"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Tuesday, January 31, 2012

TG Nik Aziz mahu menjadi MB Kelantan sampai mati!!!!!

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disaran mencontohi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan sedia tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.
Naib Presiden PPP, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff ketika mengutarakan saranan itu berkata, Menteri Besar Kelantan tersebut sepatutnya mencontohi sikap Abdul Hadi yang mahu memberi ruang kepada golongan pelapis.
Beliau berkata, mengambil kira faktor kesihatan yang sering membelenggu Nik Abdul Aziz, maka adalah wajar untuk beliau memberi ruang kepada orang muda menerajui kerajaan Pas Kelantan pada masa hadapan.
Menurutya, Nik Abdul Aziz boleh melantik anak beliau, Nik Abduh sebagai pengganti beliau mengambil kira kedudukannya sebagai Timbalan Pemuda Pas Pusat.
"Kesediaan Abdul Hadi untuk berundur amat tepat sekali dan tindakan tersebut sewajarnya dicontohi oleh Nik Abdul Aziz yang telah 21 tahun mengetuai kerajaan Pas Kelantan.
"Nik Abdul Aziz juga mungkin perlu mencontohi kepimpinan Rasulullah bukan sahaja dalam soal ibadat tetapi juga aspek pentadbiran. Begitu juga Tun Dr. Mahathir Mohamad yang masih sihat tetapi meletakkan jawatan ketika rakyat dan negara masih memerlukan kepimpinan beliau," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz dalam sebuah akhbar yang menganggap pemimpin politik berbeza dengan penjawat awam kerana mereka boleh memimpin parti sampai mati.
Nik Abdul Aziz juga dilaporkan tidak bersetuju dengan kesediaan Abdul Hadi untuk berundur daripada bertanding pada PRU-13.
Mengulas lanjut, Nik Sapeia berkata, sebagai pemimpin yang bertanggungjawab Nik Abdul Aziz wajar memikirkan saranan beliau itu demi kepentingan agama dan bangsa khususnya rakyat Kelantan.
"Nik Abdul Aziz patut memberi laluan kepada pemimpin muda misalnya, memberi laluan kepada anaknya dan beliau boleh berperanan sebagai penasihat," katanya.

Thursday, January 26, 2012

Mana dia rumah kos rendah untuk orang susah dalam Daerah Barat Daya?

Sudah lebih 4 tahun rejim DAP bersama PAS dan PKR memerintah negeri, Pulau Mutiara tapi sebiji pun tak ada dibina rumah kos rendah untuk rakyat miskin di Daerah Barat Daya. Yang ada di Teluk Kumbar, Sungai Batu dan di Balik Pulau adalah hasil usaha semasa kerajaan BN dulu. Kerajaan BN yang didakwa tidak adil kepada rakyat, kerajaan itulah yang dapat membina banyak rumah-rumah kos rendah untuk keluarga berpendapatan rendah. Kebanyakan rumah-rumah kos rendah itu diduduki oleh keluarga berpendapatan rendah kebetulannya orang Melayu belaka.

Pada hakikatnya jumlah penduduk Pulau Pinang semakin bertambah dari hari ke sehari. Sudah pasti dari setahun ke setahun akan terlahirlah keluarga-keluarga orang Melayu yang berpendapatan rendah di Pulau Pinang. Sudah pasti golongan pribumi ini sangat memerlukan sebuah rumah kos rendah. Tapi kerajaan manakah yang prihatin untuk melihat masalah rumah untuk golongan berpendapatn rendah ini?

Selama lebih 4 tahun, rejim DAP memerintah negeri dan disokong oleh PKR dan PAS belum ada sebuah pun rumah kos rendah di bina di Teluk Kumbar, Sungai Batu dan Balik Pulau. Jika kerajaan PR ikhlas dan jujur untuk menyelesaikan masalah rumah rakyat berpendapatan rendah ini, sudah ribuan buah rumah flat boleh didirikan untuk tempoh 4 tahun memerintah. Tapi yang terbina sekarang, rakyat boleh lihat sendiri dan fikir sendiri.

Kerajaan PR Pulau Pinang lebih gemar membina rumah-rumah kos tinggi dan sederhana tinggi hingga mencapai ratusan ribu ringgit. Kerajaan PR terus mengabaikan pembinaan rumah kos rendah untuk rakyat miskin yang memerlukannya. Kerajaan PR mementingkan keuntungan. Menarik minat pembeli-pembeli kaya dari dalam dan luar negara hingga tanggungjawab kepada rakyat sendiri diabaikan.

