"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Friday, July 16, 2010

PEMIMPIN UMNO BAHAGIAN MESTI BERPAKAT SELESAI MASALAH DALAMAN!

DS Najib berkata pemimpin-pemimpin Umno bahagian tidak boleh terus bertelagah dan mereka perlu berdamai kerana hanya itu formula untuk mengembalikan kekuatan Umno. Katanya anggota Umno terutama di bahagian-bahagian perlu mengetepikan sikap "kawan makan kawan" dan sebaliknya perlu bersikap "kawan makan lawan", dan jika ia dilakukan, BN boleh kembali merampas kawasan dan negeri yang dikuasai pembangkang.
"Anggota Umno dan penyokong Umno sering tidak menyokong calon sendiri menyebabkan Umno kalah dalam pilihan raya. Jadi, bila pilihan raya, bahagian kenalah pakat pilih calon. (Kita) boleh menang kalau semua berpakat baik-baik. Pilih calon semua sokong," katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuala Kedah di sini hari ini.
Najib berkata apa yang berlaku sekarang ialah pemimpin dan anggota Umno terpaksa berhadapan dengan politik dalaman dan sering berbalah menyebabkan banyak puak wujud dalam bahagian.
Najib berkata beliau masih khuatir Umno akan gagal memenangi kembali kerusi dan negeri yang tewas pada pilihan raya lalu jika masalah dalaman di bahagian masih berterusan.
"Saya tak lena tidur jika tahu ada puak-puak dalam bahagian. Semua anggota Umno perlu kembali kepada asas-asas perjuangan dan kembali kepada perjuangan pemimpin Umno terdahulu," katanya.
Beliau berkata anggota Umno perlu menjadikan kekalahan pada pilihan raya umum yang lalu sebagai iktibar dan menjadikan peristiwa lalu sebagai pengajaran.
"Jika tidak mimpi ngeri itu akan berulang. Ia akan menjadi satu igauan jika Umno gagal untuk berkuasa. Perjuangan kita jangan hanya berkisar kepada jawatan dalam parti. Kalau ada harta gunakan harta untuk membela rakyat," katanya.

Monday, July 12, 2010

KURANGKAN POLITIK DALAMAN YANG KETERLALUAN, KATA PAK LAH

Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) hendaklah mengurangkan politik dalaman yang keterlaluan dan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, politik dalaman itu menyebabkan anggota BN lupa agenda sebenar iaitu membantu rakyat dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan serta kebajikan rakyat. Abdullah berkata, beliau bimbang terhadap politik dalaman keterlaluan ketika ini berikutan khabar angin mengatakan Pilihan Raya Umum Ke-13 akan dibuat dalam masa terdekat.
Komen:
Semua orang bimbang dengan kemelut yang berlaku dalam Umno. Sebelum terlewat, biarlah kita bergaduh dulu. Kita sampaikan apa yang betul dan apa yang tak betul. Kita beri tahu kepada pemimpin-pemimpin kita jangan buat macam ni dan jangan buat macam itu. Ahli-ahli Umno khususnya pimpinan peringkat bahagian perlu berani bersuara dalam mesyuarat bahagian. Jangan  hanya mengiyakan sahaja. Yang benar kita berikanlah sokongan.Tapi yang kurang elok atau molek, kita tegurlah. Teguran kita adalah untuk kebaikan semua. Bukan nak salahkan sesiapa dan bukan nak menjatuhkan sesiapa. Lebih kerap mesyuarat lebih baik. Mesyuarat AJK Umno Bahagian bukan nak kata mengata, tuduh menuduh tapi untuk mencari kata sepakat bagi kebaikan parti. Yang ponteng mesyuarat, muncul sekali sekala tanpa sebab menasabah jangan dipilih atau dilantik lagi. Bukan soal nak jaga hati dan nak jaga perasaan sapa-sapa. Lantiklah kawan-kawan yang boleh buat kerja dan boleh menguatkan Umno. Jika kawan yang kalah dalam pemilihan Umno sekalipun jika boleh membantu menguatkan Umno, apa salahnya? Kalau Umno kuat, semua akan dapat nama, lebih-lebih lagi Ketua Bahagian dan AJK bahagian serta ketua-ketua sayap parti Umno. Ahli-ahli Umno akar umbi tumpang seronok bila parti Umno kuat dan orang Melayu bersatu di bawah payung Umno. Itulah harapan kita....

