"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Tuesday, January 24, 2012

Siapakah parasit dalam UMNO?

Terbaca dalam posting blog House PK. Nampaknya parasit dalam UMNO juga merbahaya mungkin lebih bahaya daripada parasit dalam PAS [Baca sini cerita selanjutnya]. Oleh kerana kewujudan parasit dalam PAS menyebabkan  Dato' Hassan Ali, bekas exco Selangor diterajang keluar dari parti PAS dan kerajaan Selangor.Bagaimana pula parasit dalam UMNO?
 
Dalam Cambridge Advanced Learner's Dictionary tertulis, parasite is a person who is useless and lives by other people's work. Erti kata lainnya, parasit boleh diistilahkan kepada manusia. Tumbuh-tumbuhan duit-duit dianggap parasit kerana hidupnya bergantung kepada pokok induknya. Tapi parasit seperti pokok duit-duit tidak begitu merbahaya cuma menampakkan sedikit berserabut pada pokok perumahnya. Paling ditakuti jenis parasit umpama pokok dedalu yang boleh hidup dan tumbuh membesar hingga akhirnya pokok perumahnya mati. Mungkin inilah yang dimaksudkan 'parasite' dalam Cambridge Advanced Learner's Dictionary.
UMNO pun bimbang dan PAS pun bimbang. Mana-mana parti pun dalam dunia ini akan ada sikap pemimpin seperti ini. Cuma apakah pemimpin ini seperti tumbuhan duit-duit atau menjadi dedalu? Walau apapun bila sebut 'parasit', memberi gambaran umum kepada kita, golongan parasit ini memang memberi masalah kepada kepimpinan parti. Memang benar ada parasit yang tidak merbahaya, tapi dalam jangka panjang akan merosakkan parti.
Sesetengah parti bahagian ataupun cawangan parti akan hidup senang lenang kerana ada golongan parasit. Namun kekuatan parti yang bergantung kepada golongan parasit biasanya tidak kekal lama. Mudah hancur bila 'hati terluka'. Penyelewengan dibongkarkan. Keburukan didedahkan membuka segala pekung di dada. Bukan mudah nak jaga hati pengikut kerana pengaruh pemimpin berdasarkan atas pertimbangan nilai materialistik hanya bersifat sementara.  Masa baik semuanya betul belaka. Semuanya bagus tapi bila ada sedikit perselisihan faham semua keburukan dan kejahatan dibongkarkan! Parti boleh tumbang bila keburukan pemimpin terdedah. Semua kelemahan dan keburukan sekecil-kecilnya akan didedahkan oleh kawan sendiri yang sudah menjadi lawan. Lihatlah apa yang sedang diperkatakan oleh bekas rakan-rakan karib Anwar Ibrahim sendiri? Apa komen sdr Ezam Md. Nor, Dato' Nala Karuppan, YB Dato' Zulkifli Nordin dan lain-lain lagi terhadap diri dan kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang dan Penasihat Umum kepada PKR?
Oleh itu ahli-ahli UMNO juga perlu cerdik memilih pemimpin mereka. Pemimpin yang jujur dan ikhlas, berkorban untuk agama, bangsa dan negara. Tidak terpengaruh dengan kekayaan harta benda hingga menjadi pemimpin yang sombong dan takabur. Jika berderma bukan kerana ada maksud tertentu sebaliknya jujur dan ikhlas membantu yang memerlukan pertolongan.
Nak kenal pemimpin yang jujur dan ikhlas 100% memang sukar. Namun memadai ada sifat-sifat kejujuran, keikhlasan, amanah, rendah diri, bermurah hati, suka membantu, beradab dan berakhlak dan taat kepada perintah Allah SWT. Lebih kurang macam itulah. Tapi dapatkah kita cari pemimpin-pemimpin seumpama itu di sekeliling kita? Yang banyak ada, orang yang mahu jadi pemimpin tapi dia masih perlu dipimpin. Sebaliknya kita mahu pemimpin yang disukai oleh semua orang, baik dari dalam parti mahupun di luar parti. Lebih baik lagi jika pemimpin itu juga disukai atau 'ditakuti' oleh puak pembangkang. Itulah 'winnable candidate' yang dikehendaki oleh PM kita. Jika jadi calon pekerja-pekerja parti tidak begitu bimbang dan puak-puak pembangkang pula rasa bimbang.
Jika tidak ada juga, apa boleh buat. Jentera parti di peringkat bahagian dan cawangan, sayap kanan dan kiri kenalah bekerja lebih kuat biarpun calon itu tidak disukai oleh sesetengah pihak dalam parti. Kita pejamkan mata sekejap, padamkan seketika sikap marah dan tak puas hati kita kepada calon kita. Paling penting semasa pilihanraya, calon BN mesti menang. Maruah dan perjuangan parti mesti diutamakan. Jika tidak, Putrajaya akan ditawan oleh Pakatan Rakyat yang sah akan dikepalai oleh PKR atau DAP. PAS tak boleh diharapkan lagi kerana PAS cuma jadi kuda tunggangan semata-mata. Tepuk dada tanyalah minda!

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.