Tapi orang Melayu ada yang masih mengatakan KM Pulau Pinang dan kerajaan PR sangat prihatin kepada rakyat. Prihatin apakah jika sekadar memberi RM100 untuk warga emas setahun, bukan setiap bulan? Rumah kediaman lebih penting daripada wang RM100. Wang RM100 tidak kekal lama, akan lesap cukup untuk seminggu dua atau beberapa hari. Apa guna RM100 jika keluarga miskin terpaksa membayar sewa yang tinggi atau tinggal di pondok yang usang? 

Nasib baiklah kerajaan BN banyak memberi peruntukan memperbaiki rumah-rumah keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara. Tanpa kira sama ada rumah itu milik penyokong BN atau pembangkang, peruntukan tetap disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Cuma kerajaan pusat (BN) tidak berupaya membina rumah-rumah kos rendah di Teluk Kumbar, Teluk Bahang dan Balik Pulau kerana kerajaan negeri (Rejim DAP) berkuasa penuh terhadap hal ehwal tanah. Banyak karenah dan birokrasi telah dikenakan oleh kerajaan negeri terhadap kerajaan pusat atau agensi-agensi kerajaan pusat jika berkaitan dengan pembangunan hartanah di Pulau Pinang. Jalan yang mudah rakyat Pulau Pinang perlu kembalikan balik kuasa mentadbir negeri kepada kerajaan pusat/BN utnuk menyelesaikan masalah rakyat melalui PRU13 akan datang. Fikirlah...sebelum nasi jadi bubur.

Wednesday, January 25, 2012

Kalau aktivis PKR keluar PKR kerana lihat video Anwar apatah kami ahli biasa PKR!

Anwar Ibrahim takut nak saman bekas-bekas aktivis PKR seperti bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Noor; bekas Naib Ketua AMK, Mohd. Zahid Md. Arip; bekas Setiausaha AMK, SD Johari Yasin; bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari dan bekas ahli AMK, Hamizun Khairuddin. [baca sini].

Persoalannya kenapa kita yang cuma ahli biasa PKR tidak ikut jejak mereka yang lebih lama kenal Anwar Ibrahim? Antara mereka ada yang beberapa kali merengkuk dalam penjara dalam tahanan ISA kerana membela dan mempertahankan Anwar Ibrahim. Ada di antara mereka merupakan pengasas penubuhan PKR. Ada di antara mereka pencetus gerakan Reformasi yang memperjuangkan nasib DS Anwar Ibrahim. Antara mereka juga merupakan doktor peribadi DS Anwar Ibrahim. Antara mereka juga merupakan Setiausaha Sulit Anwar, orang yang lebih faham dan mengenali lebih rapat secara peribadi dengan Anwar Ibrahim. Sama ada mereka itu berada dalam parti bersama Anwar Ibrahim atau kawan penghibur Anwar Ibrahim, semuanya dah menjauhkan diri dengan Anwar Ibrahim.

Sekali fikir kasihan juga kepada Anwar Ibrahim. Yang masih setia bersama beliau cuma mereka yang ada kepentingan dalam politik. Juga sebahagian kecil pelajar-pelajar universiti yang simpati dengan nasib Anwar Ibrahim.  

Bila dua, tiga kali fikir, kita patut tinggalkan dia kerana beliau bukan pemimpin yang wajar dicontohi apatah lagi dijulang sebagai Perdana Menteri Malaysia. Rakyat dan negara Malaysia khasnya berhadapan banyak masalah sejak beliau dipecat daripada UMNO sebagai Timbalan Presiden dan sekaligus sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah Tun Mahathir ketika itu selaku PM begitu yakin bahawa Anwar Ibrahim terlibat dalam kes liwat.

Alhamdulillah, negara Malaysia diurus dengan baik. Gerakan Reformasi ditangani dengan cara berhemah. Negara-negara Barat pro Anwar sudah mula memahami dan menghormati kedaulatan negara kita. Tuduhan sistem kehakiman negara di bawah telunjuk PM sudah dapat dinafikan. Anwar Ibrahim diberi peluang seluas-luasnya dalam kes perbicaraan beliau. Apa lagi yang tidak kena atau tidak betul kepada pihak kerajaan Malaysia? Fikirlah sedalam-dalamnya dan jangan mudah mendengar cite pembangkang yang hanya mahu menjatuhkan kerajaan BN yang sedia ada dengan menabur pelbagai fitnah dan propaganda.


Tuesday, January 24, 2012

PAS sanggup diperkudakan oleh DAP daripada diperlembukan oleh UMNO?