Saturday, July 10, 2010

ORANG MELAYU JADI PELARIAN DI TANAH AIR SENDIRI, APAKAH BENAR?


Orang Melayu hanya boleh berdemontrasi. Mungkin boleh disertai oleh beberapa NGO Melayu dan NGO Islam. Itu saja yang dapat orang Melayu mampu lakukan, kenapa? Inilah angkara Melayu tidak bersatu. Melayu berpecah dua atau tiga kumpulan besar akibat perbezaan ideologi politik. Melayu majoriti di tanah air sendiri tapi jadi lemah kerana bercakaran sesama sendiri. Kumpulan penduduk majoriti akan jadi minoriti. Itulah sebenar yang berlaku kepada orang Melayu hari ini. Tapi orang Melayu masih tak mahu sedar diri. Orang Melayu terlalu taksub kepada pemimpin parti tertentu hingga tidak kisah bangsa dan agama Islam semakin terhimpit dan dihina. Pemimpin-pemimpin Melayu juga sengaja tak mahu sedar kerana ketamakan kepada kuasa politik. Tak kiralah sama ada pemimpin itu datangnya dari UMNO, PAS atau pun PKR. Pemimpin pembangkang sepuluh kali teruk daripada pemimpin UMNO. Sejak memerintah negeri Pulau Pinang, apakah pemimpin Melayu PKR dan PAS boleh lakukan? Hampas! Orang Melayu Pulau Pinang khususnya semakin tertekan, bagaikan pelarian palestin. Orang Melayu akan diusir keluar secara terancang oleh KM Pulau Pinang, Tuan Guan Eng, pemimpin yang menjadi idola penyokong PAS dan PKR di Pulau Pinang hingga mendapat gelaran pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Orang Melayu Pulau Pinang telah diperbodohkan oleh seorang pemimpin DAP. Bagaimana kampung tradisional satu demi satu akan lenyap dikerjakan oleh kerajaan negeri atas alasan pembangunan negeri Pulau Pinang. Lihatlah apa yang terjadi kepada penduduk Kg. Buah Pala? Sekarang Kg. jalan Pokok Asam akan menerima nasib yang sama, dan tak lama lagi Kg. Binjai tunggulah!. Demontrasilah pagi, petang, siang ataupun malam. Pasti pembangunan akan naik tanpa belas kasihan. Mana pemimpin PAS dan NGO PAS ketika rakyat ini memerlukan sokongan dan bantuan anda? Pemimpin PAS dan PKR bertanggungjawab atas kemusnahan kampung-kampung tradisional kaum India dan Melayu di Pulau Pinang. Timbalan Ketua Menteri 1Mansor Othman yang akan mendapat gelaran Datuk sempena hari jadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas yang ke-72 esok. Tahniah kepada Datuk Mansor Othman tetapi orang-orang Melayu di Pulau Pinang Datuk akan mendapat gelaran 'Pelarian di tanah air sendiri'. Mana janji-janji pilihanraya dulu Datuk? Mana hilangnya YB Tuan Abdul Malik Abul Kassim, Exco Hal Ehwal Agama Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna? Tampillah ke hadapan Tuan, bantulah orang Melayu di Kg. Jalan Pokok Asam dan juga Kg. Binjai yang turut akan menerima nasib yang sama. Datuk Abdul Halim Hussain dari PKR, walaupun bukan exco dan bukan ADUN tapi selaku Speaker pun sebenarnya boleh bela nasib orang Melayu Pulau Pinang? Tapi kemana pemimpin-pemimpin Melayu ini menghilang? Apakah hampa takut kepada pemerintah diktator Guan Eng itu? Jika tak cukup dengan pemimpin Melayu PKR, orang Melayu Pulau Pinang ada pemimpin tunggal PAS, YB Tuan Salleh Man. Pemimpin PAS yang kononnya memperjuangkan Islam dan nak tubuh negara Islam. Tapi jika nasib bangsa Melayu yang beragama Islam di negeri sendiri