Wakil-wakil rakyat sedia ada diingatkan jangan terlalu ghairah nak jadi calon. Bila rakyat nampak terang-terang mahu jadi calon dengan usaha-usaha yang bertali arus, rakyat jadi meluat. Lebih-lebih lagi semakin hampir menunggu hari-hari parlimen dibubarkan semakin rancak program besar dan kecil dibuat hanya untuk mempromosikan diri sendiri.
Wakil rakyat mesti jujur kepada diri sendiri dan kepada rakyat. Bukan kerana pilihanraya semakin hampir semakin banyak program rakyat. Rakyat hari ini tidak mudah ditipu dan tidak mudah dipermain-mainkan hanya kerana mendapatkan undi. Wakil rakyat yang baik sentiasa mendekati rakyat tanpa mengira waktu dan masa. Tidak perlu membetulkan momentum sebaliknya konsisten dalam mengatur program bersama rakyat.
Jagalah etika dan hubungan baik sesama rakan dalam parti. Tak guna menang dalam PRU13 akhirnya kekuatan parti menuju kehancuran. Tak guna kita menang jika sebahagian besar pemimpin dan ahli UMNO berpecah dan parti jadi lemah kemudiannya.
Dari sumber yang boleh dipercayai dan pengalaman yang dilalui, ada sesuatu yang tidak kena berlaku di kalangan pihak media. Wakil rakyat yang 'miskin' nampaknya tidak mampu menguasai media arus perdana dan media maya (bloggers). Ibarat kata pepatah Melayu di mana ada gula di situ ada semut. Hormatilah etika kewartawanan terutama pihak media tertentu (bukan semua).
Semua tahu dan pemimpin UMNO terutama wakil-wakil rakyat sedia maklum. Perpecahan dalam UMNO boleh menyebabkan calon UMNO kalah. Bukan kerana parti lawan kuat sebaliknya kerana UMNO tidak bersatu. Inilah yang amat ditakuti. Sejarah telah membuktikan UMNO di Kelantan sentiasa tewas kerana tidak bersatu. Oleh itu wakil-wakil rakyat yang masih mahu menjadi calon hendaklah menjaga hubungan baik sesama sendiri. Yang merasakan dirinya sudah lama eloklah mengundur diri dengan terhormat mungkin ada tempat yang lebih baik untuk mereka. Wakil rakyat yang baru pula jangan terlalu ghairah hingga 'lupa diri' seolah-olah orang lain tidak layak.
Harus ingat kekuatan dan keutuhan parti perlu diutamakan. Jika berjaya menempatkan diri sekalipun sebagai calon, tidak semestinya dalam PRU13 nanti boleh menang. Perpecahan dalam parti disebabkan persaingan nak jadi calon boleh mengundang ketidakpuashatian di kalangan wakil-wakil rakyat dan penyokong masing-masing. Biarlah kita menjadi calon yang disukai dan dihormati oleh kawan-kawan dalam dan luar parti. Jangan kita jadi calon hanya kerana disukai oleh sekelompok pihak yang ada kepentingan dan terhutang budi. Keghairahan wakil rakyat mempromosikan diri dan melobikan diri menyebabkan wujud suasana tidak harmoni di kalangan pemimpin sendiri.
Paling malu, rakyat luar sedang bercakap pasal pemimpin UMNO sendiri yang merebut-rebut nak jadi calon. Jika kita wakil rakyat yang benar-benar berjiwa rakyat dan merasai denyut jantung rakyat tidak perlu kita khuwatir atau bimbang. Jika ada rezeki dan diizinkan Allah SWT akan terpilihlah nanti sebagai calon dalam PRU nanti. Biarlah kita menjadi calon yang disukai oleh semua orang dalam dan luar parti dan ditakuti oleh pembangkang.