"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Friday, July 30, 2010

Melayu PAS dan Melayu UMNO banyak persamaan. Tapi bergaduh kenapa?

DAP memang anti Melayu. Jangan dok berselindung lagi. Akhbar Utusan Malaysia telah diharamkan oleh pemerintahan DAP-PKR-PAS di Pulau Pinang. Mereka mahu rakyat Pulau Pinang baca akhbar Roket, Keadilan dan Harakah. Mereka mahu hapuskan apa sahaja perkara yang ada hubung kait dengan kepentingan orang Melayu dan Islam. Perarakan sambutan Maulid Rasul telah cuba dibatalkan pada tahun ini oleh kerajaan negeri Pulau Pinang. Rumah kos rendah pun tidak dibina lagi di Pulau Pinang sebabnya tak mahu bagi orang Melayu lebih ramai di Pulau Pinang. DAP Selangor pula telah pun mencadangkan diskaun harga rumah mewah dan bangunan kormesial kepada orang Melayu dan Bumiputera dihapuskan. MB Melayu, Dato' Seri Khalid pula bersetuju. Amat sedih sekali ada pemimpin Melayu jadi pak turut. Apakah MB Selangor tidak faham kedudukan orang melayu dan bumiputera dalam perlembagaan persekutuan? Apakah dengan menghapuskan diskaun itu, lebih ramai orang Melayu dan bumiputera boleh membeli rumah mewah dan bangunan kormersial itu? Mustahil boleh berlaku. Yang pasti keupayaan orang Melayu semakin merosot dan peluang orang Melayu dan bumiputera berkongsi kek ekonomi di Selangor semakin mengecil.  Kaum yang kaya boleh terus beli dengan lebih banyak. Melayu yang jadi majoriti di Selangor akan jadi minoriti seperti di Pulau Pinang dan akhirnya melayu di Pulau Pinang dan Selangor akan jadi Melayu di Singapura. 
Tapi pemimpin Melayu yang bersekongkol dengan DAP seperti pemimpin PAS dan PKR, kenapa semuanya diam membisu? Apakah dengan beransur hilangnya orang Melayu di Pulau Pinang dan Selangor, PAS masih boleh meneruskan perjuangan Islamnya? PAS sanggup bersahabat dengan parti yang anti Melayu dan anti Islam. PAS sanggup menolak pelawaan untuk bersatu dengan UMNO sedangkan dalam UMNO juga ada pemimpin Melayu dan ulamak, satu agama, satu kalimah, satu kiblat, satu bangsa dan satu bahasa. PAS lebih pentingkan politik dari mementingkan perintah Allah swt. Dalam PAS ada pemimpin yang sombong dan bersifat takabur. Sebab tu usaha menyatukan orang Melayu di Malaysia tidak berjaya. 
Pasal pemimpin PKR jangan dok cakaplah, lagi tak boleh pakai. Cakap pandai, semua BN buat tak betul tapi apakah PKR dah buat untuk orang Melayu di Pulau Pinang? Orang Melayu patut sedar. Tak ada apa-apa pun keistimewaan pada parti PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat. UMNO dulu, kini dan selamanya tetap konsisten dalam perjuangan membela nasib bangsa, agama dan negara. UMNO telah mengalami perubahan sejak DS Najib memegang tampuk pemerintahan. Wakil rakyat yang bermasalah tidak akan dipilih lagi. Konsep 1 Malaysia "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" mulai diterima rakyat pelbagai bangsa termasuk Sabah dan Sarawak. Tapi Melayu PAS dan Melayu UMNO masih bergaduh sesama sendiri seperti puak Hamas dan Fatah di Palestin.  Sedangkan Cina MCA, Cina Gerakan, Cina DAP dan Cina PKR boleh bersatu kerana mereka sayangkan bangsa mereka. Mereka bersatu dalam hal menjaga kepentingan bangsa mereka di Malaysia. Mereka tak kisah pun apa agama anutan mereka, mereka tak kisah pun apa parti ideologi mereka, mereka tak kisah pun asal usul mereka tapi mereka semuanya bersatu. Mengapa mereka boleh bersatu? Sedangkan agama anutan mereka pelbagai. Ada Cina yang menganuti agama Buddha, Hindu, Kristian dan Islam. Boleh pula mereka bersatu! Apa dah nak jadi dengan orang Melayu? Satu agama, satu bahasa, satu budaya dan ada hubungan persaudaraan atau pertalian darah tapi tak boleh bersatu? Sebenarnya banyak persamaan antara Melayu UMNO dan Melayu PAS tapi kenapa Melayu tak boleh bersatu seperti bangsa Cina?

Thursday, July 29, 2010

Guru Berpolitik: "Cikgu Suka Main Politik, Hari-hari Cikgu Main Politik"

Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan. Sudah pasti guru-guru siswazah yang kini sedang bergiat aktif secara haram dalam politik sudah tentu pengumuman itu bagai suatu khabar yang amat menggembirakan sekali. Kumpulan guru ini boleh melangkah lebih jauh dalam politik mereka. Mereka tak perlu gusar dengan ugutan atau sekatan dari mana-mana pihak. Cuma tugas guru sebagai pendidik di sekolah janganlah diabaikan. Dapatkah atau tidak seseorang guru itu mengekalkan prestasinya sebagai pendidik setelah terlibat dengan politik adalah sesuatu yang belum pasti jawapannya. 
Bagi guru yang sudah lama bergiat aktif dalam politik tentu tiada masalah. Mereka mungkin sudah dapat membahagi-bahagikan masa untuk sekolah dan masa untuk rumah tangga. Namun ada juga kalangan guru yang jadi malas dan sebaliknya menunjuk hero disebabkan oleh kerana ia kenal menteri atau timbalan menteri dan sebagainya. Manakala sesetengah guru-guru yang mempunyai hubungan rapat dengan tokoh-tokoh politik tertentu, boleh membantu sekolah dari segi mendapatkan peruntukan kewangan, tajaan dan lain-lain. Oleh itu penglibatan guru-guru siswazah atau bukan siswazah, ada baik dan buruknya. Bergantunglah kepada sikap guru itu sendiri.
Walaupun guru siswazah dibenarkan berpolitik tetapi jumlah guru yang akan melibatkan diri dijangka tidaklah begitu ramai jumlahnya. Guru-guru siswazah yang baru atau lama akan berfikir banyak kali sebelum mengambil keputusan bertanding atau memegang apa-apa jawatan dalam parti.  Memang benar, suatu masa dulu guru adalah orang yang berpengaruh dalam masyarakat dan masyarakat gurulah yang ke hadapan dalam menghidupkan semangat perjuangan untuk bangsa dan negara. Dulu tidak sama dengan hari ini. Perjuangan orang-orang dulu sangat ikhlas dan sanggup bergolok-bergadai demi kerana maruah bangsa, agama dan negara. Golongan korporat mulai mengambil alih perjuangan setelah Malaysia mulai membangun dan maju. Tokoh-tokoh korporat yang menjadi ketua bahagian dan ketua-ketua cawangan. Nama guru semakin tenggelam. Guru yang tak pernah  terlibat dengan mana-mana NGO tak mungkin berjaya dalam politiknya.  Bukan senang nak jadi orang politik. Perlu banyak pengorbanan masa, tenaga dan wang  poket. Bila tiba musim pemilihan parti, kawan pula jadi musuh dan  yang bermusuh dulu pula jadi kawan. Dalam politik semuanya boleh berlaku. 
Ada yang berdendam hingga bertahun-tahun lamanya.  Di depan tampak baik dan mesra tapi di belakang sebaliknya berlaku. Yang dikatakan orang politik pasti pernah alami semuanya itu. Walaupun kita tegur secara jujur dan ikhlas, tapi pemimpin tertentu tidak boleh terima. Kita dianggap musuh walaupun kita hanya memberi pandangan dan teguran yang membina demi masa depan parti. Kita mudah kenal pemimpin yang suka dan tak suka kita. Nak berjabat salam pun hujung-hujung jari saja. Muka tak saling pandang. Ketika itu, barulah kita terasa begitu menyesal bila bercampur dengan orang politik. Itu pun belum kita memegang apa-apa jawatan penting dalam parti.
Kalau nak cari kawan ramai dan musuh pun ramai masuklah politik kata orang. Itulah antara sebabnya ada kawan-kawan guru yang telah menjauhkan diri dari politik. Yang boleh bertahan adalah guru korporat. Yang tak ada duit bolehlah melongsor turun jauh-jauh. Dulu bercakap dengan air liur pun orang boleh dengar dan terima. Sekarang tidak seperti dulu lagi. Duit mesti penuh dalam poket, sekurang-kurangnya belanja makan dan minum. Berjaga hingga lewat malam bersembang pasal politik parti kawan dan lawan dan sekali dua kala bercakap pasal projek besar dan kecil.  Kawan-kawan akan ketawa  jika guru bawa cerita pasal PIBG atau disiplin murid di tengah-tengah malam. Guru kenalah dengar orang politik bersembang dan mengangguk-angguk mengantuk. Sebelum jam berhimpun tengah malam, cikgu tak boleh balik lagi.  Orang korporat boleh tak tidur malam itu tapi cikgu kena mengajar esok hari.  Jangan sampai guru tertidur nanti dalam kelas seperti cerita filem P.Ramlee , "Cikgu suka main bola, hari-hari main bola". 
Apa pun golongan guru siswazah sepatutnya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan Malaysia yang telah memberi kebenaran berpolitik berkuatkuasa 1 Ogos ini. Gunakanlah peluang yang diberikan tetapi berhati-hatilah jangan sampai kita terleka, hingga wang gaji dan elaun yang diterima sudah tidak halal lagi dimakan!

Wednesday, July 28, 2010

Pelajar cemerlang dari Politeknik tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke IPTA!

Hari ini ada sedikit masa untuk saya menulis. Cerita sedih dan kecewa dari seorang kawan. Hatinya sungguh terluka bila anaknya tidak ditawarkan melanjutkan pelajaran ke IPTA. Beliau telah cuba melalui pelbagai saluran tetapi rayuan anaknya ke IPTA masih ditolak. Anaknya seorang pelajar cemerlang lulusan diploma dari sebuah politeknik. Setiap semester, anaknya memperolehi anugerah ketua jabatan dan merupakan pelajar cemerlang dalam bidang berkenaan.
Selaku orang yang setia dengan parti UMNO, beliau cuba mendapat pertolongan dari pimpinan bahagian. Di situ beliau sudah dikecewakan bila anak beliau dinasihatkan bekerja dulu. Beliau sebenarnya amat mengharapkan pimpinan bahagian berusaha melalui saluran politik untuk membolehkan anaknya melanjutkan pelajarannya ke peringkat ijazah. Tapi sikap pimpinan bahagian amat mengecewakan beliau.
Suatu surat rayuan (Pos Laju) telah dihantar kepada Menteri berkenaan tetapi tidak menerima sebarang jawapan. Akhirnya keputusan rayuan diperolehi anak beliau sekali lagi gagal. Begitu hampa sekali beliau bila diketahui bahawa  kawan-kawan anaknya dari kolej yang sama, jurusan yang sama tetapi dengan keputusan Diploma jauh lebih rendah dari anaknya telah ditawarkan ke IPTA. Beliau tertanya-tanya, saluran mana yang mereka ini guna? 
Tentu akan ada pelajar-pelajar yang senasib seperti anaknya yang cemerlang tetapi gagal melanjutkan pelajaran. Dan sudah pasti ada lagi pelajar-pelajar lain yang lebih rendah CGPA tetapi telah diterima masuk ke IPTA. Kita menghormati Menteri berkenaan yang tidak respon kepada surat rayuan mungkin kerana beliau seorang yang tegas dan adil kepada semua. Tapi bagaimana ada ruang berlakunya ketidakadilan dalam pengambilan pelajar ke IPTA? Beliau sedar bahawa sesebuah politeknik memberi pendidikan dan latihan di peringkat Diploma dalam bidang kejuruteraan dan perdagangan kepada lulusan SPM atau setaraf dengannya dan lulusan Sijil Politeknik / Kolej Komuniti KPTM bagi memenuhi tenaga kerja terlatih negara.  Dengan kata lain keluaran diploma politeknik untuk pasaran pekerjaan. Walau bagaimanapun pihak KPT perlu pertimbangkan pelajar cemerlang dari politeknik untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA jika mereka lebih berminat untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA.
Mungkin sesetengah pihak akan beranggapan kes kegagalan pelajar cemerlang ini merupakan 'isolated case'.  Tidak seperti isu kenaikan harga barang  atau harga minyak petrol yang mendapat perhatian orang ramai. Sebagai seorang bapa yang merupakan penyokong kuat UMNO tentulah terasa begitu kecewa sekali. Walau bagaimanapun beliau pasrah menerima keputusan itu setelah beliau berusaha sendiri dengan bantuan sahabat-sahabat yang simpati dengan anak beliau. Beliau mengakui bahawa beliau kini semakin sedar dan mengenali 'wajah sebenar' pemimpin kita. Namun beliau melahirkan rasa kebimbangan anaknya yang kecewa mungkin akan merajuk dan meninggalkan UMNO akibat kegagalan itu.

