"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Thursday, October 3, 2013

Ulama dalam UMNO akan terus dipinggirkan?

Pandangan supaya Majlis Ulama diwujudkan dalam UMNO wajar disokong tanpa banyak karenah. Jika UMNO masih banyak mempersoalkan kewujudan Majlis Ulama UMNO selagi itulah kita memberi peluang pembangkang terus mengatakan UMNO tidak menghormati ulama atau ulama dalam UMNO akan dipinggirkan. 

Dalam politik ulama sebaik-baiknya diletakkan di tempat yang selayak dan sewajar dengan mereka. Ulama tidak sepatutnya dikelompokan sama seperti pemimpin-pemimpin lain yang perlu berkempen untuk menduduki sesuatu jawatan dalam parti. Jika ini dikehendaki UMNO, kita pasti ulama tidak mampu 'hidup' dalam UMNO lebih lama. Inilah yang dikatakan UMNO menolak ulama.

Apa salahnya yang baik dari PAS kita ambil? Begitulah sebaliknya yang tak baik dalam PAS kita ketepikan. Jika begitu, Dewan Ulama PAS boleh dijadikan contoh yang terbaik. Cuma ulama dalam PAS tidak begitu konsisten dalam perjuangan Islam mereka sebab sentiasa dibayangi oleh ulama politik yang lebih berpengaruh seperti Murshidul Am PAS, Tok Guru Nik Ajis dan Tok Guru Hj Hadi Awang. 

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu), Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata, UMNO perlu melibat cadangan itu dengan serius kerana yakin penubuhannya bakal membawa manfaat. Katanya, jika Majlis Ulama UMNO menjadi kenyataan, badan itu bukan sahaja mesti berperanan seperti sayap tetapi perlu dipastikan bebas untuk memberi pandangan berdasarkan ilmu agama yang ada pada ahlinya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi Badan Bertindak Agama Minda Pondok Kelantan, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff agar sebuah Majlis Ulama UMNO ditubuhkan.

Sebelum ini, Penasihat Eksekutif Pertubuhan Ilmuwan Malaysia, Dr. Fathul Bari Mat Jahya menyokong penuh cadangan agar UMNO diberi lebih ruang serta peluang kepada golongan agama untuk bersama-sama parti itu demi masa depan Islam dan Melayu.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), Prof. Madya Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO perlu memberi fokus untuk memperkasakan biro agama yang sudah wujud dalam parti itu agar menjadi tempat rujukan utama pucuk pimpinan tertinggi parti. Beliau yang juga Ketua Hubungan Kajian, Akademi Kajian Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA) berkata, perkara itu seiring dengan peruntukan perlembagaan parti yang menegakkan syiar Islam melalui semangat yang dibawa sejak awal penubuhannya.  

Untuk memenangi hati umat Melayu yang beragama Islam, UMNO perlu berubah. Parti UMNO perlu melakukan transformasi secara yang lebih jelas, telus dan tegas. Ulama dalam UMNO perlu diperkasakan dengan meletakkan golongan ini di tempat yang sesuai dan sewajarnya. Jika Majlis Ulama UMNO dapat ditubuhkan, kita yakin lebih ramai lagi umat Islam yang berada dalam PAS akan berpindah parti. Sekali gus dapat menolak tohmahan pembangkang selama ini yang mengatakan UMNO parti sekular yang menolak Islam. Tapi apakah UMNO mahu berubah dan menubuhkan Majlis Ulama UMNO? Tunggu dan lihat!

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.