pun tidak dapat dibela nasib mereka masakan Tuan Salleh Man dan parti PAS boleh tubuh negara Islam PAS? Semua itu retorik belaka. Bekas Exco Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Syed Amerrudddin telah memberi komennya dalam Utusan Malaysia pada 8 Julai 2010, katanya semasa Pulau Pinang di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), kerajaan negeri akan memastikan pemaju mendirikan rumah untuk menggantikan kediaman setiap penduduk kampung yang terlibat dengan projek pembangunan. Beliau menambah lagi, campur tangan pemimpin kerajaan negeri merupakan salah satu cara penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan kampung-kampung ini seterusnya membela nasib orang Melayu. Itu komen bekas exco kerajaan negeri BN dulu. Tapi Utusan Malaysia satu-satunya akhbar utama orang Melayu telah diboikot oleh kerajaan negeri Guan Eng. Pemimpin diktator Guan Eng benci akhbar Utusan Malaysia maka begitulah bencinya dia kepada orang-orang Melayu. Tapi orang Melayu Pulau Pinang sangat menyanjungi Ketua Menteri PP, Tuan Guan Eng sebaliknya orang Melayu benci DS Najib pasal apa? TG Nik Aziz sendiri lebih rela bekerjasama dengan pemimpin DAP termasuk Pengerusi DAP, Karpal Singh, kenapa? Walaupun TGNA sendiri tahu  bahawa Karpal Singh tegas dan keras menentang penubuhan sebuah negara Islam, kenapa TGNA bersikap semacam itu? UMNO didakwa zalim, disamakan dengan Yahudi. Itu kerja pemimpin PAS/pembangkang cuba menimbulkan kebencian sesama umat Islam. Apakah selama ini kerajaan Malaysia di terajui oleh UMNO tidak membela nasib orang Melayu? Apakah syiar Islam tidak subur di bawah pemerintahan UMNO? Sudah beribu-ribu orang Melayu sudah berjaya dalam bidang profesional. Sudah beribu masjid dan surau dapat didirikan di seluruh pelusuk negara. Sistem perbank Islam dan sistem insuran takaful di Malaysia telah menjadi model ikutan oleh negara-negara Islam lain di dunia. Mahkamah Syariah dan perundangan Islam semakin berkembang maju di Malaysia. Universiti Islam Antarabangsa dan kolej-kolej Islam pun ada. Pajak gadai Islam ar-Rahnu telah diperkenalkan dan beroperasi dengan baik di Malaysia. Institusi Pendidikan Islam dibantu oleh kerajaan Malaysia. Sekolah Agama Rakyat turut dibantu dan diambil alih oleh kerajaan. Elaun Guru Kafa, elaun Imam dan elaun hafiz dibayar. Banyak lagi! Apakah semua ini dilakukan dengan baik oleh kerajaan PAS di Kelantan? Kenapakah ada sesetengah orang Melayu yang mengakui beragama Islam tidak mengakui kejayaan UMNO tapi masih berbangga dengan kejayaan kerajaan PAS di Kelantan yang sebuah masjid belum dapat dibina sejak 20 tahun memerintah. Yang banyak dibina ialah markas-markas PAS di merata ceruk kampung dan desa hanya untuk menjaga kepentingan politik kepartian tapi tiada perancangan rapi untuk membela nasib rakyat Kelantan. Pemimpin-pemimpin Melayu khususnya UMNO di Pulau Pinang mesti bersatu. Orang-orang Melayu di Pulau Pinang mesti buat keputusan yang bijak. Sudah terang lagi bersuluh dengan apa yang telah berlaku di hadapan mata kita. Ceramah politik pembangkang hanya umpanan yang beretorik. Setakat ini dulu...harap Melayu Pulau Pinang semakin sedar, bersatulah kita!