Wednesday, July 21, 2010

CERAMAH PERDANA DAN FORUM PERDANA EHWAL ISLAM DI BALIK PULAU!

1) CERAMAH PERDANA
CERAMAH PERDANA AKAN SAMPAIKAN OLEH TAN SRI HARUSSANI, MUFTI NEGERI PERAK AKAN DI ADAKAN  DI MASJID DAERAH BARAT DAYA PADA 22 JULAI 2010 (KHAMIS) JAM 9.00 MALAM. SEMUA DIJEMPUT HADIR.
2) FORUM PERDANA EHWAL ISLAM
"PENGUKUHAN MODAL INSAN KE ARAH KEBANGKITAN UMMAH"
ORANG RAMAI DIJEMPUT HADIR KE FORUM PERDANA EHWAL ISLAM
TARIKH: 23 JULAI 2010
MASA: 9.00 MALAM
TEMPAT: DI PADANG SK PULAU BETONG.
AHLI PANEL FORUM:  MUFTI KERAJAAN NEGERI KEDAH, YBHG DATO' PROF MADYA SHEIKH MUHAMMAD BADERUDDIN BIN HJ AHMAD, MUFTI KERAJAAN NEGERI PERAK YBHG. TAN SRI HARUSSANI DAN PENASIHAT AGAMA NEGERI JOHOR YBHG. DATO' NOOH GADUT.
 ANJURAN: YBHG. DATO' SRI DR HILMI HJ YAHYA
DENGAN KERJASAMA: ANAK-ANAK QARYAH PULAU BETONG DAN USM

Tuesday, July 20, 2010

TG Nik Aziz vs Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady: Malaysia sebuah negara sekular!

Tokoh cendekiawan Islam, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady menegaskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular. Malah beliau sanggup bersumpah atas nama Allah dan Rasulullah bahawa sekularisme dalam erti Barat tidak wujud sama sekali di Malaysia.  Sehubungan itu, beliau menegaskan sebarang dakwaan yang menyatakan sekular mula wujud di negara ini sejak kedatangan penjajah adalah tidak benar sama sekali. ‘‘Pemisahan agama, adat dan raja pada waktu itu adalah pengasingan pentadbiran dan bukannya pengasingan agama secara total di dalam pentadbiran.
‘‘Pokok pangkal sekular adalah pengecualian agama daripada semua ruang awam. Agama dipisahkan dalam pendidikan, pentadbiran, sektor keselamatan, bank dan lain-lain. ‘‘Sedangkan kita lihat di dalam pentadbiran negara hari ini, agama tidak dipisahkan sama sekali. Malah dalam apa jua aspek, agama ditekankan. Cuma mungkin secara tidak menyeluruh tetapi ia sedang mengalami perubahan,’’ katanya.
Muhammad Uthman berkata, sudah tiba masanya umat Islam di negara ini menghentikan pertikaian berhubung persoalan sekularisme dan nasionalisme sebaliknya kembali kepada fahaman konsep sayang kepada bangsa dan agama mengikut Islam. ‘‘Islam mengajar kita menyayangi agama dan bangsa. Ini yang diajar oleh Islam dan sehubungan itu jangan sesekali kita melanggar kerangka asal berkenaan.  ‘‘Sewajarnya ia dipatuhi dan dalam masa sama diperkemaskan lagi supaya ia boleh menjadi contoh kepada kaum minoriti yang lain,’’ katanya.
Dalam pada itu Muhammad Uthman berkata, mereka yang melanggar kerangka asal tersebut boleh dipanggil sebagai ‘orang gasar’ atau tidak bertamadun.
‘‘Ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan tidak boleh dibiarkan atas dasar kebebasan mengeluarkan pendapat,’’ katanya.
Sementara itu, beliau berkata, tuduhan kafir kepada pihak tertentu adalah satu budaya yang amat ditegah oleh Islam.
Komen:
Apakah nanti Tokoh cendekiawan Islam, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady akan dikritik oleh ulamak-ulamak PAS kerana masuk campur urusan politik. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang berusaha menyatukan orang Melayu menjadi sasaran kritikan pemimpin Pas dalam ceramah yang diadakan di Kampung Pasir Putih Tambahan di sini malam tadi.
Harussani dituduh mahu mencampuri urusan politik sedangkan beliau adalah mufti yang bertanggungjawab terhadap hal-hal yang berkaitan agama.Perkara itu dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad yang menggesa Mufti Perak tersebut menghentikan usahanya itu. Idris Ahmad seperti pemimpin yang hilang punca, tidak berilmu atau sengaja mahu perbodohkan kelompok umat Islam tertentu. Walaupun Mufti Perak menyentuh tentang penyatuan orang Melayu, maksudnya samalah juga dengan penyatuan orang Islam. Kenapalah isu bangsa dan agama diperbesarkan oleh pemimpin PAS. Dalam perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa orang Melayu itu adalah Islam di Malaysia. UMNO ditolak pula kerana tak lawan rasuah sedangkan DAP dan PKR tolak rasuah. Beginilah cakap ulamak politik yang sengaja mengaburkan pemikiran umat Islam. Seolah-olah dulu dan kini pemimpin UMNO masih mengaamalkan rasuah dan pemimpin-pemimpin PAS, DAP dan PKR tidak rasuah. SPRM ditubuhkan dan menggantikan BPR itu apa pulak? Bukankah usaha-usaha kerajaan Malaysia yang ditunjangi UMNO untuk memerangi rasuah? Pemimpin-pemimpin PAS seperti hilang punca setelah semakin ramai tokoh-tokoh agama, ulamak dan pemimpin NGOs Islam mulai mengkritik pandangan ulamak politik PAS yang bercelaru tentang perpaduan Islam. Majoriti Melayu ataupun umat Islam di Malaysia sebenarnya mahukan PAS dan UMNO bersatu.

Monday, July 19, 2010

Melayu mesti sokong UMNO dan lupakan PAS jika mahu selamatkan bangsa Melayu dan Islam di Malaysia!!!!!!!!!!!!