PAS suatu masa dahulu dianggap sebuah parti Islam yang ekstrim. Aku sendiri pernah mendengar seorang penyokong fanatik PAS berteriak " UMNO kafir! UMNO kafir! berulang-ulang di hadapan sebuah sekolah menengah yang menjadi pusat mengundi. Tidak lama selepas itu, seorang warga emas datang berjumpa dengan pemuda tersebut. Aku lihat warga emas itu memarahi pemuda itu sambil tangannya diangkat beberapa kali mengarahkan pemuda itu meninggalkan kawasan itu.

Tapi hari ini PAS tidak ekstrim seperti itu. Walau bagaimanapun masih ada di kalangan pengikut yang fanatik memperbodohkan diri memandang hina kepada orang UMNO. Seolah-olah orang UMNO tidak Islam. Tidak sembahyang dan tidak berpuasa. Ada di kalangan ahli PAS yang taksub nampak orang Cina DAP pula lebih tahu Islam daripada orang UMNO. Untuk menghalalkan PAS bersama DAP dalam perjuangan menjatuhkan kerajaan Melayu hari ini, pemimpin PAS pernah menyatakan bahawa orang DAP lebih Islam daripada orang UMNO. Oleh itu pemimpin PAS hari ini bukan setakat menghalalkan hubungan dengan kafir harbi seperti DAP malahan boleh berpeluk menyatakan satu perjuangan untuk mengalahkan kerajaan pimpinan UMNO bersama parti komponen BN yang lain. 
Untuk menjaga dan memelihara hubungan baik itu, PAS hari ini sanggup membubarkan dasar perjuangan asalnya. Suatu masa dulu, PAS sentiasa melaung-laungkan penubuhan sebuah negara Islam dan kepimpinan bersama ulama tetapi hari ini sudah dipadamkan. Kenapa? Jika dulu PAS mengeluarkan pelbagai stiker kenderaan dengan bangga dan megahnya terpampang  di cermin belakang kenderaan mereka dengan kata-kata hikmat mereka " KAMI SOKONG HUDUD", "MEMBANGUN BERSAMA ULAMA" dan "ISLAM PERJUANGAN KAMI" dan bermacam-macam lagi.

Tapi hari ini, stiker-stiker seumpama itu sudah tidak ada lagi. PAS hari ini sudah banyak berubah. PAS bukan lagi parti Islam yang ekstrim. Sesetengah pihak mendesak PAS supaya menggugurkan perkataan Islam dalam partinya. Mungkin ada sebabnya yang boleh kita bincangkan satu persatu. Ada pihak mengatakan PAS sudah jauh terpesong dari landasan perjuangan asalnya. PAS hari ini lebih mengutamakan kuasa dunia daripada mementingkan tuntutan Islam. Paling serius ada yang mengatakan PAS sebagai Parti Ajaran Sesat. Tuduhan yang melampau itu mungkin sebagai tindakbalas yang serupa PAS terhadap UMNO yang lebih serius lagi.

Sejak PAS menukar haluan perjuangannya dari sebuah negara Islam kepada sebuah negara berkebajikan, majoriti rakyat Islam sedang memerhati dan memikir dengan sedalam-dalamnya. Penyokong tegar PAS akan menerima bulat-bulat tanpa bantahan. Tapi kebanyakan ahli PAS yang betul bendul yang mengikuti sejarah perjuangan PAS akan tertanya-tanya dalam diri masing-masing. Kenapa Islam digugurkan? Sedangkan Islamlah yang membezakan antara perjuangan PAS dengan UMNO. Walaupun UMNO merupakan parti berteraskan bangsa Melayu tapi jasa UMNO terhadap perjuangan Islam sudah terbukti dan banyak. Malahan ada pemimpin-pemimpin negara Timur Tengah memberi pengiktirafan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh kepada dunia.

Suara ulama-ulama dalam PAS hampir lenyap. Kepimpinan ulama yang dilaung-laungkan dalam muktamar PAS hampir hilang. Malahan pemimpin-pemimpin ulama dalam PAS yang lurus dalam perjuangan mereka mulai disingkirkan. Tapi pemimpin PAS masih tetap mempertahankan bahawa PAS masih mengekalkan kepimpinan ulamanya. Maklumlah rakyat Malaysia semuanya buta mata dan hati belaka! 

