Setiap kali Ramadan sejak lebih 20 tahun lalu, di situlah orang ramai berpusu-pusu bertumpu untuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sebut apa sahaja, kuih raya, baju kurung, songkok, samping, semuanya boleh diperolehi di situ.
Namun tahun ini, kemeriahan Bazar Ramadan yang terletak di tingkat tiga Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) itu mungkin tidak dapat lagi dilihat atau dinikmati.
Ini kerana, pihak pengurusan kompleks tersebut, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), iaitu sebuah agensi kerajaan negeri menghalang para peniaga Melayu terbabit daripada berniaga di kawasan itu.
Lebih dikesalkan, Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Komtar (KMA), Mohamed Ghani Abd. Jiman berkata, kesemua 27 peniaga yang terlibat hanya dimaklumkan semalam tentang keputusan itu sedangkan persiapan telah dibuat untuk memulakan perniagaan mereka hari ini.
Menurutnya, pihaknya dan Jawatankuasa Pemulihan Komtar yang dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik ketika bermesyuarat kali terakhir pada 5 Ogos lalu bersetuju untuk meneruskan tradisi Bazar Ramadan yang dianjurkan setiap tahun.
Tambahnya, para peniaga juga telah membuat bayaran sewa tapak gerai kepada KMA selaku penganjur dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan.
"Kontraktor yang kami lantik mula memasang gerai sejak pukul 10 pagi semalam tetapi tiba-tiba pukul 7 malam mereka diminta berhenti oleh pegawai-pegawai PDC atas arahan Wei Aik.
"Alasan yang mereka berikan adalah pembinaan gerai-gerai ini tidak mendapat kelulusan Wei Aik.
"Saya curiga kenapa setelah sembilan jam kerja-kerja ini dibuat, baru PDC menghalang dan saya percaya mereka sengaja tidak mahu peniaga terlibat berniaga di situ," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Tinjauan di tapak Bazar Ramadan itu mendapati gerai-gerai yang belum siap didirikan dibiarkan tanpa sebarang aktiviti.
Kelihatan beberapa pegawai keselamatan juga berkawal di tapak tersebut untuk menghalang kontraktor meneruskan kerja-kerja.
Sementara itu, peniaga kain, Hanim Mydin, 47, memberitahu, ini kali pertama sejak lebih 20 tahun lalu dia tidak dibenarkan berniaga di Bazar Ramadan tersebut.
"Setiap tahun pada bulan puasa, di situlah saya berniaga bagi mencari pendapatan tambahan.
"Para pelanggan khususnya dari sekitar Pulau Pinang sudah tahu tempat ini, mereka boleh mencari pakaian, biskut, kuih dan pelbagai barangan untuk menyambut hari raya," ujarnya.
Lebih merisaukan, jelas Hanim, dia mengeluarkan modal sebanyak RM60,000 dan jumlah tersebut bakal lenyap begitu sahaja jika tidak dapat meneruskan perniagaan di situ.
Pengusaha pakaian tradisional Melayu, Aliff Amka, 50, pula berkata, dia hairan dengan keputusan Wei Aik yang dibuat pada saat-saat akhir itu.
Jelasnya, dia dan para peniaga lain telah memenuhi semua syarat perniagaan yang ditetapkan.
"Kalau dibatalkan sebulan lalu, boleh juga kami mencari alternatif untuk mencari tapak baru," katanya.
Seperti juga peniaga-peniaga lain, dia mungkin menanggung kerugian yang dianggarkan bernilai RM100,000.
Sumber: Utusan Malaysia 8/8/2010
Hai pemimpin2 malayu dalam kerajaan DAP buat apa? Tak ada teloq kah, bolehkah tengok orang Melayu ditekan begitu rupa? Bukan Guan Eng shj yang kena tampaq, hampa pun mahu kasi kena habuan. Ceramah berdegar2..cakap tak serupa bikin.
ReplyDelete