"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Tuesday, October 15, 2013

Pemuda dan Puteri UMNO Balik Pulau: Laksanakan janji dan buktikan kemampuan

Kelmarin dulu semua orang sibuk dengan masalah banjir yang teruk melanda kawasan Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan Pulau Betong. Hari ini pula sibuk dengan sambutan hari raya korban. Terlupa pula nak ucapkan tahniah kepada yang menang dalam persaingan jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Balik Pulau. 

Kesempatan ini diucapkan tahniah kepada Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri UMNO Balik Pulau serta AJK yang telah dipilih oleh para perwakilan pada kali ini. Sudah tentu kemenangan itu memberi kegembiraan dan kepuasan kepada mereka yang menang. Berbaloilah kata orang kampung kerana siang malam berkempen dan hampir setiap malam tidak tidur akhirnya membuahkan hasil. Tidak rugilah walaupun banyak tenaga yang dikerah dan banyak juga duit ringgit yang dibelanjakan.

Jika dahulu, orang takut nak jadi pemimpin atau ketua. Mungkin kerana dia takut akan tanggungjawab yang amat berat. Mungkin juga dia tidak mampu menjadi seorang pemimpin yang baik, disegani lagi dihormati. Sebaliknya hari ini, ramai yang berlumba-lumba hendak jadi pemimpin. Masing-masing mengakui diri adalah yang terbaik sebagai pemimpin. Pada masa yang sama cuba menjatuhkan lawan dengan apa jua cara sekalipun asalkan matlamat tercapai. Keputusan pemilihan telah diperolehi. Semua pihak perlu menghormati keputusan. Yang menang diikhtiraf dan yang kalah perlu menerima dengan fikiran yang terbuka.

Kini masanya pemimpin yang dipilih perlu buktikan. Tunaikanlah janji-janji semasa berkempen. Jangan leka dengan jawatan yang disandang. Jawatan bukan untuk dijaja dan dijual beli. Jawatan merupakan satu amanah yang besar daripada seluruh ahli pemuda dan puteri UMNO kawasan parlimen Balik Pulau. Kata lainnya ketua pemuda dan ketua puteri yang dipilih bukan calang-calang orang. Kata orang yang terbaik di antara yang terbaik.

Satukan pemuda dan puteri. Pujuklah mereka kerana sudah pasti ada kawan yang berduka dan mungkin merajuk. Lemparkan jauh-jauh sifat-sifat dendam. Buangkan perasaan buruk sangka sesama sendiri. Dekatilah mereka supaya pemuda UMNO Balik Pulau lebih kuat. Puteri UMNO Balik Pulau lebih mantap. Bukan masanya lagi kita bersaing sesama sendiri. Kempen pemilihan sudah pun selesai. Kini masanya kita kembali bersatu. PRU14 yang akan datang lebih mencabar. Semua tenaga pemuda dan puteri perlu digembelingkan untuk pilihanraya yang pasti sangat sukar. Persoalannya bagaimana mungkin boleh kita hadapi asakkan pihak pembangkang jika kita sendiri dalam keadaan yang sangat lemah kerana tidak bersatu. 

Marilah kita bersatu. Buang yang keruh ambil yag jernih. Berilah sokongan kepada semua ketua-ketua yang dipilih. Pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian termasuklah pemimpin-pemimpin sayapnya pemuda, wanita dan puteri mesti tunjuk keikhlasan dan kejujuran. Utamakan kepentingan parti daripada kepentingan diri sendiri. Selalulah dekati ahli dan rakyat. Tidak ada musim untuk berkhidmat dan berbakti kepada rakyat. Jangan jadikan jawatan hanya sebagai batu loncatan, hilang manis sepah dibuang, dapat tanduk rotan ditinggalkan,  dan mungkin ibarat kacang lupakan kulitnya. Harapan kita semua ahli, UMNO Balik Pulau semakin kuat selepas ini. Jangan ada yang cuba bertindak seperti musuh dalam selimut atau api dalam sekam. UMNO akan lemah dan hancur jika ada di kalangan pimpinan bahagian masih kukuh menjaga kepentingan politik daripada menjaga kepentingan parti.

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.