KOTA BHARU 15 Mac – Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid secara terbuka menyatakan dukacita dengan sikap kerajaan negeri sepanjang Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra menerima rawatan di Pusat Perubatan Mount Elizabeth, Singapura.
Dengan suara sedikit tersekat, baginda yang menahan sebak bertitah, sikap kerajaan negeri ternyata berlainan dengan Kerajaan Pusat sejak baginda berada di sana mulai 24 Mei tahun lalu.
Titah baginda, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan para menteri Kabinet malah mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew juga kerap datang.
‘‘Saya ambil kesempatan ini untuk ucap banyak-banyak terima kasih kepada Perdana Menteri dan isteri serta anggota Kabinet yang selalu bertanya khabar,’’ ujar baginda semasa bertitah di Majlis Kesyukuran dan Sambutan Maulidur Rasul 1431H di Kompleks Islam Jubli Perak, Panji di sini hari ini.
Tengku Anis juga menyampaikan pesanan Sultan yang berterima kasih kepada rakyat kerana bersusah payah membuat solat hajat dan membaca surah Yasin untuk kesejahteraan baginda.
Bagaimanapun, Tengku Anis hanya sempat bertitah kira-kira tiga minit apabila sebak dan Tengku Merjan menyambung ucapan. Tengku Merjan menyatakan kehairanan dengan sikap pimpinan negeri masa kini berbanding semasa Almarhum Sultan Yahya Petra gering dan dirawat di Kuala Lumpur.
Beliau turut kesal dengan penubuhan panel perubatan oleh kerajaan negeri kerana Tuanku Ismail Petra bukannya pegawai kerajaan yang memerlukan pengesahan pakar untuk menentukan kemampuan baginda.
‘‘Sampai hati sekali ada orang buat Tuanku macam itu. Marilah kita berdoa agar Tuanku cepat sembuh, pulih dan dapat memerintah seperti dulu,’’ katanya.
Sumber: Utusan Malaysia 16/3/2010
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.