Wednesday, July 7, 2010

ITU TANDANYA PEMIMPIN UMNO TAK SUKA BLOG PAK TAM?


Hari ini lega sikit, pekerja gomen dan swasta diberi cuti. Adalah sedikit masa untuk berehat sambil menulis blog. Tapi kebanyakan sektor swasta enggan beri cuti. Kawan-kawan bagi tau Pulau Pinang dah terlebih cuti. Tak apalah itu depa punya pasal. Pak Tam nak komen sikit pasal Persidangan Agung UMNO Bahagian BP baru-baru ini. Bagus ada perwakilan yang sanggup tunggu hingga tubuh badan kesejukan, terpaksa tangan disimpan dalam poket seluar, punyalah sejuk. Tapi ucapan penangguhan tak sejuk rupanya. Yang kena hentam atau kena taruh rasa panas sampai ke telinga. Pedih hati pun ada. Tapi apa boleh buat, nak jadi pemimpin memanglah kena hadapi itu semua. Tapi janganlah tahu nak hentam saja, adab dan maruah sebagai orang Melayu yang mengakui diri sebagai beragama Islam kenalah jaga juga. Jangan kata orang, "Kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih". Berilah komen yang membina secara yang bersopan dan berhemah. Cara ini pemimpin atau sapa saja yang kena kritik pun boleh terima. Pak Tam pun kena taruh tapi Pak Tam tak ada pada masa itu. Nasib baiklah Pak Tam tak jadi perwakilan hari itu. Kalau tidak, Pak Tam pun panas sampai ke lubang telinga.Yang menghentam janganlah suka sangat kerana berpeluang mengata orang. Apatah lagi yang boleh mengaibkan orang. Kebanyakan perwakilan tidak suka sebenarnya cara yang boleh menjatuhkan maruah orang terutama sekali jika maruah seorang pemimpin. Banyak jasa pemimpin kita, yang perlu juga kita hargai. Oleh itu jika nak komen atau kritik biarlah secara bersopan dan berhemah. Insyaallah, kritikan begitu pemimpin boleh terima dan semua perwakilan akan puji.
Ada satu cerita benar. Selepas persidangan yang tamatnya agak lewat petang, malam itu juga seorang kawan Pak Tam dinamakan sebagai 'Si A' menemui Pak Tam.   Dia meluahkan rasa terkejutnya dan rasa herannya. Dia rasa macam itu kerana dia tak pernah jadi perwakilan sebelum ini. Dia tak sangka persidangan agung Umno jadi seperti itu. Rupa-rupanya persidangan agung Umno jadi tempat melepas geram kepada pemimpin Umno. Kalau macam ni katanya, dia tak mau lagi jadi perwakilan pada masa akan datang. Yang dia rasa sangat kecewa katanya, "Nak hentam-hentamlah tapi mengaibkan pula orang. Kemudian selepas hentam, dia dan rakan-rakannya bangun dan meninggalkan dewan. Kenapa jadi macam itu? Kemudian si A sambung lagi. Dia dengar, berulang-ulang dia sebut nama "Pak Tam" dan "Busu" yang buat fitnah dalam blog. Oleh kerana Si A kenal Pak Tam, jadi malam itu juga si A jumpa dan cerita kepada Pak Tam. Dia luahkan rasa tak puas hatinya terhadap pemimpin-pemimpin Umno kita. Si A tak puas hati sebab tak ada pun seorang pemimpin Umno yang berucap membela Pak Tam malahan sebut pun tidak.  Dia kasihan Pak Tam bersendirian tatkala Pak Tam diserang. Kenapa jadi macam ini? Tanyanya lagi kepada Pak Tam.
Pak Tam tidak kecewa tapi bersyukur kerana ada yang bersimpati. Pak Tam menjelaskan kepada si A bahawa Pak Tam tidak kecil hati. Apa yang Pak Tam usahakan bukan untuk mereka semata-mata tetapi lebih penting untuk UMNO, bangsa Melayu dan agama Islam. Pak Tam faham sangat dengan pemimpin Umno di bahagian ini. Tapi Pak Tam pun ada kelemahan sendiri. Pak Tam tak reti bodek dan mengampu depa. Pak Tam juga tak reti nak minta-minta. Tapi Pak Tam tak segan kalau nak minta peruntukan untuk program-program. Dah banyak program yang Pak Tam terlibat sama, depa yang bagi peruntukan itu. Jadi bersyukurlah walaupun depa tak bela nasib Pak Tam bila kena serang, depa tak bantu Pak Tam kerana banyak masa dan duit Pak Tam sendiri habis kerana blog tapi depa tak pernah hentam Pak Tam seperti kawan kita.  Depa tak bela blog Pak Tam, mungkin juga depa tak suka blog Pak Tam sebab depa juga tidak terlepas daripada kritikan dari Pak Tam. Oleh itu kepada kawan-kawan kita yang tak berpuas hati, Pak Tam mintalah sepertimana harapan bekas Ketua Pemuda UMNO, Sdr Shah Headan dalam ucapannya hari itu telah meminta agar Umno Bahagian buatlah sesuatu untuk merapatkan kembali silaturahim di kalangan pemimpin dan ahli-ahli Umno. Cadangan itu bagus dan itulah yang menjadi harapan utama Pak Tam menulis blog selama ini. Tema pada blog Pak Tam pun tertulis, "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Jadi tunggu apa lagi, siapa pun boleh mulakan. Walaupun Pak Tam masih dapati ada unsur ketidakikhlasan tapi mahu berprasangka baik supaya semua pemimpin UMNO yang kalah mahupun menang kembali bersatu dan menguatkan UMNO BP. Tunggu dan lihat..