Pas tetap dengan pendirian tegasnya. PAS tetap menolak kerjasama politik dengan UMNO kecuali dasar UMNO berubah dari bangsa Melayu kepada Islam., kata Nik Aziz. Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak timbul isu siapa yang perlu dipilih menjadi perantara merealisasikan kerjasama itu kerana dasar yang dibawa UMNO yang tidak akan diterima oleh Pas. walaupun Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria campur tangan dan bersedia menjadi perantara agar dua parti itu bersatu demi perpaduan umat Islam.
Para ulamak tua dan muda , para cendikawan Melayu, para mufti dan bekas mufti, ustaz-ustaz, serta pemimpin-pemimpin NGOs Melayu dan Islam perlu memikirkan satu jalan yang terbaik setelah pemimpin-pemimpin PAS senada dan seirama menolak kerjasama dengan UMNO. Mereka lebih rela bersama dengan DAP dan PKR walaupun mereka mengetahui secara jelas bahawa mereka sokong DAP dan PKR bukan kerana dasar perjuangan mereka sebaliknya kerana mereka adalah pakatan yang mahu mengambil alih Putarajaya dalam PRU13 akan datang. Itu jawapan sebenarnya kenapa Tok-Tok Guru pimpinan PAS seperti Nik Aziz, Tuan Ibrahim dan Cikgu Mustapha, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub telah menolak usaha kerjasama UMNO-PAS oleh sesiapa saja walaupun Mufti Perak, TS Harussani Zakaria telah menyatakan kesediaan menjadi orang tengah. Malahan sesiapa yang mahu campurtangan (usaha membawa kerjasama UMNO dan PAS) akan dikritik hebat.
Oleh itu sesetengah pihak dalam politik tidak hairan dengan penolakan kerjasama UMNO-PAS oleh Nik Aziz dan pemimpin-pemimpin PAS lain. Mereka ulamak politik yang membuat keputusan berdasarkan kepentingan politik kepartian. Pemimpin PAS bukan tidak tahu bahawa dasar perjuangan DAP dan PKR tetapi mereka lebih rela bersama DAP dan PKR walaupun Melayu dan Islam akan berpecah dua atau tiga. Matlamat pemimpin PAS mahu jadi PM dan Menteri-Menteri kerana itu sebenarnya dasar dan perjuangan PAS. Dalam jangka pendek ini, Pakatan Rakyat yakin mereka akan memenangi PRU akan datang.
Para Mufti, Cendiakwan dan Ulamak, pemimpin-pemimpin NGOs Melayu dan Islam perlu memilih UMNO supaya orang-orang Melayu dan Islam akan bertambah kuat melalui kepimpinan UMNO yang lebih terbuka dan berwawasan sifatnya. UMNO sudah berubah ke arah yang lebih baik, telus dan mendekati rakyat setelah DS Najib menjadi PM. Jika dasar UMNO salah, kenapa ada ulamak yang menyokong UMNO. Jika PAS boleh menerima dasar perjuangan DAP, kenapa pula PAS tidak boleh menerima dasar perjuangan UMNO? Jika UMNO didakwa sebagai kafir kerana bersubahat dengan parti bukan Islam seperti MCA dan MIC maka bagaimana pula PAS yang bersubahat dengan DAP yang jelas menentang penubuhan sebuah negara Islam? Itulah politik PAS yang suka memutar-belitkan cerita dan fatwa demi untuk keuntungan politik. PAS perlu dilupakan supaya pemimpin-pemimpin PAS insaf dan sedar bahawa rakyat Melayu/Islam tidak menyokong mereka yang jelas menolak usaha merapatkan hubungan persaudaraan sesama sebangsa dan seagama. Pemimpn-pemimpin PAS masih berpandangan bahawa sokongan orang Melayu kepada PAS semakin bertambah. Lupakah mereka kebelakangan ini keputusan-keputusan PRK DUN dan Parlimen seperti di  Manek Urai, Kelantan, Bagan Pinang Negeri Sembilan serta Parlimen Hulu Selangor, pengundi-pengundi Melayu tidak lagi memihak kepada pembangkang walaupun yang bertanding itu calon PAS. Mufti Perak dan pemimpin-pemimpin NGO Melayu dan Islam, ada juga ulamak-ulamak PAS sendiri turut kecewa dengan kenyataan pemimpin PAS yang sanggup menolak usaha penyatuan bangsa Melayu dan Islam. Itulah yang diperintah oleh Allah swt. Dan itulah yang perlu diberi keutamaan oleh pemimpin-pemimpin Islam termasuklah UMNO sendiri ketika hak ketuanan Melayu dan agama Islam sebagai agama persekutuan semakin dicabar dan dihina oleh pihak lain. Beringat-ingatlah sebelum nasi jadi bubur. Berhati-hatilah jangan dikejar tak dapat yang dikendung keciciran. Pepatah Melayu ada berpesan, "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Orang Melayu perlu sedar dan insaf dengan apa yang telah dan sedang berlaku di Perak semasa pemerintahan PR, Selangor dan di Pulau Pinang kini.

Sunday, July 18, 2010

Lagi ahli PKR menyertai UMNO, kenapa?

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ranting Permatang Tinggi di sini dibubarkan selepas kesemua 56 angotanya bertindak keluar parti itu dan menyertai UMNO hari ini.
Timbalan Ketuanya, Ismail Md. Ali berkata, keputusan itu dibuat mereka selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan PKR.
"Kami juga sudah bosan dengan janji-janji manis PKR kerana sehingga hari ini iaitu selepas dua tahun memenangi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubuk tiada satu (janji) ditunaikan," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau sebelum itu menyerahkan borang keanggotaan UMNO kepada Ketua Bahagian Bukit Mertajam Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir.
Ismail juga mendakwa Anggota DUN tersebut, Tan Hock Leong tidak pernah turun padang bertemu penduduk sejak memenangi kerusi itu.
Sementara itu, Musa berkata tiga lagi ranting PKR di Bukit Mertajam telah menemuinya dan menyatakan hasrat untuk menyertai UMNO.
Ia membabitkan kira-kira 300 anggota PKR, katanya yang enggan memberitahu ranting yang terlibat. - Bernama

Friday, July 16, 2010

PEMIMPIN UMNO BAHAGIAN MESTI BERPAKAT SELESAI MASALAH DALAMAN!