Di luar PAS kita lihat UMNO mulai didekati oleh golongan ulama dan orang muda. Sudah tertubuhan sekretariat ulama muda yang berjuang bersama UMNO. Sudah ada tokoh-tokoh agama yang berani menegur perjuangan PAS secara terbuka. Semakin ramai ustaz-ustaz yang dulunya pro PAS sudah menjauhkan diri dengan perjuangan PAS. Dulu UMNO ketandusan penceramah-penceramah di kalangan tokoh-tokoh agama tapi hari ini UMNO sudah ada golongan agama boleh duduk bersama UMNO. Mungkin ada di kalangan tokoh agama tidak begitu selesa di atas pentas politik PAS atau UMNO tapi mereka sudah berani melahirkan kebimbangan apa yang telah dan sedang berlaku kepada umat Islam pada hari ini.

PAS kelihatan sudah hilang taringnya sejak bersama DAP dan PKR. Majoriti orang Melayu/Islam (kecuali ahli-ahli tegar PAS) sudah tidak yakin dengan perjuangan PAS. Kata Presiden PAS sendiri, TG Haji Hadi " PAS sanggup diperkudakan oleh DAP dan PKR daripada diperlembukan oleh UMNO". Kata-kata itu merupakan suatu pengakuan bahawa PAS sanggup diperkudakan oleh DAP dan PKR. Itulah sebabnya PAS hari ini semakin hari semakin tidak menjadi, dari sebulan ke bulan rakyat naik bosan. Apa yang berlaku mungkin suatu ketentuan Allah SWT sebagai pembalasan kesombongan PAS selama ini.

Oleh kerana itu, PAS hari ini kita lihat semakin malap dalam perjuangan menegakkan syiar Islam. Banyak retorik dan memelihara hubungan kawan pakatan sanggup menggadaikan maruah parti. Lihatlah apa yang telah dan sedang berlaku, iaitu:
1. Perjuangan negara Islam digantikan dengan negara berkebajikan.
2. Hukum hudud belum dilaksanakan walaupun memerintah lebih 20 tahun di Kelantan.
3. Kalimah 'Allah' boleh dikongsikan dengan gereja walaupun dapat bantahan daripada ulamak PAS sendiri.
4. Menolak persahabatan daripada UMNO dengan mengatakan UMNO tidak ikhlas dan sebagainya.
5. Sanggup bersahabat dengan golongan kafir harbi seperti DAP yang jelas menentang Islam.
6. Pemimpin ulama disingkirkan dalam muktamar PAS.
7. Pemimpin bukan ulama pula dipilih untuk memimpin parti.
8. Pemimpin ada masalah moral pula diangkat menggantikan ulama.
9. Rasuah dalam PAS dianggap sedekah.
10. Pemimpin bukan Islam dibenarkan membaca dan menterjemahkan al-quran malahan diberi tepukan tanda sokong dan bersetuju.
11. Pemimpin UMNO pula di sorak tanda penghinaan bila membaca al-quran.
12. Masih ada ahli-ahli PAS terus mengkafirkan orang UMNO - salah siapa?
13. Kejadian dua imam masih berlaku di Terengganu- salah UMNO atau PAS?
14. Kilang fitnah terus beroperasi - apakah matlamat menghalalkan cara?


Jika ada kesilapan hambo minta maaf banyak2 sebab itu semua pandangan yang ikhlas dari hambo yang hina ini. Bukan nak menghina sapa2 tapi sekadar menyampaikan apa yang hambo fikirkan. Mungkin tidak semua di atas itu betul. Jika benar sebahagiannya sudah cukup memberi ingatan kepada penyokong2 PAS untuk mulai semak semula apakah perjuangan PAS selama ini berada di landasan yang betul? Apakah PAS boleh mengetuai Pakatan Rakyat yang kita lihat semakin hari semakin meminggirkan peranan PAS dalam kerajaan PR sendiri. Mengapakah semakin ramai golongan ulama secara terbuka dan senyap mulai menjauhkan diri daripada PAS? Jawapan yang biasa daripada pembangkan maka golongan ulama itu juga telah dibeli oleh UMNO. PAS tak pernah melihat kelemahan diri sendiri sebalinya asyik menyalahi pihak lain. Biarkan, biarkan PAS bersama labu-labunya!!!!!

Siapakah parasit dalam UMNO?

Terbaca dalam posting blog House PK. Nampaknya parasit dalam UMNO juga merbahaya mungkin lebih bahaya daripada parasit dalam PAS [Baca sini cerita selanjutnya]. Oleh kerana kewujudan parasit dalam PAS menyebabkan  Dato' Hassan Ali, bekas exco Selangor diterajang keluar dari parti PAS dan kerajaan Selangor.Bagaimana pula parasit dalam UMNO?
 