Monday, July 5, 2010

BLOG PAK TAM DIKECAM KERANA FITNAH?

Salam persahabatan kepada semua rakan2 dalam UMNO Balik Pulau;
Pak Tam menulis blog sejak 3 April 2008 dengan blog yang pertama "Suara Perpaduan Melayu". Pada tanggal 17 Jun 2008, kira-kira 2 bulan kemudian, lahir pula blog Pak Tam yang kedua iaitu "UMNO Balik Pulau". Kedua-dua blog itu telah dihasilkan oleh Pak Tam sendiri untuk memberi sedikit kesedaran kepada orang Melayu dalam usaha mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO dan kerajaan BN. Tanpa sokongan dan dorongan mana-mana pihak, dengan secara sukarela dan ikhlas, Pak Tam berusaha menulis dan mengendalikan blog-blog ini sehingga kini kecuali blog "UMNO Balik Pulau" ditutup pada 16 Mac 2010. Blog "UMNO Balik Pulau" terpaksa ditutup supaya tidak disalahertikan oleh sesetengah pihak bahawa blog ini merupakan blog rasmi kepada UMNO Bahagian Balik Pulau. Oleh kerana itu Pak Tam menghasilkan pula blog yang ketiga dan terakhir dengan  nama "Suara Satu Dua UMNO" pada 17 Mac 2010. Melalui blog terakhir ini, Pak Tam merasakan penulisan lebih bebas dan meluas tidak hanya fokus kepada hal ehwal politik UMNO dan pembangkang di Balik Pulau sahaja.
Sepertimana kesedaran dan harapan blogger-blogger lain, Pak Tam menulis atas kesedaran bahawa UMNO/BN mengalami kekurangan sokongan pengundi-pengundi muda dalam pilihanraya umum yang lalu. Penganalisis dan pemerhati politik juga bersetuju bahawa media baru yang dieksploitasi sepenuhnya oleh pembangkang telah berjaya mempengaruhi pengundi-pengundi muda. Akhirnya calon BN ramai yang kecundang dalam pilihanraya yang lalu. Sepatutnya pemimpin-pemimpin UMNO perlu menggerakkan golongan muda UMNO supaya lebih giat menguasai media baru agar mesej parti dan isu-isu tempatan dapat diketahui oleh orang-orang Melayu. Bukan diarahkan blog yang ada ditutup. Sepatutnya UMNO Bahagian BP sudah ada laman web/blognya sendiri sepertimana laman web/blog UMNO bahagian lain.
Tapi atas inisiatif Pak Tam, blog dihasilkan adalah untuk semua pembaca termasuk peminat blog daripada penyokong-penyokong pembangkang. Tidak perlu Pak Tam memegang jawatan penting dalam UMNO Bahagian, kerana sumbangan Pak Tam sebagai blogger sebenarnya lebih besar dan lebih berkesan daripada seorang AJK Bahagian. Bagi mereka yang sentiasa mengikuti dan membaca  ribuan blog-blog yang ada, mereka dapat memahami dan mengakui bahawa peranan seorang blogger  amat penting dalam zaman IT yang sentiasa berkembang maju. Oleh itu blog "Suara Satu Dua UMNO" agak lebih terbuka sifatnya dan kritis dalam membicarakan isu-isu perpaduan orang-orang Melayu serta kepimpinan UMNO selari dengan usaha memenangi  PRU yang akan datang. 
