"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Wednesday, October 30, 2013

UMNO Balik Pulau: Memantapkan parti perlu diutamakan

Kempen Pilihanraya Kecil DUN Sungai Limau sedang berlangsung. Pada 4 November 2013, Isnin ini merupakan hari penentuan sama ada BN dapat menambat hati pengundi-pengundi DUN Sungai Limau atau sebaliknya. Jentera parti merupakan elemen penting memastikan kempen pilihanraya BN/UMNO berjalan lancar. Namun begitu belum pasti kemenangan milik BN/UMNO meskipun bendera BN hampir menenggelambirukan setiap kampung dan desa, batas bendang dan tambak di kebanyakan kawasan Sungai Limau. Dengar-dengar cerita, pemuda UMNO tempatan tidak ada. Ada yang kata sibuk bekerja. Pelik juga jika siang bekerja, wajah pemuda sebelah malamnya pun tidak nampak. Mungkin UMNO Cawangan di kawasan Sungai Limau tidak sempat bangkit selepas PRK DUN Sungai Limau diwartakan. Mungkin UMNO Cawangan sudah sekian lama 'tidur dan lena' akibat kekuatan dan pengaruh PAS tak sangga di kawasan itu. Namun begitu kita tetap mendoakan pengundi-pengundi kawasan itu membuat 'hijrah' pada kali ini dan calon BN akan menang dalam PRK itu.

Itu cerita di Sungai Limau. Kita tidak mahu apa yang berlaku di sana akan berlaku di Balik Pulau. Kita tidak mahu PRU13, semua calon BN menang tapi dalam PRU14 nanti semua atau sebahagian calon BN di parlimen Balik Pulau akan kalah. Nak menang mesti ada kekuatan, nak kuat mesti bersatu. Jangan cakap nak bersatu, tapi tindakan dan perbuatan tampak di sebaliknya. Semua orang tahu, UMNO Balik Pulau telah berlaku kejutan dari sebelum PRU13 sehinggalah kejutan terus berlaku selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Balik Pulau. Bagi sesetengah pihak pula beranggapan kejutan itu sebagai suatu takdir. Apa pun anggapan,  semua pihak perlu menerimanya dengan hati yang terbuka. Bukan masanya lagi kita melihat kelemahan dan keburukan masing-masing pihak. Apa tah lagi mendedahkan keburukan dan kepincangan yang berlaku. Ibarat kata pepatah "meludah ke langit akan timpa batang hidung sendiri".

Kita menyeru setiap pemimpin utama dalam UMNO Balik Pulau dapat duduk dan berbincang tentang permasalahan dalaman UMNO terlebih dahulu. Orang Melayu Balik Pulau akan lari jika UMNO lemah. Orang Melayu tidak akan menghormati UMNO jika di sana sini ada pihak bercakap pasal kepincangan UMNO. Jika orang UMNO berpecah atau tidak bersatu bagaimana UMNO/BN boleh menghadapi PRU14 yang lebih getir. Tanggungjawab menguatkan UMNO sebenarnya tidak terletak di atas bahu Ketua UMNO Bahagian semata-mata. Sebenarnya Ketua Bahagian memerlukan sokongan yang padu dari semua peringkat kepimpinan termasuklah AJK bahagian, sayap-sayap UMNO dan ketua-ketua cawangan.

Dari setiap ucapan penangguhan oleh pemimpin-pemimpin utama dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian baru-baru ini nampak masing-masing mengharapkan UMNO Balik Pulau lebih kuat untuk memenangi PRU14 akan datang [Baca sini]. Tunaikan apa yang telah diucapkan. Jangan kita beretorik sesama kita. Biarlah kita bercakap serupa bikin. Ramai pemerhati dari dalam dan luar melihat perjalanan setiap pemimpin kita. Keikhlasan dan kejujuran pemimpin boleh dilihat melalui tindakan dan percakapan. Persoalannya, apakah kehadiran wakil-wakil rakyat baru ke dalam UMNO Bahagian dapat memantapkan UMNO Bahagian Balik Pulau atau sebaliknya menghancurkan UMNO? Kita tunggu dan lihat, apa yang dapat dilakukan oleh pemimpin kita.