DS Najib berkata pemimpin-pemimpin Umno bahagian tidak boleh terus bertelagah dan mereka perlu berdamai kerana hanya itu formula untuk mengembalikan kekuatan Umno. Katanya anggota Umno terutama di bahagian-bahagian perlu mengetepikan sikap "kawan makan kawan" dan sebaliknya perlu bersikap "kawan makan lawan", dan jika ia dilakukan, BN boleh kembali merampas kawasan dan negeri yang dikuasai pembangkang.
"Anggota Umno dan penyokong Umno sering tidak menyokong calon sendiri menyebabkan Umno kalah dalam pilihan raya. Jadi, bila pilihan raya, bahagian kenalah pakat pilih calon. (Kita) boleh menang kalau semua berpakat baik-baik. Pilih calon semua sokong," katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuala Kedah di sini hari ini.
Najib berkata apa yang berlaku sekarang ialah pemimpin dan anggota Umno terpaksa berhadapan dengan politik dalaman dan sering berbalah menyebabkan banyak puak wujud dalam bahagian.
Najib berkata beliau masih khuatir Umno akan gagal memenangi kembali kerusi dan negeri yang tewas pada pilihan raya lalu jika masalah dalaman di bahagian masih berterusan.
"Saya tak lena tidur jika tahu ada puak-puak dalam bahagian. Semua anggota Umno perlu kembali kepada asas-asas perjuangan dan kembali kepada perjuangan pemimpin Umno terdahulu," katanya.
Beliau berkata anggota Umno perlu menjadikan kekalahan pada pilihan raya umum yang lalu sebagai iktibar dan menjadikan peristiwa lalu sebagai pengajaran.
"Jika tidak mimpi ngeri itu akan berulang. Ia akan menjadi satu igauan jika Umno gagal untuk berkuasa. Perjuangan kita jangan hanya berkisar kepada jawatan dalam parti. Kalau ada harta gunakan harta untuk membela rakyat," katanya.

Monday, July 12, 2010

KURANGKAN POLITIK DALAMAN YANG KETERLALUAN, KATA PAK LAH

Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) hendaklah mengurangkan politik dalaman yang keterlaluan dan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, politik dalaman itu menyebabkan anggota BN lupa agenda sebenar iaitu membantu rakyat dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan serta kebajikan rakyat. Abdullah berkata, beliau bimbang terhadap politik dalaman keterlaluan ketika ini berikutan khabar angin mengatakan Pilihan Raya Umum Ke-13 akan dibuat dalam masa terdekat.
Komen:
Semua orang bimbang dengan kemelut yang berlaku dalam Umno. Sebelum terlewat, biarlah kita bergaduh dulu. Kita sampaikan apa yang betul dan apa yang tak betul. Kita beri tahu kepada pemimpin-pemimpin kita jangan buat macam ni dan jangan buat macam itu. Ahli-ahli Umno khususnya pimpinan peringkat bahagian perlu berani bersuara dalam mesyuarat bahagian. Jangan  hanya mengiyakan sahaja. Yang benar kita berikanlah sokongan.Tapi yang kurang elok atau molek, kita tegurlah. Teguran kita adalah untuk kebaikan semua. Bukan nak salahkan sesiapa dan bukan nak menjatuhkan sesiapa. Lebih kerap mesyuarat lebih baik. Mesyuarat AJK Umno Bahagian bukan nak kata mengata, tuduh menuduh tapi untuk mencari kata sepakat bagi kebaikan parti. Yang ponteng mesyuarat, muncul sekali sekala tanpa sebab menasabah jangan dipilih atau dilantik lagi. Bukan soal nak jaga hati dan nak jaga perasaan sapa-sapa. Lantiklah kawan-kawan yang boleh buat kerja dan boleh menguatkan Umno. Jika kawan yang kalah dalam pemilihan Umno sekalipun jika boleh membantu menguatkan Umno, apa salahnya? Kalau Umno kuat, semua akan dapat nama, lebih-lebih lagi Ketua Bahagian dan AJK bahagian serta ketua-ketua sayap parti Umno. Ahli-ahli Umno akar umbi tumpang seronok bila parti Umno kuat dan orang Melayu bersatu di bawah payung Umno. Itulah harapan kita....

Saturday, July 10, 2010

ORANG MELAYU JADI PELARIAN DI TANAH AIR SENDIRI, APAKAH BENAR?