Walau bagaimanapun Pak Tam berharap semua pihak terutama pimpinan parti melihat secara positif akan kehadiran lebih banyak blog-blog pro BN/UMNO. Terimalah kritikan dan pandangan secara terbuka dan ikhlas kerana inilah peluang ahli-ahli biasa UMNO, orang Melayu yang masih sayangkan UMNO serta rakan-rakan atas pagar  dapat meluahkan isi hati dan pandangan mereka bagi masa depan UMNO dan orang Melayu amnya.

Sunday, July 4, 2010

TS Isa Samad: Utamakan kerja untuk pilihanraya bukan untuk pemilihan UMNO!

Pagi tadi Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, ADUN Bagan Pinang  dalam ucapan perasmian Persidangan Agung UMNO Bahagian Balik Pulau di Dewan Tabung Haji, Bayan Lepas, beliau telah mengingatkan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO supaya mengutamakan kerja-kerja untuk pilihanraya bukan untuk pemilihan parti. Belajar dari kesilapan yang lalu di mana calon-calon pilihanraya dilantik bukan untuk menang tetapi untuk pemilihan parti. Inilah yang menyebabkan UMNO kalah dalam pertandingan yang lalu. Beliau sangat yakin bahawa pucuk pimpinan parti DS Najib akan mengambil kira faktor calon dalam pemilihan calon yang akan datang.
Kata beliau, UMNO sebenarnya kuat tapi kita tidak pandai mengurus kekuatan parti. Dalam mesyuarat contohnya kata beliau AJK Cawangan pun tidak hadir.  Beliau mengingatkan semua perwakilan agar tidak mengulangi kesilapan yang lalu. Keputusan pucuk pimpinan parti hendaklah dipatuhi. Tidak semestinya calon yang dipilih datangnya dari AJK Bahagian. Jangan kita fanatik kepada bahagian kata TS Isa Samad. Terimalah keputusan PM. Buat apa calon dari AJK Bahagian jika BN kalah dalam pilihanraya nanti. Jika ketiga-tiga wakil rakyat (merujuk kepada YB DS Hilmi, YB Syed dan YB Farid) masih boleh menang, teruslah menjadi wakil rakyat.
Sekali sekala beliau berseloroh dengan cerita lucu tetapi mengandungi makna dan sindiran tertentu. Sebelum itu beliau memberitahu bahawa beliau tetap setia kepada parti walaupun pernah digantung keahlian. Semakin lama beliau dalam politik, semakin sayangkan beliau kepada parti. Begitulah harapan TS Isa kepada ahli-ahli perwakilan untuk mencontohi beliau walaupun berhadapan dengan penggantungan keahlian dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, persidangan agung UMNO kali ini agak lewat bermula kira-kira jam 10.00 pagi didahului dengan bacaan ayat-ayat suci al-quran dari Surah al-Baqarah. Difahamkan jam 2.30 petang nanti, Datuk Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia akan hadir memberi ucapan kepada semua perwakilan. Persidangan agung dijangka tamat lewat petang. Selamat bersidang!

