Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyifatkan cadangan menghantar guru bahasa Inggeris mengikuti program latihan di luar negara sebagai membazir dan membuang masa.
Presidennya, Hashim Adnan berkata, kerajaan perlu mencari jalan untuk memperkasa kemahiran guru tersebut tanpa perlu meninggalkan sekolah kerana ia dilihat lebih praktikal serta tidak melibatkan kos yang tinggi.
"Adakah dengan menghantar guru ke luar negara benar-benar mampu menjamin mereka dapat memberi impak seperti yang diharapkan setelah pulang nanti?
"Saya yakin dengan kemampuan semua guru bahasa Inggeris sedia ada kerana mereka memiliki kelayakan yang cukup setelah mengikuti pengajian selama empat tahun di universiti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah Kementerian Pelajaran mengkaji untuk menghantar guru bahasa Inggeris mengikuti program latihan di luar negara agar penguasaan mereka dalam bahasa itu dapat dimantapkan.
Mengulas lanjut, Hashim turut mencadangkan kepada kementerian supaya menggunakan semua pakar bahasa Inggeris tempatan termasuk yang telah bersara dalam usaha memantapkan penguasaan bahasa dan teknik pengajaran guru terbabit melalui kursus-kursus pendek.
"Adalah lebih baik sekiranya pakar-pakar tempatan mengadakan kursus kepada guru Bahasa Inggeris di setiap sekolah untuk berkongsi pengalaman dan idea mereka bagi tujuan tersebut.
"Jangan memandang rendah serta memperlekehkan kemampuan pakar-pakar tempatan yang sebenarnya mampu memberi sumbangan besar dalam memantapkan penguasaan bahasa Inggeris guru di negara ini," ujarnya.
Tambah beliau, guru-guru juga perlu mengambil inisiatif sendiri dalam meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris masing-masing supaya mereka dapat bertutur dengan lebih yakin.
"Apa yang lebih penting, guru terlibat perlu membudayakan penggunaan bahasa itu bukan sahaja di dalam bilik darjah tetapi juga dalam kehidupan seharian," katanya.
Komen:
Apa yang NUTP kata itu memang betul dan tepat. Di Malaysia sendiri mempunyai banyak pensyarah dan guru yang mempunyai kepakaran dalam bahasa Inggeris. Jangan membazir wang rakyat menghantar guru-guru ke luar negara untuk mendalami pedadogi Bahasa Inggeris. Kalau pun sudah balik ke dalam negara, guru itu belum tentu dapat mengajar dengan baik di sekolah-sekolah yang ditempatkan oleh KPM. Kita bimbang program menghantar guru keluar negara akan jadi program guru 'makan angin' sahaja. Harap pihak KPM dapat mengkaji kembali cadangan untuk menghantar guru-guru Bahasa Inggeris ke luar negara.
Cadangan menghantar Guru BI keluar negara bagi memantapkan kemahiran BI mereka adalah baik tetapi kurang praktikal dalam menyelesaikan masalah kurang kemahiran BI di kalangan guru dan pelajar sendiri. Cara yang lebih berkesan ialah usaha bersungguh-sungguh membudayakan bahasa itu di peringkat sekolah khasnya dan dalam masyarakat amnya. Di peringkat sekolah, maaf bercakap, usaha membudayakan BI dijalankan secara sambil lewa seperti hari BI, Minggu BI, dengan aktiviti denda jika pelajar tidak menggunakan BI dan lain-lain kurang berkesan dari segi pelaksanaannhya. Walaupun ianya amat baik tetapi dijadikan bahan ketawa semua pihak.
ReplyDeleteManakala di rumah, ibu bapa seharusnya menggalakkan anak-anak untuk cuba bertutur BI. Jangan ketawakan jika mereka melakukan kesilapan. Kita sama-sama membetulkannya. Kalau ibu bapa kurang mahir, mereka seharusnya cuba untuk meningkatkan kemahiran mereka dan jangan malu untuk menerima ketawa dari orang lain jika melakukan kesalahan BI. InsyaAllah...akan berjaya.