Menjelang pilihanraya yang akan datang UMNO/BN di Balik Pulau terpaksa berhadapan dengan faktor dalaman (internal factor) dan luaran (external factor) yang lebih mencabar. Lebih rasa bimbang berbanding dengan pilihanraya yang lalu. Pemimpin BN khususnya UMNO sudah pun tahu gelora dan gelombang yang akan membadai BN/UMNO dalam pilihanraya yang akan datang. Jika BN/UMNO tidak bersedia berhadapan dengan badai itu, tsunami politik lebih dahsyat akan berlaku lagi. Mungkin sekali lagi kita dapat saksikan calon BN akan kalah di kerusi Parlimen dan malahan akan kalah ke semua kerusi untuk DUN Bayan Lepas, Telok Bahang dan Pulau Betong.
Walaupun ketika ini Pakatan Rakyat khususnya PKR sedang menghadapi krisis kepimpinan tetapi PKR masih ada masa dan peluang untuk bangkit semula dengan wajah yang baru. Tindakan beberapa wakil rakyat dan pemimpinnya keluar PKR, kata pemimpin PKR sendiri bahawa PKR dalam proses pembersihan parti dan dengan itu PKR akan tidak ada lagi pemimpin umpama 'duri dalam daging' atau 'api dalam sekam'. Pemimpin-pemimpin utama PR masih mempertahankan bahawa PR tidak goyah malahan lebih kukuh lagi kerana tindakan keluar parti dianggap biasa sebagai parti yang baru.
Kerjasama antara parti-parti dalam PR didapati kukuh bersatu. AMK dan Pemuda PAS telah membela dan mempertahankan LGE malahan mencabar pemuda UMNO dan NGOs yang menyokong UMNO/BN untuk berdebat. PKR sanggup memecat wakil rakyatnya sendiri ,YB Zul kerana menyaman wakil rakyat PAS, Khalid Samad. Tok Guru Nik Aziz, MB Kelantan menolak usaha kerajaan perpaduan dengan UMNO kerana TGNA lebih menghormati pemimpin DAP daripada pemimpin UMNO. Penyokong-penyokong PAS sendiri sanggup berbaring atas jalan atau bergadai nyawa kerana kerajaan Perak yang dikuasai oleh DAP. Sama ada secara jujur atau tidak tetapi mereka kelihatan sehaluan dan sealiran bila berhadapan dengan sesuatu isu.
Tapi mereka ada ruang mereka ada masa dan mereka ada wang untuk terus berbicara. Mereka tak ada masalah untuk menggunakan dewan, kerana banyak dewan-dewan besar sudah jadi milik mereka. Mereka ada penceramah-penceramah yang begitu ramai jumlahnya dan hebat-hebat belaka, ada di kalangan wakil-wakil rakyat sendiri serta ustadz dan tok guru mereka yang beranggapan perjuangan menentang UMNO/BN sebagai jihad. Cuba lihat banner-banner yang direntang di setiap persimpangan jalan seluruh negara. Ceramah-ceramah politik mahupun ceramah agama telah dimonopoli oleh pembangkang. Pakatan Rakyat telah pun bertekad mereka akan mengadakan ceramah tanpa henti sehingga pilihanraya yang akan datang. Lihatlah betapa banner pembangkang tidak henti-henti terbentang di setiap simpang dan tempat-tempat yang strategik dengan tiga bahasa. Setiap perayaan, sambutan agama dan majlis rasmi dan sebagainya, kain-kain rentang pembangkang memenuhi di setiap ruang di persimpangan jalan kadang-kadang menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna-pengguna jalan raya.
Rakyat boleh memberi pujian kepada kerajaan negeri Pulau Pinang kerana kerajaan negeri dan parti-parti komponennya (PAS dan PKR) sentiasa mendampingi rakyat dengan hanya membentang banner sahaja. Setiap kali sambutan hari-hari perayaan maka terbentanglah banner-banner dengan pelbagai bahasa. Tak lama lagi Pulau Pinang terkenal dengan negeri yang kaya dengan kain pemidang. Kerajaan negeri LGE dan PBT juga tidak kurang hebatnya juga menggunakan media baru ini (kain pemidang) untuk menyampaikan mesej politik kepada rakyat-rakyatnya di seluruh negeri. Dalam alam maya, blogger pro pembangkang masih menguasai media baru. Pemimpin-pemimpin pembangkang dan wakil-wakil rakyatnya yang baru ataupun lama, muda ataupun tua, telah memiliki blog sendiri seolah-olah suatu kemestian kepada setiap wakil rakyat mereka. Tapi berapa kerat wakil rakyat BN yang memiliki blog sendiri? Ingatlah kekalahan banyak kerusi oleh BN dalam pilihanraya dahulu antara sebabnya BN tidak beri perhatian serius tentang peranan media baru. Menurut penganalisis politik, golongan muda menolak BN kerana mereka menerima maklumat melalui media baru yang dikuasai oleh pembangkang. Hingga kini, jumlah blogger pro pembangkang masih jauh meninggal jumlah blogger pro BN.
Sebenarnya banyak lagi yang membimbangkan kita. Tapi apakah kepimpinan bahagian telah mengadakan post mortem dan merancang aktiviti yang boleh menjiwai rakyat hingga pilihanraya yang akan datang? Sebenarnya Umno di Balik Pulau sedang menghadapi cabaran baru yang mungkin boleh menggugatkan kekuatan UMNO/BN dalam pilihanraya yang akan datang. Tunggu dan lihat!
Tahniah paktam kerana buka blog baru;
ReplyDeleteTapi nak tanya, Perkasa ditubuhkan diBP. Bolehkan Perkasa bantu umno dan membela nasib orang melayu Bp?
Kawan2 tolong jawab sat..
Tanya shahedan or yazid depa ni golongan pandai balik pulau
ReplyDelete