Thursday, July 1, 2010

Kampung Binjai Bayan Lepas akan lenyap tidak lama lagi!!!!!!

Difahamkan lebih 50 buah rumah di Kampung Binjai, Bayan Lepas, Pulau Pinang akan diroboh oleh pemaju untuk dibina dengan rumah sesebuah 3 tingkat dan rumah berkembar 3 tingkat. Sudah tentu rumah sebesar ini tidak akan mampu dibeli oleh orang-orang Melayu di Kampung Binjai itu sendiri. Inilah nasib sebuah kampung 99% orang-orang Melayu yang dihalau keluar kerana pembangunan 'pembersihan' orang-orang Melayu secara perlahan-lahan oleh kerajaan Lim Guan Eng.
Semasa pentadbiran BN dulu, kelulusan projek perumahan di kawasan Daerah Barat Daya dibekukan dan diperlahankan sebagai usaha mengatasi kesesakan jalan utama Bayan Lepas-Balik Pulau mengalami kesesakan teruk di waktu puncak. Tapi kerajaan negeri Guan Eng tidak memikirkan tentang masalah itu. Itu masalah rakyat. Rakyat boleh fikir sendiri untuk mengatasi kesesakan jalan raya. Hanya dalam tempoh dua tahun, kerajaan negeri DAP-PKR-PAS memerintah, pertumbuhan projek perumahan ibarat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Bukit bukau ditarah dan rumah-rumah kampung ditolak untuk digantikan dengan rumah batu bertingkat-tingkat. Orang Melayu hanya boleh memerhatikannya sahaja. Orang Melayu tidak mampu beli. Kampung orang Melayu kian lama kian lenyap. Masa kempen pilihanraya dulu, pemimpin UMNO/BN dikritik dan dikutuk. Pemimpin UMNO/BN didakwa kejam kerana merampas harta rakyat. Ramai cendiakawan dan pemerhati politik bebas, mengiyakan bahawasanya kemenangan parti pembangkang terutamanya PAS dan PKR dalam pilihanraya yang lalu kerana 'fitnah' yang mereka taburkan. Sekarang lihat dan saksi sendiri, bagaimana pentadbiran negeri Guan Eng telah  meluluskan projek-projek perumahan secara rakus sekali.
Difahamkan YB Adun Bayan Lepas sedang berusaha mendapat bantuan Kerajaan Pusat bagi menyelamatkan kampung ini. Mungkin YB Adun Bayan Lepas mempunyai mekanisme tertentu bagi menyelamatkan kampung ini daripada jatuh ke tangan pemaju. Sama-samalah kita beri sokongan dan semangat kepada keluarga-keluarga Melayu yang terbabit supaya bersabar. Menurut maklumat yang boleh dipercayai, ADUN Pakatan Rakyat tidak mahu membantu menangani masalah penduduk di kampung ini kerana penyokong Pakatan Rakyat dikatakan cuma 4-5 keluarga sahaja. Begitulah pendirian wakil rakyat pembangkang yang dipuji dan dipuja oleh orang Melayu selama ini. Begitulah nasib penduduk Kg. Binjai, Bayan Lepas selepas rakyat memilih DAP-PKR-PAS memerintah Pulau Pinang. Sokong lagi! Harap pagar, pagar makan padi.