Sunday, October 20, 2013

UMNO Balik Pulau: Satu hati dan satu matlamat

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Balik Pulau 2013 telah berakhir pada jam 6.00 petang tadi. Tahniah kepada Ketua Bahagian, DS Dr. Hilmi, Timbalan Ketua Bahagian YB Hj. Muhammad Farid, YB Datuk Shah Headan Naib Ketua Bahagian dan YB Hj. Nordin Ahmad, Ketua Penerangan serta Hjh Faridah, Ketua Wanita UMNO Balik Pulau kerana masing-masing telah diisytiharkan menang tanpa bertanding  Tahniah juga kepada 20 calon Ahli Jawatankuasa Bahagian yang telah dipilih daripada 40 calon yang layak bertanding. Antara AJK Bahagian yang berjaya mengekalkan jawatan masing-masing ialah Mohd Radzi Embee, Rozhan Che Din, Salleh Hassan, Hjh Raftah Itam Ahmad dan Hj. Sabuddin Shaari. Ini bermakna 20 calon lagi merupakan muka baru dalam AJK Bahagian pada penggal ini.

Tidak perlulah kita mengkaji dan menganalisis keputusan yang diperolehi kerana ini boleh menimbulkan persepsi yang kurang sihat terhadap kepimpinan baru UMNO Bahagian. Suka atau tidak suka setiap ahli UMNO khususnya para perwakilan mesti menghormati keputusan itu. Berilah peluang kepada kepimpinan baru ini melakukan transformasi politik yang memerlukan komitmen semua pihak bagi menghadapi PRU14 yang lebih mencabar.

Dalam ucapan penangguhan para perwakilan dan ucapan Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian dan Naib Ketua Bahagian serta Ketua Penerangan jelas masing-masing menyatakan hasrat mahu melihat ahli-ahli UMNO bersatu. Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau, Sdr Hisham dengan ucapan yang bersemangat telah berjanji tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada DS Hilmi sebagai Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau. Sebenarnya inilah yang kita hendak dengar dan lihat pemimpin-pemimpin muda UMNO pada hari ini. Di bawah serba ringkas petikan ucapan para pemimpin yang memberi ucapan penangguhan masing-masing pada siang tadi. Baca, fahami dan hayatilah intipati ucapan mereka.

Petikan ucapan Ketua Pemuda Sdr Hisham Hamid;
...beliau memuji perwakilan pemuda kerana menunjukkan kematangan dalam pemilihan seorang pemimpin yang boleh memimpin dan dipimpin. Beliau mengucapkan terima kasih dan meminta para perwakilan memberi tepukan paling gemuroh kepada pesaingnya Sdr Rizal. Beliau menghargai nilai seorang sahabat sebagai kawan terpaksa mencari (berkempen) untuk menjadi pemimpin. Beliau tidak mahu perbalahan (semasa berkempen) sebagai satu sengketa yang boleh memburuk UMNO kerana katanya kita sayangkan parti. Beliau melahirkan keyakinan jika pemuda, puteri, wanita dan UMNO Bahagian bersatu, insyaAllah PRU14 UMNO/BN boleh memperolehi majoriti yang lebih besar. Janji pemuda katanya akan terus memberi kerjasama dan terus berkhidmat 24 jam demi parti yang kita agung-agungkan..