Orang Melayu hanya boleh berdemontrasi. Mungkin boleh disertai oleh beberapa NGO Melayu dan NGO Islam. Itu saja yang dapat orang Melayu mampu lakukan, kenapa? Inilah angkara Melayu tidak bersatu. Melayu berpecah dua atau tiga kumpulan besar akibat perbezaan ideologi politik. Melayu majoriti di tanah air sendiri tapi jadi lemah kerana bercakaran sesama sendiri. Kumpulan penduduk majoriti akan jadi minoriti. Itulah sebenar yang berlaku kepada orang Melayu hari ini. Tapi orang Melayu masih tak mahu sedar diri. Orang Melayu terlalu taksub kepada pemimpin parti tertentu hingga tidak kisah bangsa dan agama Islam semakin terhimpit dan dihina. Pemimpin-pemimpin Melayu juga sengaja tak mahu sedar kerana ketamakan kepada kuasa politik. Tak kiralah sama ada pemimpin itu datangnya dari UMNO, PAS atau pun PKR. Pemimpin pembangkang sepuluh kali teruk daripada pemimpin UMNO. Sejak memerintah negeri Pulau Pinang, apakah pemimpin Melayu PKR dan PAS boleh lakukan? Hampas! Orang Melayu Pulau Pinang khususnya semakin tertekan, bagaikan pelarian palestin. Orang Melayu akan diusir keluar secara terancang oleh KM Pulau Pinang, Tuan Guan Eng, pemimpin yang menjadi idola penyokong PAS dan PKR di Pulau Pinang hingga mendapat gelaran pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Orang Melayu Pulau Pinang telah diperbodohkan oleh seorang pemimpin DAP. Bagaimana kampung tradisional satu demi satu akan lenyap dikerjakan oleh kerajaan negeri atas alasan pembangunan negeri Pulau Pinang. Lihatlah apa yang terjadi kepada penduduk Kg. Buah Pala? Sekarang Kg. jalan Pokok Asam akan menerima nasib yang sama, dan tak lama lagi Kg. Binjai tunggulah!. Demontrasilah pagi, petang, siang ataupun malam. Pasti pembangunan akan naik tanpa belas kasihan. Mana pemimpin PAS dan NGO PAS ketika rakyat ini memerlukan sokongan dan bantuan anda? Pemimpin PAS dan PKR bertanggungjawab atas kemusnahan kampung-kampung tradisional kaum India dan Melayu di Pulau Pinang. Timbalan Ketua Menteri 1Mansor Othman yang akan mendapat gelaran Datuk sempena hari jadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas yang ke-72 esok. Tahniah kepada Datuk Mansor Othman tetapi orang-orang Melayu di Pulau Pinang Datuk akan mendapat gelaran 'Pelarian di tanah air sendiri'. Mana janji-janji pilihanraya dulu Datuk? Mana hilangnya YB Tuan Abdul Malik Abul Kassim, Exco Hal Ehwal Agama Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna? Tampillah ke hadapan Tuan, bantulah orang Melayu di Kg. Jalan Pokok Asam dan juga Kg. Binjai yang turut akan menerima nasib yang sama. Datuk Abdul Halim Hussain dari PKR, walaupun bukan exco dan bukan ADUN tapi selaku Speaker pun sebenarnya boleh bela nasib orang Melayu Pulau Pinang? Tapi kemana pemimpin-pemimpin Melayu ini menghilang? Apakah hampa takut kepada pemerintah diktator Guan Eng itu? Jika tak cukup dengan pemimpin Melayu PKR, orang Melayu Pulau Pinang ada pemimpin tunggal PAS, YB Tuan Salleh Man. Pemimpin PAS yang kononnya memperjuangkan Islam dan nak tubuh negara Islam. Tapi jika nasib bangsa Melayu yang beragama Islam di negeri sendiri pun tidak dapat dibela nasib mereka masakan Tuan Salleh Man dan parti PAS boleh tubuh negara Islam PAS? Semua itu retorik belaka. Bekas Exco Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Syed Amerrudddin telah memberi komennya dalam Utusan Malaysia pada 8 Julai 2010, katanya semasa Pulau Pinang di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), kerajaan negeri akan memastikan pemaju mendirikan rumah untuk menggantikan kediaman setiap penduduk kampung yang terlibat dengan projek pembangunan. Beliau menambah lagi, campur tangan pemimpin kerajaan negeri merupakan salah satu cara penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan kampung-kampung ini seterusnya membela nasib orang Melayu. Itu komen bekas exco kerajaan negeri BN dulu. Tapi Utusan Malaysia satu-satunya akhbar utama orang Melayu telah diboikot oleh kerajaan negeri Guan Eng. Pemimpin diktator Guan Eng benci akhbar Utusan Malaysia maka begitulah bencinya dia kepada orang-orang Melayu. Tapi orang Melayu Pulau Pinang sangat menyanjungi Ketua Menteri PP, Tuan Guan Eng sebaliknya orang Melayu benci DS Najib pasal apa? TG Nik Aziz sendiri lebih rela bekerjasama dengan pemimpin DAP termasuk Pengerusi DAP, Karpal Singh, kenapa? Walaupun TGNA sendiri tahu  bahawa Karpal Singh tegas dan keras menentang penubuhan sebuah negara Islam, kenapa TGNA bersikap semacam itu? UMNO didakwa zalim, disamakan dengan Yahudi. Itu kerja pemimpin PAS/pembangkang cuba menimbulkan kebencian sesama umat Islam. Apakah selama ini kerajaan Malaysia di terajui oleh UMNO tidak membela nasib orang Melayu? Apakah syiar Islam tidak subur di bawah pemerintahan UMNO? Sudah beribu-ribu orang Melayu sudah berjaya dalam bidang profesional. Sudah beribu masjid dan surau dapat didirikan di seluruh pelusuk negara. Sistem perbank Islam dan sistem insuran takaful di Malaysia telah menjadi model ikutan oleh negara-negara Islam lain di dunia. Mahkamah Syariah dan perundangan Islam semakin berkembang maju di Malaysia. Universiti Islam Antarabangsa dan kolej-kolej Islam pun ada. Pajak gadai Islam ar-Rahnu telah diperkenalkan dan beroperasi dengan baik di Malaysia. Institusi Pendidikan Islam dibantu oleh kerajaan Malaysia. Sekolah Agama Rakyat turut dibantu dan diambil alih oleh kerajaan. Elaun Guru Kafa, elaun Imam dan elaun hafiz dibayar. Banyak lagi! Apakah semua ini dilakukan dengan baik oleh kerajaan PAS di Kelantan? Kenapakah ada sesetengah orang Melayu yang mengakui beragama Islam tidak mengakui kejayaan UMNO tapi masih berbangga dengan kejayaan kerajaan PAS di Kelantan yang sebuah masjid belum dapat dibina sejak 20 tahun memerintah. Yang banyak dibina ialah markas-markas PAS di merata ceruk kampung dan desa hanya untuk menjaga kepentingan politik kepartian tapi tiada perancangan rapi untuk membela nasib rakyat Kelantan. Pemimpin-pemimpin Melayu khususnya UMNO di Pulau Pinang mesti bersatu. Orang-orang Melayu di Pulau Pinang mesti buat keputusan yang bijak. Sudah terang lagi bersuluh dengan apa yang telah berlaku di hadapan mata kita. Ceramah politik pembangkang hanya umpanan yang beretorik. Setakat ini dulu...harap Melayu Pulau Pinang semakin sedar, bersatulah kita!

Wednesday, July 7, 2010

ITU TANDANYA PEMIMPIN UMNO TAK SUKA BLOG PAK TAM?


