Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib mencadangkan agar mana-mana pemimpin politik termasuk UMNO menggunakan masjid sebagai tempat menyampaikan dasar mereka kepada rakyat. Katanya, UMNO juga boleh menjadikan masjid sebagai kempen pemilihan pemimpin kerana institusi tersebut mempunyai pelbagai fungsi sebagaimana zaman Rasulullah SAW dan empat khalifah agung Islam.
Harun berkata, tidak salah pemimpin parti mahu bercakap mengenai politik di dalam masjid. Katanya, “UMNO boleh ambil sejam dan Pas ambil sejam, UMNO boleh terang dasar dia dan kita pula terang pasal pentaddbiran kita,” katanya.
Manakala Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan perbuatan menyampaikan ceramah politik di dalam masjid adalah haram di sisi Islam. “Sebarang perkara yang boleh membawa kepada perpecahan umat Islam hendaklah dijauhkan dan dielakkan di bawa ke masjid termasuk berpolitik. Itu ajaran Islam. “Politik sekarang boleh memecahbelahkan umat dan haram hukumnya berceramah politik di masjid. Masjid adalah tempat umat Islam bersatu, melakukan ibadah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwa mempertikaikan titah Sultan Selangor agar tidak menggunakan masjid untuk kempen politik.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, adalah tidak salah untuk menyampaikan ceramah politik di dalam masjid sambil memberi contoh perbuatan menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik turut dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Malah, menyifatkan larangan itu sebagai karut dan saki baki ajaran penjajah yang mengasingkan agama dan politik. Mengulas mengenai kenyataan Nik Abdul Aziz, Harussani menjelaskan Nabi Muhammad tidak berpolitik di dalam masjid, malah pada zaman junjungan besar itu tidak ada parti politik.
“Nabi Muhammad menggunakan masjid untuk menyatakan hal-hal pentadbiran kerajaan kepada umatnya bukan berpolitik. “Janganlah kerana terlalu taksub berpolitik, sehingga sanggup menghalalkan cara dan menghalalkan perkara terlarang,” katanya sambil menegaskan kenyataannya berdasarkan fakta dan tidak memihak kepada mana- mana pihak.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.