Petikan Ucapan Naib Ketua Bahagian, YB Datuk Shah Headan;
...beliau mengingatkan para perwakilan agar mendekatkan diri kita dengan Tuhan, insyaAllah katanya Allah akan berikan kita kuasa dan memerintah. Bagi menghormati orang lama UMNO pula, beliau turut mencadangkan agar orang lama dijemput dalam persidangan UMNO dengan diberi tempat pemerhati khas. Akhir sekali beliau mengucapkan tahniah kepada ketua puteri yang berjaya mempertahankan jawatan dengan pelbagai cabaran yang boleh mematangkan parti. Begitu juga beliau menasihatkan Ketua Pemuda supaya merapatkan kembali dengan rakan-rakan pemuda supaya parti UMNO lebih mantap.

Petikan ucapan YB Hj. Nordin Ahmad;
...beliau mengingatkan para perwakilan tentang perlunya penyatuan UMNO dalam mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara. Mengambil contoh peperangan zaman Rasulullah SAW di mana tentera Islam pernah kalah dalam peperangan dengan kaum Quraish bukan kerana kekuatan bala tentera sebaliknya kerana kita tidak bersatu. Katanya lagi tumbangnya sesuatu bangsa dan tamaddunnya bukan kerana orang lain sebaliknya kerana kegagalan bangsa itu mengurus masalahnya.

Petikan ucapan YB Hj. Muhammad Farid;
... biduk berlalu, kiambang bertaut. Beliau mahukan pertautan bukan hanya dari segi fizikal malahan pertautan dari segi roh UMNO atas landasan perjuangan 'alif ba ta'. Dengan penuh keikhlasan beliau telah melafazkan kalimah Bismillah menghulurkan tangan kepada Ketua Wanita dan AJKnya, Ketua Pemuda dan AJKnya, Ketua Puteri dan AJKnya serta seluruh ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Balik Pulau untuk bersama-sama berjuang memperkasakan orang-orang Melayu di Balik Pulau ini.

Ucapan YB DS Hilmi, Ketua UMNO Bahagian;
...YB DS Hilmi melihatkan perhimpunan kali ini lebih kepada mod perpaduan. Tidak ada lagi hentam menghentam. Buang yang keruh ambil yang jernih..Selaku Ketua Bahagian beliau tidak mahu lagi ada team. Yang ada hanya team untuk UMNO Bahagian Balik Pulau. Beberapa kali Ketua Bahagian mengulangi "we are one" dalam ucapan penggulungannya. 

Harap pemimpin-pemimpin kita ikhlas menyatakan harapan dan tunaikan janji-janji itu. PRU14 adalah matlamat kita menambahkan majoriti dan menambahkan lagi bilangan kerusi UMNO/BN dalam DUN Pulau Pinang. Percayalah "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Marilah kita bersatu dan menguatkan parti untuk satu matlamat meneruskan agenda besar parti menang dalam PRU14 dengan majoriti yang lebih besar.  

Tuesday, October 15, 2013

Pemuda dan Puteri UMNO Balik Pulau: Laksanakan janji dan buktikan kemampuan

Kelmarin dulu semua orang sibuk dengan masalah banjir yang teruk melanda kawasan Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan Pulau Betong. Hari ini pula sibuk dengan sambutan hari raya korban. Terlupa pula nak ucapkan tahniah kepada yang menang dalam persaingan jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Balik Pulau. 

Kesempatan ini diucapkan tahniah kepada Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Balik Pulau serta AJK yang telah dipilih oleh para perwakilan pada kali ini. Sudah tentu kemenangan itu memberi kegembiraan dan kepuasan kepada mereka yang menang. Berbaloilah kata orang kampung kerana siang malam berkempen dan hampir setiap malam tidak tidur akhirnya membuahkan hasil. Tidak rugilah walaupun banyak tenaga yang dikerah dan banyak juga duit ringgit yang dibelanjakan.

