"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Thursday, July 29, 2010

Guru Berpolitik: "Cikgu Suka Main Politik, Hari-hari Cikgu Main Politik"

Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan. Sudah pasti guru-guru siswazah yang kini sedang bergiat aktif secara haram dalam politik sudah tentu pengumuman itu bagai suatu khabar yang amat menggembirakan sekali. Kumpulan guru ini boleh melangkah lebih jauh dalam politik mereka. Mereka tak perlu gusar dengan ugutan atau sekatan dari mana-mana pihak. Cuma tugas guru sebagai pendidik di sekolah janganlah diabaikan. Dapatkah atau tidak seseorang guru itu mengekalkan prestasinya sebagai pendidik setelah terlibat dengan politik adalah sesuatu yang belum pasti jawapannya. 
Bagi guru yang sudah lama bergiat aktif dalam politik tentu tiada masalah. Mereka mungkin sudah dapat membahagi-bahagikan masa untuk sekolah dan masa untuk rumah tangga. Namun ada juga kalangan guru yang jadi malas dan sebaliknya menunjuk hero disebabkan oleh kerana ia kenal menteri atau timbalan menteri dan sebagainya. Manakala sesetengah guru-guru yang mempunyai hubungan rapat dengan tokoh-tokoh politik tertentu, boleh membantu sekolah dari segi mendapatkan peruntukan kewangan, tajaan dan lain-lain. Oleh itu penglibatan guru-guru siswazah atau bukan siswazah, ada baik dan buruknya. Bergantunglah kepada sikap guru itu sendiri.
Walaupun guru siswazah dibenarkan berpolitik tetapi jumlah guru yang akan melibatkan diri dijangka tidaklah begitu ramai jumlahnya. Guru-guru siswazah yang baru atau lama akan berfikir banyak kali sebelum mengambil keputusan bertanding atau memegang apa-apa jawatan dalam parti.  Memang benar, suatu masa dulu guru adalah orang yang berpengaruh dalam masyarakat dan masyarakat gurulah yang ke hadapan dalam menghidupkan semangat perjuangan untuk bangsa dan negara. Dulu tidak sama dengan hari ini. Perjuangan orang-orang dulu sangat ikhlas dan sanggup bergolok-bergadai demi kerana maruah bangsa, agama dan negara. Golongan korporat mulai mengambil alih perjuangan setelah Malaysia mulai membangun dan maju. Tokoh-tokoh korporat yang menjadi ketua bahagian dan ketua-ketua cawangan. Nama guru semakin tenggelam. Guru yang tak pernah  terlibat dengan mana-mana NGO tak mungkin berjaya dalam politiknya.  Bukan senang nak jadi orang politik. Perlu banyak pengorbanan masa, tenaga dan wang  poket. Bila tiba musim pemilihan parti, kawan pula jadi musuh dan  yang bermusuh dulu pula jadi kawan. Dalam politik semuanya boleh berlaku. 
Ada yang berdendam hingga bertahun-tahun lamanya.  Di depan tampak baik dan mesra tapi di belakang sebaliknya berlaku. Yang dikatakan orang politik pasti pernah alami semuanya itu. Walaupun kita tegur secara jujur dan ikhlas, tapi pemimpin tertentu tidak boleh terima. Kita dianggap musuh walaupun kita hanya memberi pandangan dan teguran yang membina demi masa depan parti. Kita mudah kenal pemimpin yang suka dan tak suka kita. Nak berjabat salam pun hujung-hujung jari saja. Muka tak saling pandang. Ketika itu, barulah kita terasa begitu menyesal bila bercampur dengan orang politik. Itu pun belum kita memegang apa-apa jawatan penting dalam parti.
Kalau nak cari kawan ramai dan musuh pun ramai masuklah politik kata orang. Itulah antara sebabnya ada kawan-kawan guru yang telah menjauhkan diri dari politik. Yang boleh bertahan adalah guru korporat. Yang tak ada duit bolehlah melongsor turun jauh-jauh. Dulu bercakap dengan air liur pun orang boleh dengar dan terima. Sekarang tidak seperti dulu lagi. Duit mesti penuh dalam poket, sekurang-kurangnya belanja makan dan minum. Berjaga hingga lewat malam bersembang pasal politik parti kawan dan lawan dan sekali dua kala bercakap pasal projek besar dan kecil.  Kawan-kawan akan ketawa  jika guru bawa cerita pasal PIBG atau disiplin murid di tengah-tengah malam. Guru kenalah dengar orang politik bersembang dan mengangguk-angguk mengantuk. Sebelum jam berhimpun tengah malam, cikgu tak boleh balik lagi.  Orang korporat boleh tak tidur malam itu tapi cikgu kena mengajar esok hari.  Jangan sampai guru tertidur nanti dalam kelas seperti cerita filem P.Ramlee , "Cikgu suka main bola, hari-hari main bola". 
Apa pun golongan guru siswazah sepatutnya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan Malaysia yang telah memberi kebenaran berpolitik berkuatkuasa 1 Ogos ini. Gunakanlah peluang yang diberikan tetapi berhati-hatilah jangan sampai kita terleka, hingga wang gaji dan elaun yang diterima sudah tidak halal lagi dimakan!

4 comments:

  1. Haii Pak Tam masih tak mau terlibat dengan politik lagi kahh? Cuba2lah..

    ReplyDelete
  2. Berilah peluang pada mereka untuk menyumbangkan pendapat kerana golongan terpelajar mempunyai idea terbaik dari kita yang suka memfitnah sana sini. Apa yang penting, jangan mereka lupa tanggung jawab sebagai guru. Terpulanglah.....

    ReplyDelete
  3. Memang benar. Dalam politik akan ada musuh bila ada pertandingan. Jangan dok cakaplah 'gentleman', demokrasi dan sebagainya, yg kalah sukar menerima hakikat kekalahan. Begitu juga yg menang. Lihatlah kenapa yg menang tidak lantik yg kalah spy Umno boleh kembali bersatu. Sebaliknya tidak..itulah politik.

    ReplyDelete
  4. Org yg terlalu jujur dan baik, nampaknya tak sesuai jadi ahli politik, betul dak?

    ReplyDelete

Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.