PUTRAJAYA 17 Nov. – Pergerakan Puteri UMNO percaya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggunakan taktik dan strategi lapuknya dengan menuduh Raja Petra Kamaruddin diperalatkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.
Ketuanya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata, ia kerana pemilik portal propembangkang itu mengeluarkan dakwaan bahawa Anwar pernah menjadi pengacau dan ‘kuda trojan’ dalam UMNO satu ketika dulu.
‘‘Tidak mustahil Anwar juga akan menuduh Raja Petra, Datuk Zaid Ibrahim, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin serta Utusan Malaysia sebagai bersubahat untuk menjatuh serta menggugat kedudukan beliau yang kononnya sedang menunggu masa untuk menakluk Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Malah, kata beliau, setiap pendedahan atau kenyataan yang dikeluarkan oleh orang yang pernah rapat dengan Anwar iaitu Zaid dan Raja Petra menunjukkan beliau sebenarnya mahu dilihat sempurna.
Sedangkan pada hakikatnya, Anwar sarat dengan kelemahan dan tidak layak menjadi penasihat PKR, apatah lagi impiannya untuk menjadi Perdana Menteri jika angan-angan pakatan pembangkang menerajui negara ini menjadi kenyataan.
‘‘Puteri UMNO juga melihat Anwar sebenarnya terlalu dibebani banyak masalah peribadi terutama tuduhan liwat yang sehingga kini telah memakan masa berbulan-bulan dan pada masa yang sama beliau ‘ditelanjangkan’ oleh rakan-rakan karibnya satu persatu.
‘‘Namun Anwar dan pengikut tegarnya dengan angkuh dan sombong enggan mengakui kelemahan mereka sebaliknya meletakkan beban tersebut kepada pihak lain,” katanya.
Justeru, katanya, sekarang adalah masa paling sesuai untuk melihat kelicikan strategi politiknya baik dalam UMNO mahu pun dalam PKR kerana bijak menampilkan diri sebagai seorang yang bijak agama.
Sumber: Utusan Malaysia 18/11/2010
No comments:
Post a Comment
Sila beri komen dan pandangan yang ikhlas dan membina. Terima kasih.