Jika dahulu, orang takut nak jadi pemimpin atau ketua. Mungkin kerana dia takut akan tanggungjawab yang amat berat. Mungkin juga dia tidak mampu menjadi seorang pemimpin yang baik, disegani lagi dihormati. Sebaliknya hari ini, ramai yang berlumba-lumba hendak jadi pemimpin. Masing-masing mengakui diri adalah yang terbaik sebagai pemimpin. Pada masa yang sama cuba menjatuhkan lawan dengan apa jua cara sekalipun asalkan matlamat tercapai. Keputusan pemilihan telah diperolehi. Semua pihak perlu menghormati keputusan. Yang menang diikhtiraf dan yang kalah perlu menerima dengan fikiran yang terbuka.

Kini masanya pemimpin yang dipilih perlu buktikan. Tunaikanlah janji-janji semasa berkempen. Jangan leka dengan jawatan yang disandang. Jawatan bukan untuk dijaja dan dijual beli. Jawatan merupakan satu amanah yang besar daripada seluruh ahli pemuda dan puteri UMNO kawasan parlimen Balik Pulau. Kata lainnya ketua pemuda dan ketua puteri yang dipilih bukan calang-calang orang. Kata orang yang terbaik di antara yang terbaik.

Satukan pemuda dan puteri. Pujuklah mereka kerana sudah pasti ada kawan yang berduka dan mungkin merajuk. Lemparkan jauh-jauh sifat-sifat dendam. Buangkan perasaan buruk sangka sesama sendiri. Dekatilah mereka supaya pemuda UMNO Balik Pulau lebih kuat. Puteri UMNO Balik Pulau lebih mantap. Bukan masanya lagi kita bersaing sesama sendiri. Kempen pemilihan sudah pun selesai. Kini masanya kita kembali bersatu. PRU14 yang akan datang lebih mencabar. Semua tenaga pemuda dan puteri perlu digembelingkan untuk pilihanraya yang pasti sangat sukar. Persoalannya bagaimana mungkin boleh kita hadapi asakkan pihak pembangkang jika kita sendiri dalam keadaan yang sangat lemah kerana tidak bersatu. 

Marilah kita bersatu. Buang yang keruh ambil yag jernih. Berilah sokongan kepada semua ketua-ketua yang dipilih. Pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian termasuklah pemimpin-pemimpin sayapnya pemuda, wanita dan puteri mesti tunjuk keikhlasan dan kejujuran. Utamakan kepentingan parti daripada kepentingan diri sendiri. Selalulah dekati ahli dan rakyat. Tidak ada musim untuk berkhidmat dan berbakti kepada rakyat. Jangan jadikan jawatan hanya sebagai batu loncatan, hilang manis sepah dibuang, dapat tanduk rotan ditinggalkan,  dan mungkin ibarat kacang lupakan kulitnya. Harapan kita semua ahli, UMNO Balik Pulau semakin kuat selepas ini. Jangan ada yang cuba bertindak seperti musuh dalam selimut atau api dalam sekam. UMNO akan lemah dan hancur jika ada di kalangan pimpinan bahagian masih kukuh menjaga kepentingan politik daripada menjaga kepentingan parti.

Sunday, October 6, 2013

Kempen Pemuda UMNO: Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu

PT rasa begitu sekali bimbang dengan cerita-cerita kedua-dua belah pihak tentang cara berkempen. Keghairahan untuk menang menyebabkan kita terlupa atau sengaja buat-buat lupa. Jika benar apa yang berlaku dan telah dilakukan oleh kedua-dua belah pihak, PT bimbang pemuda UMNO BP tidak boleh disatukan kembali selepas pemilihan nanti. Semalam PT sempat bertanya kepada 'orang kuat' kepada seorang calon, bolehkah pemuda kembali bersatu selepas pemilihan nanti? Beliau hanya berdiam, dari wajah mukanya dan sebek mulutnya sudah PT faham.

PT sangat berharap para perwakilan pemuda lebih matang dan bijak menilai dan membuat pilihan. Jangan begitu emosional tapi gunakan akal fikiran yang diberikan Allah secara yang rasional. Mudah-mudahan pemuda UMNO Balik Pulau dapat suburkan amalan demokrasi secara yang lebih beradab dan bersifat kesederhanaan.  Berilah peluang calon-calon KP kita berjumpa dengan semua perwakilan di setiap cawangan supaya semua perwakilan pemuda tahu, dan yang tidak tahu akan tahu tentang kelebihan dan kekuatan setiap calon KP kita.