Dalam Cambridge Advanced Learner's Dictionary tertulis, parasite is a person who is useless and lives by other people's work. Erti kata lainnya, parasit boleh diistilahkan kepada manusia. Tumbuh-tumbuhan duit-duit dianggap parasit kerana hidupnya bergantung kepada pokok induknya. Tapi parasit seperti pokok duit-duit tidak begitu merbahaya cuma menampakkan sedikit berserabut pada pokok perumahnya. Paling ditakuti jenis parasit umpama pokok dedalu yang boleh hidup dan tumbuh membesar hingga akhirnya pokok perumahnya mati. Mungkin inilah yang dimaksudkan 'parasite' dalam Cambridge Advanced Learner's Dictionary.
UMNO pun bimbang dan PAS pun bimbang. Mana-mana parti pun dalam dunia ini akan ada sikap pemimpin seperti ini. Cuma apakah pemimpin ini seperti tumbuhan duit-duit atau menjadi dedalu? Walau apapun bila sebut 'parasit', memberi gambaran umum kepada kita, golongan parasit ini memang memberi masalah kepada kepimpinan parti. Memang benar ada parasit yang tidak merbahaya, tapi dalam jangka panjang akan merosakkan parti.
Sesetengah parti bahagian ataupun cawangan parti akan hidup senang lenang kerana ada golongan parasit. Namun kekuatan parti yang bergantung kepada golongan parasit biasanya tidak kekal lama. Mudah hancur bila 'hati terluka'. Penyelewengan dibongkarkan. Keburukan didedahkan membuka segala pekung di dada. Bukan mudah nak jaga hati pengikut kerana pengaruh pemimpin berdasarkan atas pertimbangan nilai materialistik hanya bersifat sementara.  Masa baik semuanya betul belaka. Semuanya bagus tapi bila ada sedikit perselisihan faham semua keburukan dan kejahatan dibongkarkan! Parti boleh tumbang bila keburukan pemimpin terdedah. Semua kelemahan dan keburukan sekecil-kecilnya akan didedahkan oleh kawan sendiri yang sudah menjadi lawan. Lihatlah apa yang sedang diperkatakan oleh bekas rakan-rakan karib Anwar Ibrahim sendiri? Apa komen sdr Ezam Md. Nor, Dato' Nala Karuppan, YB Dato' Zulkifli Nordin dan lain-lain lagi terhadap diri dan kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dan Penasihat Umum kepada PKR?
Oleh itu ahli-ahli UMNO juga perlu cerdik memilih pemimpin mereka. Pemimpin yang jujur dan ikhlas, berkorban untuk agama, bangsa dan negara. Tidak terpengaruh dengan kekayaan harta benda hingga menjadi pemimpin yang sombong dan takabur. Jika berderma bukan kerana ada maksud tertentu sebaliknya jujur dan ikhlas membantu yang memerlukan pertolongan.
Nak kenal pemimpin yang jujur dan ikhlas 100% memang sukar. Namun memadai ada sifat-sifat kejujuran, keikhlasan, amanah, rendah diri, bermurah hati, suka membantu, beradab dan berakhlak dan taat kepada perintah Allah SWT. Lebih kurang macam itulah. Tapi dapatkah kita cari pemimpin-pemimpin seumpama itu di sekeliling kita? Yang banyak ada, orang yang mahu jadi pemimpin tapi dia masih perlu dipimpin. Sebaliknya kita mahu pemimpin yang disukai oleh semua orang, baik dari dalam parti mahupun di luar parti. Lebih baik lagi jika pemimpin itu juga disukai atau 'ditakuti' oleh puak pembangkang. Itulah 'winnable candidate' yang dikehendaki oleh PM kita. Jika jadi calon pekerja-pekerja parti tidak begitu bimbang dan puak-puak pembangkang pula rasa bimbang.
Jika tidak ada juga, apa boleh buat. Jentera parti di peringkat bahagian dan cawangan, sayap kanan dan kiri kenalah bekerja lebih kuat biarpun calon itu tidak disukai oleh sesetengah pihak dalam parti. Kita pejamkan mata sekejap, padamkan seketika sikap marah dan tak puas hati kita kepada calon kita. Paling penting semasa pilihanraya, calon BN mesti menang. Maruah dan perjuangan parti mesti diutamakan. Jika tidak, Putrajaya akan ditawan oleh Pakatan Rakyat yang sah akan dikepalai oleh PKR atau DAP. PAS tak boleh diharapkan lagi kerana PAS cuma jadi kuda tunggangan semata-mata. Tepuk dada tanyalah minda!