"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Saturday, January 7, 2012

Tak setuju Polis benarkan Perhimpunan Aman oleh kumpulan 901?

KP Kuala Lumpur mengesahkan Kempen Bebaskan Anwar 901 (Kumpulan 901) boleh mengadakan perhimpunan bersyarat secara aman di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur. Manakala orang awam pula yang mahu berurusan di kompleks mahkamah pada hari itu diminta meletakkan kenderaan mereka di Stadium Hoki Jalan Duta atau Bangunan Matrade. Perhimpunan berkenaan diluluskan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2011 yang telah diluluskan oleh parlimen baru-baru ini, kata Datuk Mohmad Salleh, Ketua Polis Kuala Lumpur.

Belum apa-apa lagi kenderaan orang awam yang berurusan dengan mahkamah terpaksa diletakkan di tempat lain yang lebih jauh. Perhimpunan diutamakan, kepentingan orang awam dikesampingkan. Sepatutnya perkara ini tidak boleh berlaku jika pihak polis memegang konsep 1 Malaysia, "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan". Kepentingan orang awam terpaksa dikorbankan kerana untuk perhimpunan membebaskan individu yang belum tentu dihukum salah atau sebaliknya oleh mahkamah.

Pihak polis sepatutnya melihat kesesuaian tempat dan masa perhimpunan itu. Lokasi perhimpunan itu berhampiran mahkamah yang akan menentukan sesorang individu itu bersalah atau tidak. Sekurang-kurangnya perhimpunan itu cuba mempengaruhi keputusan hakim dan perhimpunan itu juga memberi maksud bahawa DSAI sudah diketahui akan dihukum bersalah oleh mahkamah.

Sepatutnya perhimpunan seumpama itu tidak boleh diadakan tempat yang berhampiran mahkamah. Sedikit sebanyak hakim selaku manusia biasa yang ada perasaan bimbang dan peri kemanusiaan akan terpengaruh. Keputusan hakim sama ada DSAI bersalah atau tidak akan memberi impak yang buruk akibat adanya perhimpunan itu.

Jika mahkamah memutuskan DSAI tidak bersalah. Pihak yang membantah perhimpunan tidak kurang 700 laporan polis telah dibuat di seluruh negara akan kecewa. Kumpulan ini akan mengatakan bahawa hakim membuat keputusan dalam keadaan tertekan dan takut. Puncanya kerana kehadiran puluhan ribu manusia di sekitar mahkamah.

Sebaliknya jika mahkamah membuat keputusan DSAI bersalah. Ribuan peserta perhimpunan Kumpulan  901 akan membantah dan kemungkinan rusuhan akan berlaku.  Suasana tidak dapat dikawal, macam-macam boleh berlaku. Dapatkah pihak polis mengawal perhimpunan aman pada peringkat awalnya yang bertukar menjadi lebih ganas dan mengancam ketenteraman awam.

Kita sendiri tahu dan pihak polis juga tahu, kumpulan 901 ini datang dengan satu niat hanya untuk melihat Anwar Ibrahim dibebaskan. Betapa marah dan hancurnya hati mereka bila Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara. Majoriti mereka yang taksub akan hilang kawalan akan cuba menimbulkan provokasi kepada pihak polis. Begitulah yang berlaku dalam Bersih 2.0 akhirnya pihak polis juga akan dipersalahkan.

Sepatutnya pihak polis membenarkan perhimpunan aman dengan syarat lain bukan syarat 'aman' memang pun nama perhimpunan sudah pun "Perhimpunan Aman". Perhimpunan yang ada kaitan langsung dengan mahkamah pada hari itu tidak boleh dibenarkan. Apatah lagi membenarkan perhimpunan itu diadakan berhampiran dengan bangunan mahkamah. Kalau pihak polis kasihan sangat dengan kumpulan 901 ini, berikan mereka mengadakan perhimpunan di Stadium Bukit Jalil yang boleh memuatkan lebih 200,000 orang (Termasuk atas padang 100,000). Biarlah kumpulan ini berteriak, berceramah, berbaring, meniarap asalkan mereka ini tidak mengganggu ketenteraman awam.

Persoalan lain yang akan timbul. Apakah pihak polis akan membenarkan jika ada kumpulan satu lagi (yang membantah Kempen Bebas Anwar 901) yang bercadang mengadakan perhimpunan pada hari yang sama berhampiran dengan bangunan mahkamah yang sama? Dalam hal ini pihak polis akan berada dalam situasi serba salah. Hak mengadakan perhimpunan secara aman patut diberikan kepada kumpulan ini kerana mereka juga ada hak dan niat kumpulan ini lebih baik dan perlu diberi sokongan 100%. Adilkah pihak polis jika kumpulan ini pula pihak polis akan meminta diadakan di Stadium Bukit Jalil atau Stadium Negara?

Untuk lebih adil, dapatkah pula pihak polis menjaga keamanan jika kumpulan ini juga diletakkan bersebelahan dengan kumpulan satu lagi di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah? Pelbagai kemungkinan lebih buruk boleh berlaku. Fikirlah sendiri!

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.