"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Saturday, October 29, 2011

Mertabatkan Bahasa Kebangsaan: Pemimpin negara mesti jadi contoh?

Memertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa perhubungan di negara kita bukan suatu isu yang baru. Rakyat Malaysia tidak boleh mempertikaikan kedudukan bahasa Melayu dalam perlembagaan negara. Cuma pelaksanaan dalam sistem pendidikan negara sama ada di sekolah-sekolah dan di pusat-pusat pengajian tinggi boleh ibaratkan bagai 'lepas batuk di tangga'. Cuma nampak semakin serius KPM bila PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) dihapuskan dan digantikan dengan MBMMBI (Memertabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris).
Walau bagaimanapun amalan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara tidak begitu serius oleh pemimpin-pemimpin negara. Dalam hal ini, eloklah pemimpin-pemimpin negara mengutamakan bahasa Melayu dalam apa jua situasi sama ada ketika berada dalam forum, seminar, mesyuarat kerajaan/rasmi, sidang akhbar dan sebagainya. Lihatlah pemimpin-pemimpin no. 1 negara-negara lain seperti Jepun, Korea, China, Peranchis, Jerman, Canada, Indonesia dan banyak lagi begitu bangga dengan bahasa ibunda mereka.
Pemimpin negara seperti Perdana Menteri, Menteri-Menteri Besar/Ketua Menteri dan menteri-menteri sepatutnya menutur dalam bahasa kebangsaan walaupun wartawan bertanya dalam bahasa Inggeris. Kita masih boleh terima jika wartawan itu bertanya tentang isu-isu antarabangsa. Yang kecewa kita atau sedihnya kita terhadap pemimpin negara kita yang selalu kita dapat saksikan melalui kaca TV bila memberi penjelasan dalam bahasa Inggeris hanya berkaitan dengan masalah penduduk miskin luar bandar. Seolah-olah orang miskin kita di kampung-kampung lebih faham bahasa Inggeris dari bahasa Melayu.
Belajarlah dari pemimpin negara lain yang begitu bangga dengan bahasa ibunda mereka. Walaupun dalam seminar peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa, negara berkenaan masih menggunakan bahasa ibunda mereka. Dalam hal ini, kita berbangga dengan Menteri Penerangan, Dato' Seri Rais Yatim yang kerap memberi ulasan dan penjelasan dalam bahasa kebangsaan.
Kita terbaca dalam media, bagaimana tokoh-tokoh bahasa negara-negara luar seperti China sangat berminat dengan bahasa Melayu dan melahirkan keyakinan bahawa bahasa Melayu boleh dijadikan bahasa pertuturan dunia setanding dengan bahasa Inggeris suatu masa nanti. Tapi kenapa kita lihat pemimpin kita, golongan profesional, para cendiakawan, para akademik, golongan korporat, ahli politik dan juga sebahagian rakyat Malaysia yang masih tidak yakin dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita? Jika rakyat negara kita sendiri tidak memertabatkan bahasa sendiri siapa lagi?

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.