Dalam suatu majlis baru-baru ini, PT sempat berjumpa dan bercakap pasal kempen pemuda dengan Ketua Bahagian Balik Pulau. Sebenarnya beliau tahu apa yang sedang berlaku namun beliau bertegas tidak akan masuk campur dalam urusan pemuda. Selaku Ketua Bahagian kata beliau lagi,  beliau mahu pemuda bersatu (tidak berpecah) dan kuat selepas pemilihan ini bagi menghadapi PRU14. Pendirian Ketua Bahagian dalam isu ini amat jelas dan mudah difahami. Erti kata lain, beliau boleh menerima siapa sahaja yang bakal dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau. Mungkin pengalaman lalu sedikit sebanyak telah membantu beliau menyatakan pendirian yang sesuai dan selari dengan usaha memantapkan perpaduan dalam UMNO terlebih dahulu.

Manakala Presiden UMNO, DS Najib dalam suatu majlis penyerahan watikah dan wakalah lembu korban sempena Aidiladha kepada surau dan masjid di kawasan Parlimen Pekan, Perdana Menteri mengingatkan kita ahli-ahli UMNO katanya, hanya menerusi perpaduan, Umno akan terus berjaya dalam perjuangannya bagi membela bangsa, agama dan negara. “Jaga perpaduan dalam pemilihan Umno…kalau kita bersatu, kita akan berjaya dalam perjuangan kita”.

Beliau berkata calon yang bertanding perlulah menjaga kepentingan parti dan tidak mengutamakan kepentingan diri atau kebendaan semata-mata dalam perjuangan mereka. Dengan mengambil iktibar daripada peristiwa korban dalam Islam, Najib berkata prinsip perjuangan Umno perlulah berlandaskan kepada dua perkara iaitu ketaatan kepada Tuhan dan sanggup melakukan pergorbanan demi perjuangan kepada bangsa dan negara.

Satu pesanan PT berkempenlah secara yang sederhana dan beradab. Kita bimbang "Yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu". Semua orang khususnya parti UMNO, Melayu dan Islam yang akhirnya akan rugi.

Friday, October 4, 2013

Lagi bakal Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau?

Rizal Hassan @ Jan, Ketua Pemuda UMNO Sungai Korok turut menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau. Mempunyai pengalaman dalam kerja-kerja kebajikan dan bersikap tawadduk. Beliau tidak mudah 'terbakar' bila dikritik. Jika ditakdirkan dirinya dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau, beliau sudah ada perancangannya untuk memperkasakan pemuda UMNO Balik Pulau.

Sebenarnya beliau banyak melibatkan diri dengan NGOs dari 'grass root' lagi. Bermula sebagai Ketua Pemuda Qaryah Bagan Air Itam beberapa tahun dan kemudian menjadi YDP PIBG SK Sungai Korok. Pernah melibatkan diri dengan masyarakat nelayan Kuala Jalan Baru sebagai Naib Ketua Unit Nelayan. Akhirnya beliau juga merupakan AJK Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Pulau Pinang.


Kini beliau adalah Pengerusi Kelab Sukan Bagan Air Itam dan selaku Ketua Pemuda UMNO Sungai Korok, beliau merasakan perlu menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau. Beliau juga berhasrat mahu Pemuda UMNO lebih kuat bagi menghadapi PRU14 yang amat mencabar. 

Secara jujur katanya beliau mahukan kempen Pemuda UMNO kali ini berjalan dengan baik dan lancar tanpa gangguan mana-mana pihak serta tidak menyentuh hal peribadi sesiapa pun. "Kita berusaha tapi Allah jua yang menentukan" katanya lagi.