Hari ini lega sikit, pekerja gomen dan swasta diberi cuti. Adalah sedikit masa untuk berehat sambil menulis blog. Tapi kebanyakan sektor swasta enggan beri cuti. Kawan-kawan bagi tau Pulau Pinang dah terlebih cuti. Tak apalah itu depa punya pasal. Pak Tam nak komen sikit pasal Persidangan Agung UMNO Bahagian BP baru-baru ini. Bagus ada perwakilan yang sanggup tunggu hingga tubuh badan kesejukan, terpaksa tangan disimpan dalam poket seluar, punyalah sejuk. Tapi ucapan penangguhan tak sejuk rupanya. Yang kena hentam atau kena taruh rasa panas sampai ke telinga. Pedih hati pun ada. Tapi apa boleh buat, nak jadi pemimpin memanglah kena hadapi itu semua. Tapi janganlah tahu nak hentam saja, adab dan maruah sebagai orang Melayu yang mengakui diri sebagai beragama Islam kenalah jaga juga. Jangan kata orang, "Kata dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih". Berilah komen yang membina secara yang bersopan dan berhemah. Cara ini pemimpin atau sapa saja yang kena kritik pun boleh terima. Pak Tam pun kena taruh tapi Pak Tam tak ada pada masa itu. Nasib baiklah Pak Tam tak jadi perwakilan hari itu. Kalau tidak, Pak Tam pun panas sampai ke lubang telinga.Yang menghentam janganlah suka sangat kerana berpeluang mengata orang. Apatah lagi yang boleh mengaibkan orang. Kebanyakan perwakilan tidak suka sebenarnya cara yang boleh menjatuhkan maruah orang terutama sekali jika maruah seorang pemimpin. Banyak jasa pemimpin kita, yang perlu juga kita hargai. Oleh itu jika nak komen atau kritik biarlah secara bersopan dan berhemah. Insyaallah, kritikan begitu pemimpin boleh terima dan semua perwakilan akan puji.
Ada satu cerita benar. Selepas persidangan yang tamatnya agak lewat petang, malam itu juga seorang kawan Pak Tam dinamakan sebagai 'Si A' menemui Pak Tam.   Dia meluahkan rasa terkejutnya dan rasa herannya. Dia rasa macam itu kerana dia tak pernah jadi perwakilan sebelum ini. Dia tak sangka persidangan agung Umno jadi seperti itu. Rupa-rupanya persidangan agung Umno jadi tempat melepas geram kepada pemimpin Umno. Kalau macam ni katanya, dia tak mau lagi jadi perwakilan pada masa akan datang. Yang dia rasa sangat kecewa katanya, "Nak hentam-hentamlah tapi mengaibkan pula orang. Kemudian selepas hentam, dia dan rakan-rakannya bangun dan meninggalkan dewan. Kenapa jadi macam itu? Kemudian si A sambung lagi. Dia dengar, berulang-ulang dia sebut nama "Pak Tam" dan "Busu" yang buat fitnah dalam blog. Oleh kerana Si A kenal Pak Tam, jadi malam itu juga si A jumpa dan cerita kepada Pak Tam. Dia luahkan rasa tak puas hatinya terhadap pemimpin-pemimpin Umno kita. Si A tak puas hati sebab tak ada pun seorang pemimpin Umno yang berucap membela Pak Tam malahan sebut pun tidak.  Dia kasihan Pak Tam bersendirian tatkala Pak Tam diserang. Kenapa jadi macam ini? Tanyanya lagi kepada Pak Tam.
Pak Tam tidak kecewa tapi bersyukur kerana ada yang bersimpati. Pak Tam menjelaskan kepada si A bahawa Pak Tam tidak kecil hati. Apa yang Pak Tam usahakan bukan untuk mereka semata-mata tetapi lebih penting untuk UMNO, bangsa Melayu dan agama Islam. Pak Tam faham sangat dengan pemimpin Umno di bahagian ini. Tapi Pak Tam pun ada kelemahan sendiri. Pak Tam tak reti bodek dan mengampu depa. Pak Tam juga tak reti nak minta-minta. Tapi Pak Tam tak segan kalau nak minta peruntukan untuk program-program. Dah banyak program yang Pak Tam terlibat sama, depa yang bagi peruntukan itu. Jadi bersyukurlah walaupun depa tak bela nasib Pak Tam bila kena serang, depa tak bantu Pak Tam kerana banyak masa dan duit Pak Tam sendiri habis kerana blog tapi depa tak pernah hentam Pak Tam seperti kawan kita.  Depa tak bela blog Pak Tam, mungkin juga depa tak suka blog Pak Tam sebab depa juga tidak terlepas daripada kritikan dari Pak Tam. Oleh itu kepada kawan-kawan kita yang tak berpuas hati, Pak Tam mintalah sepertimana harapan bekas Ketua Pemuda UMNO, Sdr Shah Headan dalam ucapannya hari itu telah meminta agar Umno Bahagian buatlah sesuatu untuk merapatkan kembali silaturahim di kalangan pemimpin dan ahli-ahli Umno. Cadangan itu bagus dan itulah yang menjadi harapan utama Pak Tam menulis blog selama ini. Tema pada blog Pak Tam pun tertulis, "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Jadi tunggu apa lagi, siapa pun boleh mulakan. Walaupun Pak Tam masih dapati ada unsur ketidakikhlasan tapi mahu berprasangka baik supaya semua pemimpin UMNO yang kalah mahupun menang kembali bersatu dan menguatkan UMNO BP. Tunggu dan lihat..

Monday, July 5, 2010

BLOG PAK TAM DIKECAM KERANA FITNAH?

Salam persahabatan kepada semua rakan2 dalam UMNO Balik Pulau;
Pak Tam menulis blog sejak 3 April 2008 dengan blog yang pertama "Suara Perpaduan Melayu". Pada tanggal 17 Jun 2008, kira-kira 2 bulan kemudian, lahir pula blog Pak Tam yang kedua iaitu "UMNO Balik Pulau". Kedua-dua blog itu telah dihasilkan oleh Pak Tam sendiri untuk memberi sedikit kesedaran kepada orang Melayu dalam usaha mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO dan kerajaan BN. Tanpa sokongan dan dorongan mana-mana pihak, dengan secara sukarela dan ikhlas, Pak Tam berusaha menulis dan mengendalikan blog-blog ini sehingga kini kecuali blog "UMNO Balik Pulau" ditutup pada 16 Mac 2010. Blog "UMNO Balik Pulau" terpaksa ditutup supaya tidak disalahertikan oleh sesetengah pihak bahawa blog ini merupakan blog rasmi kepada UMNO Bahagian Balik Pulau. Oleh kerana itu Pak Tam menghasilkan pula blog yang ketiga dan terakhir dengan  nama "Suara Satu Dua UMNO" pada 17 Mac 2010. Melalui blog terakhir ini, Pak Tam merasakan penulisan lebih bebas dan meluas tidak hanya fokus kepada hal ehwal politik UMNO dan pembangkang di Balik Pulau sahaja.
Sepertimana kesedaran dan harapan blogger-blogger lain, Pak Tam menulis atas kesedaran bahawa UMNO/BN mengalami kekurangan sokongan pengundi-pengundi muda dalam pilihanraya umum yang lalu. Penganalisis dan pemerhati politik juga bersetuju bahawa media baru yang dieksploitasi sepenuhnya oleh pembangkang telah berjaya mempengaruhi pengundi-pengundi muda. Akhirnya calon BN ramai yang kecundang dalam pilihanraya yang lalu. Sepatutnya pemimpin-pemimpin UMNO perlu menggerakkan golongan muda UMNO supaya lebih giat menguasai media baru agar mesej parti dan isu-isu tempatan dapat diketahui oleh orang-orang Melayu. Bukan diarahkan blog yang ada ditutup. Sepatutnya UMNO Bahagian BP sudah ada laman web/blognya sendiri sepertimana laman web/blog UMNO bahagian lain.
Tapi atas inisiatif Pak Tam, blog dihasilkan adalah untuk semua pembaca termasuk peminat blog daripada penyokong-penyokong pembangkang. Tidak perlu Pak Tam memegang jawatan penting dalam UMNO Bahagian, kerana sumbangan Pak Tam sebagai blogger sebenarnya lebih besar dan lebih berkesan daripada seorang AJK Bahagian. Bagi mereka yang sentiasa mengikuti dan membaca  ribuan blog-blog yang ada, mereka dapat memahami dan mengakui bahawa peranan seorang blogger  amat penting dalam zaman IT yang sentiasa berkembang maju. Oleh itu blog "Suara Satu Dua UMNO" agak lebih terbuka sifatnya dan kritis dalam membicarakan isu-isu perpaduan orang-orang Melayu serta kepimpinan UMNO selari dengan usaha memenangi  PRU yang akan datang. 
Walau bagaimanapun Pak Tam berharap semua pihak terutama pimpinan parti melihat secara positif akan kehadiran lebih banyak blog-blog pro BN/UMNO. Terimalah kritikan dan pandangan secara terbuka dan ikhlas kerana inilah peluang ahli-ahli biasa UMNO, orang Melayu yang masih sayangkan UMNO serta rakan-rakan atas pagar  dapat meluahkan isi hati dan pandangan mereka bagi masa depan UMNO dan orang Melayu amnya.

