bahawa nama PT jadi rujukan dalam kempen pemuda? Yang peliknya, PT kini dikatakan orang kuat Datuk Shah Headan (Datuk SH), ADUN Teluk Bahang. Macam mana PT dikatakan orang kuat Datuk SH sedangkan beliau tidak pernah sekalipun berjumpa dengan PT secara peribadi atau berkumpulan? Sepertimana yang sering PT katakan "Dalam politik macam-macam boleh berlaku". Dalam posting ini PT nak buat pencerahan supaya semua pihak memahami pendirian PT dalam berpolitik.
Sebenarnya PT sudah lama dalam politik UMNO di Balik Pulau. Semasa mula mengajar di sebuah sekolah Felda Lakum Pahang, PT sudah pun dilantik sebagai Timbalan Ketua Pemuda Cawangan dalam usia yang begitu muda. Erti kata lain, sejak muda lagi PT dah buat kerja untuk UMNO. Semasa balik bertugas di Pulau Pinang, tahun 1980an Ketua UMNO Bahagian kita, DS Hilmi masa itu pada masa itu mungkin sebagai AJK UMNO Bahagian dan bekerja sebagai doktor di kliniknya sendiri di pekan Kongsi Balik Pulau. Di belakang kliniknya, suatu ketika dijadikan bilik gerakan pemuda UMNO semasa zaman Allahyarham Abd. Malek Anuar jadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau. Manakala YB Muhammad Farid, Naib Ketua Bahagian sekarang entah di mana dia ketika itu. Mantan YB Syed pula pada masa itu sudah pun aktif dan sudah dikenali baik dalam pemuda UMNO mahupun dalam pertubuhan belia.
PT sudah aktif sejak dari pemuda lagi. Cuma PT tak suka menunjuk-nunjuk kerana PT tak berminat jadi pemimpin politik. Jika PT berminat jadi pemimpin politik rasaya PT sudah lama jadi ketua cawangan UMNO dan AJK UMNO Bahagian. Bukan nak cakap besar, rasanya nak jadi pemimpin yang lebih besar daripada itu pun boleh. Tapi PT tidak berminat untuk jadi pemimpin UMNO. Bukan PT benci UMNO sebaliknya PT sangat sayangi UMNO. Oleh itu PT buat kerja untuk UMNO secara sukarela dan tidak pernah meminta habuan daripada UMNO mahupun daripada pemimpin UMNO atau wakil rakyat UMNO. Walau bagaimanapun PT kena ucapkan terima kasih kerana Ketua Bahagian sekarang ini dan mantan YB Timbalan KB kerana mereka berdua masih ingat dan menghargai jasa PT kepada UMNO. Mungkin kerana PT tidak pernah meminta habuan secara peribadi maka setiap kali PT minta peruntukan dari mereka untuk sekolah dan NGO begitu mudah dapat dan tak pernah ditolak oleh mereka. Itulah keistimewaan yang PT perolehi daripada kedua-dua mereka sejak mereka menjadi wakil rakyat.
Terus terang PT katakan bahawa PT pernah menegur dan mengkritik kepimpinan mereka. Ada yang PT tulis surat sendiri kepada mereka secara peribadi dan ada pula yang PT sampaikan secara lisan. Cara penyampaian PT secara berhemah, tidak berkasar dan maki-maki mereka. Itu sikap yang ada pada PT, suka berterus terang tentang perkara-perkara atau isu-isu yang boleh menjatuhkan imej pemimpin kita dan parti UMNO.
PT tahu sangat mainan orang politik. Bahana politik yang PT terima kadang-kadang lebih teruk daripada orang politik sendiri. PT tak ada musuh dalam masyarakat umum tapi dalam masyarakat politik PT dianggap musuh oleh sesetengah pihak. Belum PT bercadang nak merebut jawatan dalam UMNO Bahagian sudah pun ada musuh politik. Inilah yang menyebabkan PT tidak berminat dalam politik.
PT tahu sangat mainan orang politik. Bahana politik yang PT terima kadang-kadang lebih teruk daripada orang politik sendiri. PT tak ada musuh dalam masyarakat umum tapi dalam masyarakat politik PT dianggap musuh oleh sesetengah pihak. Belum PT bercadang nak merebut jawatan dalam UMNO Bahagian sudah pun ada musuh politik. Inilah yang menyebabkan PT tidak berminat dalam politik.
