"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Saturday, August 13, 2011

Dilarang membaca al-Quran pada waktu subuh, terima kasih kepada PAS Pulau Pinang.

Bacaan al-Quran di semua masjid dan surau pada waktu subuh minta dihentikan kerana mengganggu orang lain dalam dan luar masjid. Mengganggu siapa agaknya? Apakah bacaan suci al-Quran itu mengganggu umat Islam atau mengganggu orang bukan Islam yang semakin 'kuat' di Pulau Pinang ini? Atau kekuatan orang Islam yang semakin lemah maka hak keistimewaan agama Islam sebagai agama rasmi negara semakin dihakis sikit demi sikit di Pulau Pinang ini. Kenapa sekarang baru wujud bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh dikatakan mengganggu ketenteraman orang lain?
Kita nak tanya kepimpinan kerajaan negeri terutama PAS negeri Pulau Pinang. Jika isu pembesar suara yang bising mengganggu orang di dalam dan di luar masjid, apakah larangan tersebut terpakai juga di masjid-masjid dan surau-surau yang di sekelilinginya 100% umat Islam? Begitu malang rasanya umat Islam hari ini di Pulau Pinang kerana pemerintah DAP berjaya menjauhkan umat Islam dengan bacaan suci al-Quran. Selaku umat Islam, bacaan al-Quran sebelum subuh misalnya adalah sesuatu yang amat baik, sekurang-kurangnya mengingatkan umat Islam, kecil besar, tua dan muda bangun mendirikan solat subuh.
Tidak mungkin sekali akan ada umat Islam sendiri membantah bacaan al-Quran semasa waktu subuh melainkan dia seorang yang jahil ataupun jika bacaan al-Quran itu tidak sempurna dari segi hukum tajwidnya. Jika sebaliknya masjid dan surau memperdengarkan bacaan al-Quran oleh  Imam Besar Masjidil Haram, Syeikh Abdul Rahman As-Sudais atau pun johan qari kebangsaan contohnya, insyaAllah sebagai umat Islam yang beriman kepada al-Quran tidak akan jemu mendengarnya. Dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, Kitabullah yang terakhir itu yang berkumandang melalui corong pembesar suara masjid dan surau akan dapat menimbulkan minat umat Islam untuk membaca dan menghayati isi kandungannya.
Sikap toleransi pemimpin Islam kita yang terlalu tinggi terhadap kaum lain pada hari ini menyebabkan hak orang Islam dan keistimewaan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini kian terhakis. Jika pemimpin PAS mendakwa pemimpin DAP mulai minat terhadap Islam dengan membaca ayat suci al-Quran seperti yang dilakukan oleh Nga Kor Ming (Pemimpin DAP) tetapi kenapa pula pembacaan ayat suci al-Quran hendak dilarang? Sementara itu pemimpin PAS juga membenarkan kaum kafir membaca ayat al-Quran di atas pentas politik kononnya dengan penuh harapan agar puak-puak ini (pemimpin DAP/bukan Islam) akan memeluk Islam suatu masa nanti. Berapa ramaikah pemimpin DAP atau pun ahli-ahli DAP sudah diislamkan oleh PAS setelah sekian lama berkawan melalui kerajaan Pakatan Rakyat?
Tiba-tiba JHEAIPP pula yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu subuh. Kenapa dulu semasa kerajaan BN tidak berlaku larangan ini? Walaupun UMNO dituduh sebagai parti yahudi mewarisi perlembagaan penjajah tapi hakikatnya UMNO tidak pernah melarang bacaan al-Quran seperti yang berlaku hari ini.   Walaupun keputusan telah dibuat dan surat pekeliling telah dikeluarkan tapi banyak persoalan yang bermain difikiran umat Islam terutamanya di Pulau Pinang hari ini. Jika ini dibiarkan berlaku (hak keistimewaan agama Islam terhakis) tidak mustahil kes memurtadkan umat Islam di Selangor akan berlaku pula di Pulau Pinang pada suatu masa nanti.
Persoalannya kenapa kita pula umat Islam boleh bertoleransi dengan kaum lain sedangkan mereka tidak? Kita umat Islam di kampung-kampung kebanyakannya umat Melayu/Islam sanggup mendengar bunyi bising wayang Cina dan persembahan hiburan hingga lewat malam pada setiap malam untuk beberapa malam. Bunyi kuat memekak telinga boleh didengar jauh beratus-ratus meter. Solat Isyak tidak khusyuk di rumah, surau ataupun masjid tetapi adakah pemimpin PAS sedar tentang perkara ini. Beranikah pula pemimpin Islam negeri Pulau Pinang terutamanya YB Malik Hussain selaku exco agama di Pulau Pinang membawa permasalahan ini ke dalam mesyuarat exconya. Setakat ini tidak ada larangan pun dari kerajaan negeri untuk memberhentikan persembahan itu sedangkan penduduk kaum Cina tidak ramai di sesuatu kampung itu. Umat Islam tidak keluar membantah atau tunjuk perasaan walaupun bunyi bising yang kuat mengganggu ibadah mereka. Itulah sepatutnya yang ditunjukkan oleh kaum lain sebagai penduduk majmuk berbilang bangsa dan agama di negara ini. Tapi masalahnya, semakin hari kita lihat pemimpin Melayu/Islam dalam kerajaan negeri terutama yang dikuasai pembangkang semakin lemah atau jadi pak turut. Kes isu gereja di Selangor boleh dijadikan contoh dan bukti yang terbaik mencerminkan kegelojohan MB Melayu di Selangor.
Tidak mustahil suatu hari nanti, kerajaan DAP di Pulau Pinang akan mengarahkan azan menggunakan pembesar suara diharamkan sepertimana yang berlaku Singapura di bawah pemerintahan PAP. Walau bagaimanapun keputusan mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri telah dibuat pada April lalu berdasarkan nas dan hadis Rasululullah SAW, selaku umat Islam terpaksalah kita akur dengan rasa dan kecewa kerana sekian lama bacaan al-Quran melalui pembesar suara dilakukan di masjid-masjid dan surau. Teringat saya semasa berada di Pak Bara, Thailand, pada awal-awal pagi Jumaat kedengaram bacaan surah Yasin melalui pembesar suara hingga kedengaran di seluruh kampung kawasan peranginan itu sedangkan kawasan itu bukan kesemuanya umat Islam. Malahan agama Islam di Thailand bukanlah agama rasmi seperti kita di Malaysia tapi boleh pula melakukan perkara yang sedemikian.  Fikirlah sendiri jangan kita umat Islam memberi terlalu banyak ruang dan begitu toleransi hingga umat Islam rasa seperti dihina di bumi bertuah ini.

1 comment:

Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.