Sunday, July 4, 2010

TS Isa Samad: Utamakan kerja untuk pilihanraya bukan untuk pemilihan UMNO!

Pagi tadi Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, ADUN Bagan Pinang  dalam ucapan perasmian Persidangan Agung UMNO Bahagian Balik Pulau di Dewan Tabung Haji, Bayan Lepas, beliau telah mengingatkan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO supaya mengutamakan kerja-kerja untuk pilihanraya bukan untuk pemilihan parti. Belajar dari kesilapan yang lalu di mana calon-calon pilihanraya dilantik bukan untuk menang tetapi untuk pemilihan parti. Inilah yang menyebabkan UMNO kalah dalam pertandingan yang lalu. Beliau sangat yakin bahawa pucuk pimpinan parti DS Najib akan mengambil kira faktor calon dalam pemilihan calon yang akan datang.
Kata beliau, UMNO sebenarnya kuat tapi kita tidak pandai mengurus kekuatan parti. Dalam mesyuarat contohnya kata beliau AJK Cawangan pun tidak hadir.  Beliau mengingatkan semua perwakilan agar tidak mengulangi kesilapan yang lalu. Keputusan pucuk pimpinan parti hendaklah dipatuhi. Tidak semestinya calon yang dipilih datangnya dari AJK Bahagian. Jangan kita fanatik kepada bahagian kata TS Isa Samad. Terimalah keputusan PM. Buat apa calon dari AJK Bahagian jika BN kalah dalam pilihanraya nanti. Jika ketiga-tiga wakil rakyat (merujuk kepada YB DS Hilmi, YB Syed dan YB Farid) masih boleh menang, teruslah menjadi wakil rakyat.
Sekali sekala beliau berseloroh dengan cerita lucu tetapi mengandungi makna dan sindiran tertentu. Sebelum itu beliau memberitahu bahawa beliau tetap setia kepada parti walaupun pernah digantung keahlian. Semakin lama beliau dalam politik, semakin sayangkan beliau kepada parti. Begitulah harapan TS Isa kepada ahli-ahli perwakilan untuk mencontohi beliau walaupun berhadapan dengan penggantungan keahlian dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, persidangan agung UMNO kali ini agak lewat bermula kira-kira jam 10.00 pagi didahului dengan bacaan ayat-ayat suci al-quran dari Surah al-Baqarah. Difahamkan jam 2.30 petang nanti, Datuk Ahmad Maslan, Ketua Penerangan UMNO Malaysia akan hadir memberi ucapan kepada semua perwakilan. Persidangan agung dijangka tamat lewat petang. Selamat bersidang!

Thursday, July 1, 2010

Kampung Binjai Bayan Lepas akan lenyap tidak lama lagi!!!!!!

Difahamkan lebih 50 buah rumah di Kampung Binjai, Bayan Lepas, Pulau Pinang akan diroboh oleh pemaju untuk dibina dengan rumah sesebuah 3 tingkat dan rumah berkembar 3 tingkat. Sudah tentu rumah sebesar ini tidak akan mampu dibeli oleh orang-orang Melayu di Kampung Binjai itu sendiri. Inilah nasib sebuah kampung 99% orang-orang Melayu yang dihalau keluar kerana pembangunan 'pembersihan' orang-orang Melayu secara perlahan-lahan oleh kerajaan Lim Guan Eng.
Semasa pentadbiran BN dulu, kelulusan projek perumahan di kawasan Daerah Barat Daya dibekukan dan diperlahankan sebagai usaha mengatasi kesesakan jalan utama Bayan Lepas-Balik Pulau mengalami kesesakan teruk di waktu puncak. Tapi kerajaan negeri Guan Eng tidak memikirkan tentang masalah itu. Itu masalah rakyat. Rakyat boleh fikir sendiri untuk mengatasi kesesakan jalan raya. Hanya dalam tempoh dua tahun, kerajaan negeri DAP-PKR-PAS memerintah, pertumbuhan projek perumahan ibarat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Bukit bukau ditarah dan rumah-rumah kampung ditolak untuk digantikan dengan rumah batu bertingkat-tingkat. Orang Melayu hanya boleh memerhatikannya sahaja. Orang Melayu tidak mampu beli. Kampung orang Melayu kian lama kian lenyap. Masa kempen pilihanraya dulu, pemimpin UMNO/BN dikritik dan dikutuk. Pemimpin UMNO/BN didakwa kejam kerana merampas harta rakyat. Ramai cendiakawan dan pemerhati politik bebas, mengiyakan bahawasanya kemenangan parti pembangkang terutamanya PAS dan PKR dalam pilihanraya yang lalu kerana 'fitnah' yang mereka taburkan. Sekarang lihat dan saksi sendiri, bagaimana pentadbiran negeri Guan Eng telah  meluluskan projek-projek perumahan secara rakus sekali.
Difahamkan YB Adun Bayan Lepas sedang berusaha mendapat bantuan Kerajaan Pusat bagi menyelamatkan kampung ini. Mungkin YB Adun Bayan Lepas mempunyai mekanisme tertentu bagi menyelamatkan kampung ini daripada jatuh ke tangan pemaju. Sama-samalah kita beri sokongan dan semangat kepada keluarga-keluarga Melayu yang terbabit supaya bersabar. Menurut maklumat yang boleh dipercayai, ADUN Pakatan Rakyat tidak mahu membantu menangani masalah penduduk di kampung ini kerana penyokong Pakatan Rakyat dikatakan cuma 4-5 keluarga sahaja. Begitulah pendirian wakil rakyat pembangkang yang dipuji dan dipuja oleh orang Melayu selama ini. Begitulah nasib penduduk Kg. Binjai, Bayan Lepas selepas rakyat memilih DAP-PKR-PAS memerintah Pulau Pinang. Sokong lagi! Harap pagar, pagar makan padi.