Dalam politik seribu
kemungkinan boleh terjadi. Hari ini menjadi musuh, tegur pun tidak ikhlas, jika
bersalam pun hujung jari tiba-tiba esok boleh jadi kawan paling baik. Sebaliknya
hari ini jadi kawan baik boleh melawak, makan dan tidur sekali, esok jadi musuh.
Cerita begini pernah berlaku dan sedang pun berlaku di kalangan orang kita. Siapa
pun tidak boleh menduga, menelah atau meramal, tiba-tiba muncul orang
kita sebagai seorang calon. Kata orang inilah rezeki tapi rezeki tidak datang
bergolek. Ibarat kata pepatah, “Untung sabut timbul, untung batu tenggelam”.
Selepas nama-nama calon
diumumkan, terdengarlah cakap-cakap yang pelbagai. Ada yang sejuk kita
mendengarnya dan ada pula yang panas telinga dibuatnya. Sudah pasti ada pihak
yang berpuas hati dan ada pula sebaliknya marah, geram dan memaki hamun. Itulah
reaksi spontan kawan-kawan yang tidak dapat menahan emosinya. Sembang-sembang
politik di warung-warung kopi, pasar dan gerai-gerai tepi jalan mulai membuat pelbagai
kritikan dan ramalan. Ada yang kata calon kita yang ini dan yang itu boleh
menang tapi perlu bekerja lebih kuat dan ada pula yang kata memang boleh menang
dan ada pula yang kata boleh kalah jika tak kena cara.
Dalam situasi politik
menghadapi PRU13 ini, semua penyokong dan pemimpin UMNO dan BN terpaksa bersatu
hati dan tenaga. Nafsu amarah hendaklah cuba dipadamkan secepat yang mungkin. DS
Najib beri tempoh hanya 24 jam sahaja untuk merajuk atau membawa diri. Selepas
itu kembalilah kepada parti untuk bekerja bersama-sama memenangkan calon BN
yang dipilih. Jangan ada sampai hendak menutup bilik gerakan dan jangan
sesekali cuba memboikot atau mensabotaj calon dan parti. Yang rugi adalah
parti, yang rugi adalah kita orang-orang Melayu dan yang rugi adalah anak cucu
kita.
Memang kita faham ada
nama-nama calon yang muncul di saat-saat akhir. Ada pula nama calon untuk
kerusi DUN dan Parlimen belum dapat diumumkan hingga saat akhir. Begitulah yang
sering berlaku dalam proses lobi melobi untuk menjadi calon. Nama calon
bertukar di saat-saat akhir. Ini menjadi lumrah bagi setiap pilihanraya. Hakikatnya
calon yang telah dipilih dan diumumkan dalam apa jua cara sekalipun perlu
dibantu dan diberi sokongan atas semangat parti dan setiakawan. Paling penting
calon BN mesti menang. Maruah BN akan terbela jika calon BN menang.
Yang tidak terpilih baik pada
tuan tubuh atau penyokong-penyokongnya hendaklah perlu bertenang dan bersabar. Seandainya
berlaku ketidakadilan dan penganiayaan sekalipun kita harus terima keputusan pucuk
pimpinan itu sebagai ketentuan dari Allah SWT. Mungkin akan ada tempat yang
sewajarnya untuk pemimpin yang berjasa. Biarlah kita berundur sebagai pemimpin
yang terbilang. Jasamu dikenang oleh rakyat. Ketiadaan pemimpin yang berjasa
bagai suatu kehilangan yang besar kepada rakyat. Rakyat melihat dan rakyat
menilai budi baik pemimpin selama ini. Walau bagaimanapun, jasamu masih diperlukan
oleh parti terutama di saat PRU13 kian hampir. Agak penat dan mungkin juga
tenat jika mantan YB yang banyak jasanya, dihormati kawan dan lawan terus menyendiri.
Calon parlimen dan DUN amat memerlukan sokongan mantan YB. Pastikan semua calon
BN menang dan kerajaan BN dapat dibentuk selepas PRU13 ini di Pulau Mutiara.
InsyaAllah!
Kalau orang Melayu mahu bertuankan DAP, buatlah. Kalau orang Melayu mahu bersyukur secebis rahmat dan rahmat yang diperolehi disebalik perjalanan Malaysia dibawah BN wajar kembali menyokong beramai-ramai BN dalam PRU13.
ReplyDelete