Thursday, October 3, 2013

Ulama dalam UMNO akan terus dipinggirkan?

Pandangan supaya Majlis Ulama diwujudkan dalam UMNO wajar disokong tanpa banyak karenah. Jika UMNO masih banyak mempersoalkan kewujudan Majlis Ulama UMNO selagi itulah kita memberi peluang pembangkang terus mengatakan UMNO tidak menghormati ulama atau ulama dalam UMNO akan dipinggirkan. 

Dalam politik ulama sebaik-baiknya diletakkan di tempat yang selayak dan sewajar dengan mereka. Ulama tidak sepatutnya dikelompokan sama seperti pemimpin-pemimpin lain yang perlu berkempen untuk menduduki sesuatu jawatan dalam parti. Jika ini dikehendaki UMNO, kita pasti ulama tidak mampu 'hidup' dalam UMNO lebih lama. Inilah yang dikatakan UMNO menolak ulama.

Apa salahnya yang baik dari PAS kita ambil? Begitulah sebaliknya yang tak baik dalam PAS kita ketepikan. Jika begitu, Dewan Ulama PAS boleh dijadikan contoh yang terbaik. Cuma ulama dalam PAS tidak begitu konsisten dalam perjuangan Islam mereka sebab sentiasa dibayangi oleh ulama politik yang lebih berpengaruh seperti Murshidul Am PAS, Tok Guru Nik Ajis dan Tok Guru Hj Hadi Awang. 

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu), Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata, UMNO perlu melibat cadangan itu dengan serius kerana yakin penubuhannya bakal membawa manfaat. Katanya, jika Majlis Ulama UMNO menjadi kenyataan, badan itu bukan sahaja mesti berperanan seperti sayap tetapi perlu dipastikan bebas untuk memberi pandangan berdasarkan ilmu agama yang ada pada ahlinya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi Badan Bertindak Agama Minda Pondok Kelantan, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff agar sebuah Majlis Ulama UMNO ditubuhkan.

Sebelum ini, Penasihat Eksekutif Pertubuhan Ilmuwan Malaysia, Dr. Fathul Bari Mat Jahya menyokong penuh cadangan agar UMNO diberi lebih ruang serta peluang kepada golongan agama untuk bersama-sama parti itu demi masa depan Islam dan Melayu.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Prof. Madya Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO perlu memberi fokus untuk memperkasakan biro agama yang sudah wujud dalam parti itu agar menjadi tempat rujukan utama pucuk pimpinan tertinggi parti. Beliau yang juga Ketua Hubungan Kajian, Akademi Kajian Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) berkata, perkara itu seiring dengan peruntukan perlembagaan parti yang menegakkan syiar Islam melalui semangat yang dibawa sejak awal penubuhannya.  

Untuk memenangi hati umat Melayu yang beragama Islam, UMNO perlu berubah. Parti UMNO perlu melakukan transformasi secara yang lebih jelas, telus dan tegas. Ulama dalam UMNO perlu diperkasakan dengan meletakkan golongan ini di tempat yang sesuai dan sewajarnya. Jika Majlis Ulama UMNO dapat ditubuhkan, kita yakin lebih ramai lagi umat Islam yang berada dalam PAS akan berpindah parti. Sekali gus dapat menolak tohmahan pembangkang selama ini yang mengatakan UMNO parti sekular yang menolak Islam. Tapi apakah UMNO mahu berubah dan menubuhkan Majlis Ulama UMNO? Tunggu dan lihat!

Tuesday, October 1, 2013

Orang Melayu dalam DAP, PKR dan PAS patut sedarlah!

