"BERDEMONTRASI MENENTANG PEMERINTAH YANG DIPERINTAH OLEH PEMIMPIN BERAGAMA ISLAM ADALAH HUKUMNYA HARAM- Ustaz Idris"

Monday, November 29, 2010

Antaranya pemimpin kanan PAS menyertai UMNO di Pasir Puteh Kelantan!

UMNO Bahagian Pasir Puteh sedang memproses lebih 2,000 borang keahlian baru yang turut melibatkan pemimpin kanan Pas di peringkat cawangan bersama pengikutnya selepas hampa dengan parti itu yang gagal membawa sebarang perubahan biarpun memerintah negeri ini selama 20 tahun.
Terbaru, seramai 103 ahli Pas dari cawangan Wakaf Bunut menyerahkan borang keahlian kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman dalam majlis rasmi di Kampung Tualang.
Bekas Ketua Pas Cawangan Wakaf Bunut, Mohd. Soleh Hassan, 66, berkata, beliau menyertai UMNO secara sukarela selepas menyedari hanya parti itu yang mampu memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara.
Katanya, kesedaran itu timbul selepas mengikuti kempen dan perkembangan politik sepanjang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas baru-baru ini yang mana banyak penyelewengan Pas terbongkar.
"Ini termasuk projek Ladang Rakyat yang mana ahli-ahli Pas yang beragama Islam dan rata-rata miskin hanya diberikan habuan yang sedikit sedangkan projek besar.
"Pemilikan keuntungan yang banyak dinikmati oleh orang bukan Melayu termasuk bukan pemastautin di negeri ini mengusahakan projek berkenaan," katanya ketika ditemui di majlis tersebut.
Mohd. Soleh berkata, kepimpinan Pas hanya menggunakan slogan agama untuk memancing sokongan rakyat.
Sedangkan, katanya, hakikat sebenarnya mereka lebih mementingkan kedudukan dan jawatan berbanding usaha menjana ekonomi, membangunkan negeri serta membela kebajikan rakyat secara menyeluruh.
"Berikutan perbezaan pendapat kerana kesedaran saya terhadap perkembangan politik yang berlaku menyebabkan saya sentiasa didesak supaya berundur dan melepaskan jawatan yang disandang dalam Pas.
"Saya melihat UMNO adalah wadah perjuangan yang terbaik untuk membela Islam dan saya akan cuba untuk menyedarkan penduduk di kampung ini bahawa perjuangan Pas hanya palsu.
"Biarpun diejek atau ditolak oleh Pas saya terus bersemangat untuk berkempen bersama UMNO. Bukan kebendaan yang saya mahu tetapi sekadar ingin menyampaikan sesuatu yang 'hakikat' kepada orang ramai," katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Penerangan Pas DUN Selising, Nordin Daud, 48, berkata, kesedarannya untuk menyertai UMNO berputik apabila mengkaji ketelusan parti tersebut di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, UMNO banyak memberi penekanan terhadap aspek kebajikan rakyat dan pelbagai agenda yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani di peringkat antarabangsa.
Sumber: Utusan Malaysia 29/11/2010

No comments:

Post a Comment

Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.