Dalam politik kena sedikit belajar ilmu putar dan belit. Jika kita terlalu jujur, terlalu baik dan terlalu bertolak ansur akhirnya politik kita tak akan ke mana. Kerjaya politik hanya di separuh jalan. PT tidak mahu jadi orang politik sebab jiwa PT tidak sesuai. Namun demikian selaku ahli UMNO yang sayangkan parti UMNO, PT tidak boleh berdiam diri. PT akan terus bersuara isu-isu yang boleh melemahkan UMNO. Kebanyakan pemimpin UMNO yang PT tahu, tak boleh ditegur. Inilah masalah utama yang PT hadapi. DS Hilmi sendiri pernah suatu masa dahulu tidak selesa dengan PT kerana PT masuk campur urusannya mentadbir UMNO, JKKK dan qaryah. Manakala Datuk Shah Headan(Datuk SH) sendiri juga menganggap PT sebagai musuh politik yang tidak boleh dimaafkan kerana mewujudkan blog politik yang dikatakan menyebelahi DS Hilmi. Mantan Penghulu Idris pernah tidak bercakap sekian lama dengan PT kerana PT menegur kepimpinan beliau dalam suatu mesyuarat agung UMNO cawangan sehingga beliau akhirnya mengundur diri dan tidak lagi mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cawangan. Allahyarham Pak Chat pernah menjemput PT untuk berjumpa dengan Dato' Mohd Zain Hj. Omar (semasa jadi ahli Parlimen Balik Pulau) kerana PT dikatakan cuba menjatuhkan Dato' Zin. Setelah penjelasan diberikan panjang lebar oleh PT, Allahyarham Pak Chat faham dan perjumpaan itu tidak berlaku.
Jika dilihat sejarah ringkas itu, bahana politik kepada PT begitu dahsyat. Musuh PT dalam politik bukan orang-orang sebarangan. Tapi PT tetap yakin apa yang PT lakukan itu hanya dengan niat untuk kebaikan pemimpin kita dan parti UMNO. Cuma ada pemimpin yang boleh menerima teguran dan ada yang tidak boleh. Bukan semua orang politik atau pemimpin politik boleh menerima teguran daripada orang bawah seperti PT. Seolah-olah PT tidak layak menegur pemimpin UMNO sedangkan PT adalah ahli UMNO yang sah dan layak menghadiri mesyuarat serta mempunyai hak untuk bersuara menjaga kepentingan parti. PT akan terus bersuara, yang baik PT akan kata baik dan yang tidak baik PT mesti akan katakan tidak, walaupun pahit.
PT amat faham kenapa PT di akhir-akhir ini dilabelkan sebagai 'orang kuat Datuk SH'. Dari sembang-sembang nama PT sudah gah di Balik Pulau sebagai orang kuat Datuk SH. Terima kasih banyak kepada pemuda UMNO yang menyampaikan maklumat itu.
Sebenarnya PT tidak begitu selesa bila nama PT dilabelkan sebagai 'orang kuat' mana-mana pemimpin UMNO. Tapi PT cukup bangga jika mereka katakan PT adalah orang kuat kepada UMNO di Balik Pulau. Dahulu pernah ada orang mengatakan PT orang kuat kepada mantan YB Syed Amer. Biasanya PT akan jawab "Saya bekerja untuk semua orang yang memerlukan bantuan saya. Dan saya bukan orang kuat".
Sebenarnya PT mahu UMNO Balik Pulau itu kuat. Untuk membina kekuatan, kita perlu bersatu daripada pimpinan bahagian hinggalah ke sayap-sayapnya. Sudah tentu akan terdapat kelemahan dan kesilapan yang berlaku di sana sini. Sekali lagi PT berterus terang bahawa keluhan dan luahan tidak puas hati kepada pimpinan UMNO datang daripada semua peringkat termasuk di kalangan AJK Bahagian sendiri. Selaku blogger yang bebas (tidak terikat dengan mana-mana individu politik/UMNO), PT berhak untuk bersuara melalui blog politik secara yang berhemah. PT tidak pernah memaki dan menghina pemimpin UMNO sendiri dengan kata-kata kasar dan tidak beradab. Cuma harapan PT agar pemimpin UMNO dan 'orang-orang kuat mereka' bersedia mendengar dengan baik suara rakyat, suara akar umbi dan suara ahli yang mahukan UMNO itu kuat.
