Kempen Pilihanraya Kecil DUN Sungai Limau sedang berlangsung. Pada 4 November 2013, Isnin ini merupakan hari penentuan sama ada BN dapat menambat hati pengundi-pengundi DUN Sungai Limau atau sebaliknya. Jentera parti merupakan elemen penting memastikan kempen pilihanraya BN/UMNO berjalan lancar. Namun begitu belum pasti kemenangan milik BN/UMNO meskipun bendera BN hampir menenggelambirukan setiap kampung dan desa, batas bendang dan tambak di kebanyakan kawasan Sungai Limau. Dengar-dengar cerita, pemuda UMNO tempatan tidak ada. Ada yang kata sibuk bekerja. Pelik juga jika siang bekerja, wajah pemuda sebelah malamnya pun tidak nampak. Mungkin UMNO Cawangan di kawasan Sungai Limau tidak sempat bangkit selepas PRK DUN Sungai Limau diwartakan. Mungkin UMNO Cawangan sudah sekian lama 'tidur dan lena' akibat kekuatan dan pengaruh PAS tak sangga di kawasan itu. Namun begitu kita tetap mendoakan pengundi-pengundi kawasan itu membuat 'hijrah' pada kali ini dan calon BN akan menang dalam PRK itu.
Itu cerita di Sungai Limau. Kita tidak mahu apa yang berlaku di sana akan berlaku di Balik Pulau. Kita tidak mahu PRU13, semua calon BN menang tapi dalam PRU14 nanti semua atau sebahagian calon BN di parlimen Balik Pulau akan kalah. Nak menang mesti ada kekuatan, nak kuat mesti bersatu. Jangan cakap nak bersatu, tapi tindakan dan perbuatan tampak di sebaliknya. Semua orang tahu, UMNO Balik Pulau telah berlaku kejutan dari sebelum PRU13 sehinggalah kejutan terus berlaku selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Balik Pulau. Bagi sesetengah pihak pula beranggapan kejutan itu sebagai suatu takdir. Apa pun anggapan, semua pihak perlu menerimanya dengan hati yang terbuka. Bukan masanya lagi kita melihat kelemahan dan keburukan masing-masing pihak. Apa tah lagi mendedahkan keburukan dan kepincangan yang berlaku. Ibarat kata pepatah "meludah ke langit akan timpa batang hidung sendiri".
Kita menyeru setiap pemimpin utama dalam UMNO Balik Pulau dapat duduk dan berbincang tentang permasalahan dalaman UMNO terlebih dahulu. Orang Melayu Balik Pulau akan lari jika UMNO lemah. Orang Melayu tidak akan menghormati UMNO jika di sana sini ada pihak bercakap pasal kepincangan UMNO. Jika orang UMNO berpecah atau tidak bersatu bagaimana UMNO/BN boleh menghadapi PRU14 yang lebih getir. Tanggungjawab menguatkan UMNO sebenarnya tidak terletak di atas bahu Ketua UMNO Bahagian semata-mata. Sebenarnya Ketua Bahagian memerlukan sokongan yang padu dari semua peringkat kepimpinan termasuklah AJK bahagian, sayap-sayap UMNO dan ketua-ketua cawangan.
Dari setiap ucapan penangguhan oleh pemimpin-pemimpin utama dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian baru-baru ini nampak masing-masing mengharapkan UMNO Balik Pulau lebih kuat untuk memenangi PRU14 akan datang [Baca sini]. Tunaikan apa yang telah diucapkan. Jangan kita beretorik sesama kita. Biarlah kita bercakap serupa bikin. Ramai pemerhati dari dalam dan luar melihat perjalanan setiap pemimpin kita. Keikhlasan dan kejujuran pemimpin boleh dilihat melalui tindakan dan percakapan. Persoalannya, apakah kehadiran wakil-wakil rakyat baru ke dalam UMNO Bahagian dapat memantapkan UMNO Bahagian Balik Pulau atau sebaliknya menghancurkan UMNO? Kita tunggu dan lihat, apa yang dapat dilakukan oleh pemimpin kita.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.