"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Tuesday, August 28, 2012

Rahsia Pas dan DAP masih satu selimut, tapi igau lain-lain

PAS masih degil untuk bertahan dengan DAP walaupun DAP khususnya Karpal Singh menghina Pas mengenai negara Islam dan hukuman hudud. Kalau isunya adalah prinsip dan kebenaran sudah lama sepatutnya Pas keluar dari pakatan pembangkang.
Tetapi Pas lebih mementingkan kerusi dan kuasa menyebabkan penghinaan itu boleh diserap dalam strategi tahhaluf siasinya.
DAP tidak ada pilihan lain. Dari segi strategi politik ia perlukan sokongan pengundi Cina. Menyokong negara Islam dan hudud Pas adalah bencana bagi DAP.
Dengan ghairahnya Pas bersama DAP walaupun dihina dan ditempelak kerana tanpa undi Cina, Pas tidak boleh memenangi banyak kerusi.
Bagi DAP dengan Pas bersama pakatan, undi orang Melayu terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh pecah. Dengan bantuan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mereka harap mengambil alih kuasa.
Kalaulah mereka menang, hatta dengan majoriti mudah (minta dijauhkan Tuhan) akan timbul isu-isu dasar dalam pemerintahan. Pemimpin Pas terutamanya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kata perjuangan negara Islam dan hudud akan diteruskan.
Bagaimana ia hendak diteruskan sekiranya meneruskan hasrat itu terpaksa melangkah mayat Karpal Singh dulu.
Dalam bahasa mudah selagi Karpal Singh hidup tidak mungkin usaha Pas boleh berjaya. Pas hanya berangan-angan.
Buku Jingga sebagai manifesto pakatan pembangkang tidak langsung menyatakan negara Islam atau pun hudud. Kalau begitu manifesto apa yang ingin dicanangkan oleh Pas untuk memenangi kerusi majoriti?
Negara Berkebajikan belum tentu mendukung negara Islam. Lagi pun Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah memaklumkan dalam Muktamar Pas, negara Islam tidak ada dalam al-Quran. Kalau begitu setelah sekian lama Pas memperjuangkan negara Islam dari sumber mana?
Pas dan PKR menginginkan Putrajaya. DAP nampaknya tidak seghairah itu. DAP punya strategi sendiri. Kekalkan Pulau Pinang, dapatkan Perak, Selangor dan Negeri Sembilan memadai untuk Pilihan Raya Umum Ke-13.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti kuasai Sabah dan Sarawak. Lengkaplah strategi untuk menguasai Malaysia. DAP dengan sokongan pihak-pihak lain tentu mampu untuk mentadbir.
Negeri-negeri yang disebutkan tadi adalah negeri yang mempunyai sumber ekonomi yang tinggi. Dengan upaya penglibatan pendukung-pendukung DAP dalam bisnes, binaan rumah kediaman, peluasan industri, memajukan pelancongan ekuiti atau pegangan mereka akan terus meningkat. Ia bakal meninggalkan Pas dan PKR terkulat-kulat memerhati.
Hendak keluar dari Pakatan, Pas malu. Dengan krisis imej dalam PKR antara kem Wan Azizah dengan kem Azmin Ali dan kes Anwar Ibrahim mengenai liwat belum selesai lagi, ia meletakkan DAP lebih dominan.
Pemimpin Pas sekian lama tahu integriti Anwar. Tak mungkin lujnah penyelidikan Pas tidak melakukan apa-apa kajian. Tetapi mengapa harapkan dia jadi Perdana Menteri Malaysia. Karpal Singh juga dalam Parlimen pernah menyebut Anwar ialah 'peliwat' tetapi mengapa DAP juga mahukan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Inilah kong-kalikung politik yang penuh muslihat, mementingkan kerusi dan kuasa lebih daripada kebenaran dan integriti.
Bagi Anwar untuk menjadi Perdana Menteri bergantung kepada kes Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Untuk Pas mencadangkan Abdul Hadi menjadi Perdana Menteri kalau terjadi apa-apa pada Anwar tentu DAP tidak akan membiarkan.
Apakah ini petanda impian Karpal Singh untuk menjadikan pemimpin DAP sebagai Perdana Menteri akan terkabul.
Maka, pilihan yang ada bagi Pas adalah bekerjasama dengan UMNO untuk menguatkan kembali barisan umat Melayu. Pas semacam berkerat rotan berpatah arang dengan UMNO. Mahukah ludah dijilat kembali.
Kalau begitu bagaimana mencari kecerdikan bagi umat Melayu lantaran kemungkinannya nanti adalah menang sorak kampung tergadai.
Penulis yakin dengan analisis yang diberi BN boleh memenangi pilihan raya umum nanti. Malah, kalau strategi memenangi kerusi dibuat dengan bijak dan bersungguh-sungguh dengan menampilkan calon boleh menang yang berwibawa dan calon yang telah menang dan berjasa, penulis amat yakin bahawa pembangkang bakal tersungkur.
Kecuali Pas mengubah pendirian untuk bekerjasama dengan UMNO demi kepentingan umat Melayu. Ia tidak mustahil sekiranya orang Pas berjiwa besar kembali dan mampu membaca senario politik yang ada.
Jangan jadikan rasa dendam kesumat dan kebencian sebagai penghalang terhadap kerjasama ini. Isu-isu UMNO memperjuangkan Melayu dikatakan asabiah kaumiyyah, isu faham kebangsaan sebagai rasis, isu UMNO tolak Islam adalah retorik politik emosional tanpa asas ilmiah dan kontang pemahaman tentang sejarah dan budaya bangsa Melayu.
Sesat di hujung jalan kembalilah ke pangkal jalan. Masanya masih belum terlewat.

Sumber: Utusan Malaysia 28/8/2012

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.