Mungkin kritikan PT terhadap pimpinan bahagian kebelakangan ini memberi tafsiran bahawa PT sudah jadi orang kuat Datuk SH. Sebenarnya rata-rata orang bercakap pasal kepimpinan bahagian. Bukan di kalangan ahli-ahli biasa UMNO malahan tokoh-tokoh penting dalam barisan kepimpinan bahagian sendiri. Mungkin mereka ini terlalu segan atau 'takut' dengan ketua bahagian mereka cuma luah suara tidak puas hati mereka di tepi-tepi longkang gerai makan. Cerita-cerita itu PT kutip di tepi-tepi longkang dan kemudian mengesahkan dengan orang-orang tertentu yang boleh dipercayai. Melalui beberapa posting dalam blog ini PT melahirkan kebimbangan PT terhadap masalah politik dalaman UMNO bahagian. Sudah pasti sama ada secara langsung atau pun tidak langsung maka ketua bahagian akan jadi sasaran kritikan atau teguran PT. Sudah tentu akan ada pihak yang mengambil kesempatan di atas kritikan PT itu untuk tujuan kempen pemuda kali ini.
PT masih ingat suatu masa dahulu, PT pernah mengkritikan keputusan Datuk SH mencabar DS Hilmi bagi merebut jawatan Ketua Bahagian tetapi pada masa itu pun PT tidak pernah jadi orang kuat kepada DS Hilmi. Dalam persidangan agung UMNO kali ini juga, PT mengharapkan DS Hilmi tidak dicabar oleh mana-mana pihak bagi memastikan UMNO semakin kuat bagi persiapan menghadapi PRU14 yang lebih mencabar. Ini tidak bermakna kepimpinan bahagian kita tidak hadapi masalah. Tidak bermakna juga bahawa PT jadi orang kuat kepada Datuk SH. Macama mana PT boleh jadi orang kuat dengan sekelip mata kepada Datuk SH sedangkan PT tidak pernah berjumpa dengannya. PT tidak pernah pun dihubungi Datuk SH dan tidak pernah bersembang dengan Datuk SH pasal politik UMNO.
Memang benar, PT mengakui bahawa PT tidak mengkritik Datuk SH. Kenapa perlu mengkritik jika beliau tidak menimbulkan masalah dalam kepimpinan bahagian setakat yang saya tahu. Beliau tidak mencabar DS Hilmi untuk jawatan Ketua Bahagian. Beliau mementingkan kepentingan parti daripada mengejar cita-cita peribadinya. Sebenarnya beliau mempunyai kekuatan dan kelebihan untuk menjadi Ketua Bahagian dalam persidangan agung kali ini. Nampaknya beliau tidak terburu-buru mengejar jawatan seperti yang beliau lakukan sebelum ini. Beliau lebih berhati-hati. PT menghormati keputusan beliau yang tidak menentang DS Hilmi. Memang PT sendiri tidak suka beliau mencabar DS Hilmi [Baca sini UMNO Balik Pulau: Jangan sampai nasi jadi bubur!]. Dan PT berharap keputusan Datuk SH tidak mencabar DS Hilmi adalah keputusan terbaik untuk DS Hilmi, terbaik untuk Datuk SH sendiri dan paling penting terbaik untuk UMNO Bahagian Balik Pulau.
PT tidak berminat dengan pihak yang menggunakan nama PT dalam kempen pemuda. Memang kurang baik dalam kempen pemuda mengaitkan PT atau sesiapa sahaja dikatakan sudah jadi orang kuat Datuk SH ataupun orang kuat DS Hilmi. Seolah-olah kita masih mahu mengwujudkan dua kem dalam pemuda dan dalam bahagian. Sepatutnya kita perlu berusaha mencari jalan menyatukan ahli-ahli UMNO untuk berada dalam satu saf kepimpinan. Tidak ada lagi orang kuat Datuk SH atau orang kuat DS Hilmi atau pun orang kuat YB Farid dan sebagainya. Bersatulah kita menguatkan UMNO. Jika ada kem, biarlah kem itu kem untuk UMNO Balik Pulau, bukan kem Shah Headan atau kem DS Hilmi ataupun kem YB Farid. Ingatlah PT tidak suka perpecahan berlaku dalam UMNO Bahagian Balik Pulau. PT akan terus mengkritik jika ada usaha mewujudkan perpecahan dalam UMNO Balik Pulau. Sepertimana dahulu, PT lebih selesa tidak menjadi orang kuat mana-mana pihak. Wallahu alam.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.