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak merupakan pemimpin Melayu yang mempunyai hubungan rapat dengan DAP telah mengumumkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa serta-merta. Keputusan itu diambil kerana beliau hilang kepercayaan terhadap DAP yang sebenarnya bukan parti bagi orang Melayu berlindung tetapi diperalatkan secara halus dan senyap dalam memuaskan hawa nafsu kepimpinan parti dengan berselindung di sebalik istilah 'berbilang kaum.'
"Slogan berbilang kaum yang dicanang parti itu selama ini bukan bermaksud untuk orang Melayu tetapi didominasi oleh majoriti orang Cina dan segelintir kecil orang India," dakwanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 
Itu bukan cerita bohong. Sebelum ini Rahmad Isahak adalah orang Melayu DAP. Presiden KMPP yang merupakan penyokong kuat kepada kerajaan DAP. Hari ini beliau telah sedar bahawa orang Melayu hanya alat untuk mencapai cita-cita DAP untuk berkuasa. Pemimpin DAP war-warkan parti DAP merupakan parti  pelbagai kaum hanya pembohong yang nyata dan jelas. Guan Eng merupakan kaki penipu atau kaki pembohong yang tak tahu malu. Pemimpin yang sombong dan bongkak. Masih ada lagi orang Melayu menganggap dirinya bagaikan Khalifah Umar Abdul Aziz.
Ketua Dewan Ulama PAS telah minta PAS kaji semula tahaluf siyasi dengan DAP dan PKR. Kenapa perlu kaji jika tidak kerana PAS semakin hilang sokongan daripada orang Melayu/Islam sendiri. Kerajaan PAS Kedah hanya mampu bertahan selama sepenggal sebelum kembali kepada BN. Apakah PAS masih menyatakan bahawa pengaruh PAS masih kuat?
Bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Hafiz Nordin turut mendesak PAS supaya keluar daripada Pakatan Rakyat. Hampir kebanyakan ahli-ahli PAS akar umbi mahukan PAS keluar daripada pakatan pembangkang. 
Oleh itu orang Melayu PAS dan PKR celiklah!  Janganlah membuta-hatikan kamu. Sebelum nasi jadi bubur, sesal dahulu pendapatan dan sesal kemudian tidak berguna lagi. Jika kau orang sudah sesat di hujung jalan, baliklah kita ke pangkal jalan. Wallahu alam.

Calon Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau

Kempen pemuda Balik Pulau semakin hangat. Amalan demokrasi dalam pemilihan pemuda bahagian setakat ini berjalan dengan baik. Calon Ketua Pemuda UMNO, Sdr Hisham @ Chaq sempat berjumpa dan bersembang dengan PT beberapa hari yang lalu.

Dalam perbualan itu, beliau sempat menyatakan beberapa pandangan dan harapan beliau tentang pemuda, UMNO Balik Pulau dan PRU14. Beliau mempunyai visi yang jelas untuk menguatkan UMNO di Balik Pulau. Bersedia untuk membina kekuatan pemuda untuk membantu UMNO Balik Pulau khasnya dan Barisan Nasional amnya dalam menghadapi cabaran PRU14 yang akan datang. Beliau berjanji akan turun padang ke setiap cawangan pemuda di Balik Pulau.

Beliau sudah pun berusaha dan katanya akan terus berusaha untuk melihat kepimpinan tertinggi UMNO bahagian dapat bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan. Jika ditakdirkan beliau dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau, beliau berjanji akan bekerja untuk DS Hilmi sebagai Ketua Bahagian biarpun ada pihak ada yang mengatakan bahawa beliau hanya akan bekerja untuk Datuk SH. 

Pengalaman lampau sebagai Timbalan Ketua Pemuda UMNO dan penglibatan beliau dalam beberapa NGO menambahkan lagi keyakinan beliau untuk menerajui pemuda UMNO Balik Pulau pada masa akan datang.

Beliau mempunyai pandangan yang begitu kritis dan konstruktif terhadap isu-isu semasa seperti dasar merasionalisasikan subsidi, masa depan pendidikan anak Melayu serta peranan media baru di kalangan pemuda/remaja.

PT berhasrat untuk berjumpa dengan seorang lagi calon Ketua Pemuda UMNO yang juga tidak kurang hebatnya.....