"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Sunday, May 1, 2011

RUGIKAH ORANG ISLAM JIKA PAS BERSAMA UMNO?

Islam tidak rugi, jika pemimpin bersatu!
Umum mengetahui PAS adalah parti serpihan daripada UMNO suatu masa dulu. Sejak PAS ditubuhkan, orang Melayu berpecah. Dalam perlembagaan persekutuan, Melayu itu adalah orang Islam. Oleh itu di Malaysia rakyat boleh menerima bahawa orang Melayu di Malaysia adalah orang Islam. Cuma adalah kelompok tertentu, yang masih tidak mahu menerima bahawa orang Melayu itu Islam. Manakala TG Nik Aziz langsung tidak berbangga dengan bangsa Melayu kerana TGNA hanya mahu Islam sebagai identiti untuk dirinya.
Perpecahan orang Melayu bertambah parah bila Amanat Haji Hadi diterima bulat-bulat dan dicanang di seluruh pelusuk negara dan ceruk kampung, surau dan juga masjid. Orang Melayu sama-sama orang Melayu bermusuh kerana ideologi politik sempit, hingga ada pihak mendakwa masuk PAS masuk syurga dan masuk UMNO masuk neraka. Walaupun dalam UMNO ada ulamak dan guru-guru agama tapi mereka digelar ulamak kerajaan dan ulamak terompah dan sebagainya. Begitulah penghinaan yang dilontarkan oleh puak-puak PAS. Tuduhan kafir seperti perkara yang amat mudah dan ringan bagi puak-puak yang terlalu taksub. Timbullah perasaan kebencian antara orang Melayu sesama orang Melayu. Dalam kampung ada puak PAS dan ada puak UMNO. Di Taman-taman perumahan juga ada puak PAS dan puak UMNO. Tempat kerja ada juga puak pro UMNO/BN dan puak pro pembangkang/PAS. 
Paling menyedihkan ada majlis kenduri kendara diboikot, urusan jenazah orang UMNO tidak dihadiri oleh puak-puak PAS, solat berimamkan orang UMNO tidak sah, sembelihan orang UMNO haram, pernikahan oleh jurunikah orang UMNO tidak sah dan ada tempat kubur orang UMNO diasingkan. Ya begitu dahsyat perpecahan orang Melayu ciptaan pemimpin PAS. Ketaksuban orang PAS terhadap Amanat Haji Hadi amat tebal dan mendalam. Hingga ke hari ini masih ramai lagi pemimpin dan penyokong PAS berpegang kukuh dengan amanat itu.  Jika Al-Quran menjadi asas rujukan puak-puak PAS tapi bukan Amanat Haji Hadi yang menjadi rujukan utama mereka, insyaallah orang Islam di Malaysia boleh kembali bersatu.
Jika UMNO kafir mengapa PAS boleh menerima pemimpin DAP yang jelas menentang penubuhan negara Islam sebagai sahabat dalam perjuangan Pakatan Rakyat? Jika UMNO kafir zimmi sudah pastilah DAP itu kafir harbi. Mengapa PAS boleh menerima kafir harbi? Apakah perjuangan UMNO/BN selama ini umat Islam semakin tertindas manakala penganut kristian, buddha dan hindu semakin berkembang pesat? Masjid dan surau diruntuh manakala gereja dan tokong-tokong dibina merata-rata tempat. Apakah penubuhan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa, Kolej-Kolej Islam, Pusat-pusat Tahfiz, Insuran Takaful, Mahkamah Syariah, Sistem Perbank Islam dan masjid-masjid yang dibina bukan hasil perjuangan UMNO dalam Barisan Nasional? Apakah PAS yang bina bersama dengan DAP? Apakah dosa UMNO begitu besar hingga mengharamkan PAS menerima UMNO sebaliknya menerima perjuangan DAP?
Celiklah wahai orang-orang Melayu yang taksub kepada PAS. PAS semakin rugi sejak bersama DAP dan PKR. Perjuangan Islam oleh PAS tak kemana pun sejak bersama DAP. Apakah untungnya PAS bersama DAP di Pulau Pinang dan Selangor? Yang untung wakil-wakil rakyat PAS DUN dan Parlimen yang menerima gaji dan elaun beribu-ribu setiap bulan dan dosa ceramah politik siang dan malam kerana mengekalkan perpecahan orang Islam di Malaysia. Pemimpin tertentu PAS yang mempertuhankan politik tidak akan senang melihat PAS dan UMNO bersatu. Dalam UMNO pun begitu juga. Golongan ini sama ada dalam PAS mahupun UMNO tidak akan bersetuju UMNO dan PAS bersatu. Walau bagaimanapun setakat hari ini, kita belum dengar pemimpin tertinggi UMNO menolak perpaduan bersama PAS malahan kebanyakan bersetuju untuk melihat UMNO dan PAS bersatu. Ada pula puak-puak PAS yang mendakwa UMNO dah nak ditalqinkan baru teringat nak bersatu dengan PAS. Begitulah sikap puak-puak yang mengkhianati bangsa dan merosakkan agama Islam. UMNO tetap kukuh dan utuh. Tapi jika PAS bersama UMNO, perjuangan untuk bangsa Melayu dan agama Islam akan menjadi lebih mudah dan berkesan. Perjuangan UMNO sejak sekian lama kerana orang Melayu berpecah dengan wujudnya Melayu PAS dan Melayu PKR dan ada pula seekor dua ekor Melayu dalam DAP. Bangsa lain semakin berani dan maju ke hadapan kerana orang Melayu semakin lemah kerana Melayu yang berpecah sesama sendiri. Kita menyeru kepada NGO-NGO Melayu dan Islam serta ulamak-ulamak yang tidak berpihak mana-mana parti tampil ke hadapan untuk menyatukan orang-orang Melayu dan Islam di Malaysia supaya kepentingan Melayu dan Islam tidak semakin tergugat. Jangan sampai " Menang sorak kampung tergadai", "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi" dan "Sesat dihujung jalan balik ke pangkal jalan".

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.