Di sana sini pemimpin UMNO dan bukan UMNO mulai bercakap pasal calon parlimen dan calon DUN di kawasan parlimen Balik Pulau. Agensi-agensi kerajaan tertentu mulai membuat pengiraan calon yang boleh menang untuk PRU yang akan datang. Tapi apakah pengiraan itu tepat dan mengambil kira aspek kepentingan parti? Apakah pengiraan itu mengambil kira pendapat-pendapat kebanyakan pemimpin UMNO peringkat cawangan dan ahli-ahli UMNO akar umbi? Apakah pengiraan itu telah mengambil kira tentang masa depan parti UMNO itu sendiri selepas PRU akan datang? Apakah pengiraan itu mengambil kira kekuatan dan kelemahan parti pembangkang? Oleh itu penentuan calon baik sebagai ahli parlimen dan mahu pun DUN perlu diteliti dan dikaji secara halusi dan penuh tanggungjawab. Bukan kerana pemimpin itu terlalu 'bermurah hati' maka dia dianggap layak sebagai calon. Bukan kerana pemimpin itu terlalu menonjol diri maka dia lebih layak dicalonkan sebagai wakil rakyat. Bukan kerana dia begitu lama dan banyak pengalaman maka perlu diberi peluang untuk selamanya. Bukan kerana dia di kalangan pemimpin muda yang kuat bekerja maka dia perlu 'dinaikkan pangkat' dari ahli DUN kepada ahli parlimen. Semua persoalan itu belum cukup melayakkan seseorang wakil rakyat atau pemimpin UMNO itu menjadi calon yang akan datang.
Pemilihan wakil rakyat atau pemimpin lain sebagai calon perlu dilakukan dengan penuh disiplin, tanggungjawab dan jujur. Kegagalan meletakkan calon pilihan dalam PRU yang akan datang akan memberi impak buruk kepada kedudukan BN dalam parlimen dan juga DUN. Pemilihan calon-calon BN akan datang suatu yang sangat-sangat penting. Selain boleh menang calon itu mesti boleh menguatkan parti UMNO pada masa akan datang. Di senangi oleh semua peringkat kepimpinan sama ada dalam UMNO dan di luar UMNO, dalam BN mahupun pembangkang. Tapi apakah pemilihan calon-calon BN yang akan datang mengambil kira aspek-aspek itu? Kesilapan pemilihan calon akan datang boleh berulang kali ini jika pemilihan calon cuma bergantung kepada satu dua sumber. Kekalahan calon BN dalam PRU akan datang boleh berlaku jika maklumat yang diperoleh dari sumber yang tidak telus dan tepat. Oleh itu demi kepentingan BN di samping kekuatan UMNO sebagai wadah perjuangan orang Melayu, pemilihan calon UMNO/BN dalam PRU yang akan datang mesti dilakukan secara lebih bertanggungjawab dan telus. Kita tidak mahu sepertimana kata pepatah Melayu "menang sorak kampung tergadai". Kata lain, kita tidak mahu calon BN menang tapi UMNO semakin berpecah dan semakin lemah. Sayangilah parti UMNO kerana partilah, BN masih tegak berkuasa, untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.